berkarya itu indah

berkarya itu indah

Thursday, November 19, 2015

Guilt Trip Memukau Makna Cinta



Cinta yang Manis Sekali!

Tak sangka air mata mengalir tiba2 ketika menyaksikan babak2 akhir cerita ini.

Tentang cinta yang tak terucap tetapi dirasakan dalam degup hati masing2, terpisah dengan kematian dan beroleh jawapan dengan sebuah Nama. ...

Allah, Maha Pengasih Maha Penyayang. Cinta yang dikirim melalui pelbagai makna dan rasa. 😊





Ulasan Buku - Republik Eskapisme

BEBAS BERANI MEMAKNAKAN KEHIDUPAN DALAM REPUBLIK ESKAPISME.

“Biarlah kita bercinta secara sederhana, kekasih
sekadar isyaratan bahawa
tubuhmu tidak boleh disentuh sesiapa
kecuali suhu cinta yang tiba-tiba mendidih
dan kita panas dalam rangkul
                                                gelora!

                                                                                                            (Republik Eskapisme: 4)

 
Kulit buku warna merah saja sudah memikat hati untuk membaca helai demi helai! :)
Seperti itulah pengarang mengumpan pembaca agar ingin sama-sama berjuang dalam sebuah persembahan yang penuh pengharapan. Petikan puisi Balada Cinta yang Kembali Bernafas ini memugar niat dan impian pengarang agar makna yang ingin disampaikan meresap penuh ke sanubari pembaca. Puisi ini turut menekankan satu pengharapan yang memberi makna sepenuhnya kepada kehidupan.
Pengharapan untuk bebas bersuara dalam menyampaikan kebenaran. Namun, ada kalanya ketakutan menjadi faktor penghalang bagi melunaskan niat baik itu. Hanya apabila datangnya sebuah desakan, pengharapan untuk menegakkan kebenaran kembali berpaut pada jiwa-jiwa yang berjuang.
Kumpulan Puisi Republik Eskapisme disampaikan oleh Nimoiz T.Y dengan cukup berhati-hati. Pemilihan kosa kata yang cukup baik. Terkadang muluk dan digayakan dengan rima bahasa yang bernada indah. Pengulangan aspek bahasa yang dipilih menampilkan kepelbagaian rentak dalam rangkap kata, kalimat dan frasa puisi. Gabungan rima dan gaya bahasa dalam kumpulan puisi ini akhirnya mencirikan sebuah estetika tersendiri dalam melahirkan makna pengharapan yang ingin dizahirkan oleh pengarang.
Estetika pengharapan ini tidak kosong dengan kata-kata sahaja. Malah pengharapan ini diberikan makna oleh pengarang dengan menampilkan nilai-nilai tersendiri. Kumpulan puisi ini mampu dipandang dari sudut nilai-nilai idealisme dan intelektualiti. Keberkesanan estetika ini nanti mampu memperlihatkan sebuah pengharapan yang memberi makna kepada kehidupan. Namun, ada antara sesetengahnya nanti mampu menguji kepercayaan dan keyakinan diri tentang maksud sebuah pengharapan untuk menggapai kebebasan dalam menegakkan kebenaran.

Puisi Republik Eskapisme pada halaman satu menjadi pandu arah sebuah pengharapan bermula. Pengarang awal-awal lagi menukilkan sebuah cerita tentang usaha seseorang yang berjuang untuk merealisasikan kebenaran. Perjuangan itu diletakkan dalam harapan tertinggi agar usahanya tidak mati di tengah jalan apabila menerima pelbagai ujian. Pada akhirnya persoalan ditimbulkan, agar usaha pejuang masih diberi pengharapan untuk terus melaksanakan kebenaran hingga ke hujung nyawa.

Kita selalu diberi pilihan tanpa sedar atau pun tidak untuk memilih jalan hidup terbaik. Namun sekuat mana pilihan itu dibuat sama ada untuk kebaikan sendiri atau kebaikan bersama-sama, ia menjadi taruhan pengharapan kita sendiri akhirnya. Puisi Lintasan seperti membawa pengertian yang sama. Pengharapan untuk mendapat kesejahteraan bersama-sama terkadang tersimpan sekadar impian.

“Sebenarnya kauhadir – sebenarnya
cuma
untuk
menghirup
racun dari racunmu.

(Republik Eskapisme: 48)

Estetika pengharapan diterapkan juga kepada nilai-nilai yang memberi makna langsung kepada kehidupan. Dalam meraikan kepelbagaian ragam kehidupan, manusia sering kali terleka dan meminta-minta (berharap) agar ada jiwa-jiwa yang sudi mengejutkannya dari lamunan kealpaan. Nimoiz T.Y tidak melepaskan peluang apabila sudi menjadi antara jiwa-jiwa yang menyelamatkan pembaca daripada khayalan kelekaan.  

Nimoiz T.Y menutup kronologi kumpulan puisi ini dengan aksara perkataan berunsur alam yang dinyatakan penuh keindahan. Puisi Tioman: Antara Aku dan Desir Angin Laut China Selatan (2) menghadirkan nilai pengharapan yang begitu besar kepada kehidupan. Penyatuan frasa berunsur alam yang begitu berwarna-warni dengan mainan rima dan nada-nada harmoni, mengalirkan inspirasi yang membahagiakan pembaca. Puisi ini menggambarkan tentang perasaan rindu yang paling dalam dan tentang cintanya yang setia dalam meletakkan harapannya kepada eskapisme menggapai kebenaran yang sejati.

            Kumpulan Puisi Republik Eskapisme karya Nimoiz T.Y ini mempelawa pembaca masuk ke dalam republik yang mencari eskapismenya dalam estetika pengharapan tersendiri. Pilihan dan harapan saling bergantungan seperti pengarang menggayakan pilihan dan harapannya terhadap kumpulan puisi ini agar bebas meresapi jiwa kepengarangannya ke dalam jiwa pembaca.

Ayuh, menjalin rasa dan bebas berani memaknakan kehidupan!
Ulasan Oleh: Hanna Johan, 18.11.2015


Wednesday, November 18, 2015

Ulasan Buku - Zombi Rumi

SATIRA MANIS DALAM ZOMBI RUMI.

Sememangnya saya amat bertuah dan tuah ini perlu saya syukuri sepenuh hati. Tahniah dan terima kasih kepada Haniff Yusoff kerana menghasilkan kumpulan cerpen Zombi Rumi ini. Saya akui kesungguhan penulisan Haniff Yusoff dalam apa-apa jua genre yang ditulis pasti akhirnya menimbulkan sebuah sedar yang menjentik nubari.

11 buah cerpen yang dihidangkan dalam naskhah berkulit kuning ini benar-benar bermanfaat untuk jiwa pembaca. Persembahan bahasa yang digunakan amat dekat dengan pembaca. Karyanya tidak berat tapi penuh azimat untuk diambil iktibar dalam menjalani kehidupan kini yang penuh mencabar.
Buku ini mula dibaca ketika saya dalam perjalanan pulang dari kampung - dalam tren KTM

Bayangkan sahaja sekarang ini kita masih lagi tidak putus-putus memperjuangkan isu bahasa Melayu sedangkan bahasa kebangsaan ini tidak perlu sepatutnya kita perjuangkan tetapi harus kita bangga menggunakannya kerana bahasa jiwa bangsa. Bahasa Melayu itu merupakan bahasa jati diri kita. Bahasa darah daging kita yang sejak awal lahir lagi itulah identiti kita.

Dan himpunan cerpen dalam Zombi Rumi banyak menyedarkan saya tentang kadang-kadang sebagai rakyat tanah air, saya juga terleka dalam memartabatkan bahasa dan budaya kita. Cerpen Zombi Rumi itu sendiri benar-benar mengajak kita kembali sedar dengan kepayahan Orang Tua yang saya anggapkan konotasi bagi pejuang-pejuang bahasa terdahulu yang bersungguh-sungguh meletakkan hak bahasa Melayu di tempat tertinggi di tanah lahir kita.

“Orang Tua. Ya, dialah selayaknya. Selama ini dia yang memperjuangkan juadah tradisi sehinggalah pada suatu ketika, dia diusir dari Lorong 152. Dialah yang mengajar saya menyediakan juadah tradisi. Kasihan, dia tiada dosa pada bangsa, tetapi kita semua yang berdosa. Mungkin inilah balasan Tuhan, semua yang menikmati makanan Barat di Lorong 152 menjadi Zombi Rumi.” (Zombi Rumi, hlm. 52)

Satira yang diperkenalkan Haniff Yusoff dalam buku ini amat manis sekali. Setiap jalan ceritanya menyentuh hati dan perlahan-lahan mengajak kita kembali berpaut kepada akar budaya dan bahasa. Ajakannya tidak secara paksa, tidak juga terburu-buru malah berlembut-lembut dalam tutur bahasanya.

Akar budaya dan bahasa Melayu ditampilkan penuh mantap dan berdaya dalam cerpen Naskhah Tok Lah, Seredup Belantara Cinta, Semoga Alam Tidak Mentertawakan Kita Lagi, Asar di Penghujung Tahun, Manusia Sekerat Ular Sekerat Belut, Anak Si Penjual Santan, Zombi Rumi, Dunia Baruku, Kongsi, Leluhur dan Jembalang Muncul di Perpustakaan Kampung Kami.

“Saya rasa jembalang tidak suka membaca buku. Jadi saya fikir kemunculan jembalang itu hanyalah konspirasi pihak-pihak tertentu yang mahu melihat ketamadunan bangsa kita mundur. Pertama mereka menjarakkan kita untuk mendekati gedung ilmu dan kedua mereka mengaut khazanah ilmu yang ada dalam perpustakaan ini. Usaha mereka berjaya dan kita yang ternganga!” (Jembalang Muncul di Perpustakaan Kampung Kami, hlm. 87)

Semoga petikan di atas tidak menjadi kenyataan dalam hidup kita! Jadi, dapatkan segera kumpulan cerpen ini dan bacalah bersungguh hati agar dapat mengamalkan manfaat yang dikarangkan penulis.

 Ulasan Oleh: Hanna Johan, 18.11.2015

Ulasan Buku - Orang Ketiga

SISI BAIK DAN BURUK ORANG KETIGA DALAM KARYA ORANG KETIGA.

Apabila lidah tersebut sahaja perkataan orang ketiga, pasti ada mulut-mulut lain yang beranggapan pelik. Sangkaan hairan dan gelisah menular dalam tiap-tiap jiwa masing-masing sama ada yang tahu dengan sendirinya atau mendengar dari perbualan orang lain.

 
Kehadiran ‘orang ketiga’ dalam sesuatu hubungan cukup cepat tertangkap dalam jiwa masyarakat bahawa suatu tragedi bakal berlaku hingga mampu melukakan hati banyak pihak. Begitu besarnya pengaruh perkataan ‘orang ketiga’ itu sehingga menjadi ketakutan kepada banyak hati. Terutamanya hati perempuan yang sememangnya diketahui lemah dan sensitif ini.

Jadi persoalannya, adakah orang ketiga yang terdapat dalam karya Orang Ketiga ini sama seperti tanggapan saya itu?

Tidak sama sekali! Maksud saya, Orang Ketiga ini telah banyak meninggalkan kesan buruk kepada banyak hati. Bukan sahaja melibatkan hati perempuan malah telah mengorbankan banyak hati termasuk hati watak-watak lelaki dalam novel ini.

 

“Hmm…dah! Dah dua orang cucu manja awak berkawan dengan benda haram jadah tu. Baguslah,” bisik Hajah Kalsom di cuping telinga Haji Ali. Haji Ali tergamam lagi. (hlm. 182)

“Awak masih pertahankan dia. Awak dah lupa? Motosikalnya lagikan dia jual. Ada dia hormatkan awak semasa dia nak jual motornya dulu? Sedangkan motor itu awak yang belikan untuknya. Terdesak saja, jual.” (hlm. 196)

Dua petikan di atas jelas menunjukkan siapakah watak orang ketiga dalam novel ini. Jelas sekali, tidak sedikit pun disebutkan oleh penulis tentang watak orang ketiga dalam karyanya. Namun, perwatakan dan gambaran sikap yang diberikan kepada watak Haji Ali ini begitu memperlihatkan bahawa beliaulah orang ketiga yang telah banyak merosakkan atur jalan hidup orang di sekelilingnya.

Haji Ali berkuasa atas keluarganya. Sikap beliau yang terlalu memanjakan anak lelaki dan cucu-cucunya sedikit sebanyak telah meninggalkan kesan negatif kepada persekitaran keluarga mereka.

Sifat manja ini memang paling bahaya kepada orang yang tidak tahu mensyukuri nikmat dunia yang telah Tuhan berikan kepada bahagian masing-masing. Hal ini kerana, manusia memang tidak mudah puas dengan apa2 yang mereka ada.

Tuduhan saya ini tepat mengena kepada watak Borhan (anak kepada Haji Ali) dan Jalal (cucu kepada Haji Ali). Borhan dan Jalal memang mendapat perhatian penuh daripada Haji Ali. Perhatian yang diberikan amat melampau sehingga kesalahan yang dilakukan oleh Borhan dan Jalal tetap dibela oleh Haji Ali sebagai sesuatu yang tidak apa-apa. Maka, takdir untuk Borhan dan Jalal akhirnya mengheret derita ramai orang di sekelilingnya.

Orang Ketiga tidak berlarutan dengan kisah sesal dan deritanya. Di sebalik konflik yang menggegar seluruh jiwa pembaca, terdapat babak menarik yang memberi tenang kepada hati pembaca. Sekurang-kurangnya masih ada sifat orang ketiga yang mententeramkan jiwa kita. Keseimbangan konflik antara orang ketiga dalam sesebuah keluarga ini saya sifatkan sebagai satu cubaan nilai murni yang ingin penulis tonjolkan kepada pembaca.

Watak Pak Su yang membantu Amran merupakan sifat orang ketiga yang begitu positif dan amat membahagiakan jiwa watak-watak protagonis yang lain. Amran merupakan salah seorang cucu Haji Ali yang dahulunya sempat dimanja Haji Ali hingga akhirnya membawa padah kepada Amran kerana tersalah pilih haluan. Amran telah merosakkan dirinya dengan dadah. Gara-gara terlalu dimanja dan selalu dimenangkan oleh Haji Ali, Amran sering berasa besar kepala.
 
Bapa Amran memilih Pak Su sebagai orang ketiga dalam keluarganya untuk menyembuhkan Amran daripada najis dadah. Berkat kesungguhan Amran sendiri yang selalu terasuh dengan sifat baik Pak Su menjadikan Amran berjaya memecahkan kesakitan dalam dirinya daripada kancah dadah. Pak Su amat sinonim dengan sifat tawaduk kepada Allah. Menjadikan beliau seorang yang penyayang dan sering mengingatkan Amran kepada amanah Allah. Begitulah sisi baik seorang ‘orang ketiga’ dalam novel ini yang membangkitkan hati agar tenang kembali selepas bergaduh dengan sisi ‘orang ketiga’ daripada watak Haji Ali.

Apakah yang akan terjadi selanjutnya kepada Haji Ali apabila anak dan cucu yang dibela mula meninggikan nafsu daripada akal mereka? Bagaimanakah nasib mereka sekeluarga yang setiap hari berhadapan dengan peristiwa yang menyakitkan hati ini?

Ulasan Oleh:
Hanna Johan, 15.11.2015

About Us

Bila terbitnya bicara, hati mula pasrah, untuk luahan terindah, segalanya diserah…Moga jiwa turut merasa, tentang hati yang mula bercerita.

Teguh pada kata hati, cekal pada kata akal…akan setia pada janji, untuk diri, dia dan semua. Moga ada sinar, pada setiap karya yang terlahir dari jiwa dan rasa. Hanya kerana DIA.

Titip kasih daripada teman blogger

Titip kasih daripada teman blogger
Tanda hati daripada Cik Amy Sense, tQ!!!

Gapaian CIta

Gapaian CIta

Impian Kan Terlaksana

Impian Kan Terlaksana
Barisan melakar cita

Pages