berkarya itu indah

berkarya itu indah

Thursday, September 30, 2010

Bersama sayang


Pengalaman manis,
membaca di samping si kecil. Indah. Manis sekali. Senyuman melafaz segala sisipan bahagia.

Adakala, jemari si kecil riang bermain-main helai kertas. Adakala, jemari si kecil rancak berirama melirik manja mahu bermesra.

Sayang,
mari kita membaca
eratkan minda dengan bahasa ,rapatkan jiwa dengan aksara.

A B C, kita selari mengeja kata. 1 2 3, kita seiring menyusun cita. Sayang, dengarkan bahasa indah...berbuailah madah cerita.

Membacalah, agar jiwa semakin dekat dengan ciptaan-NYA. Baik bacaan kita, murnilah jiwa dan minda.

salam manis, hannaJohan. Untuk si kecil riang dan tampan. :)

Tuesday, September 28, 2010

hannaJohan


wajah ini, penuh ceritanya. Manis...pahit. Segalanya berbaur.

Teruslah tekal membawa nama, maruah dan iman.

Sunday, September 26, 2010

Puisi 'Potret Terindah Dinda'

Oleh Hasni Jamali @ hannaJohan

Kamar 12/36


Potret kasih kita

masih tergantung indah di dinding hati

cinta dan asmara

masih hangat membasah

rindu setia yang pernah terungkap

dari bibir mungilmu

kini,

kurasa sungguh jauh.


Dinda yang kusayang

aku terasa hilang

air mata bertakung hebat

pada cintaku yang dalam

dirimu yang tenang

bercahaya menghangat rasa

kurindukanmu

selalu yang haru.


Ratapan kalbu

menitip tasbih dan zikir

berlagu irama suci

riang berpaut nada kalam

padamu dinda

moga damai mengiringi

pemergian

yang kurasa kian sayup.


Potret wajah terindah dinda

di sudut hati setia

tidak padam disapa gelita

tidak sirna dilitup senja

malamnya bersinar

siangnya bercahaya

senantiasa bersama

di sisiku,

berpimpinan kita ke syurga-NYA.


:: 25 September 2010, genap sebulan pemergian kanda saudara, moga arwah dirahmati Allah. Saudara-saudaraku, sama2 kita sedekahkan al-fatihah untuk arwah kak Uda. Biar menitis air mata, namun doa kan tetap setia dihulur untuk kesejahteraannya di Sana. Amin. :'(

-ikhlas, Along Nani

Tuesday, September 21, 2010

Bercerita tentang Sedih

Dalam dunia ini, semua orang mahu gembira. Mahu ceria dan mahu bahagia. Sebenarnya ujian adalah satu masalah bagaimana Allah menguji hamba-Nya, sama ada bersyukur atau masih sama dengan tabiat lama iaitu tidak mahu bersyukur dan menyalahkan sana dan sini.

Mengapa kali ini mahu kisahkan tentang kesediahan ya? hmm...ini lah yang dinamakan Mood dan Kisahnya. Hari ini sedikit moody dan sayu. Kebiasaan bagi orang yang sensitif dan pendiam, memang macam ini. Mungkin.

Bukan sedih apa pun, sebenarnya ketika hanna tulis kisah ini...hanna sedang lapar. Teringin sangat nak makan mee goreng mamak. Bila sms abang (nama panggilan adik lelaki) dari semalam suruh belikan tapi dia tak layan pun mesej hanna. Hari ini sms ayah...pun tak belikan juga. Kalau lah hanna punya kenderaan sendiri, pasti dah lama dah tercongok kat kedai mamak tu. hmm...sedih kerana lapar.

Sedih lagi, apabila kerja...macam2 ragam orang kita jumpa. Memandangkan hati dan situasi hanna yang cepat sensitif (ini sifat seorang penulis), erm...okey sambung semula. Ragam2 penghasut, ragam2 penyebar kata dusta ini...amat hanna benci sekali. Ada saja orang yang tak senang dengan kita bila kita peroleh satu2 kejayaan atau keselesaan. Hei, silalah ubah pemikiran anda itu. Hidup dan rezeki sama2 dicari dengan halal, tak boleh ke?

Sedih ketiga,
(eh...ada lagi). Yang ini sedihnya lain sikit. Sedih sebab dalam minda ini sedang berkecamuk ayat-ayat dan bahan-bahan penulisan, tapi masih belum mahu keluar. Itu yang kadang kala buat hanna rasa rengsa dan tidak selesa. (ini kebiasaan, bukan sedih sebenarnya cuma tak selesa je).

Okey, titik di sini. Moga di kesempatan lain...hanna bakal menulis sesuatu tentang gembira. ya!


Monday, September 20, 2010

Karya hJ: Nihil Jelmaan Hati

Alhamdulillah, karya hannaJohan (hJ) atau Hasni Jamali tersiar lagi di Berita Minggu.

Moga karya ini dapat memberi inspirasi kepada pembaca akan makna yang ingin disampaikan. InsyaAllah. Amin.

Thursday, September 16, 2010

Ingatan Untuk Diri: Ikhlas dengan Pengorbanan


Salam manis buatmu hanna,
Lihat wajah si kecil yang murung dan bertekup. Mengapa? Mengapa dia yang menghiasi ruang entri kali ini?

Suatu ketika pernah hanna merasakan betapa diri ini perlu dan wajib mensyukuri atas setiap nikmat yang datang. Memang manusia dilahirkan untuk menerima ujian, menerima cabaran, dugaan dan goda hidup. begitu juga dengan hanna.

Sebagai seorang manusia, sempurna dan terbaik selalunya diharapkan. Lagi pula ditambah dengan usaha sehabis daya. Jika tidak beroleh kemenangan, kita akan rasa 'apalah malang nasib.' Tetapi, itu semua bagi yang mengerti...dan alhamdulillah, hanna mengerti:
Pesan seorang kakak bahawa 'ia bukan malang, tetapi ujian' yang kini merawat kelukaan-kelukaan yang datang menggagalkan impian.

Allah Maha Adil, setiap yang diberi dan dikurniakan kepada hamba-NYA adalah yang berpatutan dengan kudrat hamba itu. Alhamdulillah, hanna semakin mengerti makna kesyukuran yang dipanjatkan dengan penuh keikhlasan.

Pengorbanan, suatu perkara yang perlu dilaksanakan dengan seikhlasnya. Sering menyebut juga tidak baik untuk menghayati erti pengorbanan tersebut. Baru-baru ini hanna menerima ujian bertimpa daripada Allah. Dan mungkin kerana hanna rasakan, pengorbanan ini adalah suatu perasaan hiba, lalu hanna sering mengulang kata kepada sahabat-sahabat dan hati sendiri. Adakalanya kita boleh gelar ia, suatu keluhan berat di dada.

Walau apa pun, itu semua suatu pengajaran. dan perlu kita ingat dan perbaiki. Dengan setiap duga, akhirnya pasti akan dibuah gembira dan selesa.

Kisah ini hanna adaptasikan daripada kisah hanna dan adik. Pada awalnya hanna sering mengeluh kerana diminta oleh adik, mak dan ayah untuk menemani adik di kampung Parit Gantong pada hari raya kedua. Hanna tak dapat menolak kerana ini melibatkan keluarga dan hati keluarga, ini yang hanna sebutkan pengorbanan. Tapi, hanna sering mengulang kata 'pengorbanan' ini yang tanpa sedar mungkin mengundang ketidakikhlasan dalam hati. Tapi, sebenarnya hanna ikhlas. Cuma yang diberontakkan ialah kebiasaan hari raya ketiga, hanna akan beraya bersama-sama kawan sekolah, konvoi ke rumah2 guru dan kawan2. Tapi raya tahun ini benar2 hanna tak dapat ikut.

Namun, di sebalik duga ini...ada kisah indah pula menyusul. Alhamdulillah, hanna dikurniakan pekerjaan. Walaupun pekerjaan hanna sekarang hanya kerja biasa2...tetapi semuanya indah dan memberi pengalaman baru buat hanna. Alhamdulillah. Tercapai juga hasrat untuk miliki tempat duduk seperti dalam pejabat. Ada kerusi pusing-pusing. :) ha, dna yang paling menarik, hanna dapat belajar mereka kad kahwin dan kad bisnes. Kalau ada sesiapa yang mahu tempahan bolehla hubungi hanna di blog ini.

Panjang bicara, moga hanna terus tabah dan berusaha menjalani hidup dengan ikhlas dan setia kerana Allah. Amin.

Tuesday, September 14, 2010

Ingatan Untuk Diri: Penulis Itu Istimewa

Kerana kering idea, jadi hanna belek-belek majalah Tunas Cipta. hanna baca satu bahagian, Buah Pena MPR yang memaparkan tulisan seorang penulis bernama Raihani Mohd. Saaid.

Judulnya "Penulis Itu Istimewa". Sambil membaca, hanna menggariskan beberapa ayat motivasi bagi seorang penulis, untuk hanna tebarkan semangatnya dalam diri. Antara poin yang hanna dapat:

  • Jika berpeluang mengubah dunia, maka kita ubahlah landskap pendidikan.
  • Penulis baharu juga harus ingin meluaskan pembacaan dan tidak hanya mengenali penulis seangkatan mereka sahaja.
  • gulat dan gelut hidup
  • menjadi unik itu biarlah dalam konteks yang dihormati dan disenangi
  • apabila saya menulis, saya banyak membaca dan bergaul dengan orang yang betul untuk menambahbaikkan penulisan saya.
Komen2 tentang penulisan cerpen pula: (Pengarang yang faham akan ceritanya):-
  • sekiranya peristiwa itu dialaminya maka mudahlah untuk dialirkan sebagai sebuah karya kreatif untuk dikongsi kepada khalayak.
  • tugas seorang pengarang sebagai pembimbing khalayak melalui karya.

Moga poin ini dapat mengembalikan mood menulis. :)

Monday, September 13, 2010

Mari bercinta kerana Allah.

Bicara biasa-biasa tentang cinta, hanna dan Johan. (hanya sekadar nama watak, ya)

hanna:
Teman, tanpa cinta apa makna mati?
Teman, tanpa cinta apa makna hidup?

Johan:
(senyap dan mendengar)

hanna:
Manisnya lebih daripada gula,
cinta cinta,
lebih masam daripada asam jawa,
cinta,
Ini adalah janji yang pasti,
cinta cinta,
dan ini adalah simpulan semulajadi,
cinta.

Di bawah ialah cinta,
Di atas pula ialah Tuhan,
Antara kedua-duanya adalah segala-galanya,
tiada sepatah kata yang membawa pelbagai ayat,
dan pelbagai ayat itu hanya mempunyai satu makna,
Cinta Tuhan itu lebih begemerlapan daripada segalanya,
Cinta.

Cinta,
bukan emas dan permata,
Cinta,
hanya satu dambaan,
hanya satu keinginan,
Cinta.

Johan:
Apa itu cinta, siapa yang tahu?
Apa itu cinta, pastinya semua orang tahu,
Ini kota cinta, tanpa diketahui nama jalannya,
sebuah rumah yang dipenuhi rasa cinta,
apa itu cinta, siapa yang tahu?

hidup yang singkat, perjalanannya yang panjang,
Apa itu cinta, siapa yang tahu?

Adakah ia suatu kesakitan,
atau ia adalah suatu kelegaan?

Adakah ini bisikan kekasihku,
atau ia adalah Kau, Tuhanku?

hanna:
Teman, apalah makna mati tanpa cinta?
Teman, apalah makna hidup tanpa cinta?

Johan:
Kamu hanya akan mendengar sebuah nama iaitu cinta,
Aku telah jatuh cinta,
di sebuah taman bunga,
cinta dan cinta,
dalam dakapanku juga dipenuhi duri-duri,
cinta.

hanna dan Johan:
cinta, cinta dan cinta.


:: Kita bercinta kerana Allah, Kita berkasih kerana Allah. Moga segalanya bersemi indah.

Sunday, September 12, 2010

Hijrah di Aidilfitri 2

hari kedua di rumah baru. Pagi-pagi lagi dah bangun, sebab ada bunyi bising di luar. Oh, bila ditinjau...ada monyet-monyet sedang berdendang ria di kawasan buangan sampah yang tak jauh dari rumah kami. Oh, seronoknya mereka.

ok, dah bangkit..terus mandi dan berkemas apa2 yang patut. DI sini segalanya kena buat manual. tiada mesin basuh. Jadi kenalah menyental sendiri baju2. Kerana rumah baru dan baru bekerja, jadi segala pekakas rumah masih belum lengkap. Tiada dapur gas, tiada peti ais, tiada tv... Jadi tak dapat memasak, tiada makanan sejuk, dan tiada hiburan dari peti televisyen. (senyum)

selesai berkemas, kami baring-baring sajalah di ruang tamu. Ruang tamu yang pastinya kosong. tiada perabot. hanya lantai papan yang sudah kami dan ayah alaskan dengan tikar getah warna merah semalamnya. dalam kami berbual-bual, tiba2 kak Zana (jiran sebelah juga merangkap jururawat seperti adik) datang membawa mee hoon goreng. Rezeki, siap ada telur mata lagi. hehe...kami pun jamu lah selera berdua. ALhamdulillah.

Sebagai seorang jururawat masyarakat (bidan), tugas utama adik ialah menyambut kelahiran bayi, memeriksa tahap kesihatan ibu dan bayi dan merawat masalah kesihatan atau kecederaan2 kecil. Hari ini, dua orang suami pesakit datang memberitahu isterinya sudah selamat melahirkan. Alhamdulillah, dua kelahiran di Syawal ke-3.

Tersenyum apabila menerima berita kelahiran ini. Bayi comel. :)


Hijrah di Aidilfitri

Salam lebaran hasni, salam lebaran hanna dan salam lebaran buat pembaca-pembaca blog yang budiman sekalian,

Hari ini hanna mencoretkan kisah ini pada hari raya ke-tiga atau pada 3 Syawal. Coretan ini juga hanna kisahkan bukan di tanah halaman. Kerana pada hari raya kedua, hanna sudah diajak oleh adik hanna yang bertugas sebagai jururawat pindah bersama-samanya.

Pengorbanan ini hanna turutkan setelah ibu dan ayah juga menyatakan hasrat yang sama supaya hanna menemani adik. Adik hanna seorang jururawat masyarakat atau bidan, yang baru sebulan ditempatkan di Parit Gantong, Batu Pahat. Jadinya, di rumah (kuartes jururawat) yang besar ini dia tinggal seorang. Dan sebagai kakak, hanna melepaskan setiap peluang untuk beraya (boleh ke jadi alasan ni?) dengan kawan2. Pastinya hari raya ketiga kami akan berkonvoi raya bersama-sama ke rumah kawan2 dan rumah2 guru. Tapi tahun ini, tak dapatlah nak tunaikan hasrat itu. Tak mengapalah hati, ada hikmah semua itu.

Hari pertama di rumah baru (rumah baru ke? hehe), alhamdulillah. Ayah yang menghantar kami sempat membantu memasang langsir yang dikirim oleh ibu. Terhibur dengan gelagat masing-masing terutamanya hanna lah, dalam keadaan yang kurang sihat (selesema dan pening), hanna TERpasang langsir sebelah panjang dan sebelah pendek. Apa lagi, selesai saja langsir digantung, ayah dan adik ketawa sakan. Hati yang muram kena pindah jadi sedikit terhibur petang itu.

Malamnya, hanna dapat biasakan tidur di rumah ini. Alhamdulillah, biasanya mana-mana tempat yang kita tidur buat kali pertama, pasti susah nak tutup mata. Tapi di rumah ini kami tidur lena. SYukur, tiada apa2 yang mengganggu. Moga seperti itu hingga selamanya.


Thursday, September 9, 2010

Eid Mubarak

ketika ini pastinya insan-insan yang beragama Islam, yang telah menyambut Ramadhan dengan ibadah puasa secukupnya sedang menyiapkan persediaan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri pada hari Jumaat 10 September 2010.

Tahniah kepada umat Islam yang telah berjaya melaksanakan ibadah ini sebaiknya. Moga Syawal disambut dengan lebih riang dan nikmatnya.

Bagi hanna, raya kali ini memberi banyak pengajaran dan impak kesedihan. Sepertinya hanna tidak layak menyatakan raya kali ini begitu. Sudah disuratkan oleh Allah, hanna dan keluarga dilanda musibah atas pemergian seorang saudara terdekat. Al-Fatihah untuk Kak Uda yang tersayang.

Walau pun hakikatnya Kak Uda hanya sepupu hanna, tapi kami turut merasakan tempias pemergiaanya. Sekarang ini anak Kak Uda yang sama-sama ditimpa kemalangan semakin ceria. Tangan dan kakinya yang patah sudah boleh digerak-gerakkan. Moga amanat Afiq kepada keluarga kami dapat kami laksanakan semampunya. Moga kedatangan Afiq dalam keluarga kami, memberi cahaya baru buat kami.

Ya, hari raya kali ini memang benar-benar menduga. Tapi, hanna bersyukur walau apa yang berlaku pasti hikmahnya akan memberi sinar untuk masa hadapan hanna dan keluarga. Selagi mampu hanna akan berusaha mendepani setiap cabaran hidup yang dikurniakan. Moga Iman dan Taqwa terus mengiringi di sepanjang perjalanan. Amin.

Tentang hubungan-hubungan yang dulunya tercipta dan kini terlerai, hanna akan jadikan pengajaran dan panduan hidup untuk terus berhati-hati dan tidak mudah jatuh hati. Sekali kita memberi dengan rasa sayang yang ikhlas, sekali kita menyerahkan segala rasa dengan cukup jujur dan setia, sekali itu juga mereka melemparkan bah-bah yang langsung tidak memikirkan kejujuran, kesetian dan keikhlasan buat hanna. Pergilah bersama-sama insan yang mahu mereka miliki kasih sayang yang mereka rasa jujur dan setia dengan cara mereka. Mungkin hanna tidak layak bagi mereka. Pergilah dengan hati terbuka.

Sempena lebaran ini juga, hanna usaha, harap dan impikan dalam setiap hubungan baru yang terjalin moga ada keserasian dan kefahaman antara satu sama lain. Moga terus berkekalan.

Allah,
ampunkan segala dosa hanna di sepanjang kehidupan ini. Adakalanya hanna tidak dapat memberi yang terbaik buat diri, keluarga dan kepada-Mu, Allah.
hanna akan cuba dan sentiasa berusaha memperbaiki diri. Mohon lindungilah hanna dalam iman dan taqwa dari-Mu, Allah. Amin.

Sempena lebaran ini juga, dengan kehadiran si dia...moga bertambah seri hidup hanna. Sayang, sesungguhnya kita jalinkan hubungan ini kerana Allah. Moga hubungan kita akan diredhai selamanya. Amin.

hingga itu, salam lebaran dan Eid Mubarak daripada hanna. Maaf zahir dan batin.



dalam dakapan erat ini
moga tiada duri yang melukakan
moga tiada goda yang mencalarkan iman
moga kekal hingga ke akhir hayatnya.

dakapan cinta
pupuklah dengan amanat kasih kepada-Nya
itu landasan setia
agar hubungan terjalin mesra
Sungguh,
hati yang mencintai
bakal berbunga sepanjang hari.

Sungguh,
dinginnya malam ini.
seperti ada pawana yang berbisik
menyatakan rindu hati si pengarang jantung ini.

hannaJohan

Wednesday, September 8, 2010

Wajah-wajah dan Kembara






wajah-wajah menampilkan riak dan gaya
ada riang dan masam

adakalanya wajah bersahaja
menampilkan makna beribu

wajah-wajah
indah
menampilkan juta ceritera
terungkap
di balik raut

yang selalunya memberi rindu
kepada
si pemilik wajah.


hannaJohan
08September2010

Kembara dan Kawan-Kawan







Ria dan tawa
suatu masa kita berpisah
menangis
mengalas kisah bersama

Kawan-kawan
dalam kembara barakah
tika hangat hubungan terjalin
teruskanlah mekar ia

biar bertaburan kata dusta
biar bertebaran kata nista
kawan,
kita sama-sama kekalkan ukhuwah
kerana Allah
ikatan ini padu
mendakap rasa.

hannaJohan
0809210

Tuesday, September 7, 2010

Ia yang Membunuh

Langkah siapakah itu?
Bayang siapakah itu?
Yang telah mengetuk hati ini,
siapakah gerangan yang datang?

Siapakah yang mewarnakan zamrud dalam bahagiaku?

Sungguh,
ia membunuhku.

Tiada bulan yang kudambakan selamanya,
tiada bintang yang sentiasa kucari-carikan,
keluhan...
kerana aku tidak punya siapa-siapa,
setiap penderitaan kusembunyikan,
setiap celaan kudiamkan dalam tawa,
kudakap duri,
dan kuntum bunganya yang melukakan aku.

Namun,
di mana jua aku berdoa,
Oh Tuhan,
Aku sentiasa mencari-cari.

Sungguh,
Ia membunuhku.

hannaJohan.

Monday, September 6, 2010

Cinta dan Sayang kerana Allah

mengharapkan kasih, cinta dan sayang yang sejati bukan mudah. Ianya perlu diusahakan dengan jitu dan bersungguh-sungguh.

Apabila hanna mula menyebut tentang kasih, cinta dan sayang pastinya hati ini berbunga-bunga untuk bertemu insan-insan yang dapat memberinya dengan ikhlas dan sejati. Ya, harapan itu penting untuk kita usaha mendapatkannya. Umpama cita-cita yang selalu kita harapkan untuk masa hadapan. Usaha yang kuat perlu untuk menggapainya.

Cinta untuk hanna, selalu hanna harapkan (usahakan) untuk mendapat cinta yang normal. Makna normal di sini ialah cinta yang tak perlu dikongkong kerana sayang. Adakalanya kerana terlalu sayang, pasangan akan menjadi seorang yang terlalu mendesak hingga semuanya dikawal rapi. Perbuatan ini merimaskan. Sungguh.

Cinta untuk hanna, janganlah kerana nafsu semata-mata. hanna letakkan ayat ini berdasarkan pengalaman. Ish, nauzubillah. Janganlah pandang wanita ini hanya dengan pandangan nafsu semata-mata. Jadi lelaki, mestilah lelaki yang melindungi. Melindungi kaum hawa, bukan menghantui kami.

Sesungguhnya, hanna selalu harapkan cinta, kasih dan sayang yang datang Lillahitaala...segala-galanya kerana Allah. Dengan harapan itu, kita boleh menjaga adab semasa mencintai dan menyayangi agar tidak melukakan dan dilukakan. Dan selalu mengharapkan keberkatan atas setiap perhubungan yang dijalin erat.

cinta, kasih dan sayang ini bukan hanya sekadar pasangan kekasih tetapi semua jenis hubungan pun. Antara famili, teman-teman, saudara-mara dan masyarakat lainnya. Moga setiap hubungan ini diberkati oleh Allah selalu. Amin.

Jika berakhir hubungan dengan perpisahan, maka mengertilah hati bahawa dia bukan untuk kita. Dan rencana ini, hanya Allah yang mengerti yang suatu hari nanti bakal kita perolehi hikmahnya.

hannaJohan.

Sebuah Pemergian

Yang hidup pasti akan kembali.

25 Ogos 2010, ketika hanna di Kuala Perlis mengikuti program Jelajah, hanna dapat khabar bahawa sepupu rapat hanna telah pergi buat selamanya. Arwah Kak Uda bersama anaknya Afiq berusia 5 bulan dalam perjalanan pulang ke rumah ibunya di Kampung kami. Dan hampir tiba lagi beberapa km, Allah memanggilnya pergi dalam kemalangan jalan raya. Pemergian Kak Uda meninggalkan Afiq dan abangnya, Iman serta suami Kak Uda. Dan keluarga hanna serta saudara mara terdekat cukup merasa kehilangannya. Allah lebih menyayangi arwah.

Sepanjang jelajah hanna menangis dan gusar. Pertamanya, hanna tak dapat pulang ke Johor. Keduanya, hanna seolah2 tak dapat menerima pemergian ini. Seperti terasa ada sesuatu yang hilang dalam diri. Murung menemani sepanjang jelajah yang masih berbaki beberapa hari.

Untuk pulang ke kampung selepas habis jelajah hanna masih dalam dilema. Entahla, tentang pemergian itu dan perubahan besar yang berlaku dalam keluarga. Sekarang ini, rumah terasa kosong. Ibu hanna sekarang tinggal di kampung menjaga si kecil yang patah kaki, tangan dan rusuknya. Bila hanna pulang, terasa sepi di sana sini. Setiap hari memandang tembok-tembok sunyi. Hati yang gusar bertambah berat.

Masalah lain-lain, hanna tak mampu nak tanggung. kadang kala rasa putus asa untuk hidup. Tapi, takdir ini sudah ditentukan. Dan pastinya Allah telah merencanakan sesuatu yang hebat untuk masa depan. Moga hanna terus tabah hadapi Hari Raya yang bakal menjelma. Dan, moga terus kuat hadapi setiap cabaran di dunia ini tanpa leka dengan cabaran yang menduga iman ini. InsyaAllah. Amin.

Sunday, September 5, 2010

Jelajah 1Malaysia bersama hanna 4




kepingan gambar yang menceritakan seribu kisah...manis duka berbaur sama.

About Us

Bila terbitnya bicara, hati mula pasrah, untuk luahan terindah, segalanya diserah…Moga jiwa turut merasa, tentang hati yang mula bercerita.

Teguh pada kata hati, cekal pada kata akal…akan setia pada janji, untuk diri, dia dan semua. Moga ada sinar, pada setiap karya yang terlahir dari jiwa dan rasa. Hanya kerana DIA.

Titip kasih daripada teman blogger

Titip kasih daripada teman blogger
Tanda hati daripada Cik Amy Sense, tQ!!!

Gapaian CIta

Gapaian CIta

Impian Kan Terlaksana

Impian Kan Terlaksana
Barisan melakar cita

Pages