berkarya itu indah

berkarya itu indah
Showing posts with label Siri Bacaan Hanna. Show all posts
Showing posts with label Siri Bacaan Hanna. Show all posts

Sunday, May 10, 2015

Ulasan Buku-Komik Cinta Untukmu karya Niku-Niku


 
JUDUL                  :   CINTA UNTUKMU
KARYA                 :    NIKU-NIKU
PENERBIT           :    GEMPAK STARZ

Saya selalu mengikuti karya Niku-Niku dalam ruangan komik, majalah Gempak.

Apabila membaca komik, saya gemar memilih komik yang dilukis dengan kemas. Dari segi susunan cerita dan lakaran/lukisan komik berkenaan. Saya bukanlah pakar dalam hal komik ini. Pendapat dan buah fikiran ini berdasarkan sudut pandangan saya sebagai seorang pembaca dan penggemar kartun.

Dan akhirnya, karya Cinta Untukmu ini dibeli. Tergoda dengan kulit komik yang amat menawan. Jika tidak silap, wajah penghias kulit Cinta Untukmu ini adalah wajah Shirley dalam cerita Raja dan Biri-biri. Comel sangat! :)

Kumpulan komik Cinta Untukmu ini mengandungi 10 komik pendek yang lain. Judul-judulnya ialah:

                Raja dan Biri-biri.
                Gara-gara Cermin Mata.
                Perisa Cinta.
                Krisis Maruko.
                Bila Kau Berahsia.
                Kamera dan Pengakuan.
                Espresso dan Bunny.
                Soda dan Bento.
                Surat.
                Hot dan Cold.

Memang tiada kisah berjudul Cinta Untukmu dalam kumpulan komik ini. Secara keseluruhan, kisah cinta yang diapaparkan ini sebenarnya membawa kesatuan cinta yang ingin Niku-Niku zahirkan untuk pembaca-pembacanya. Itulah cinta untukmu yang sebenar… Iya, kan? Pasti iya…!

Saya suka dengan pembawakan watak-watak dalam komik ini. Ada sesetengahnya memang lari daripada perwatakan biasa. Terutama kisah Kamera dan Pengakuan. Niku-Niku bijak mengatur kejutan dalam pengkaryaannya agar pembaca tidak bosan dengan kisah cinta klise. Jika mahu tahu, silalah beli dan baca buku ini ya! Hehe…

Kisah cinta yang paling menangkap dalam hati saya ialah ceritera Perisa Cinta. Memang cinta itu manis jika kena kepada pasangan sebenar yang telah ditakdirkan untuk kita, kan! Hehe…

Harapan saya yang gemar membaca komik ini, semoga Niku-Niku terus maju dan melahirkan karya-karya terbaik pada masa hadapan.

 








Thursday, April 16, 2015

Ulasan Karya: Te@mare

JUDUL           :     TE@MARE Volume 1 dan Volume 2
KARYA         :      BEN
PENERBIT    :     GEMPAK STARZ
 

Membaca buku cerita bergambar merupakan suatu keadaan paling indah buat saya. Lebih lagi apabila membaca karya Ben, seorang pekomik tersohor di Malaysia. Karya-karya Ben hingga kini sentiasa mendapat perhatian industri komik sama ada dalam negara mahu pun di luar negara. Kesimpulannya, Ben bukan sahaja pekomik hebat di tanah air malah pekomik agung di peringkat antarabangsa.

                Beberapa bulan yang lalu, saya habis membaca karya terbaharu Ben Te@mare volume 1 dan volume 2. Sebenarnya sudah lama membeli komik ini, tetapi sengaja melambat-lambatkan waktu pembacaan. Dalam keadaan sibuk menguruskan beberapa hal sama ada bidang tugas dan peribadi, saya cuba mencari ruang terbaik untuk menghayati kedua-dua novel grafik ini sekali gus. Akhirnya, saya berjaya menyelami tiap perasaan watak dalam Te@mare ini.

                Te@mare volume 1 memaparkan episod permulaan cerita. Kebiasaannya Ben sentiasa menampilkan karya berbentuk cinta banyak beberapa segi sebagai konflik penceritaan. Namun, konflik ini tidak kosong dengan cerita cinta sahaja. Ia turut diisi dengan nilai kekuatan dalam persahabatan dan keharmonian kekeluargaan. Membuka helai demi helai komik ini, memang melekakan. Mana tidaknya, setiap muka surat pembaca disajikan dengan pelbagai latar indah lukisan Ben. Memang tidak pernah menghampakan!

                Colin merupakan antara watak utama dalam Te@mare yang menyimpan rasa cinta kepada Hana sejak awal pertemuan mereka di perpustakaan. Muncul Ryder sebagai penghalang kisah cinta Colin terhadap Hana. Satu per satu watak dalam Te@mare muncul memeriahkan kekalutan yang melanda seperti watak Mia dan Keiko. Paling saya suka ialah watak Keiko. Seorang gadis yang lincah dan penuh aksi. Bukan calang-calang gadis, tau! Siapa buat onar pada Keiko atau kawan baiknya si Colin itu, tunggulah, waktu untuk dibelasah. Memang hebat!

                 Te@mare volume 2 pula membawa pembaca kepada kisah selanjutnya dalam misi meraih cinta Hana. Namun, pada awal babak pembaca didedahkan dengan kisah penculikan Mia. Colin tetap berusaha menyelamatkan Mia walau pun dia tahu dia tidak berupaya melawan geng penculik itu. Semoga berjaya Colin!

                Pembaca dibawa pula menyelusuri watak Keiko dengan lebih mendalam. Setegas Keiko masih ada sifat belas kasihan paling baik dalam dirinya. Watak baiknya dikembangkan melalui babak ketika dia pulang membawa ubat untuk neneknya. Kepelbagaian perwatakan dalam kisah Te@mare ini menjadikan komik ini benar-benar membuka selera pembaca agar lebih hanyut dengan keenakan hidangan penceritaannya.

Bagaimana kisah lanjut Mia? Adakah dia dapat diselamatkan oleh Colin daripada penculik durjana itu?

               Perjalanan kisah cinta Colin dalam Volume 2 ini masih belum berhenti. Sekali lagi dia diuji dengan kehadiran Hana di hadapan mata. Kali ini Hana benar-benar ingin mendekatinya. Begitu juga Colin. Masing-masing punya harapan tersendiri. Harapan yang kadang-kala kita sendiri tidak mengerti.

Tiba saat paling seksa apabila Te@mare volume 2 habis dibaca! Memang seksa! Sebab menanti sambungan kisah ini dalam Te@mare volume selanjutnya. Sabarlah hati…




Tuesday, September 11, 2012

Beri Makna: SEMANIS GADIS BERBAJU KURUNG

Assalamualaikum, moga sihat bugar semuanya ya! :) 

Masih beraya lagikah anda? Pasti seronok hari raya tahun ini kan...

Tak mahu buang masa, entri ini ditulis untuk memberi makna kepada sebuah tulisan seorang penulis bernama Mohd Helmi Ahmad. Cerpen SEMANIS GADIS BERBAJU KURUNG hasil karangannya tersiar dalam majalah Mingguan Wanita edisi Hari Raya dan Merdeka. Gambar hadapan ialah gambar Penyanyi Malaysia No. 1 iaitu Datuk Siti Nurhaliza.

Membaca cerpen ini memperlihatkan saya sedikit kelainan dari segi olahan gaya bahasa yang LEBIH LEMBUT, adakalanya terasa olahan gaya bahasa ini terlalu hiperbola apabila membandingkan sesuatu perkara dengan perkara lain. Tapi, perbandingannya masih logik dan amat indah untuk dicerna. Pembacaan jadi selesa dan laju sahaja memasuki ruang minda.

Jalan ceritanya nampak santai dengan tema mempertahankan baju kurung dalam kalangan masyarakat Melayu. Dan sesekali diselit adegan watak utamanya mempertahankan pemakaian baju kurung yang melambangkan kesopanan dan kelembutan wanita Melayu. Watak Aku melatari cerpen ini menampakkan kekuatan perjalanan cerita kerana ia lebih seperti membaca diri sendiri.

Dalam pembacaan saya, kadang2 tergelak kecil sebab saya suka dengan beberapa dialognya. Membaca dialognya ini seperti mengingatkan saya kepada dialog-dialog klise dalam drama Melayu. Misalnya: (Dialog ini antara Amira dan aku. Ketika ini Amira memberi amaran kepada Aku agar tidak mengganggu teman lelakinya, sedangkan Aku tidak langsung berminat untuk mengganggu Akmal Hakimi.)

"Eh, budak kampung ini pun ada sekali. Baguslah kalau macam itu. Aku hendak bagitau kau awal-awal yang Akmal Hakimi ini kekasih aku. Jadi kau jangan gatal-gatal hendak mengurat dia pula. Kalau aku dapat tahu kau cuba bermain mata dengannya, siap kau aku kerjakan." 

Cerpen ini juga menggambarkan betapa kukuh dan kuatnya hati Aku apabila dia dilamar kembali oleh Akmal Hakimi. Baguslah begitu. Bagi saya penulis lelaki ini adil dalam menyampaikan jalan cerita yang mahu diketengahkan. Seorang gadis yang bukan sahaja kuat mempertahankan baju tradisional orang Melayu tetapi tetap gagah mempertahankan maruah diri daripada menerima godaan Akmal Hakimi yang dia sendiri tahu sedang berkasih dengan Amira.

Di akhir cerita beberapa kejutan kecil diselitkan penulis. Saya turut berasa kagum apabila mendapat tahu (ketika membaca) bahawa Amira kini sudah berubah menjadi gadis yang baik, setelah dia menjadi mangsa rogol. Oh sebab itulah Akmal tidak mahukan dia pada awalnya. Tetapi Akmal reda atas segala yang ditakdirkan Tuhan kepadanya. Dia tidak seharusnya membiarkan Amira keseorangan di kala dia ditimpa malang. Mereka akhirnya bernikah dan melayari bahtera rumahtangga dengan aman. Amira juga sudah mula mencuba-cuba untuk memakai baju kurung. 

"Berbaju Melayu busana indah, moga kekal di hati dan minda akan keindahan diri dalam dan luar semua wanita. Wanita Melayu khususnya." (Hasni Jamali, 11092012)

Terima kasih Mohd Helmi Ahmad, semoga terus menulis yang terbaik lagi ya!  

 


Sunday, July 8, 2012

KOMIK ubat penenang hati




Baru-baru ini (dalam bulan JUN)… sebenarnya entri ini untuk kaver kembali entri lepas yang tak sempat nak tulis. Semua dah ada dalam otak. Gambar pun dah siap edit juga. Hihi…
Ceritanya… apabila tempat kerja saya ini berdekatan dengan sebuah kedai buku, dan tuan kedai pun sangat baik hati, lalu buku-buku, majalah dan sekitar makalah yang ada dapat saya baca dengan cara yang paling berhemah. (senyum) cara apa? Adalah…hehe
Dan saya memilih bahan bacaan ringan ini. Judulnya “Dongeng Geman” @ “Dongeng Leman” (maaf saya tak pasti huruf bagi perkataan kedua itu). Anda boleh lihat pada gambar ya. Betulkan saya, jika saya silap. Terima kasih.
Buku ini tergolong dalam jenis buku komik atau buku kartun yang selalu saya panggil masa kecil-kecil dulu. Dalamnya terdapat komik-komik yang mengumpulkan cerita berkaitan PEMBALASAN, atau NATIJAH apabila berbuat jahat. Sangat DAHSYAT apabila anda membaca, meneliti dan menyaksikan sendiri lukisan, plot dan mainan warna pada setiap kisah.
Sejak di sekolah rendah lagi saya memang suka membaca komik. Pernah juga berangan-angan mahu memiliki/ menulis cerita komik ni. Hanya kerana saya tidak pandai melukis, jadi tiadalah komik. Huhu! Sedih…
Tahniah kepada PENULIS dan PELUKIS komik ini. Anda berjaya membuat saya dan pembaca lain berasa kagum dengan bakat yang dimiliki anda. Dan segalanya adalah daripada DIA juga yang memberi bakat istimewa ini, bukan? Alhamdulillah. Moga CORE dan PUYUH akan menghasilkan lagi komik2 yang mampu mendatangkan kebaikan kepada pembaca lalu pembaca menghasilkan kebaikan kepada Dunia.
Dan antara suatu petikan komik yang saya paparkan adalah seperti dalam gambar di atas. Itulah pesan nenek kepada cucunya. Seingat saya, ketika saya sedang membaca komik ini, hati saya sedang dicalar oleh ex-buah hati. Terasa-rasa pesan nenek tu sangat berbaloi kepada cucunya, dalam seram-seram penceritaan pun tips ini masih diselitkan dengan baik oleh Penulisnya. Idea itu macam-macam, kan?
*Bacaan bulan lalu pun tamat. Tunggu ya, nanti saya kongsikan lagi bacaan sebuah buku motivasi yang amat memberi kesan besar dalam hidup saya. Baru sahaja habis baca seminggu yang lalu. Dan ia benar-benar berkesan… Alhamdulillah.

Saturday, May 12, 2012

Resensi Hanna: TUNJUKKAN AKU JALAN KE SYURGA

12.Mei.2012. di ZMCS, Labis.

Dalam kondisi kepala yang masih pening. Syukur, hari ini saya diberi kesempatan untuk menulis resensi buku yang baharu saya baca. Judulnya:             Tunjukkan Aku Jalan ke Syurga.


Buku ini menghimpunkan lebih daripada 10 cerita benar yang membawa si pencerita ke jalan yang cerah. Buku ini saya peroleh daripada seorang rakan baharu yang baik. Dia memberi pinjam dan mencadangkan untuk saya bacakannya sepenuh jiwa. Ya, saya sudah baca sepenuh jiwa. Dengan izin DIA.

Buku ini memberi keinsafan kepada diri. Ketika kekusutan usahlah sesekali menghampiri mati yang dicari sendiri. Ketika kebuluran dengan rasa tenang dan tenteram, sentiasalah bawa hati mengenal Allah dan berzikir kepada NYA. Keinsafan yang diditipkan pembacaan meloloskan hati agar sentiasa mahu bersama-sama Allah yang Maha Esa. Walau dalam senang mahu pun diundang dugaan.

Allah, tuhan yang Maha Agung. Tiada lain yang berhak disembah melainkan Allah.

Antara beberapa cerita yang ingin saya kongsikan di sini berkenaan ‘tarikan/ undangan Allah kepada hamba-NYA untuk kembali ke jalan yang diredhai’ dan ‘begitu kasih Allah memberi peluang kepada mereka untuk bertaubat selagi hayat dikandung badan.’

Saya membaca kisah Nora (penyanyi Malaysia), Aida Khalida (pelakon Malaysia), Noraniza Idris (penyanyi Malaysia). Bagaimana kisah mereka kembali ke jalan yang dirahmat Allah, seolah-olah sama namun ada sedikit berbeza dari soal hidup dan jalannya. Pandangan yang sama pada mata saya ialah ketiga-tiga mereka menyebut di dalam cerita masing-masing bahawa:

1.       Syukur kerana Allah memberi peluang untuk bertaubat dalam masa mereka masih muda. Mereka bertuah kerana lekas sedar daripada tersasar dan memiliki hati keras sehingga tua.
2.       Menjadikan tudung sebagai langkah pertama untuk mendekatkan diri kepada Allah. Benarlah, untuk menjadi baik, sempurnakanlah dahulu aurat yang terbuka agar ditutup mengikut syariat agama.
3.       Di dalam kisah mereka, masing-masing memperkatakan ketenangan dan kesungguhan hidup dalam dunia ini tidak akan digapai kalau niatnya bukan kerana Allah. Benar sekali, setelah masing-masing keluar daripada jiwa yang melarat (jiwa yang mencari dunia semata-mata) mereka bertemu dengan keharmonian dan ketenangan yang maksimum. Segalanya setelah mereka insaf dan mereka yakin bahawa Allah adalah segala-galanya dalam hidup mereka.
Alhamdulillah, saya juga mengucap syukur yang tidak terhingga kepada Allah. Pertamanya kerana menemukan saya dengan seorang rakan baharu ini yang sudi meminjamkan saya buku-buku yang baik isinya. Keduanya, saya bertuah kerana ini juga merupakan salah satu pencerahan jiwa buat saya untuk mendekatkan diri kepada Allah. AllahuAkbar.
Seterusnya, dipaparkan juga sebab dan jalan Sham Kamikazee (penyanyi Malaysia) berubah untuk memilih jalan Allah.
AZAN, SOLAT DAN SAHABAT
Ketika Sham melawat sahabatnya, mereka berbual-bual hingga berkumandangnya azan Zohor. Sahabat Sham meminta diri sebentar untuk menunaikan solat. Sementara Sham duduk bersahaja menanti sahabatnya kembali. Usai sahabatnya solat, mereka menyambung perbualan. Sahabatnya Sham banyak menceritakan perubahannya sekarang ini. Sham masih tidak berasa apa-apa malah melihat perubahan sahabatnya itu suatu perkara yang biasa. Hingga berkumandang azan waktu Asar, sahabatnya meminta izin berhenti berbual dan dia pergi melunaskan tanggungjawab sebagai hamba kepada Allah. Sham tidak mengikutnya tetapi duduk bersahaja sedangkan surau/masjid hanya berhadapan dengan rumah sahabatnya itu…hingga suatu perkara (anda perlu bacanya sendiri), membuatkan Sham sedar. Alhamdulillah, hingga kini Sham banyak melakukan amal dan dakwah. Doanya agar Allah tidak menarik balik nikmat kesedaran yang diberi ini. Amin.
AZAB
Buku ini juga memaparkan tentang azab kematian. Tujuannya untuk mendatangkan iktibar kepada pembaca agar lekas sedar dan takut akan balasan Allah atas tiap2 dosa yang dilakukan. Azab seorang pengedar dadah ke tali gantung. Kisah ini memberi sedar kepada warder penjara. Kerana melihat seksaan yang ditanggung si pesalah akhirnya memberi rasa insaf kepada dirinya juga.
TANDA DIPANGGIL
Judul ‘Mari Ikut Mak Ke Alam Barzakh’ memberi seribu kali kata yang sukar terungkap. Saya juga pernah mendengar cerita ini, daripada saudara-mara khususnya. Kata mereka, jika seseorang itu sudah hampir ‘pergi’ mesti dalam nazaknya mereka akan termimpi arwah-arwah yang mendekatinya dan mengajak mereka meninggalkan dunia. Beginilah yang terjadi kepada ahli keluarga si pencerita. Betapa baiknya mereka yang dikurniakan nikmat itu telah tahu bila waktunya mereka akan ‘pergi’ buat selama-lamanya.
INSAF
Sudahkah tersisip insaf di dalam hati? InsyaAllah. Semoga dalam hidup ini, saya dan para pembaca semua dapat menikmati kehidupan dengan rasa syukur kepada Ilahi. Cukuplah kita membaca dan berasa sakit hanya ketika menelaah buku ini. Dan ketika di luar bacaan, kita akan dapat menjadi manusia, masyarakat dan hamba yang benar-benar baik dan bertaqwa. InsyaAllah.

Dapatkan buku ini pada harga RM 12.90 sahaja. Penuh manfaat dan kisah-kisah menawan kalbu. InsyaAllah.

Saturday, April 21, 2012

ULASAN CERPEN: CIKGU


JUDUL CERPEN: CIKGU
PENULIS: MOHD HELMI AHMAD
PENGULAS: HASNI JAMALI


Bukan kisah guru biasa. Berlaku kepada Aziz yang sentiasa tidak senang dengan kedudukan bapanya. Aziz seorang guru dan bapanya juga seorang guru. Apa pula yang menyebabkan ketidakselesaan Aziz kepada bapanya?

Membaca kisah yang ditulis oleh Mohd Helmi Ahmad ini menyedarkan saya tentang beberapa perkara. Ini kerana secara tidak langsung, saya mengaku saya juga seorang guru. Guru tidak formal kepada anak buah dengan mengajar mereka bacaan ayat suci dalam kita IQRA’.

Ya, satu tanggungjawab yang amat besar!

Ulasan saya kepada cerpen ini dahulu:

Berbalik kepada persoalan ketidakselesaan Aziz kepada bapanya ialah:
-      
        Aziz terlalu taksub dengan kerjayanya sebagai guru terlatih lepasan Universiti. Begitu gah dia mencanang gaya dan cara pengajarannya yang mendapat pengiktirafan kerajaan dan negara:


-      Namun, dalam ketaksubannya itu Aziz dapat melihat beberapa tuah yang mengelilingi bapanya. Dia sendiri tidak pernah menikmati tuah itu meskipun jawatannya sebagai guru diiktiraf Negara. Aziz cemburu kepada bapanya. Sering sahaja bapanya mendapat anak buah/ anak murid yang sentiasa tahu disiplin diri dan bijak belajar:


-         Aziz akhirnya insaf. Walau bapanya hanyalah seorang guru Mukadam yang tiada diiktiraf sijil dan kelayakan sepertinya, namun bapanya sering disebut sebagai contoh guru yang baik. Bapa Aziz benar-benar melahirkan anak-anak murid yang Berjaya dan menghormati guru. Ajarannya mudah, berbekalkan rasa ikhlas dan semangat yang tidak meminta-minta budi dibalas.

*CIKGU: Kaitannya dengan saya.
         Kini saya memikul tugas menjadi guru mengajar Iqra’ kepada anak buah yang sudah kehilangan ibu. Kasih sayang yang dicurahkan kepadanya tidak sama seperti kasih dan sayang seorang ibu kandung kepada anak kandung. Namun saya berusaha dan cuba. Melunaskan tanggungjawab yang diberikan sebaik mungkin.
Terkadang jika dia tidak dapat membaca dan mengingat seperti yang diajar, hampir sahaja darah saya naik hingga ke kepala. Rupanya baru saya sedar bahawa saya juga seorang pemarah dan kurang daya tahan sabar. Lekas benar mahu marah.




         Pengajaran yang saya peroleh daripada cerpen CIKGU tulisan Mohd Helmi Ahmad ini:-

1.                     Mendidik saya bahawa ini amanah besar buat saya kepada anak buah tersayang. Di awal usia 5 tahunnya kini, dia sudah kehilangan ibu tempat bermanja, dan ayah kandung pula jauh di perantauan. Pada siapa lagi kalau bukan saya yang menjadi sebahagian tempat dia menumpang kasih dan ilmu. Indah benar amanah ini andai saya laksanakan sepenuh jiwa dan raga. 
                     Menghalakan saya agar berbuat baik kepada anak yatim ini, mengajar ayat-ayat al-Quran menuju ke jalan yang benar dan ikhlas kerana Allah.
D           Dewasa kelak semoga anak buah saya ini menjadi anak yang soleh, sentiasa berbuat baik kepada manusia dan alam serta seorang hamba yang taat kepada perintah Allah. Amin.


*RASA INSAF AZIZ MENUSUK SAMA KE DALAM JIWA SAYA. Saya seorang guru tidak bertauliah yang berusaha meraih keikhlasan dalam mendidik anak buah saya mengaji kitab iqra’. sesungguhnya berkatilah keikhlasan hamba, Wahai Allah. amin.

Thursday, April 12, 2012

NGERI CAMPUR SAYU


ULASAN CERPEN: PEREMPUAN DI PERSIMPANGAN
PENULIS CERPEN: MOHD. HELMI AHMAD
PENGULAS: HASNI JAMALI 

Membaca PEREMPUAN DI PERSIMPANGAN mengingatkan saya kepada filem "I KNOW WHAT YOU DID LAST RAYA."

Hampir setengah cerita berlangsung, saya masih fikirkan objek Kambing yang dilanggar dalam filem ini. Sama seperti objek Manusia / Tubuh Perempuan yang dilanggar dalam cerpen ini. Kedua-dua cerita (filem & cerpen) seiring rentak seram dan ngeri. Pada awalnya, penulis cerpen meletakkan watak kawan-kawan yang ingin ke kenduri kawan mereka. Menaiki sebuah kereta beramai-ramai dan bernyanyi-nyanyi di waktu malam. Jalan sekeliling dipenuhi suasana dan latar hutan. Sepi dan gelap. Seram!

Tiba-tiba... kisah cerpen mula bergerak dalam alunan ceritanya yang berbeza daripada filem. Objek tubuh tidak terus dilanggar seperti dalam filem tetapi objek Tubuh Perempuan ini melambai-lambai di persimpangan. Yang nampak Tubuh Perempuan itu hanya seorang watak bernama Syawal. Perjalanan diteruskan tanpa sebarang masalah diganggu. Hanya itu satu sahajalah jika dibayangkan berlaku benar-benar kepada pembaca, alangkah tidak mahu dan tidak dipinta. Seram!

Setibanya mereka di rumah kenduri, pada jam tengah malam saya berteka-teki apakah yang akan berlaku nanti? Benarkah tuan rumah (kawan mereka) itu benar-benar manusia atau bukan manusia? Mengapa penulis meletakkan plot cerita bahawa mereka perlu sampai ke rumah kenduri itu pada tengah malam? Dan kawan perempuan yang menunggu tidak berbaju kurung iaitu baju rasmi ketika berada dalam majlis kenduri. Hmm, jawapannya pasti ada dalam kisah yang tertulis.

Seterusnya, ngeri yang saya maksudkan berbaur sayu itu dapat ditangkap maknanya pada akhir kisah. Saya tidak menyangka, akhir kisah ini ditutup sedemikian rupa. Kisah misteri yang biasa kita lihat, tonton di tv, baca cerpen atau novel akhirnya membawa maksud yang sama. Namun tiap maksud disulam dengan pelbagai raut aksi dan emosi. Cerpen ini membawa suatu makna yang menggubah persepsi saya pada awalnya. Tidaklah ia menceritakan semata-mata tentang ‘I Know What You Did Last Raya’. Langsung tidak sama.

Tahniah kepada penulis kerana sebuah makna yang cukup sayu dan memberi emosi kepada saya. Akhir pembacaan sedikit bergenang air mata. Pada awalnya saya disogok dengan emosi seram dan takut. Perasaan yang saya tidak mahu imaginasikan langsung tentang tangan melambai-lambai di tengah malam. Persoalan demi persoalan terjawab. Dalam mimpi Syawal melihat sesuatu yang ngeri mengganggu tidurnya. Kembali semula dia ke tempat kejadian.

Apa yang dia lihat, apa yang dia rasa ketika itu dan apa yang dia fikir atas situasi yang benar-benar berlaku dalam dunia realitinya? Itulah yang membangkitkan emosi sayu kepada saya. Begitu kematian yang digambarkan penulis kepada watak pengejar mimpi Syawal amat sadis. Kisah ini memberi sedar kepada pembaca, bahawa zaman ini realitinya begitu. Bunuh, bunuh dan bunuh seperti makanan rutin akhbar dan laporan berita di tv, internet dan radio.

*Sayu mengenang akhir pemergiannya. Semoga saya dan kalian sentiasa mendapat rahmat Allah dan mohon dijauhkan segala bencana dunia dan akhirat. Amin.


About Us

Bila terbitnya bicara, hati mula pasrah, untuk luahan terindah, segalanya diserah…Moga jiwa turut merasa, tentang hati yang mula bercerita.

Teguh pada kata hati, cekal pada kata akal…akan setia pada janji, untuk diri, dia dan semua. Moga ada sinar, pada setiap karya yang terlahir dari jiwa dan rasa. Hanya kerana DIA.

Titip kasih daripada teman blogger

Titip kasih daripada teman blogger
Tanda hati daripada Cik Amy Sense, tQ!!!

Gapaian CIta

Gapaian CIta

Impian Kan Terlaksana

Impian Kan Terlaksana
Barisan melakar cita

Pages