12.Mei.2012.
di ZMCS, Labis.
Dalam
kondisi kepala yang masih pening. Syukur, hari ini saya diberi kesempatan untuk
menulis resensi buku yang baharu saya baca. Judulnya: Tunjukkan Aku Jalan ke Syurga.
Buku
ini menghimpunkan lebih daripada 10 cerita benar yang membawa si pencerita ke
jalan yang cerah. Buku ini saya peroleh daripada seorang rakan baharu yang
baik. Dia memberi pinjam dan mencadangkan untuk saya bacakannya sepenuh jiwa.
Ya, saya sudah baca sepenuh jiwa. Dengan izin DIA.
Buku
ini memberi keinsafan kepada diri. Ketika kekusutan usahlah sesekali
menghampiri mati yang dicari sendiri. Ketika kebuluran dengan rasa tenang dan
tenteram, sentiasalah bawa hati mengenal Allah dan berzikir kepada NYA.
Keinsafan yang diditipkan pembacaan meloloskan hati agar sentiasa mahu
bersama-sama Allah yang Maha Esa. Walau dalam senang mahu pun diundang dugaan.
Allah,
tuhan yang Maha Agung. Tiada lain yang berhak disembah melainkan Allah.
Antara
beberapa cerita yang ingin saya kongsikan di sini berkenaan ‘tarikan/ undangan
Allah kepada hamba-NYA untuk kembali ke jalan yang diredhai’ dan ‘begitu kasih
Allah memberi peluang kepada mereka untuk bertaubat selagi hayat dikandung
badan.’
Saya
membaca kisah Nora (penyanyi Malaysia), Aida Khalida (pelakon Malaysia), Noraniza
Idris (penyanyi Malaysia). Bagaimana kisah mereka kembali ke jalan yang
dirahmat Allah, seolah-olah sama namun ada sedikit berbeza dari soal hidup dan
jalannya. Pandangan yang sama pada mata saya ialah ketiga-tiga mereka menyebut
di dalam cerita masing-masing bahawa:
1.
Syukur kerana
Allah memberi peluang untuk bertaubat dalam masa mereka masih muda. Mereka
bertuah kerana lekas sedar daripada tersasar dan memiliki hati keras sehingga
tua.
2.
Menjadikan
tudung sebagai langkah pertama untuk mendekatkan diri kepada Allah. Benarlah,
untuk menjadi baik, sempurnakanlah dahulu aurat yang terbuka agar ditutup
mengikut syariat agama.
3.
Di dalam kisah
mereka, masing-masing memperkatakan ketenangan dan kesungguhan hidup dalam
dunia ini tidak akan digapai kalau niatnya bukan kerana Allah. Benar sekali,
setelah masing-masing keluar daripada jiwa yang melarat (jiwa yang mencari
dunia semata-mata) mereka bertemu dengan keharmonian dan ketenangan yang
maksimum. Segalanya setelah mereka insaf dan mereka yakin bahawa Allah adalah
segala-galanya dalam hidup mereka.
Alhamdulillah,
saya juga mengucap syukur yang tidak terhingga kepada Allah. Pertamanya kerana
menemukan saya dengan seorang rakan baharu ini yang sudi meminjamkan saya
buku-buku yang baik isinya. Keduanya, saya bertuah kerana ini juga merupakan
salah satu pencerahan jiwa buat saya untuk mendekatkan diri kepada Allah.
AllahuAkbar.
Seterusnya,
dipaparkan juga sebab dan jalan Sham Kamikazee (penyanyi Malaysia) berubah
untuk memilih jalan Allah.
AZAN, SOLAT DAN SAHABAT
Ketika
Sham melawat sahabatnya, mereka berbual-bual hingga berkumandangnya azan Zohor.
Sahabat Sham meminta diri sebentar untuk menunaikan solat. Sementara Sham duduk
bersahaja menanti sahabatnya kembali. Usai sahabatnya solat, mereka menyambung
perbualan. Sahabatnya Sham banyak menceritakan perubahannya sekarang ini. Sham
masih tidak berasa apa-apa malah melihat perubahan sahabatnya itu suatu perkara
yang biasa. Hingga berkumandang azan waktu Asar, sahabatnya meminta izin
berhenti berbual dan dia pergi melunaskan tanggungjawab sebagai hamba kepada
Allah. Sham tidak mengikutnya tetapi duduk bersahaja sedangkan surau/masjid
hanya berhadapan dengan rumah sahabatnya itu…hingga suatu perkara (anda perlu
bacanya sendiri), membuatkan Sham sedar. Alhamdulillah, hingga kini Sham banyak
melakukan amal dan dakwah. Doanya agar Allah tidak menarik balik nikmat
kesedaran yang diberi ini. Amin.
AZAB
Buku
ini juga memaparkan tentang azab kematian. Tujuannya untuk mendatangkan iktibar
kepada pembaca agar lekas sedar dan takut akan balasan Allah atas tiap2 dosa
yang dilakukan. Azab seorang pengedar dadah ke tali gantung. Kisah ini memberi
sedar kepada warder penjara. Kerana melihat seksaan yang ditanggung si pesalah
akhirnya memberi rasa insaf kepada dirinya juga.
TANDA DIPANGGIL
Judul
‘Mari Ikut Mak Ke Alam Barzakh’ memberi seribu kali kata yang sukar terungkap.
Saya juga pernah mendengar cerita ini, daripada saudara-mara khususnya. Kata mereka,
jika seseorang itu sudah hampir ‘pergi’ mesti dalam nazaknya mereka akan
termimpi arwah-arwah yang mendekatinya dan mengajak mereka meninggalkan dunia.
Beginilah yang terjadi kepada ahli keluarga si pencerita. Betapa baiknya mereka
yang dikurniakan nikmat itu telah tahu bila waktunya mereka akan ‘pergi’ buat
selama-lamanya.
INSAF
Sudahkah
tersisip insaf di dalam hati? InsyaAllah. Semoga dalam hidup ini, saya dan para
pembaca semua dapat menikmati kehidupan dengan rasa syukur kepada Ilahi.
Cukuplah kita membaca dan berasa sakit hanya ketika menelaah buku ini. Dan
ketika di luar bacaan, kita akan dapat menjadi manusia, masyarakat dan hamba
yang benar-benar baik dan bertaqwa. InsyaAllah.
Dapatkan
buku ini pada harga RM 12.90 sahaja. Penuh manfaat dan kisah-kisah menawan
kalbu. InsyaAllah.
No comments:
Post a Comment
Bicara madahmu mengerat ukhwah,...Terima kasih :)