berkarya itu indah

berkarya itu indah
Showing posts with label tinta tulus hati. Show all posts
Showing posts with label tinta tulus hati. Show all posts

Sunday, July 24, 2011

Episod Rindu

Alhamdulillah,

selesai sudah majlis tahlil untuk kakak sepupu di kampung tadi. Selesai juga majlis akikah anak kepada sepupu juga. Syukur, segalanya selesai seperti yang dirancang. Walaupun pada awalnya ada perlakuan beberapa individu yang menguji kesabaran jiwa, namun berjaya diatasi sebaiknya. Alhamdulillah.

Rindu tiba-tiba menyelubungi hati. Saat tertulisnya nama Kakak dalam senarai nama Almarhumah sebentar tadi untuk diberikan kepada ketua bacaan tahlil. Tertahan air mata daripada membasahi pipi. Dahulu, kami sama-sama duduk mengalunkan bacaan tahlil. Tetapi...kini hanna seorang membacakan tahlil untuk Kakak. Alangkah sedih dan pilunya hati. Hanya Allah Maha Mengetahui. :(

Segala kesedihan yang tersimpan, tidak lekas hanna taburkan butiran jernih itu. Kerana masih ada ilham dan iman yang menggenggam erat rasa tabah daripada jatuh di hadapan anak-anak kecil ini. Arwah Kakak meninggalkan dua anak lelaki yang hanna gelar putera sulung dan putera bongsu. Putera sulung kini berusia 4 tahun dan sudah mula mengenal hidup pada tingkat akalnya. Putera bongsu pula, masih berusia 1 tahun. Terlalu kecil anak-anak ini ditinggal pergi ibunya. Namun segala takdir, punya hikmah dan ganjaran berharga untuk disyukuri selalu. Amin, Alhamdulillah
.(ihsan gambar dari internet)

Dalam gambar ini, hanna mahu kisahkan tentang putera bongsu. Ketika dia cuba mengikut rentak abangnya dan saudara-mara yang sebaya usia bermain-main, hanna lihat dia bermain-main sendiri. Kekadang dia tersenyum, kekadang dia diam memerhati. Saat itu mahu sahaja hanna menangis sepuas hati. Kerinduan yang datang mencengkam dan membentak jiwa. Putera bongsu kehilangan bondanya seawal usia 5 bulan. Masih belum mengerti apa2. Hanna pula kehilangan seorang kakak yang rapat dengan diri dan hati. Betapa diri ini memendam rindu yang tak akan pernah kembali.

Episod ini membuatkan hanna berfikir. Kesedihan dan pemergian tidak dapat dipisahkan dalam hidup. Mati itu pasti. Hanna berdoa agar hidup dan mati hanna nanti sentiasa diberkati Allah dan sentiasa terjadi dalam iman. Iman sesungguhnya. Amin.

Episod rindu tidak akan pernah berakhir, kerna ianya sentiasa bertakhta di hati lalu mendoakan agar ia sejati dan diberkati Ilahi.

Al-fatiha buat kakak. Amin.





Sunday, May 22, 2011

Keberkatan

Alhamdulillah,

Syukur. Setelah berhempas puas meratapi nasib perasaan yang hiba, aku bangun dan memeluk rasa untuk bersama Dia. Wuduk pembersih jiwa. Solat penyejuk hati. Dan bacaan al-Quran sebagai penyuci rohani.

Allah, moga rasa ini kekal bersamaku. Moga iman ini tetap mendampingiku. Kekalkanlah segala yang kuperlakukan hanya Kerana-Mu, Allah.

Amin, Ya Rabb.

Tinta

entah kenapa dengan perasaan ini. Tiba-tiba menjadi agak beremosi. Adakah gara-gara kisah hubungan yang tidak berkesudahan dengan benci, yang masih berbaki?

Entahlah.

Itu petanda, hati perlu diberi ruang untuk diubati. Dengan segala macam rasa yang baik dan direstui Ilahi. Hmm, Allah... Dugaan ini, kuatkanlah hati agar terus bertahan. Amin.

Friday, February 11, 2011

Saya HJ.


cincin ini ada terukir nama indah. Namaku dan namanya. Hasni dan Hanna. Sedikit penambah seri iaitu Johan.

Hasni, kata seorang ustaz sewaktu di sekolah agama beberapa tahun lalu, makna Hasni ialah Yang Lembut.

Nama itu benar-benar menghiasi diri. Bukan banggakan diri, tetapi itulah komen dan makluman yang dibisikkan oleh rakan-rakan, sahabat, saudara-mara, guru-guru, pensyarah dan yang mengenal dekat diri ini. Sering sahaja saya dibuli, kata mereka buli-buli manja. Sebab saya memang tak pandai membalas apabila dibuli. Itulah... Tetapi, adakalanya saya juga seorang pembuli. Buli-buli manja. hehe...

kata seorang guru kimia saya pula, Hasni Jamali. Ketika melaungkan nama Hasni Jamali, dia akan memandang barisan pelajar lelaki. Saya pula puas mengangkat tangan, dan barulah dia nampak. Katanya, "Lah, cikgu ingat nama ni kepunyaan lelaki. Perempuan rupanya. Unik nama ni!" Saya hanya tersenyum dan memegang teguh kata-kata cikgu Kimia itu.

Hari ini, nama Hasni Jamali banyak sudah terpapar di akhbar dan majalah. Alhamdulillah, bermula dengan kemenangan di Akademi Sastera lalu berhasil dengan tersiarnya karya-karya. Syukur sekali.

Hari ini juga, nama Hanna Johan semakin memekar.

Kebiasaannya penulis (mungkin hanya untuk saya), suka berangan dan mencipta watak dan perwatakan untuk hiburan sendiri. Dahulu saya mencipta watak Shawati untuk watak kegemaran saya. Lalu, nama itu sudah berlalu dengan perkembangan masa. Entah bagaimana nama Hanna ini wujud dalam hidup saya. Datang pula nama Johan. Dahulu ada suatu drama yang saya gemari. Tak ingat judulnya. Tapi ada watak heronya iaitu Johan. Saya suka nama Johan. Hingga hari ini.

Sewaktu di UKM dahulu, saya berjalan-jalan di pesta buku yang diadakan di PUSANEKA. Saya terjumpa buku nama-nama Islam. Lalu saya semak huruf H untuk Hasni. Jodoh! Saya berjumpa dengan nama Hanna. Maksud Hanna ialah RINDU. Oh, saya gembira sekali! Kerana Hanna punya makna yang baik. Lalu saya susun nama Hanna Johan melengkapi nama pena saya. JODOH lagi! Hanna Johan dan Hasni Jamali mempunyai kependekan nama yang seiras iaitu HJ.

Hanna Johan bermakna Rindukan yang pertama. Hasni Jamali bermaksud Yang lembut dan cantik. Alhamdulillah, dua nama ini tetap mekar bersama diri saya. Sayalah Hasni Jamali dan sayalah Hanna Johan.

Andai ada apa-apa yang melukakan daripada saya, saya mohon maaf. Sentiasalah berdoa yang terbaik buat diri saya dan diri anda juga.

Dengan izin Allah, dalam bidang penulisan ini...Saya akan memberikan buah tangan yang terbaik untuk bekalan di akhirat kelak. Terima kasih kepada sahabat, saudara dan keluarga yang banyak menyokong kerjaya sekarang ini. Sama-samalah berkongsi kegembiraan ini bersama Hasni @ Hanna.

Sekian,

Hanna Johan.

Friday, January 28, 2011

Ku Mahu Selalu Bersama-Mu


Rabb
Jauh sudah kuberkelana
cuba mencari sesuatu
yang kurasa tiada

Rabb
Semakin tersasar rupanya diri
apabila cuba menghitung
masa lalu
yang katanya kelam tiada sinar

Rabb
pertemukanlah
dia untukku
dia yang benar-benar
menyayangiku

Rabb
suratan kelana
seorang pujangga
masih belum ketemu jawapannya
kerna itu
Mohonku
tiada ucap selamat tinggal
buat dua hamba-Mu
yang selalu mengharap belas kasih Mu.

Kabhi Alvida Na Kehna
Jangan Diucap Selamat Tinggal.

Rabb
kumahu selalu bersama-Mu.

~hannaJohan~

Thursday, January 27, 2011

Takdir Terindah

Malam itu hanna sendirian, menonton tiga ceritera. Tuhan meletakkan takdir terindah ini, buat hanna yang memang sendirian.


Kau Laksana Bulan, kisah cinta dan keluarga. Dari Mata Arisa juga kisah keluarga dan cinta. Cinta kepada Tuhan, cinta kepada manusia dan cinta segalanya turut ada dalam Magika. Terhidang indah pandangan mata dari ihsan tukang pemuat naik di Youtube.

Sebenarnya, cinta...tak pernah lepas dari ingatan walau ke mana arah kita pergi. Ke kanan ke kiri, semuanya ada cinta. Sukar untuk melarikan diri daripada lima aksara itu. Walau nyatanya, cinta itu terlalu indah dan terlalu menyakitkan. Ada yang pernah berkata, cinta itu sakit yang indah. Iyakah? Pada hanna mungkin iya, andai cinta itu masih dimiliki. Tapi, bila cinta sudah jauh meninggalkan adakah ia masih indah? hmm, mungkin ia indah untuk dikenang dan disimpan dalam lipatan memori.

Cinta kepada Allah adalah cinta segala-galanya. Sekarang dan sentiasa, hanna mengharapkan cinta ini kekal dan mekar berkembang. Selama-lamanya. Walau ada badai walau ada rantai duka, moga cinta ini terus kejap dilaksanakan terhadap Yang Maha Kuasa. Amin.

Pesan ibu
usah dipendam rasa yang keliru
luahkan segala
agar hilang gusar di kalbu.

Kataku pula
payah meluahkan segala isi duka
biarlah
begini adanya
tidak kumahu
merencana cerita
tentang cinta manusia
yang tiada setia.

diam
sepi itu tak mahu lagi bersuara
berceritalah tentang isi alam
wahai ibuku
biarlah
begini adanya.

hanna @ anakmu, along.


kususun senyum
hanya buat yang mengerti
dan sudi menghargai.

~hJ~

Friday, October 8, 2010

Buah Hati hanna

Alhamdulillah dipanjatkan kepada Allah,

Cerpen Lara Atma, karya cerita pendek sulung hanna tersiar dalam majalah Tunas Cipta. Moga karya-karya lainnya akan terus bersinar mencerahkan masa depan. :)

Selamat membaca, ya.

Friday, June 11, 2010

hanna Rindu Mia

Petang tadi hanna ke Pasar Malam dengan Mia. Alhamdulillah, seronok tengok Mia memilih tudung. Sesekali menyelinap mata memandang keletah Mia yang agak cerewet. Oh, tiba-tiba hujan. Mula-mula perlahan atau kata lain gerimis. Lama-lama lebat pula. Apa lagi, mulut hanna terus membebel. Ish, terdetik dalam hati "hujan itu rahmat dari Allah. Tak baik hanna merungut." Alhamdulillah, hanna cepat sedar. Ampunkan hanna, Ya Allah. Amin.

Melihat Mia yang bertambah ceria memilih tudungnya, hanna pun hilang resahkan hujan. Kami meredah hujan sama-sama. Sesekali kami berteduh di bawah payungan gerai-gerai. Pilih yang ini tidak berkenan, pilih yang itu tidak kena...Pilih dan pilih, akhirnya hanna pula yang bingung.

Akhir juga, hanna sempat memadankan sehelai dua tudung. hmm, dalam hati tersenyum-senyum. "Lawa juga. Nak beli tapi tak cukup duit. Esok perlu pakai duit untuk ke kursus. Letak baliklah."

Tiba-tiba, Mia minta pendapat hanna tentang tudung yang dipegang. Tudung Syria yang sibuk orang perempuan sekarang gayakan. Wah, Mia juga tidak mahu lepaskan peluang. Bila lihat Mia tersenyum, hanna rasa lega sangat. Suka lihat Mia begitu. Senyum dalam senang. "Alhamdulillah, temu juga Mia dengan pilihan hatinya."

Tanpa sedar, Mia ambil sekali tudung yang hanna gayakan. Mia bayarkan. "Ya Allah, syukur. Alhamdulillah. hanna anggap tudung itu hadiah dari Mia sempena keputusan peperiksaan hanna yang agak membanggakan kami. Terima kasih Mia."

Pulang ke rumah, bersama Mia. Kasihan Mia, esok hanna akan ke kursus. Mia tinggal seorang. Suami Mia kerja. Anak Mia pula sedikit nakal. Suka keluar malam. Kasihan Mia tinggal seorang di rumah. Bila malam.

"Apa akan hanna fikirkan nanti. Pasti akan sentiasa teringatkan Mia. Sepanjang seminggu, harapnya rindu hanna pada Mia bertambah-tambah erat. Sesungguhnya hanna sayang Mia. Sayang sangat-sangat."

"Tahniah hanna, mencapai keputusan terbaik untuk diri iaitu 3.73. Walaupun standard U perlukan 3.76 untuk kelas pertama, sekurang-kurangnya hanna sudah banggakan Mia dan keluarga. Moga hanna terus maju dan kekal dalam iman. Esok dan hari-hari seterusnya di kursus, pandai-pandai bawa diri. Sentiasa amalkan nasihat yang Mia pesankan ya."

'Assalamualaikum'

About Us

Bila terbitnya bicara, hati mula pasrah, untuk luahan terindah, segalanya diserah…Moga jiwa turut merasa, tentang hati yang mula bercerita.

Teguh pada kata hati, cekal pada kata akal…akan setia pada janji, untuk diri, dia dan semua. Moga ada sinar, pada setiap karya yang terlahir dari jiwa dan rasa. Hanya kerana DIA.

Titip kasih daripada teman blogger

Titip kasih daripada teman blogger
Tanda hati daripada Cik Amy Sense, tQ!!!

Gapaian CIta

Gapaian CIta

Impian Kan Terlaksana

Impian Kan Terlaksana
Barisan melakar cita

Pages