ULASAN NOVEL: RUSUH JIWA SOFIA HUMAIRA DALAM ANGGERIK UNGU
OLEH HASNI JAMALI
Anggerik
Ungu merupakan
sebuah novel terbitan Buku Prima yang dijual dengan harga RM 14.00. Penulisnya
sudah melahirkan beberapa buah buku seperti Dunia Anis dan Merah Cinta Kita.
Wardah Munirah juga dikenali sebagai penulis bergenre cerpen, sajak dan
karya-karya berbentuk ilmiah.
Serba
ringkas tentang Anggerik Ungu
NOVEL ANGGERIK UNGU, DAN KERTAS KAJIAN KECIL. :) |
Di sebalik kebahagiaan yang
dimiliki, terdapat seribu kegelisahan yang merajai hati Sofia Humaira.
Sofia Humaira merupakan watak
utama yang memegang perwatakan seorang anak yang baik dan sentiasa menyenangkan
hati ibu dan ayahnya. Puan Aisyah dan Encik Fairul berbangga memiliki anak
sebaik Sofia Humaira. Sudahlah bijak dalam akademik malah aktif pula dalam
kegiatan sukan. Sofia Humaira juga merupakan seorang sahabat yang tahu
tanggungjawabnya kepada sahabat-sahabat yang lain. Ai Ling, Kavitha dan Faridh
Zuhry adalah sahabat yang selalu menjadi tempat luahan rasa, berkongsi-kongsi
ilmu dan ahli kumpulan belajar bersama-sama.
Sofia Humaira pada awalnya cukup
senang dengan aliran takdir yang melatari hidupnya. Baik, sentiasa berjalan
lancar dan dipermudahkan segala urusan pembelajaran. Kehidupan luar sekolah
juga begitu selesa dan tiada sebarang kekangan yang dihadapi Sofia. Apa-apa
yang diinginkan sentiasa sahaja mudah diperoleh. Sofia berasa aman dan tenang
sahaja. Namun, ada beberapa cubaan kecil terpaksa diharunginya. Ketidakyakinan
Puan Aisyah dan Encik Fairul terhadap kebolehan Sofia untuk menyertai sebarang
aktiviti lasak di sekolah amat mendukakan Sofia. Sesekali Sofia cemburu melihat
teman-temannya dapat menimba banyak pengalaman dalam kem atau perkhemahan yang
dijalankan di luar lokasi sekolah.
Rengsanya tidak berakhir di situ.
Sofia berasakan ada sesuatu yang tidak kena dalam alunan kisah keluarganya.
Melihat ibu yang sentiasa tidak bermaya, memandang ayah yang sentiasa tenang
berkata-kata dan seperti hati berbisik… sebuah drama hebat sedang riang
berlangsung dalam rumahnya sendiri, tanpa dia tahu hal duduk sebenar.
Akhirnya, Sofia memilih untuk
berlaku kejam kepada dirinya. Dalam perjalanan melunas amarah, Sofia
dipertemukan dengan pelbagai hal yang dapat menyelamatkan hatinya daripada
terus berbuat salah. Namun, Sofia tewas juga dengan dugaan yang memuncak dalam
hidupnya. Yang baik selalu menang. Begitulah Anggerik Ungu memberi kesan
mendalam kepada diri pembaca. Sifatnya bukan untuk mengajar tetapi cukuplah
yang boleh dikatakan ianya dapat membentuk hati agar sentiasa terpaut dalam lingkaran
aman dan murni.
Rusuh dalam
Jiwa
Pandangan sendiri, saya
menyatakan rusuh itu suatu hal yang merengsakan hati dan perasaan. Hati yang
juga disebut sebagai jiwa mungkin tidak enak apabila dihinggapi perasaan rusuh
ini. Kaitannya, rusuh termasuk dalam golongan duka, derita dan tidak gembira. Keadaan
rusuh yang paling ditakuti ialah hingga boleh mengundang pemberontakan jiwa
lalu merosakkan nilai-nilai murni dalam diri seseorang.
RUSUH JIWA
SOFIA HUMAIRA DALAM ANGGERIK UNGU
a)
Impian untuk ke kem/ perkhemahan
- Sofia sering
kali mendambakan untuk menyertai tiap-tiap kem yang dianjurkan pihak sekolah.
Namun, sering kali itu juga ibu dan bapanya melarang. Hatinya rusuh.
Memberontak secara kecil. Mengeluh dan selalu bersoal jawab sendiri akan
tindakan ibu dan bapanya ini:
“Wajah
Sofia mencuka. Dia sedar, dirinya agak ketinggalan jika dibandingkan dengan
rakan-rakan dalam penglibatan luar sekolah. Bukan dia tidak mahu. Cuma, Puan
Aisyah yang terlalu takut untuk melepaskan dia keluar bersama kawan-kawan.
Ada sahaja alasan
yang Sofia perlu berikan kepada guru persatuan unit beruniform untuk mengelak
daripada menyertai perkhemahan tahunan. Sehinggakan, Puan Aisyah pernah meminta
rakannya, Doktor Juliza menulis surat yang menyatakan tahap kesihatan Sofia
tidak membolehkan dia menjalani aktiviti lasak.” (Wardah
Munirah, 2011: 11)
Begitulah yang dilakukan oleh Puan
Aisyah (ibu Sofia). Tindakan rusuh Sofia tidaklah begitu besar kali ini. Hanya
mengeluh dan merungut kecil. Sering sahaja merendah diri apabila membandingkan pengalamannya
tentang aktiviti kembara dengan kawan-kawannya. Namun, rusuh hatinya
menjadi-jadi apabila suatu hal di luar jangka menduga pilihan jiwanya sebagai
seorang anak atau seorang pengawas.
Ini terjadi apabila Sofia mengetahui
ibu yang disayangnya tidak akan hidup lama. Kesedihan membungkus perasaan
remaja Sofia. Seharusnya, mengapa seawal usia begini dia diuji Tuhan akan
kehilangan insan yang amat disayangnya? Sofia… bukan lagi Sofia yang asal.
b)
Rasa Tertipu
-
Apabila mendapat tahu Puan Aisyah menghidap barah otak, Sofia
Humairah menjadi tidak percaya dengan apa-apa yang ditatapnya. Seakan-akan
dunia berputar laju. Bumi yang dipijak tidak terasa jasadnya. Dia benar-benar
rasa tertipu. Rasa dibohong dengan lakonan dan drama daripada Encik Fairul dan
Puan Aisyah. Hebat sungguh mereka mendiamkan hal sebesar ini daripada Sofia.
-
Rusuh hati Sofia sekali lagi menusuk segenap perasaan:
“Ibu…”
Hancur luluh hati Sofia saat mendapat tahu isi kandungan laporan itu.
“6 Jun 2009.
Barah otak. Tahap pertama.” Laporan perubatan itu benar-benar mengejutkan.
Bagai mahu terkeluar jantung Sofia ketika membacanya.
Tambah
memedihkan, laporan itu dikeluarkan pada tarikh lahirnya yang ke-13. Bermakna,
sudah hampir tiga tahun.
Anak apakah
dia sehingga gagal mengesan penderitaan Puan Aisyah? Salah apakah dia sehingga
perkara itu dirahsiakan Puan Aisyah?” (Wardah Munirah,
2011: 97)
RUMUSAN
Hikmah dari DIA, amat indah sekali. Sofia
berjaya memecah tembok benci kepada penipuan yang memenuhi ruang hati. Menjadi matang.
Beransur-ansur jiwanya pulih dengan segala isian kata bermakna daripada
pengarang, Wardah Munirah.
Antaranya, dalam episod Sofia melarikan diri dan
tidak hadir ke sekolah secara sengaja, pengarang menyisipkan beberapa babak
yang menginsafkan watak Sofia. Sekali gus, ianya meresap dalam jiwa seorang
pembaca agar faham erti bahagia di sebalik derita:
“Nak…”
“Ya,
mak cik. Kenapa?”
“Jaga
diri baik-baik ya. Sampaikan salam mak cik pada ibu. Katakan, ibu bertuah punya
anak sebaik budimu.” Wanita tua itu tersenyum sebelum membelakangi dan
meninggalkan Sofia.” (Wardah Munirah, 2011: 121)
Rumusan saya seluruhnya, anggerik
ungu merupakan pemberian Puan Aisyah kepada Sofia Humairah dan merupakan simbol
pelerai segala rusuh di hatinya. Dan naskah Anggerik
Ungu pula merupakan pelepas rindu dan lambang kecintaan antara ibu dan
anak, juga antara anak dan bapa. Begitulah
yang disisipkan pengarangnya, kekuatan alam mengeratkan rasa cinta dan kasih sesama
insan hingga hilang rusuh jiwa lalu bercambah ria dan suka.
Ulasan yang baik. Kenapa tak hantar ke media?
ReplyDeleteTerima kasih sdr,
ReplyDeleteAdakah media yang menyediakan ruangan ulasan novel daripada penulis bebas? Makluman saya setiap novel yang diulas di media sudah ada kolumnisnya tersendiri bukan?