JANUARI 2012 sudah pun berlalu. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar. Walau pun kadang kala banyak ujian yang melanda jiwa terpaksa ditanggung hati. Lumrah, kehidupan yang tidak lekang disunting oleh Allah dengan pelbagai ujian dan harapan.
Sengaja aku ingin tulis di sini tentang beberapa hal yang masih indah terletak dalam ingatan. PERTAMANYA, pada bulan Januari 2012, hanya 2 karya aku tersiar. Dua-dua karya ini berbentuk Puisi Moden iaitu Sajak. Sajak pertama tersiar di majalah Mingguan Wanita, judulnya KASIH BUAT KANDA. Kedua, sajak berjudul TIGA HARI DUA PAGI tersiar di akhbar Harakah. Alhamdulillah, kedua-dua sajak ini amat memberi makna buat aku. Dan aku harap, pembaca yang sempat singgah di halaman sajak-sajak aku ini juga mendapat makna yang sama. InsyaAllah.
SETERUSNYA, bulan Januari permulaan aku sebagai Pembantu Pengurus (ewah!) di Zainal Minhat Computer System. Lokasinya di Labis, Johor. Memandangkan cawangan di Labis ini hanya ada aku dan Bos, jadi Bos ialah Pengurus dan aku ialah Pembantu Pengurus. Tidaklah segah mana nama jawatan ini, tetapi ia cukup penting bagi meningkatkan keyakinan diri ketika bertugas. Aku tidak pernah memandang remeh terhadap setiap kerja yang pernah dan sekarang aku lakukan. Kerana walau apa jua pekerjaan yang berjaya ada dalam diari hidup aku, semua pekerjaan ini adalah ilmu yang memberi berjuta makna dalam hidup. Menjadi Pembantu di ZMCS ini tugas aku ialah menjaga kafe siber dan menguruskan pelbagai ragam. Bermula daripada ragam pelanggan hinggalah ragam mesin dan teknologi. Dahulu aku dicop sebagai budak sastera, sekarang ni aku digelar budak siber. haha... layak ke aku digelar budak siber?
SIBER CAFE CANTIK DARI GOOGLE. |
Alhamdulillah, tentang hal yang paling aku suka dapat bantu masyarakat di sini ketika tugasan menaip surat, penghantaran email dan tempahan kad undangan perkahwinan. Macam-macam surat aku jumpa untuk diminta aku menaipnya. Selain surat, segala hal kerja di sekolah beberapa orang guru pun aku yang kena buat. Surat-surat perjanjian syarikat-syarikat pun aku juga kena taip dan semalam aku kena taip sepucuk laporan polis terhadap pembelotan seorang rakan kongsi niaga. Hmm, sambil menyelam minum air. Kebanyakkan pelanggan ini ramah-ramah orangnya. Jadi tanpa aku minta, mereka akan mula bercerita hal sebab musabab kejadian yang berlaku kepada mereka hingga tercetusnya sebab perlu tulis surat. Seronok dengar cerita mereka, yang baik jadikan tauladan dan yang tidak baik jadikan ingatan.
Mahu cerita tentang pekerjaan banyak. Lain kali sambung lagi.
SETERUSNYA, kisah aku sebagai GURU MENGAJI. Memang suatu perkara yang tidak terduga. Sekarang ini hampir sebulan aku jadi Guru Mengaji kepada anak buahku. Putera Sulung dan Putera Bongsu yang suatu ketika pernah aku ceritakan mereka kehilangan ibunda tercinta pada tahun 2010. Bagaimana boleh terjadinya kes 'bidan terjun' ini kepada aku? Hmm... pada awalnya aku tak sanggup untuk pikul tanggungjawab ini. Sebab aku bukanlah ustazah atau guru mengaji yang layak untuk mereka. Atas kekangan daripada pihak keluarga Putera Sulung dan adiknya, susah benar untuk dapatkan guru mengaji bagi mereka. Aku hanya berdiam sahaja ketika mendengar keluargaku dan keluarga Putera Sulung berbincang hal ini. Entah mengapa, seorang guru mengaji yang pernah ajar aku dan adik2 aku dahulu undur diri tak mahu ajar mereka. Dan, ibuku buka cadangan untuk aku ajar mereka.
INDAHNYA, :) foto daripada Pak Google. |
Dan sejak malam pertama aku ajarkan Putera Sulung mengaji, sejak itu 2 malam berturut-turut aku mimpikan arwah kakak sepupuku (ibunda dua anak kecil ini) itu. Wajahnya tersenyum, berseri-seri dan langsung tidak bersuara. Hanya memandang aku dengan senyum yang manis. Dalam mimpi itu, aku menangis dan sayu. Mungkin, ini hikmah yang Allah tunjukkan kepadaku. Walaupun aku tidak dapat jadi seorang guru seperti yang diharapkan arwah nenda, aku menjadi 'guru tidak bertauliah' kepada dua orang anak yatim ini. (Sedih pula). Semoga ajaran aku diberkati selalu oleh Allah, dan mereka akan jadi anak yang soleh dan selalu mendoakan arwah ibunda mereka di Sana. Amin.
Yang SEDIH sepanjang Januari ini pun ada. Tapi aku tak suka cerita hal2 sedih. Cukuplah aku nyatakan, 1 Hal yang BESAR, pada bulan ini... dan dekat-dekat dengan hari kelahiranku. Aku telah hilang sebuah perhubungan kasih atau kiranya lagi senang nak sebut... Patah Hati. Sedih!
RUMUSAN: Semoga selepas ini Allah hadiahkan aku sebuah perhubungan yang benar-benar. Semoga selepas ini aku akan dipertemukan dengan jodoh yang mampu menghargai kehadiran aku dalam hidup kami, dan saling sayang menyayangi hingga ke akhir hayat. Amin.
Dalam kehidupan, memang banyak ranjau. Semoga aku dapat jadi yang terbaik dan membantu masyarakat dalam apa jua bidang yang baik-baik, dan BULAN-BULAN yang mendatang menghamparkan sejuta kemurahan rezeki buatku. Amin.
Sekian, selamat datang FEBRUARI. :) cik HJ.
Tahniah. Dugaan itu adalah ujian. Moga terus bersabar dan tenang mengharunginya.
ReplyDeleteTeruskan memartabatkan seni penulisan.
Terima kasih Sdr,
ReplyDeletetidak putus-putus mendoakan sabar buat saya, InsyaAllah semoga saya doakan sdr sebagai seorang lelaki yang tidak akan menghampakan pasangan suatu hari nanti. Amin.
Terima kasih. Sama-sama kita martabatkan indusrti seni ini.