berkarya itu indah

berkarya itu indah

Thursday, April 16, 2015

Ulasan Karya: Te@mare

JUDUL           :     TE@MARE Volume 1 dan Volume 2
KARYA         :      BEN
PENERBIT    :     GEMPAK STARZ
 

Membaca buku cerita bergambar merupakan suatu keadaan paling indah buat saya. Lebih lagi apabila membaca karya Ben, seorang pekomik tersohor di Malaysia. Karya-karya Ben hingga kini sentiasa mendapat perhatian industri komik sama ada dalam negara mahu pun di luar negara. Kesimpulannya, Ben bukan sahaja pekomik hebat di tanah air malah pekomik agung di peringkat antarabangsa.

                Beberapa bulan yang lalu, saya habis membaca karya terbaharu Ben Te@mare volume 1 dan volume 2. Sebenarnya sudah lama membeli komik ini, tetapi sengaja melambat-lambatkan waktu pembacaan. Dalam keadaan sibuk menguruskan beberapa hal sama ada bidang tugas dan peribadi, saya cuba mencari ruang terbaik untuk menghayati kedua-dua novel grafik ini sekali gus. Akhirnya, saya berjaya menyelami tiap perasaan watak dalam Te@mare ini.

                Te@mare volume 1 memaparkan episod permulaan cerita. Kebiasaannya Ben sentiasa menampilkan karya berbentuk cinta banyak beberapa segi sebagai konflik penceritaan. Namun, konflik ini tidak kosong dengan cerita cinta sahaja. Ia turut diisi dengan nilai kekuatan dalam persahabatan dan keharmonian kekeluargaan. Membuka helai demi helai komik ini, memang melekakan. Mana tidaknya, setiap muka surat pembaca disajikan dengan pelbagai latar indah lukisan Ben. Memang tidak pernah menghampakan!

                Colin merupakan antara watak utama dalam Te@mare yang menyimpan rasa cinta kepada Hana sejak awal pertemuan mereka di perpustakaan. Muncul Ryder sebagai penghalang kisah cinta Colin terhadap Hana. Satu per satu watak dalam Te@mare muncul memeriahkan kekalutan yang melanda seperti watak Mia dan Keiko. Paling saya suka ialah watak Keiko. Seorang gadis yang lincah dan penuh aksi. Bukan calang-calang gadis, tau! Siapa buat onar pada Keiko atau kawan baiknya si Colin itu, tunggulah, waktu untuk dibelasah. Memang hebat!

                 Te@mare volume 2 pula membawa pembaca kepada kisah selanjutnya dalam misi meraih cinta Hana. Namun, pada awal babak pembaca didedahkan dengan kisah penculikan Mia. Colin tetap berusaha menyelamatkan Mia walau pun dia tahu dia tidak berupaya melawan geng penculik itu. Semoga berjaya Colin!

                Pembaca dibawa pula menyelusuri watak Keiko dengan lebih mendalam. Setegas Keiko masih ada sifat belas kasihan paling baik dalam dirinya. Watak baiknya dikembangkan melalui babak ketika dia pulang membawa ubat untuk neneknya. Kepelbagaian perwatakan dalam kisah Te@mare ini menjadikan komik ini benar-benar membuka selera pembaca agar lebih hanyut dengan keenakan hidangan penceritaannya.

Bagaimana kisah lanjut Mia? Adakah dia dapat diselamatkan oleh Colin daripada penculik durjana itu?

               Perjalanan kisah cinta Colin dalam Volume 2 ini masih belum berhenti. Sekali lagi dia diuji dengan kehadiran Hana di hadapan mata. Kali ini Hana benar-benar ingin mendekatinya. Begitu juga Colin. Masing-masing punya harapan tersendiri. Harapan yang kadang-kala kita sendiri tidak mengerti.

Tiba saat paling seksa apabila Te@mare volume 2 habis dibaca! Memang seksa! Sebab menanti sambungan kisah ini dalam Te@mare volume selanjutnya. Sabarlah hati…




About Us

Bila terbitnya bicara, hati mula pasrah, untuk luahan terindah, segalanya diserah…Moga jiwa turut merasa, tentang hati yang mula bercerita.

Teguh pada kata hati, cekal pada kata akal…akan setia pada janji, untuk diri, dia dan semua. Moga ada sinar, pada setiap karya yang terlahir dari jiwa dan rasa. Hanya kerana DIA.

Titip kasih daripada teman blogger

Titip kasih daripada teman blogger
Tanda hati daripada Cik Amy Sense, tQ!!!

Gapaian CIta

Gapaian CIta

Impian Kan Terlaksana

Impian Kan Terlaksana
Barisan melakar cita

Pages