Apabila lidah tersebut sahaja perkataan orang ketiga,
pasti ada mulut-mulut lain yang beranggapan pelik. Sangkaan hairan dan gelisah
menular dalam tiap-tiap jiwa masing-masing sama ada yang tahu dengan sendirinya
atau mendengar dari perbualan orang lain.
Kehadiran ‘orang ketiga’ dalam sesuatu hubungan cukup
cepat tertangkap dalam jiwa masyarakat bahawa suatu tragedi bakal berlaku
hingga mampu melukakan hati banyak pihak. Begitu besarnya pengaruh perkataan
‘orang ketiga’ itu sehingga menjadi ketakutan kepada banyak hati. Terutamanya
hati perempuan yang sememangnya diketahui lemah dan sensitif ini.
Jadi persoalannya, adakah orang ketiga yang terdapat
dalam karya Orang Ketiga ini sama
seperti tanggapan saya itu?
Tidak sama sekali! Maksud saya, Orang Ketiga ini telah banyak meninggalkan kesan buruk kepada
banyak hati. Bukan sahaja melibatkan hati perempuan malah telah mengorbankan banyak
hati termasuk hati watak-watak lelaki dalam novel ini.
“Hmm…dah! Dah dua orang cucu manja awak berkawan dengan
benda haram jadah tu. Baguslah,” bisik Hajah Kalsom di cuping telinga Haji Ali.
Haji Ali tergamam lagi. (hlm. 182)
“Awak masih pertahankan dia. Awak dah lupa? Motosikalnya
lagikan dia jual. Ada dia hormatkan awak semasa dia nak jual motornya dulu?
Sedangkan motor itu awak yang belikan untuknya. Terdesak saja, jual.” (hlm.
196)
Dua petikan di atas jelas menunjukkan siapakah watak
orang ketiga dalam novel ini. Jelas sekali, tidak sedikit pun disebutkan oleh
penulis tentang watak orang ketiga dalam karyanya. Namun, perwatakan dan
gambaran sikap yang diberikan kepada watak Haji Ali ini begitu memperlihatkan
bahawa beliaulah orang ketiga yang telah banyak merosakkan atur jalan hidup
orang di sekelilingnya.
Haji Ali berkuasa atas keluarganya. Sikap beliau yang
terlalu memanjakan anak lelaki dan cucu-cucunya sedikit sebanyak telah
meninggalkan kesan negatif kepada persekitaran keluarga mereka.
Sifat manja ini memang paling bahaya kepada orang yang
tidak tahu mensyukuri nikmat dunia yang telah Tuhan berikan kepada bahagian
masing-masing. Hal ini kerana, manusia memang tidak mudah puas dengan apa2 yang
mereka ada.
Tuduhan saya ini tepat mengena kepada watak Borhan (anak
kepada Haji Ali) dan Jalal (cucu kepada Haji Ali). Borhan dan Jalal memang
mendapat perhatian penuh daripada Haji Ali. Perhatian yang diberikan amat
melampau sehingga kesalahan yang dilakukan oleh Borhan dan Jalal tetap dibela
oleh Haji Ali sebagai sesuatu yang tidak apa-apa. Maka, takdir untuk Borhan dan
Jalal akhirnya mengheret derita ramai orang di sekelilingnya.
Orang
Ketiga tidak berlarutan dengan kisah sesal dan deritanya. Di
sebalik konflik yang menggegar seluruh jiwa pembaca, terdapat babak menarik
yang memberi tenang kepada hati pembaca. Sekurang-kurangnya masih ada sifat
orang ketiga yang mententeramkan jiwa kita. Keseimbangan konflik antara orang
ketiga dalam sesebuah keluarga ini saya sifatkan sebagai satu cubaan nilai
murni yang ingin penulis tonjolkan kepada pembaca.
Watak Pak Su yang membantu Amran merupakan sifat orang
ketiga yang begitu positif dan amat membahagiakan jiwa watak-watak protagonis
yang lain. Amran merupakan salah seorang cucu Haji Ali yang dahulunya sempat
dimanja Haji Ali hingga akhirnya membawa padah kepada Amran kerana tersalah
pilih haluan. Amran telah merosakkan dirinya dengan dadah. Gara-gara terlalu
dimanja dan selalu dimenangkan oleh Haji Ali, Amran sering berasa besar kepala.
Bapa Amran memilih Pak Su sebagai orang ketiga dalam
keluarganya untuk menyembuhkan Amran daripada najis dadah. Berkat kesungguhan
Amran sendiri yang selalu terasuh dengan sifat baik Pak Su menjadikan Amran
berjaya memecahkan kesakitan dalam dirinya daripada kancah dadah. Pak Su amat
sinonim dengan sifat tawaduk kepada Allah. Menjadikan beliau seorang yang
penyayang dan sering mengingatkan Amran kepada amanah Allah. Begitulah sisi
baik seorang ‘orang ketiga’ dalam novel ini yang membangkitkan hati agar tenang
kembali selepas bergaduh dengan sisi ‘orang ketiga’ daripada watak Haji Ali.
Apakah yang akan terjadi selanjutnya kepada Haji Ali
apabila anak dan cucu yang dibela mula meninggikan nafsu daripada akal mereka?
Bagaimanakah nasib mereka sekeluarga yang setiap hari berhadapan dengan
peristiwa yang menyakitkan hati ini?
Ulasan Oleh:
Hanna Johan, 15.11.2015
Ulasan Oleh:
Hanna Johan, 15.11.2015
No comments:
Post a Comment
Bicara madahmu mengerat ukhwah,...Terima kasih :)