Alhamdulillah,
setelah menghantar manuskrip kumpulan cerpen ini selama beberapa tahun, menanti dan terus berharap tanpa jemu berdoa. Alhamdulillah, penantian berbaloi juga. Allah telah meletakkan takdir untuk hamba-Nya dengan indah sekali.
Lahirnya Senyum Ayah tepat sekali pada waktunya. Di saat hati sedang kecewa dengan kekasih hati yang berkali-kali tak jadi, Allah hadirkan Senyum Ayah sebagai pengubat lara paling mujarab. Terima kasih Allah.
Permintaan dan jual-beli dengan rakan-rakan juga amat menggalakkan. Syukur...
Jadi, sedikit tinta kenangan saya suntingkan gambar-gambar rakan dan pembaca yang telah membeli buku saya ini. Semoga gambar ini menjadikan saya lebih bersemangat menulis karya-karya bermutu.
Terima kasih atas sokongan semua! :)
YANG HJ CINTA
Buku, kawan baik paling setia.
berkarya itu indah
Friday, April 22, 2016
Thursday, April 21, 2016
Berkongsi Cerita Senyum Ayah
Alhamdulillah...
Perkataan paling indah yg selalu dilafazkan, dalam suka dan duka.
Saja nak cerita tentang perkembangan kumpulan cerpen Senyum Ayah. Alhamdulillah sekali lagi... buku ini mendapat perhatian ramai. Terima kasih kawan-kawan yang menyokong penulisan saya ini.
Dan Senyum Ayah membawa penulisnya masuk akhbar lagi... hehe.
Boleh juga membaca kisah yang lebih panjang tentang ulasan Senyum Ayah di http://babab.net/out/kumpulan-cerpen-remaja-senyum-ayah-terbitan-itbm-2016.html
Terima kasih semua atas sokongan! :) Alhamdulillah.
Perkataan paling indah yg selalu dilafazkan, dalam suka dan duka.
Saja nak cerita tentang perkembangan kumpulan cerpen Senyum Ayah. Alhamdulillah sekali lagi... buku ini mendapat perhatian ramai. Terima kasih kawan-kawan yang menyokong penulisan saya ini.
Dan Senyum Ayah membawa penulisnya masuk akhbar lagi... hehe.
Boleh juga membaca kisah yang lebih panjang tentang ulasan Senyum Ayah di http://babab.net/out/kumpulan-cerpen-remaja-senyum-ayah-terbitan-itbm-2016.html
Terima kasih semua atas sokongan! :) Alhamdulillah.
Saturday, April 2, 2016
Kumpulan Cerpen Remaja Senyum Ayah
Assalamualaikum & Salam sejahtera,
Sesungguhnya Allah memang selalu memberi yang terbaik untuk hamba-Nya. Alhamdulillah.
Kumpulan Cerpen Remaja Senyum Ayah, akhirnya terbit setelah hampir 4 tahun (perkiraan sejak mula2 hantar manuskrip hingga terbit) menanti.
Senyum Ayah merupakan himpunan 14 buah cerpen remaja. Senyum Ayah merakamkan cerpen terawal hingga terkini saya diterbitkan oleh ITBM. Terima kasih ITBM menerima manuskrip saya untuk diterbitkan.
Sudilah anda membaca karya2 saya ini ya!
Buku Senyum Ayah telah dilancarkan pada 11 mac 2016 di Rumah PENA. Disaksikan para Sasterawan Negara dan disampaikan oleh Ketua Pengarah DBP. Alhamdulillah... tak pernah terfikir kejayaan boleh sampai ke tahap ini.
Sesungguhnya Allah memang selalu memberi yang terbaik untuk hamba-Nya. Alhamdulillah.
Kumpulan Cerpen Remaja Senyum Ayah, akhirnya terbit setelah hampir 4 tahun (perkiraan sejak mula2 hantar manuskrip hingga terbit) menanti.
Senyum Ayah merupakan himpunan 14 buah cerpen remaja. Senyum Ayah merakamkan cerpen terawal hingga terkini saya diterbitkan oleh ITBM. Terima kasih ITBM menerima manuskrip saya untuk diterbitkan.
Sudilah anda membaca karya2 saya ini ya!
Buku Senyum Ayah telah dilancarkan pada 11 mac 2016 di Rumah PENA. Disaksikan para Sasterawan Negara dan disampaikan oleh Ketua Pengarah DBP. Alhamdulillah... tak pernah terfikir kejayaan boleh sampai ke tahap ini.
Thursday, December 17, 2015
TELEGRAF CINTA USD MEMBANGUN SEDAR DIRI.
BERULANG kali saya
keluar dan masuk ke kedai Borders di Berjaya Times Square setelah ternampak
buku ini. Pada awalnya berfikir-fikir hendak beli atau tidak. Pada masa itu
kewangan saya begitu terhad. RM 25 harga buku ini rasanya terlalu mahal. Kebetulan
pula buku ini berbalut plastik, tak boleh nak belek-belek isi dalam.
Kadang-kadang saya ni
pemilih juga. Saya mudah tertarik kepada rekaan kulit buku, kemudian judulnya,
saya akan baca pula sinopsis atau teks pendek yang menggambarkan buku ini di
kulit belakang buku dan jika boleh dibelek (buku bebas daripada balutan
plastik) saya akan belek untuk melihat aturan hurufnya. Jika sudah puas, baru
saya beli. Cerewetnya... hehe.
Dan seperti ada auranya
tersendiri, akhirnya saya masuk kembali ke kedai dan membeli buku ini. Nekad
untuk pakai duit yang ditujukan untuk membeli barangan lain. Dan buku ini
akhirnya dibawa pulang ke rumah dengan selamatnya. Kejadian ini berlaku pada 24
Mei 2015. Setelah membelinya, buku ini disusun cantik di rak buku. Menanti giliran
untuk dibaca. Biasalah, adat saya membeli buku... beli dulu, kumpul dan barulah
membacanya perlahan-lahan ikut giliran. Hehe.
Okey, nak cerita tentang
Telegraf Cinta USD (saya memang mudah
jatuh hati jika ada karya yang diletakkan perkataan Cinta dalam judulnya) ... karya
ini hasil tulisan seorang Pengarang bernama Hami Asraff. Ya, saya akui bahasa
yang digunakan dalam karya ini amat mudah untuk dihadam. Banyak pertanyaan saya
tentang hidup terjawab dalam tiap bab yang disusun seperti mengikut kronologi
perjalanan hidup. Bermula dengan kelahiran dan berakhir dengan pemergian.
Hidup kita ini tidak
pernah sunyi daripada dihurung masalah. Dan setiap hari banyak pertanyaan
mendesak jiwa agar berpuas hati dengan hidup atau memberontak demi mendapatkan
yang terbaik. Terbaik untuk kepuasan sendiri? Alangkah tidak adilnya begitu. Kerana
kita bukan hidup sendirian atas muka bumi ini, sedangkan oksigen yang kita
sedut ini juga berlangsung bersama-sama fungsi tumbuh-tumbuhan.
Topik-topik yang beliau
kupas diberikan judul-judul menarik sebagai permulaan rasa ingin tahu saya
untuk membaca kisahnya dengan lebih lanjut. Contohnya dalam ‘Bab 13: Kita Melihat
yang Banyak, Kita Terlupa yang Sedikit’. Bab ini menegaskan tentang sikap
manusia yang selalu menangguhkan sesuatu pekerjaan. Nak tunggu banyak dahulu
baru nak buat. Mana boleh macam tu kan!
‘Bab 15: Jangan Lumpuh
pada Kegagalan, Bab 18: Berubah itu Mungkin Mudah, Istiqamah itu yang Payah,
Bab 20: Hidup adalah Sebuah Pilihan dan Bab 22: Semuanya Akan Berakhir’
merupakan antara bab yang paling hangat (daripada 37 bab secara keseluruhan) dan
telah menaikkan semangat saya dalam menyedut tiap-tiap pengajaran bermakna
melalui penceritaan yang santai dalam buku ini.
Lalu
pengajaran-pengajaran yang diambil, InshaAllah akan saya praktikkan dalam
kehidupan. Inilah yang baiknya dalam penulisan. Pengarang akan memperoleh
manfaat apabila pembaca karya-karyanya mengamalkan kebaikan yang disebar.
Saya sering menulis
catatan sendiri di tiap akhir sesebuah bab yang saya baca dan antaranya
berbunyi, “Yakin atas segala-galanya,
kerana Allah telah beri yang terbaik untuk hamba-Nya.”
Tahniah kepada sdr. Hami
Asraff. Semoga beliau diberikan kebaikan yang melimpah kerana membahagiakan para
pembaca dengan karya beliau yang terbaik ini. Semoga kita semua diberkati
Ilahi. Aamiin.
Saya yang membaca dan ikhlas mengulasnya: HasniJamali @ HannaJohan (17.12.2015)
Thursday, November 19, 2015
Ulasan Buku - Republik Eskapisme
BEBAS BERANI MEMAKNAKAN KEHIDUPAN DALAM REPUBLIK
ESKAPISME.
Seperti
itulah pengarang mengumpan pembaca agar ingin sama-sama berjuang dalam sebuah
persembahan yang penuh pengharapan. Petikan
puisi Balada Cinta yang Kembali Bernafas
ini memugar niat dan impian pengarang agar makna yang ingin disampaikan meresap
penuh ke sanubari pembaca. Puisi ini turut menekankan satu pengharapan yang
memberi makna sepenuhnya kepada kehidupan.
Ayuh, menjalin rasa dan bebas berani
memaknakan kehidupan!
“Biarlah kita bercinta secara sederhana, kekasih
sekadar isyaratan bahawa
tubuhmu tidak boleh disentuh sesiapa
kecuali suhu cinta yang tiba-tiba mendidih
dan kita panas dalam rangkul
gelora!
(Republik Eskapisme: 4)
Kulit buku warna merah saja sudah memikat hati untuk membaca helai demi helai! :) |
Pengharapan untuk bebas bersuara dalam menyampaikan
kebenaran. Namun, ada kalanya ketakutan menjadi faktor penghalang bagi
melunaskan niat baik itu. Hanya apabila datangnya sebuah desakan, pengharapan
untuk menegakkan kebenaran kembali berpaut pada jiwa-jiwa yang berjuang.
Kumpulan
Puisi Republik Eskapisme disampaikan
oleh Nimoiz T.Y dengan cukup berhati-hati. Pemilihan kosa kata yang cukup baik. Terkadang muluk dan
digayakan dengan rima bahasa yang bernada indah. Pengulangan aspek bahasa yang
dipilih menampilkan kepelbagaian rentak dalam rangkap kata, kalimat dan frasa
puisi. Gabungan rima dan gaya bahasa dalam kumpulan puisi ini akhirnya
mencirikan sebuah estetika tersendiri dalam melahirkan makna pengharapan yang
ingin dizahirkan oleh pengarang.
Estetika pengharapan ini tidak kosong dengan kata-kata
sahaja. Malah pengharapan ini diberikan makna oleh pengarang dengan menampilkan
nilai-nilai tersendiri. Kumpulan puisi ini mampu dipandang dari sudut
nilai-nilai idealisme dan intelektualiti. Keberkesanan estetika ini nanti mampu
memperlihatkan sebuah pengharapan yang memberi makna kepada kehidupan. Namun,
ada antara sesetengahnya nanti mampu menguji kepercayaan dan keyakinan diri
tentang maksud sebuah pengharapan untuk menggapai kebebasan dalam menegakkan
kebenaran.
Puisi Republik
Eskapisme pada halaman satu menjadi pandu arah sebuah pengharapan bermula.
Pengarang awal-awal lagi menukilkan sebuah cerita tentang usaha seseorang yang
berjuang untuk merealisasikan kebenaran. Perjuangan itu diletakkan dalam
harapan tertinggi agar usahanya tidak mati di tengah jalan apabila menerima
pelbagai ujian. Pada akhirnya persoalan ditimbulkan, agar usaha pejuang masih
diberi pengharapan untuk terus melaksanakan kebenaran hingga ke hujung nyawa.
Kita selalu
diberi pilihan tanpa sedar atau pun tidak untuk memilih jalan hidup terbaik.
Namun sekuat mana pilihan itu dibuat sama ada untuk kebaikan sendiri atau
kebaikan bersama-sama, ia menjadi taruhan pengharapan kita sendiri akhirnya.
Puisi Lintasan seperti membawa
pengertian yang sama. Pengharapan untuk mendapat kesejahteraan bersama-sama
terkadang tersimpan sekadar impian.
“Sebenarnya
kauhadir – sebenarnya
cuma
untuk
menghirup
racun dari racunmu.
(Republik
Eskapisme: 48)
Estetika
pengharapan diterapkan juga kepada nilai-nilai yang memberi makna langsung
kepada kehidupan. Dalam meraikan kepelbagaian ragam kehidupan, manusia sering
kali terleka dan meminta-minta (berharap) agar ada jiwa-jiwa yang sudi
mengejutkannya dari lamunan kealpaan. Nimoiz T.Y tidak melepaskan peluang
apabila sudi menjadi antara jiwa-jiwa yang menyelamatkan pembaca daripada
khayalan kelekaan.
Nimoiz T.Y
menutup kronologi kumpulan puisi ini dengan aksara perkataan berunsur alam yang
dinyatakan penuh keindahan. Puisi Tioman:
Antara Aku dan Desir Angin Laut China Selatan (2) menghadirkan nilai
pengharapan yang begitu besar kepada kehidupan. Penyatuan frasa berunsur alam
yang begitu berwarna-warni dengan mainan rima dan nada-nada harmoni,
mengalirkan inspirasi yang membahagiakan pembaca. Puisi ini menggambarkan
tentang perasaan rindu yang paling dalam dan tentang cintanya yang setia dalam
meletakkan harapannya kepada eskapisme menggapai kebenaran yang sejati.
Kumpulan
Puisi Republik Eskapisme karya Nimoiz
T.Y ini mempelawa pembaca masuk ke dalam republik yang mencari eskapismenya
dalam estetika pengharapan tersendiri. Pilihan dan harapan saling bergantungan
seperti pengarang menggayakan pilihan dan harapannya terhadap kumpulan puisi
ini agar bebas meresapi jiwa kepengarangannya ke dalam jiwa pembaca.
Ulasan Oleh: Hanna Johan, 18.11.2015
Wednesday, November 18, 2015
Ulasan Buku - Zombi Rumi
SATIRA
MANIS DALAM ZOMBI RUMI.
Ulasan Oleh: Hanna Johan, 18.11.2015
Sememangnya saya amat bertuah dan tuah ini perlu saya
syukuri sepenuh hati. Tahniah dan terima kasih kepada Haniff Yusoff kerana
menghasilkan kumpulan cerpen Zombi Rumi
ini. Saya akui kesungguhan penulisan Haniff Yusoff dalam apa-apa jua genre yang
ditulis pasti akhirnya menimbulkan sebuah sedar yang menjentik nubari.
11 buah cerpen yang dihidangkan dalam naskhah berkulit
kuning ini benar-benar bermanfaat untuk jiwa pembaca. Persembahan bahasa yang
digunakan amat dekat dengan pembaca. Karyanya tidak berat tapi penuh azimat
untuk diambil iktibar dalam menjalani kehidupan kini yang penuh mencabar.
Buku ini mula dibaca ketika saya dalam perjalanan pulang dari kampung - dalam tren KTM |
Bayangkan sahaja sekarang ini kita masih lagi tidak putus-putus
memperjuangkan isu bahasa Melayu sedangkan bahasa kebangsaan ini tidak perlu
sepatutnya kita perjuangkan tetapi harus kita bangga menggunakannya kerana
bahasa jiwa bangsa. Bahasa Melayu itu merupakan bahasa jati diri kita. Bahasa
darah daging kita yang sejak awal lahir lagi itulah identiti kita.
Dan himpunan cerpen dalam Zombi Rumi banyak menyedarkan saya tentang kadang-kadang sebagai
rakyat tanah air, saya juga terleka dalam memartabatkan bahasa dan budaya kita.
Cerpen Zombi Rumi itu sendiri
benar-benar mengajak kita kembali sedar dengan kepayahan Orang Tua yang saya
anggapkan konotasi bagi pejuang-pejuang bahasa terdahulu yang
bersungguh-sungguh meletakkan hak bahasa Melayu di tempat tertinggi di tanah
lahir kita.
“Orang Tua. Ya, dialah selayaknya.
Selama ini dia yang memperjuangkan juadah tradisi sehinggalah pada suatu ketika,
dia diusir dari Lorong 152. Dialah yang mengajar saya menyediakan juadah
tradisi. Kasihan, dia tiada dosa pada bangsa, tetapi kita semua yang berdosa.
Mungkin inilah balasan Tuhan, semua yang menikmati makanan Barat di Lorong 152
menjadi Zombi Rumi.” (Zombi Rumi, hlm.
52)
Satira yang diperkenalkan Haniff Yusoff dalam buku ini
amat manis sekali. Setiap jalan ceritanya menyentuh hati dan perlahan-lahan
mengajak kita kembali berpaut kepada akar budaya dan bahasa. Ajakannya tidak
secara paksa, tidak juga terburu-buru malah berlembut-lembut dalam tutur
bahasanya.
Akar budaya dan bahasa Melayu ditampilkan penuh mantap
dan berdaya dalam cerpen Naskhah Tok Lah,
Seredup Belantara Cinta, Semoga Alam Tidak Mentertawakan Kita Lagi, Asar di
Penghujung Tahun, Manusia Sekerat Ular Sekerat Belut, Anak Si Penjual Santan, Zombi
Rumi, Dunia Baruku, Kongsi, Leluhur dan
Jembalang Muncul di Perpustakaan Kampung Kami.
“Saya rasa jembalang tidak suka
membaca buku. Jadi saya fikir kemunculan jembalang itu hanyalah konspirasi
pihak-pihak tertentu yang mahu melihat ketamadunan bangsa kita mundur. Pertama
mereka menjarakkan kita untuk mendekati gedung ilmu dan kedua mereka mengaut
khazanah ilmu yang ada dalam perpustakaan ini. Usaha mereka berjaya dan kita
yang ternganga!” (Jembalang Muncul di Perpustakaan Kampung Kami, hlm. 87)
Semoga
petikan di atas tidak menjadi kenyataan dalam hidup kita! Jadi, dapatkan segera
kumpulan cerpen ini dan bacalah bersungguh hati agar dapat mengamalkan manfaat
yang dikarangkan penulis.
Ulasan Buku - Orang Ketiga
SISI
BAIK DAN BURUK ORANG KETIGA DALAM KARYA ORANG
KETIGA.
Apabila lidah tersebut sahaja perkataan orang ketiga,
pasti ada mulut-mulut lain yang beranggapan pelik. Sangkaan hairan dan gelisah
menular dalam tiap-tiap jiwa masing-masing sama ada yang tahu dengan sendirinya
atau mendengar dari perbualan orang lain.
Kehadiran ‘orang ketiga’ dalam sesuatu hubungan cukup
cepat tertangkap dalam jiwa masyarakat bahawa suatu tragedi bakal berlaku
hingga mampu melukakan hati banyak pihak. Begitu besarnya pengaruh perkataan
‘orang ketiga’ itu sehingga menjadi ketakutan kepada banyak hati. Terutamanya
hati perempuan yang sememangnya diketahui lemah dan sensitif ini.
Jadi persoalannya, adakah orang ketiga yang terdapat
dalam karya Orang Ketiga ini sama
seperti tanggapan saya itu?
Tidak sama sekali! Maksud saya, Orang Ketiga ini telah banyak meninggalkan kesan buruk kepada
banyak hati. Bukan sahaja melibatkan hati perempuan malah telah mengorbankan banyak
hati termasuk hati watak-watak lelaki dalam novel ini.
“Hmm…dah! Dah dua orang cucu manja awak berkawan dengan
benda haram jadah tu. Baguslah,” bisik Hajah Kalsom di cuping telinga Haji Ali.
Haji Ali tergamam lagi. (hlm. 182)
“Awak masih pertahankan dia. Awak dah lupa? Motosikalnya
lagikan dia jual. Ada dia hormatkan awak semasa dia nak jual motornya dulu?
Sedangkan motor itu awak yang belikan untuknya. Terdesak saja, jual.” (hlm.
196)
Dua petikan di atas jelas menunjukkan siapakah watak
orang ketiga dalam novel ini. Jelas sekali, tidak sedikit pun disebutkan oleh
penulis tentang watak orang ketiga dalam karyanya. Namun, perwatakan dan
gambaran sikap yang diberikan kepada watak Haji Ali ini begitu memperlihatkan
bahawa beliaulah orang ketiga yang telah banyak merosakkan atur jalan hidup
orang di sekelilingnya.
Haji Ali berkuasa atas keluarganya. Sikap beliau yang
terlalu memanjakan anak lelaki dan cucu-cucunya sedikit sebanyak telah
meninggalkan kesan negatif kepada persekitaran keluarga mereka.
Sifat manja ini memang paling bahaya kepada orang yang
tidak tahu mensyukuri nikmat dunia yang telah Tuhan berikan kepada bahagian
masing-masing. Hal ini kerana, manusia memang tidak mudah puas dengan apa2 yang
mereka ada.
Tuduhan saya ini tepat mengena kepada watak Borhan (anak
kepada Haji Ali) dan Jalal (cucu kepada Haji Ali). Borhan dan Jalal memang
mendapat perhatian penuh daripada Haji Ali. Perhatian yang diberikan amat
melampau sehingga kesalahan yang dilakukan oleh Borhan dan Jalal tetap dibela
oleh Haji Ali sebagai sesuatu yang tidak apa-apa. Maka, takdir untuk Borhan dan
Jalal akhirnya mengheret derita ramai orang di sekelilingnya.
Orang
Ketiga tidak berlarutan dengan kisah sesal dan deritanya. Di
sebalik konflik yang menggegar seluruh jiwa pembaca, terdapat babak menarik
yang memberi tenang kepada hati pembaca. Sekurang-kurangnya masih ada sifat
orang ketiga yang mententeramkan jiwa kita. Keseimbangan konflik antara orang
ketiga dalam sesebuah keluarga ini saya sifatkan sebagai satu cubaan nilai
murni yang ingin penulis tonjolkan kepada pembaca.
Watak Pak Su yang membantu Amran merupakan sifat orang
ketiga yang begitu positif dan amat membahagiakan jiwa watak-watak protagonis
yang lain. Amran merupakan salah seorang cucu Haji Ali yang dahulunya sempat
dimanja Haji Ali hingga akhirnya membawa padah kepada Amran kerana tersalah
pilih haluan. Amran telah merosakkan dirinya dengan dadah. Gara-gara terlalu
dimanja dan selalu dimenangkan oleh Haji Ali, Amran sering berasa besar kepala.
Bapa Amran memilih Pak Su sebagai orang ketiga dalam
keluarganya untuk menyembuhkan Amran daripada najis dadah. Berkat kesungguhan
Amran sendiri yang selalu terasuh dengan sifat baik Pak Su menjadikan Amran
berjaya memecahkan kesakitan dalam dirinya daripada kancah dadah. Pak Su amat
sinonim dengan sifat tawaduk kepada Allah. Menjadikan beliau seorang yang
penyayang dan sering mengingatkan Amran kepada amanah Allah. Begitulah sisi
baik seorang ‘orang ketiga’ dalam novel ini yang membangkitkan hati agar tenang
kembali selepas bergaduh dengan sisi ‘orang ketiga’ daripada watak Haji Ali.
Apakah yang akan terjadi selanjutnya kepada Haji Ali
apabila anak dan cucu yang dibela mula meninggikan nafsu daripada akal mereka?
Bagaimanakah nasib mereka sekeluarga yang setiap hari berhadapan dengan
peristiwa yang menyakitkan hati ini?
Ulasan Oleh:
Hanna Johan, 15.11.2015
Ulasan Oleh:
Hanna Johan, 15.11.2015
Wednesday, September 16, 2015
Hari Ini Hari Malaysia
Hari ini Hari Malaysia
tanggal 16 September disambut semua
masyarakat bergembira
meraikan kemanan negara
bebaslah, bebaskanlah
hadirkanlah rasa sedar
mengangkat martabat negara ke puncak dunia
dengan aman, adil dan saksama.
Jadikanlah diri
pemimpin terbaik bagi anak bangsa
generasi mendatang yang kian hari mendesak pandang
dengarlah, dengarkanlah
segala isi hati
yang benar mencari erti.
Hari ini Hari Malaysia
semoga kelak hari ini
masih dirai penuh aman
adil dan saksama.
Hanna Johan.
16 September 2015
Kuala Lumpur.
Sunday, May 10, 2015
Ulasan Buku-Komik Cinta Untukmu karya Niku-Niku
JUDUL : CINTA UNTUKMU
KARYA : NIKU-NIKU
PENERBIT : GEMPAK
STARZ
Saya selalu mengikuti karya Niku-Niku dalam
ruangan komik, majalah Gempak.
Apabila membaca komik, saya gemar
memilih komik yang dilukis dengan kemas. Dari segi susunan cerita dan
lakaran/lukisan komik berkenaan. Saya bukanlah pakar dalam hal komik ini. Pendapat
dan buah fikiran ini berdasarkan sudut pandangan saya sebagai seorang pembaca
dan penggemar kartun.
Dan akhirnya, karya Cinta Untukmu ini dibeli. Tergoda dengan
kulit komik yang amat menawan. Jika tidak silap, wajah penghias kulit Cinta Untukmu ini adalah wajah Shirley
dalam cerita Raja dan Biri-biri.
Comel sangat! :)
Kumpulan komik Cinta Untukmu ini mengandungi 10 komik pendek yang lain.
Judul-judulnya ialah:
Raja dan Biri-biri.
Gara-gara
Cermin Mata.
Perisa
Cinta.
Krisis
Maruko.
Bila
Kau Berahsia.
Kamera
dan Pengakuan.
Espresso
dan Bunny.
Soda
dan Bento.
Surat.
Hot dan
Cold.
Memang tiada kisah berjudul Cinta Untukmu dalam kumpulan komik ini. Secara
keseluruhan, kisah cinta yang diapaparkan ini sebenarnya membawa kesatuan cinta
yang ingin Niku-Niku zahirkan untuk pembaca-pembacanya. Itulah cinta untukmu
yang sebenar… Iya, kan? Pasti iya…!
Saya suka dengan pembawakan watak-watak
dalam komik ini. Ada sesetengahnya memang lari daripada perwatakan biasa.
Terutama kisah Kamera dan Pengakuan.
Niku-Niku bijak mengatur kejutan dalam pengkaryaannya agar pembaca tidak bosan
dengan kisah cinta klise. Jika mahu tahu, silalah beli dan baca buku ini ya! Hehe…
Kisah cinta yang paling menangkap dalam
hati saya ialah ceritera Perisa Cinta.
Memang cinta itu manis jika kena kepada pasangan sebenar yang telah ditakdirkan
untuk kita, kan! Hehe…
Harapan saya yang gemar membaca komik
ini, semoga Niku-Niku terus maju dan melahirkan karya-karya terbaik pada masa
hadapan.
Subscribe to:
Posts (Atom)
About Us
Bila terbitnya bicara, hati mula pasrah, untuk luahan terindah, segalanya diserah…Moga jiwa turut merasa, tentang hati yang mula bercerita.
Teguh pada kata hati, cekal pada kata akal…akan setia pada janji, untuk diri, dia dan semua. Moga ada sinar, pada setiap karya yang terlahir dari jiwa dan rasa. Hanya kerana DIA.