Alhamdulillah, baru2 ini hanna menang PERTANDINGAN MENGULAS BUKU PTS, hanna dapat tempat pertama atau Johan. :) hadiahnya berupa RM50 yang perlu ditukarkan dengan nilai harga buku-buku PTS hingga setara dengan RM50. hanna sudah buat pilihan tentang buku-bukunya. Tak sabar nak dapat buku percuma. syukur! :) di bawah ini ulasan yang hanna berikan untuk Mencari Makna Hidup karya Parlindungan Marpaung
‘Hidup ini banyak maknanya, terokailah dengan penuh kesanggupan dan hanya kerana Allah Taala’. Petikan ini saya coretkan pada awal halaman, tatkala membeli buku Mencari Makna Hidup tulisan Parlindungan Marpaung. Buku keluaran PTS Millennia yang meletakkan rona merah jingga sebagai latar kulit hadapan mempengaruhi saya untuk mendekatinya ketika melihat paparannya di kedai buku. Tarikan warna mentari yang kekuningan serba sedia memberi makna bahawa masa hadapan kehidupan perlu digali dengan pelbagai cara agar ia bermakna. Kelihatan pula seekor merpati di atas tulisan judul buku ini yang timbul seolah-olah melambangkan kebebasan kita sebagai manusia yang diberikan pilihan pelbagai cara untuk mencari makna hidup yang sebenar. ‘Raikan makna hidup yang sebenar’ pula tertera pada kulit buku ini amat mempengaruhi saya kerana bukan mudah untuk kita mengecapi dan meraikan makna hidup sebenar melainkan kita diberitahu akan kaedah dan caranya.
Sebanyak 246 halaman cukup berkesan memberi pelbagai faedah kepada saya apabila membaca buku ini. Lima bahagian atau bab pula menjadikan satu kaedah pemahaman akan konsep yang mahu disampaikan untuk mencari makna hidup yang sebenar. Buku ini banyak memberi inspirasi kepada saya melalui penyampaian yang bersahaja. Berdasarkan kisah-kisah tauladan yang ditampilkan dan contoh sesuatu itu perlu atau tidak dilakukan memberi panduan kepada saya untuk menilai sejauh mana keupayaan diri dalam mencari makna dalam hidup saya. Konsep kisah dan cerita ini pula ditambah jayanya dengan ruangan penilaian diri yang menyediakan soalan-soalan sama ada kita benar-benar berjaya atau tidak mengenali hidup.
Saya bertambah yakin lagi, apabila setiap kali kisah-kisah tauladan diujarkan terdapat sokongan fakta daripada tokoh-tokoh falsafah dan kehidupan seperti David T. Kyle, Mahatma Gandhi dan ramai lagi. Rujukan dan sokongan fakta ini memberi kepercayaan kepada saya bahawa kejayaan untuk mengecapi makna hidup yang sebenar akan tercapai. Oleh sebab itu, buku ini akan sentiasa menemani kerana ia banyak memberi faedah supaya saya berfikir dan mengenali hikmah di sebalik hasil perjuangan hidup yang akhirnya bakal memberi makna yang sebenar. ‘Mencari Makna Hidup’ membawa aspirasi yang kuat untuk saya menggapai makna hidup yang sebenar.
No comments:
Post a Comment
Bicara madahmu mengerat ukhwah,...Terima kasih :)