Tak
boleh kata tidak, akhirnya novel CINTA KONTRAK tamat dibaca. Sengaja saya mahu
baca novel popular. Membaca novel pop seperti ini, tidak semestinya dianggap
membuang masa atau berlewah-lewah dalam kehidupan.
Sebagai
penulis, saya hormat kesemua hasil seni tulisan penulis yang lain.
Alhamdulillah, novel yang tebal ini selamat dibaca. Secara jujurnya saya tidak
baca keseluruhannya, 20 bab awal saya baca ikut urutan bab. Tetapi masuk bab
seterusnya saya langkah-langkah. Jadi saya tidak dapat ikut masalah atau
konflik sebenar tentang karya ini. Saya kemudiannya melangkah ke bab 30-35, dan
ke bab akhir.
Ada
beberapa nama yang asing, namun masih saya dapat ikut jalan ceritanya. Ini
menunjukkan jalan cerita dalam novel ini diolah dengan baik. Walaupun jalan
ceritanya berulang-ulang hal yang sama, hal-hal gurau senda suami isteri hingga
membawa asyik masyuk buli-membuli isteri kepada suami. Kadang-kadang seronok
membacanya, namun kadang-kadang rasa begitu sahaja.
Tercari-cari
juga input dan ilmu di dalam karya pop ini. Setiap pembaca punya penilaiannya
sendiri. Seperti saya, dalam karya ini masih ada input dan ilmu yang terselit.
Antara ilmu yang jelas dipaparkan ialah ilmu membuat telur dadar yang besar dan
tebal.
Mungkin
ada ilmu lain yang terselit namun ianya sekadar hal-hal tersirat dalam karya.
Antaranya, saya suka dengan ilmu mendapatkan keberkatan dalam hubungan
kekeluargaan. Setiap watak baik (misalnya watak utama) yang hidup dalam
sederhana, sentiasa rapat dengan keluarganya. Usik-mengusik lebih manis
daripada bergaduh tak tentu hala.
Pengalaman
senda tawa memang banyak kelihatan. Ya, tidak dinafikan novel pop seperti ini
tidak memaparkan tema atau pengisian yang berat. Maka ia mudah hadam dan lancar
sahaja bacaannya. ‘Berat’ bagi saya bukanlah yang membebankan minda, tetapi ‘berat’
itu merupakan suatu hal atau sebuah jalan cerita yang padat dengan ilmu, isu
dan falsafah tersendiri yang akhirnya membawa kepada kepuasan tersendiri. Ya,
saya akui… dalam novel pop juga banyak terdapat jalan cerita seperti ini. Padat
dengan falsafah cinta.
Falsafah
cinta yang indah, aman dan mengasyikkan!
Kadang-kadang
sebagai manusia, kita tak akan pernah rasa falsafah cinta seperti ini dalam
kehidupan seharian, jadinya… novel pop adalah penyelamat agar kita dapat rasa
hal-hal sebegitu.
Dalam
hal ini, masing-masing punya selera tersendiri. Membaca amalan baik. Tidak kiralah
bahan bacaan apa sekali pun. Yang penting bacaan itu tidak melalaikan dan
mendorong kepada maksiat. Pandai-pandailah memilih ya!
Tahniah
kepada penulisnya Nurul Ain Syuhada. Lahir pada 1993, sudah ada sebuah novel
pop yang tebal dan ramai pengikut bacaan novel ini… Tahniah! Semoga selepas ini
akan menghasilkan karya-karya yang bermakna untuk masyarakat pembaca. Amin.
No comments:
Post a Comment
Bicara madahmu mengerat ukhwah,...Terima kasih :)