gambar ini diambil di google web jemariseni... maaf gambar tidak beberapa jelas. |
SIRI BACAAN HANNA:
NOVEL TERIMA KASIH CIKGU!
PENULIS: UMI AMIRA
PENERBITl: JS
ADIWARNA TELADAN (JEMARI SENI)
HARGA: RM 14.00
MUKA SURAT: 161 HELAI
TERIMA KASIH CIKGU!
Ucapan ini biasa kita sebutkan kepada guru-guru yang kita sayang
sewaktu di sekolah. Dahulunya ia sebuah ucapan keramat untuk dihulurkan. Ini
kerana, ucapan terima kasih memerlukan rasa kasih yang tinggi yang lahirnya
dari hati agar maknanya benar-benar sampai ke hati penerimanya.
Cikgu Habibah, sudah tidak larat menanggung beban. Kelas 2 Jauhari,
terkenal benar dengan aksi ganas dan menyakitkan hati. Namun, tidaklah semua
pelajarnya begitu. Hanya beberapa pelajar lelaki yang belum sedar diri untuk
meraih masa hadapan yang bahagia.
Lalu ditampilkan watak seorang lagi guru perempuan untuk mendampingi
Tingkatan 2 Jauhari. Kedatangan seorang guru perempuan, dari bandar telah
merubah segalanya. CIKGU SALINA BINTI MOHAMAD FIKRI, menggalas tugas yang
dahulunya terasa sebagai sebuah bebanan oleh Cikgu Habibah.
Menghadapi Luqman, Safuan, Hanafi dan Malek bukanlah hal yang mudah.
Oleh sebab itu, Cikgu Salina telah menjadi seorang guru yang luar biasa:
‘Cikgu Salina sudah bersedia sedari di bilik guru lagi. Dia membaca
doa penerang hati dan pendinding diri, memohon agar tugasan pertamanya pada
hari ini akan berjalan dengan baik dan lancar.’ (2011: 23)
Petikan ini
menampilkan bahawa sebuah perubahan yang terbaik bakal berlaku buat ‘Geng
Samseng Sempoi’ ini. Cikgu Salina amat bersedia menghadapi segala helah dan
bencana yang bakal menyerang dirinya suatu ketika nanti. Amalan doa dan
keyakinan kepada Allah amat dititikberatkan setelah dia berusaha menangganinya
secara psikologi.
Pandangan saya,
novel ini jalan ceritanya klise sekali. Ini kerana, sudah banyak cerita begini
sama ada di tulis atau ditayangkan di televisyen sebagai drama tanpa siri atau
drama bersiri. Namun, di sebalik yang tersurat ingin saya kongsikan di sini
beberapa keistimewaan/ hal-hal tersirat dalam kisah ini.
KEISTIMEWAAN NOVEL
TERIMA KASIH, CIKGU!:
- Jalan cerita yang mudah hadam. Gaya bahasa yang mudah dan seronok diikuti tanpa terganggu dengan apa-apa jua ketidakfahaman ayat.
- Banyak pesanan dan amanat yang meninggalkan kesan mendalam dalam hati saya sebagai pembaca. Antaranya;
-Pesan
yang amat menyentuh hati daripada ayah Luqman kepada Luqman. Ketika ini Luqman
sedang imbas kembali pesanan ayahnya:
“Luqman, kita ini
orang miskin. Tapi, kita tidak boleh miskin ilmu. Selagi ayah hidup, ayah akan
pastikan anak-anak ayah mendapat pendidikan yang secukupnya. Ayah tak nak
Luqman jadi macam ayah, buta huruf dan langsung tidak berpendidikan. Berjanji
ya, nak…” terngiang lagi di telinga Luqman akan kata-kata arwah ayahnya itu.”
(2011: 44)
-Ini pula sketsa
antara Cikgu Salina dengan Mak kepada Luqman yang amat baik hati. Berhati murni
mahu membantu Luqman dengan ikhlas hatinya:
“Makcik, arwah Encik Alias sangat menginginkan Luqman untuk meneruskan
pembelajarannya sehingga ke peringkat tertinggi. Ini adalah satu wasiat yang
sangat murni. Jadi izinkan saya untuk membantu Luqman dan merealisasikan wasiat
arwah. Saya benar-benar ikhlas, makcik.” Cikgu Salina menyambung kata-katanya.
(2011: 51)
-Pak Anuar ialah bapa saudara Cikgu Salina,
turut berbesar hati dan murah hati membantu Makcik Salmah (emak Luqman) dengan
menghulurkan wang sebagai pengurang beban perbelanjaan. Sikap ini harus
dicontohi kita semua:
“Ambillah. Anak-anak kami semuanya sudah besar panjang dan
berkeluarga. Tiap-tiap bulan juga mereka kirim wang kepada kami di sini.
Anak-anak bongsu kami iaitu Dania Qistina pula bersekolah menggunakan duit
biasiswa JPA. Jadi, untuk apa kami simpan duit banyak-banyak tanpa bersedekah?
Lagipun kamu lebih memerlukannya, Salmah. Ambillah.” Pak Anuar tetap berkeras
meminta Makcik Salmah menerima sumbangan ikhlas daripada dia dan isterinya.
Akhirnya Makcik Salmah akur.” (2011: 60)
-Bacaan disua pula dengan hidangan kata-kata
motivasi daripada watak seorang ustaz. Nasihat ini berkaitan ilmu yang harus
dituntut untuk bekalan dan mengelakkan kita jauh tersesat:
“Tuntutlah ilmu hingga ke liang lahad. Ingatlah, tanpa ilmu kita akan
mudah tersesat dan terjerumus ke dalam kencah maksiat dan kekufuran yang
nyata.” Ustaz Syawaluddin menyatakan. (2011: 67)
-Ketika ini Luqman sudah mula sedar dengan
sikapnya yang nakal. Luqman diajak oleh rakan-rakannya berbuat jahat, namun
dengan kesedaran yang sudah mula terbit dalam dirinya, Luqman mengajak mereka
kepada kebaikan:
“Kawan-kawan, saya tidak mahu kita semua ketinggalan dalam pelajaran.
Sudahlah, yang buruk kita jadikan sempadan, yang baik kita jadikan teladan.
Apa-apa pun, kamu bertiga tetap sahabat saya dunia akhirat.” Luqman memujuk
rakan-rakannya. (2011: 81)
“Oleh itu, kita semua wajib bersikap rajin dan berusaha lebih daripada
apa yang sedang kita lakukan sekarang. Masa itu emas, dan kita tidak boleh
berlengah walau seminit pun.” Luqman menyatakan. (2011: 87)
“Mana boleh, saya masih ingat kata-kata Ustaz Syawaluddin, bangun
malam dan beribadah adalah perkara yang paling afdal. Dan mengulang kaji itu
juga satu ibadah, bukan?” Malek sudah pandai berdebat menggunakan hujah yang
bernas. (2011: 87)
“Mak tak pernah putus-putus mendoakan kamu, nak. Supaya sentiasa Berjaya
dalam pelajaran, supaya dapat tunaikan impian arwah ayah kamu.” Makcik Salmah
berkata dalam nada yang sedikit sebak. (2011: 108)
Begitulah kisah ini
berakhir. Berjaya dan selesai dengan aman. Anak-anak murid yang dahulunya nakal
kini berubah menjadi manusia yang sedar diri dan tanggungjawab. Penghargaan
buat Cikgu Salina, sentiasa terkenang dalam hati dan nubari.
Saudari bukan sahaja rajin membaca, rajin juga mencatat. Tahniah!
ReplyDeleteAlhamdulillah, sambil membaca dan mencatat apa2 yang dibaca, akan dapat manfaat pembacaan dikongsi bersama-sama rakan yang lain. InsyaAllah :)
ReplyDeleteTerima kasih.