Bismillahirrahmanirrahim…
Doa.
Jam 12 tengah
hari, tanpa tarikh. Kutahan teksi dan tanpa berfikir mulutku terus menyebut, “Times
Square.” Pemandu yang mesra itu menggelengkan kepalanya tetapi jarinya lantas
memanggilku masuk ke perut teksi. “Ke mana? Pakcik kurang dengar.” Aku membetulkan
suara. Berdehem beberapa kali. Membiasakan tekak agar kembali bergetar
melontarkan suara. Vokal serak ini kembali mengulang jawapan, “Ke Times Square,
pakcik.” “Oh, semua square boleh pakcik bawa.” Selorohnya. Aku membalasnya
dengan senyuman. Ikhlas tapi jauh.
Pakcik memberhentikan
aku di belakang. Memerlukan aku melalui pintu hotel. Dipandang ramai orang. Seperti
diberi tumpuan. Mahu senyum tapi tawar. Biarlah seperti biasa-biasa sahaja. Ini
kali pertama dalam beberapa bulan. Cuba menjadi pengembara. Seorang diri.
Seorang diri. Dalam
diri yang masih belum kebah demam yang dikirim Ilahi. Hanya memberi senyum
keapada diri. Ikhlas. Agar yakin dan bersungguh-sungguh mencuba. Sendiri itu
adakalanya indah. Kita bisa mengembara dengan mata dan hati. Sendiri. Mungkin kerana
beberapa bulan ini aku masiih belum biasa bersendiri. Sebab itu aku masih
mencari kekuatan atas kepercayaan kepada diri. Sendiri.
Dan aku pulang
pada jam 2 petang. Mencari makanan, mencari tujuan dan melunaskan harapan. Alhamdulillah,
semua yang kuinginkan dimakbulkan Tuhan. Cuma ingin kupersoalkan kepada diri. Adakah
aku seorang pengembara yang tidak baik? Adakah aku digolongkan sebagai pengembara
yang manja? Untuk jawapan bahawa jarak dari tempatku untuk ke Times Square
mungkin dengan upayaku berjalan kaki dalam ½ jam baru tiba. Tetapi pergi dan
pulang aku menahan teksi untuk melunaskan hajat kembara ini.
Jawapan itu
ada dalam diri. Dengan teksi juga adalah kembara yang baik jika tidak mahu
untuk berjalan kaki. Bukankah kembara itu terdiri daripada pelbagai cara? Senyumlah
diri. Senyum dengan ikhlas dan yakin hati. Tuhan memberi pelbagai cara untuk
kebaikkan hamba-Nya. Ucapkan Alhamdulillah dan yakin dengan ketentuan ini. “Alhamdulillah.”
No comments:
Post a Comment
Bicara madahmu mengerat ukhwah,...Terima kasih :)