berkarya itu indah

berkarya itu indah

Sunday, July 28, 2013

Kembara ke Perlis

Salam Ramadhan salam kemuliaan,

Alhamdulillah, sudah sibuk-sibuk di Bandung selama seminggu untuk program MASTERA 2013, pulang sahaja ke KL terus kena pergi Perlis. Alhamdulillah, merantau lagi. 

Awalnya perlu ke Perlis pada awal Julai 2013. Namun ditunda pada 14 hingga 16 Julai 2013. Alhamdulillah selama berada di sana, suasana sawah padi menyapa perasaan yang tenang (sebelum diuji dengan suatu perasaan kehilangan). Kiri dan kanan semuanya padi. Hijau dan indah.

Tujuan ke Perlis ini bukan semata-mata untuk melihat tempat orang, tetapi atas tugas sebenarnya. Biasalah. Saya di unit pameran. Jadi program Bulan Bahasa Kebangsaan 2013 kali ini lokasinya adalah di Perlis. Sebagai kumpulan yang mengendalikan pameran, BBK adalah salah satu program besar DBP.

Menginap di Hotel Sri Malaysia. Banyak kenangan manis kami di sana. Hari pertama berbuka bersama-sama ahli kumpulan yang terdiri daripada 3 lelaki dan 1 orang perempuan. Wah, jadi adik manja lah saya masa tu. hihi. Berpusing-pusing juga di sekitar bandar Kangar mencari bazar Ramadhan. Susah nak jumpa. Akhirnya hanya bazar kecil yang kami jumpa, di situ saya borong air asam boi. hah, sedapnya. Kemudian kami berbuka puasa dengan penuh rahmat Allah di gazebo yang disediakan pihak hotel. Indahnya.

Alhamdulillah, hari berikutnya bos belanja makan seafood di Kuala. Berhadapan Hotel Brasmana. Sedap dan murah.

Tugas kami pun berjalan lancar. Lawatan lokasi pameran siap sudah dimasukkan dalam laporan. Esoknya kami sempat ke Padang Besar. Apa yang saya beli? Kekacang untuk raya. Itu je lah. Ketika dalam perjalanan pulang pula kami singgah di Pekan Rabu, Kedah. Sempat lah saya membeli ikan pekasam dan ikan kering untuk mak dan ayah.

Alhamdulillah, pengalaman yang indah. Bulan Ramadhan membawa seribu rahmat dan keberkatan.

dan kehilangan,
berganti riang kehidupan,
hikmah-Nya sudah cukup terhidang,
nikmati sahaja tanpa perlu banyak alasan. 

Senyum untuk masa hadapan. 

hijau padi ciptaan Ilahi. Subhanallah.

pemberian pihak Perpustakaan Negeri Awam Negeri Perlis, di sana kami berbuka puasa pada jam 7.40pm.

Rakaman sawah padi dari dalam kenderaan yang sedang bergerak. Suatu hari nanti mahu datang lagi dengan insan tersayang. :)

Rakaman foto papan petunjuk, penting sebagai kenang-kenangan ketika mengembara.
 

Nikmat Kelukaan

Salam Ramadhan salam kemulian,
 
akhirnya kisah bahagia yang saya harapkan, tidak berhasil dengan baik. Allah Maha Mengetahui. Hingga kini saya masih gagal. 

kata orang, kegagalan paling teruk ketika belajar ialah tidak berjaya dalam pelajaran. Kegagalan ketika menjadi manusia dewasa, apabila tiada kejayaan dalam hubungan kasih dan sayang bersama-sama pasangan. 

Perasaan paling sedih pernah saya alami ketika ini. Kegagalan sejak dahulu hingga kini masih tidak pernah berakhir. Sungguh, sakitnya hanya Allah sahaja yang tahu. Dan dalam kesakitan ini, Allah sedang menyediakan yang lebih baik daripada kisah-kisah gagal itu, InsyaAllah.

Maaf, kalau-kalau ada yang bosan membaca kisah luka ini. Al-maklumlah, siapa yang suka kisah sedih kan? Hanya hati yang menanggung sahaja yang terpaksa hadapi semua ini. Dengan izin Allah, lekas-lekaslah pergi segala kedukaan.

Memang susah melepaskan seseorang yang disayang, namun itu semua sudah ketentuan. Dan cinta tidak boleh dipaksa-paksa. Pengorbanan tetap perlu dalam kisah ini. Ya, pergilah membina bahagia bersama-sama insan pilihan. Moga sahaja Allah kuatkan hati saya. Moga sahaja jiwa ini pulih kembali lukanya.

Dengan izin-Nya nanti, hadirlah kekasih benar-benar kekasih yang membahagiakan. Kekasih dunia kekasih akhirat. InsyaAllah.

Dalam rengsa seperti ini Allah hadirkan rezeki yang tidak terbanding nilainya. Rezeki atas karya-karya yang tersiar di media cetak. Dengan izin-Nya, inilah yang terbaik buat saya. Alhamdulillah. Cinta saya kini belum terukir di mana-mana hati manusia bernama lelaki, tetapi Allah hadirkan ia dalam karya-karya saya. 

Paling indah antara semua apabila buku kanak-kanak saya CIK LEBAH MADU diterjemahkan ke dalam bahasa Jepun dan kini dijual dalam pasaran Jepun. Besar nikmat yang Allah beri. DIA tak izinkan lagi kasih saya diterima dalam hati kekasihnya, tetapi DIA hadirkan dahulu kejayaan penulisan saya hingga ke peringkat antarabangsa. Bersyukurlah hati, ini semua sudah ditentukan sebaik-baiknya dari DIA.

Alhamdulillah, terima kasih Allah.

Cerpen GARA-GARA KUCEN, di Mingguan Wanita 31 MEI - 06 Jun 2013.

Sajak DI KAMAR HATI AYAHKU, di majalah Tunas Cipta bulan JUN 2013.

Cerpen SYUHADA WASILAH CINTA, di Mingguan Wanita 19-25 Julai 2013.
 
Cerita Pendek HADIAH KEMAAFAN dalam majalah KEMBARA USTAZ jilid ke8 Jun 2013.
Keratan akhbar menampilkan berita terindah ini. Kelihatan CIK LEBAH MADU di sebelah kanan dalam bahasa Jepun :)
 

MASTERA (CERPEN) 2013, saya datang.

Salam Ramadhan salam kemuliaan,

Terasa lama benar tidak 'update' kisah di sini. Beberapa bulan yang menggembirakan. Tidak kurang juga berita-berita menyedihkan turut hadir sama-sama memeriahkan kehidupan. 

Syukur kepada Ilahi. Dalam kesempitan ruang untuk berkarya, masih ada juga karya-karya yang tersiar di media cetak. Karya-karya baharu yang sempat saya tuliskan ketika punya senggang masa. Terima kasih Allah. 

Paling indah, apabila kali ketiga Allah tawarkan saya mengikuti program MASTERA. Kali pertama dan kedua dahulu saya terpaksa menolak atas rasa takut (belum pandai berdikari ke negara asing) dan ketika itu masih belum punya wang yang mencukupi untuk ke negara orang. Iyalah, pastinya ketika itu semua ditanggung pihak penganjur, namun ketidakyakinan menghalang untuk saya ke sana. Alhamdulillah, peluang ini bukan biasa-biasa. Tahun ini Allah buka 1 lagi peluang untuk saya. Alhamdulillah juga, saya berkelapangan, berkeyakinan dan dimurahkan rezeki untuk mengikuti program MASTERA (Cerpen) di Bandung, Indonesia. 

23 Jun 2013, menginap di Jakarta sebelum esoknya ke lokasi MASTERA iaitu di Bandung. 24 Jun hingga 30 Jun, proses mendalami ilmu penulisan cerpen berlangsung penuh bahagia. 1 Julai menginap di Jakarta sebelum pulang ke Kuala Lumpur. 

Alhamdulillah, indah kurniaan Allah.

di sini seperti hilang segala duka,
ingin sahaja hati ditinggalkan di sini,
namun hakikat hidup,
tidak seperti bayangan mimpi,
realiti pahit manis,
teruslah dihadapi sekuat hati. 

gambar kenang-kenangan di TANGKUBAN PARAHU, BANDUNG. Tuan S.M Zakir (pembimbing), Kak Becky, saya dan Abang W.B Rendra (kami peserta dari Malaysia yang bertuah).

Ini sesi memperkenalkan diri pada malam pertama. Gugup disaksikan peserta dari Malaysia, Indonesia, Brunei dan Singapura. Pengalaman indah yang hebat.

bersama-sama Iya (Fadriah Syuaib) peserta dari Indonesia, melukiskan saya versi kartun. Di tengah-tengah itu peserta dari Singapura yang nakal, Aqmal.

Pemandangan di gunung Tangkuban Parahu, merakam kenangan indah alam.

Kami dikuliahkan di sekitar alam hijau yang dinging dan selesa ini.

Di sini ilmu dicurah.

Degup jantung bergetar hebat tatkala surat tawaran diterima. Dan proses menyediakan persiapan bermula.

Inilah lokasi kami menginap dan bercerpen. Lembang Asri Resort. Sangat sejuk sebab kami berada benar-benar di atas puncak.

gambar dari atas puncak.

salah satu lokasi idaman. Nak mandi tapi segan. Kolam renang atas puncak, sekali celup kaki menggigil seluruh tubuh. hehe.
 

Wednesday, June 5, 2013

Yang akan Datang

Kembara Ustaz Jilid 8, menampilkan HADIAH KEMAAFAN daripada saya.


Kembara Ustaz terus gemilang, InsyaAllah...

"Bertudung merah hati berkaca mata, moga-moga berseri-seri..."

Antara 2 kalimah

Sapaan daripada Pak Hashim di FB...
 
 
BERKELANA. Seindah getir melunaskan hajat tiap-tiap perantau.
 
Antara dua kalimah
"Saya Syukur..."
kalimah suci kalimah penuh erti.
 
Berkelana, karya Pak Hashim Zabidi
menjadikan saya seorang penyunting (editor) sambilan
suatu masa dahulu
ketika dunia hati
dingoncang kuat penuh seri.
 
Saya syukur,
atas rasa percaya dan yakin
terima kasih ITBM
memaknakan impian menjadi realiti...
yang bahagia sekali.

Ilham yang diberi pinjam

Alhamdulillah... Ucapan pertama ini tidak pernah lekang dan sesungguhnya moga ia terus mekar di bibir dan hati saya.
 
Yang mana mahu dimulakan dahulu? Sesungguhnya segala yang hadir ini suatu nikmat bermakna yang tidak terhitungkan nilainya. Alhamdulillah...
 
Sudah 7 Jilid saya bersama-sama VC Kreatif menjadi salah seorang sidang pengarang. Mudah-mudahan usaha ini memekarkan ilham di hati saya dan semua pembaca. Ke Taman Syurga, menghiasi ruangan Kembara Ustaz Jilid ke-7.

Cerpen GARA-GARA KUCEN menghiasi majalah Mingguan Wanita. Cobaan pertama menulis genre komedi yang 'mengajar' dan 'bermakna'... InysaAllah.
 
Moga segala karya saya yang tersiar ini memberi manfaat kepada pembaca semua. Amin. :)

Friday, May 10, 2013

BUKU BAHARU SAYA!







Syukur yang tidak terhingga. Rezeki Allah limpahkan tidak tenilai harganya. Pada PABKL 2013 yang lalu, buku siri Haiwan Teladan berjudul CIK LEBAH MADU hinggap di rak jualan di gerai Institut Terjemahan Buku Malaysia (ITBM) atau dulunya dikenali ITNM. 

Buku kanak-kanak ini diilustrasikan oleh pelukis berbakat Nur Suraya Mohamad Kahar. Buku ini juga mempunyai versi bahasa Inggeris yang berjudul Miss Honey Bee.

Mari dapatkannya di ITBM dengan harga RM 10.00 sebelum diskaun! Jom beli dan baca! Sama-sama mengembara dan terbang riang bersama-sama Cik Lebah Madu ini! :)

Terima kasih!  

Dedikasi PBAKL ep.2

Di Kedai Pink Ain Maisarah, bersama-sama Kak Izanor Sharif dan Kak Ain Maisarah. Mereka turut mempromosikan buku baharu saya! CIK LEBAH MADU! :)

Penulis AKU MAHU LAWAN HANTU dan Pelukis LAWAK SEKOLAH... Blink Blink :)

Bersama-sama Penulis CupCake yang sedap! :)

Bersama-sama Penulis Dekor-dekor... Senyumannya semanis Cik Lebah Madu! :)
Dedikasi PBAKL 2013

Penuh semangat
kaki melangkah
Kedua kali hati diiring
bawa diri ke gedung agam
dipenuh buku ilmu
disambut riang kamu
Blink Book di situ
duduk labuh senyum bertamu
 novel AKU MAHU LAWAN HANTU
novel comel MISTERI GADIS BERBAJU PUTIH
novel comel SIAPA YANG MENEGUR
jadi haru dibisik rindu
moga setuju jiwa-jiwa yang memilih
moga setuju makna-makna bacaan tetamu ilmu. 

Hasni Jamali (10 Mei 2013)        

Dedikasi PBAKL 2013 ep.1

Buku baharu terbitan BLINK BOOK iaitu Siapa Yang Menegur, terbit 2013. :)

Singgah di gerai YADIM, jumpa teman lama dan saling bertukar hadiah buku masing-masing... :) Syok!
Bersama-sama Tuan Pengurus Blink Book Sdn. Bhd... :)


Hanna Johan dan Shaz Johar... Penulis bersama-sama Penulis :)
Hanna Johan Blink dan Mat Blink... (Aman Wan) :)


Teman sahabat yang sedia ke mana-mana sahaja mengiringi cik Penulis HJ ini. hihi... tQ!

Dedikasi PBAKL 2013

Di sini haluan dihayun
bawa hati bawa diri
bersama-sama teman
berpimpinan tuan dan taulan
Syukur,
Allah jua Maha Pemurah dan Maha Penyayang
atas nikmat rezeki yang tertabur
buat hamba bergelar
Hanna Johan
Hasni Jamali
mengutip tinta karya
dalam kalangan tawa dan duka 
warga pembaca
terima kasih SEMUA.

Hasni Jamali (10 Mei 2013)

Wednesday, April 24, 2013

Certot: HARUM WAKTU BERSAMA-MU


Antara waktu yang masih tersisa,
di sini letaknya kata-kata.

Ya, Tuhan
moga ini bicara yang memberi kesan
buat hati insan-insan
yang Kau datangkan kepadanya.

Selamat membaca.

Certot (cerita kontot) HARUM WAKTU BERSAMA-MU, 
majalah Kembara Ustaz, jilid-5 (April 2013)

 

Thursday, April 18, 2013

Mencintai tugas dan amanah

Menerima kunjungan Ibu Ririn Atika (Karyawan Indonesia) ke Pusat Dokumentasi Melayu, Tingkat 6, Dewan Bahasa dan Pustaka.

Antara kerja-kerja kini, membaca, menyelidik dan membantu pegawai menyiapkan bahan-bahan semepena pameran Sasterawan Negara ke-12.
Bersama-sama Sasterawan Negara ke-12 di terataknya. Antara tugas dan amanah Mei 2013 saya.

Monday, April 15, 2013

Ketika Tiada Sebenarnya Ada

Mereka antara yang penting membantu menjayakan tugasan pameran MABBIM. Mendatangkan ceria buat semua.


Assalamualaikum…



LAMA menyepi bukan kerana tak ingin lagi. Ada. Ya, saya masih ada. Alhamdulillah masih Allah pinjamkan nafas ini untuk terus mencoret kata. Senyum.



BEGITU masa cukup memberi seribu rasa. Ya, lebih daripada itu mungkin. Sejuta dua juta masa. Hampir lima bulan saya belajar menyesuaikan diri di rantau ini. Alhamdulillah. Bagai rempah ratus. Ada pedas, masam, masin dan manisnya. Segala rencam rasa untuk kehidupan lebih bermakna.



Masuk ke dunia asing. BELAJAR, itulah perkara paling indah yang tidak pernah putus untuk mengecap ilmu. Dalam proses belajar inilah, segala harapan terlaksana dan menghasilkan sesuatu yang lumayan untuk diri dan kepuasan hati.

 Inilah antara punca saya lama meninggalkan jejak aksara di blog. 

1. Pameran Sempena SEMINAR KEBAHASAAN KE-52 MAJLIS BAHASA BRUNEI DARUSSALAM, INDONESIA DAN MALAYSIA (MABBIM) yang diadakan pada 3-4 April 2013 bertempat di DBP, Kuala Lumpur.


Hasilnya. 20 poster dalam deretan papan pameran menghiasi ruang lobi. Antara tugas penting dan banyak memberi dugaan ketika menyiapkan bahan-bahan dalam poster. Alhamdulillah, akhir hasil mendapat banyak kata-kata galakan daripada semua pihak.

Mula berdampingan bersama-sama VIP. Ketika ini Timbalan Menteri Pengajian Tinggi 2 sedang menandatangani buku pelawat dan sedetik meninggalkan ucapan ringkas yang akrab menyuntik semangat saya untuk terus bekerja kerana ibadah kepada Allah. InsyaAllah.

2. Pameran Sempena WACANA PERPADUAN UMMAH pada FEBRUARI 2013, bertempat di DBP, KL

Menyambut ketibaan D.Y.M.M Raja Nazrin Shah.

Pameran poster berkaitan Perpaduan Ummah dan paparan manuskrip lama.

Seketika sempat bertemu dan beramah mesra bersama-sama Kak Ainunl Muaiyanah, seorang Penulis hebat dan Editor di ITBM.
3. Pameran Sempena MAJLIS PENYAMPAIAN HADIAH PERADUAN MENGARANG BUKU BERGAMBAR KANAK-KANAK 2012, bertempat di Hotel Prince, Kuala Lumpur pada 21 Mac 2013.


'Mock up' buku-buku pemenang. Saya antara orang pertama yang membaca buku ini sebelum diterbitkan. :)
Tetamu VVIP, D.Y.M.M Raja Zarith Sofiah sedang menyaksikan pameran poster kami.
D.Y.M.M Raja Zarith Sofiah sedang menandatangani buku pelawat yang disediakan. Pemegang talam itulah saya, nampak talamnya sahaja. hehe...
Alhamdulillah. Antara tugas lain, selain menguruskan pameran ini, saya duduk dalam unit muzium. Ini, lain pula kisahnya. Banyak pengalaman indah dan menarik serta mistik boleh saya kongsikan nanti. InsyaAllah.

Terkadang dugaan yang hadir mengatasi segala kesabaran. Atas dasar bekerja kerana ibadah, saya perlu dan saya mesti bertahan. Menghadapi karenah sikap manusia, antara cabaran hebat yang perlu saya belajar untuk sabar dan terus bertahan dalam dunia pekerjaan ini.

Bak kata seorang teman, ketika kami sedang membuat penyelidikan di Pusat Dokumentasi Melayu beberapa hari yang lalu...

“Buat dek je! Bukan semua orang suka kita dalam dunia ni. Dan kita, hanya manusia biasa yang terkadang jenuh membuat orang jemu dan menyimpan sikap iri dan dengki. Orang yang mempunyai iri dan dengki kepada kita itu terkadang dia melihat kelebihan dan kebaikan kita melebihi potensinya. Jadi, ambil ia sebagai positif dan yakinkan diri bahawa kita sentiasa dalam lindungan Allah. Takut hanya kepada Allah. Yang lain-lain serah sahaja pada Allah selepas kita berusaha menjadi yang terbaik untuk semua orang.”



About Us

Bila terbitnya bicara, hati mula pasrah, untuk luahan terindah, segalanya diserah…Moga jiwa turut merasa, tentang hati yang mula bercerita.

Teguh pada kata hati, cekal pada kata akal…akan setia pada janji, untuk diri, dia dan semua. Moga ada sinar, pada setiap karya yang terlahir dari jiwa dan rasa. Hanya kerana DIA.

Titip kasih daripada teman blogger

Titip kasih daripada teman blogger
Tanda hati daripada Cik Amy Sense, tQ!!!

Gapaian CIta

Gapaian CIta

Impian Kan Terlaksana

Impian Kan Terlaksana
Barisan melakar cita

Pages