berkarya itu indah

berkarya itu indah

Wednesday, April 24, 2013

Certot: HARUM WAKTU BERSAMA-MU


Antara waktu yang masih tersisa,
di sini letaknya kata-kata.

Ya, Tuhan
moga ini bicara yang memberi kesan
buat hati insan-insan
yang Kau datangkan kepadanya.

Selamat membaca.

Certot (cerita kontot) HARUM WAKTU BERSAMA-MU, 
majalah Kembara Ustaz, jilid-5 (April 2013)

 

Thursday, April 18, 2013

Mencintai tugas dan amanah

Menerima kunjungan Ibu Ririn Atika (Karyawan Indonesia) ke Pusat Dokumentasi Melayu, Tingkat 6, Dewan Bahasa dan Pustaka.

Antara kerja-kerja kini, membaca, menyelidik dan membantu pegawai menyiapkan bahan-bahan semepena pameran Sasterawan Negara ke-12.
Bersama-sama Sasterawan Negara ke-12 di terataknya. Antara tugas dan amanah Mei 2013 saya.

Monday, April 15, 2013

Ketika Tiada Sebenarnya Ada

Mereka antara yang penting membantu menjayakan tugasan pameran MABBIM. Mendatangkan ceria buat semua.


Assalamualaikum…



LAMA menyepi bukan kerana tak ingin lagi. Ada. Ya, saya masih ada. Alhamdulillah masih Allah pinjamkan nafas ini untuk terus mencoret kata. Senyum.



BEGITU masa cukup memberi seribu rasa. Ya, lebih daripada itu mungkin. Sejuta dua juta masa. Hampir lima bulan saya belajar menyesuaikan diri di rantau ini. Alhamdulillah. Bagai rempah ratus. Ada pedas, masam, masin dan manisnya. Segala rencam rasa untuk kehidupan lebih bermakna.



Masuk ke dunia asing. BELAJAR, itulah perkara paling indah yang tidak pernah putus untuk mengecap ilmu. Dalam proses belajar inilah, segala harapan terlaksana dan menghasilkan sesuatu yang lumayan untuk diri dan kepuasan hati.

 Inilah antara punca saya lama meninggalkan jejak aksara di blog. 

1. Pameran Sempena SEMINAR KEBAHASAAN KE-52 MAJLIS BAHASA BRUNEI DARUSSALAM, INDONESIA DAN MALAYSIA (MABBIM) yang diadakan pada 3-4 April 2013 bertempat di DBP, Kuala Lumpur.


Hasilnya. 20 poster dalam deretan papan pameran menghiasi ruang lobi. Antara tugas penting dan banyak memberi dugaan ketika menyiapkan bahan-bahan dalam poster. Alhamdulillah, akhir hasil mendapat banyak kata-kata galakan daripada semua pihak.

Mula berdampingan bersama-sama VIP. Ketika ini Timbalan Menteri Pengajian Tinggi 2 sedang menandatangani buku pelawat dan sedetik meninggalkan ucapan ringkas yang akrab menyuntik semangat saya untuk terus bekerja kerana ibadah kepada Allah. InsyaAllah.

2. Pameran Sempena WACANA PERPADUAN UMMAH pada FEBRUARI 2013, bertempat di DBP, KL

Menyambut ketibaan D.Y.M.M Raja Nazrin Shah.

Pameran poster berkaitan Perpaduan Ummah dan paparan manuskrip lama.

Seketika sempat bertemu dan beramah mesra bersama-sama Kak Ainunl Muaiyanah, seorang Penulis hebat dan Editor di ITBM.
3. Pameran Sempena MAJLIS PENYAMPAIAN HADIAH PERADUAN MENGARANG BUKU BERGAMBAR KANAK-KANAK 2012, bertempat di Hotel Prince, Kuala Lumpur pada 21 Mac 2013.


'Mock up' buku-buku pemenang. Saya antara orang pertama yang membaca buku ini sebelum diterbitkan. :)
Tetamu VVIP, D.Y.M.M Raja Zarith Sofiah sedang menyaksikan pameran poster kami.
D.Y.M.M Raja Zarith Sofiah sedang menandatangani buku pelawat yang disediakan. Pemegang talam itulah saya, nampak talamnya sahaja. hehe...
Alhamdulillah. Antara tugas lain, selain menguruskan pameran ini, saya duduk dalam unit muzium. Ini, lain pula kisahnya. Banyak pengalaman indah dan menarik serta mistik boleh saya kongsikan nanti. InsyaAllah.

Terkadang dugaan yang hadir mengatasi segala kesabaran. Atas dasar bekerja kerana ibadah, saya perlu dan saya mesti bertahan. Menghadapi karenah sikap manusia, antara cabaran hebat yang perlu saya belajar untuk sabar dan terus bertahan dalam dunia pekerjaan ini.

Bak kata seorang teman, ketika kami sedang membuat penyelidikan di Pusat Dokumentasi Melayu beberapa hari yang lalu...

“Buat dek je! Bukan semua orang suka kita dalam dunia ni. Dan kita, hanya manusia biasa yang terkadang jenuh membuat orang jemu dan menyimpan sikap iri dan dengki. Orang yang mempunyai iri dan dengki kepada kita itu terkadang dia melihat kelebihan dan kebaikan kita melebihi potensinya. Jadi, ambil ia sebagai positif dan yakinkan diri bahawa kita sentiasa dalam lindungan Allah. Takut hanya kepada Allah. Yang lain-lain serah sahaja pada Allah selepas kita berusaha menjadi yang terbaik untuk semua orang.”



Monday, March 11, 2013

Sederhana Cinta

Minggu ini disertai tarikh 12hb Mac 2013. 

Tarikh ini membawa kepada suatu perubahan sikap. Idea penulisan datang mencurah-curah. Memang sukar untuk dilepaskan. Malah diri terlalu rajin untuk memuat naik cerita terkini di blog. Hairan! Kenapa selalu aku rasa malas sangat?

Okey... berkaitan 12hb Mac ini. Tarikh yang akan membawa aku menduduki sebuah peperiksaan bagi pengesahan jawatan. Selama 1 hingga 3 tahun, jika prestasi aku tidak baik maka... Nauzubillah. Tak mahulah sebut. Moga-moga ia dijauhkan. Setelah berusaha membaca dan mengingat semua fakta, aku berdoa agar Allah memperkenankan doaku untuk terus berkhidmat di sini. Dengan prestasi yang cemerlang dan berjaya. InsyaAllah.


Kemudian, aku terpaksa memperlahankan atau memilih judul Sederhana CInta dalam bidang penulisan karya kreatifku. Semata-mata demi 12hb Mac ini. Beri tumpuan dan fokus kepada peperiksaan dahulu. Selaras dengan teras fungsi DBP, aku perlu khatam dan tahu dalam-dalam berkaitan bahasa, sastera dan penerbitan. Lain-lain ialah tugas umum yang perlu juga aku dalami.

Ya Allah, moga hamba-Mu ini berjaya menjawab soalan peperiksaan nanti. Kurniakanlah hamba idea yang bernas hingga hamba berjaya menjawab yang benar. Lalu memperoleh markah yang benar-benar tinggi dan cemerlang. Amin Ya Rabb.

Habis peperiksaan nanti bolehlah aku fokus kembali kepada cinta. Ya, Sederhana Cinta menjadi Sekuat Cinta. Lepas tu? Lepas tu bolehlah nikah... haha. Merepek! Nak nikah kena cari cinta jiwa dulu.

Orait, semoga aku berjaya! AMIN.

Sunday, March 10, 2013

Antara Kerjaya Saya


Selain bergelar penolong pegawai dalam tugas hakiki saya juga 'diupah' menjadi kolumnis (pengisi kolum) dalam majalah KEMBARA USTAZ. Alhamdulillah, kini sudah pun masuk jilid atau isu-4. Dan dalam gambar di atas bakal terbit isu-5. 

Terkandung karya saya berjudul Harum Waktu Bersama-Mu. Sebuah ceritera yang saya tulis ketika dirundung tangis yang hebat. InsyaAllah dan Alhamdulillah. Allah turunkan ilham penulisan ceritera itu. Mengalir laju. Dan lengkap ditulis atas sebuah buku dan barulah esok paginya saya pindahkan dalam komputer. 

Menanti ia terbit dengan lancar hendak-Nya. InsyaAllah. 

Mujurlah Allah hadirkan bakat terindah ini dalam diri. Buntu juga setiap hari menangani masalah kepelikan sikap manusia di tempat kerja. Kadang-kadang letih hingga terbawa-bawa dalam mimpi. Didoakan selalu agar Allah lembutkan hati manusia-manusia yang sentiasa ada dalam lingkungan hubungan urusan dengan saya hari ini, nanti dan bila-bila. Amin. 

Semoga hari-hari kita dihimpunkan bersama-sama wangian kebahagiaan. InsyaAllah. :)

Antara 2 Pesan Berharga


Pada awal Januari 2013, saya berpeluang dijumpakan dengan karyawan hebat tanah air. Tuan Ismail Kassan. Pertemuan ini secara kebetulan. Ketika itu saya ke Tingkat 3, Pusat Dokumentasi Melayu yang juga perpustakaan Dewan Bahasa dan Pustaka. Kedatangan saya untuk mencari bahan penyelidikan.

"Marilah Hanna, kakak kenalkan Hanna dengan karyawan itu," pujuk Kak In. Seorang pegawai di perpustakaan yang sangat baik hati dan banyak membantu saya hingga hari ini. 

Di DBP ada antara mereka yang kenal saya dengan Hanna Johan. Jadi panggilan Hanna  terus mekar di bibir mereka. Alhamdulillah saya semakin biasa dan tidak kekok dengan panggilan nama pena ini.

"Tak mahu. Saya malu." Begitulah jawapan saya yang amat tidak membantu diri sendiri. Terlalu merendah-rendahkan diri. 

Akhirnya saya 'diheret' bertemu Tuan Ismail Kassan yang baru-baru ini mendapat Anugerah Penulis Asia Tenggara 2012 (SEA Write Award). Dalam temu bual ini, beliau banyak bertanya daripada saya yang sepatutnya bertanya itu ini. 'Masak' juga mahu menjawab soalan-soalan terjahan beliau berkaitan roh dan jiwa. Alhamdulillah, banyak pencerahan yang saya dapat berkaitan roh dan jiwa ini. Suatu bidang yang amat saya suka. 

Sempat juga beliau menurunkan coretan berupa pesan. Sama seperti dalam gambar di atas. 

Gambar ini pula merupakan gambar pertama selepas saya menjadi warga rantau. Ada gaya seperti guru tak? Pernah dahulu mahu menjadi guru, namun tidak berupaya ke arah itu. Allah memberi takdir lebih indah pada masa ini. InsyaAllah moga indahlah berterusan.

Saya muat naik gambar itu di fb sebagai gambar profile awalnya. Kini menggunakan gambar lain. Dan tersisip antara pesan berharga di ruang komen. Beranak panah merah itu. Puan Rozninah (Editor) atau lebih mesra saya gelar Kak Inah memberi amanat agar saya tidak lupa, dan tidak berhenti menulis. Usah jadikan tugas hakiki yang terlalu banyak itu sebagai kekangan dan alasan.

InsyaAllah saya sedang cuba menggenggam dan melerai amanat ini dalam hasil penulisan selanjutnya. Fuh! Berpeluh juga. Bukan mudah sebenarnya untuk bergelar penulis hebat isi jiwa raganya. Semoga saya beroleh kejayaan sentiasa. Amin.

Senyum dan yakin diri ya, HJ. :)

Karya Orang Merajuk

Inilah karya pertama saya pada tahun 2013. Hmm... awal-awal dah merajuk. hehe... Konon-kononnya merajuk dengan diri sendiri. Kadang-kadang diri ini kurang yakin. Hidup di rantau memang perlu banyak berkorban. Kan?

Dalam masa yang sama, ramai berpesan agar saya teruskan menulis. Selalulah menulis dan jangan pernah berhenti. Kerana menulis itu perlu berterusan untuk jiwa dan luahan kata seluruhnya. Mendalam. Apabila disebut 'seluruhnya'. Besar peranan seorang penulis kepada hasil penulisannya. Menulislah sepenuh hati, insyaAllah itulah yang akan menjadikan kamu matang bersama waktu yang semakin tidak panjang ini. Begitulah hidup. Kelangsungan atas keyakinan setelah berkali-kali dikecewakan.

Alhamdulillah. Selepas menulisnya, dan mendapat perhatian editor pula...sudah cukup baik dan menenangkan jiwa. Sajak "Terpujukkah Rajuk" tersiar di Harian Metro pada 19 Februari 2013.

'Semudah itukah 
rajuk terpujuk?'

Selamat membaca dan moga bermanfaat untuk semua... :)

Saturday, March 9, 2013

Tiada Salahnya



Bismillahirrahmanirrahim…

Doa.

Jam 12 tengah hari, tanpa tarikh. Kutahan teksi dan tanpa berfikir mulutku terus menyebut, “Times Square.” Pemandu yang mesra itu menggelengkan kepalanya tetapi jarinya lantas memanggilku masuk ke perut teksi. “Ke mana? Pakcik kurang dengar.” Aku membetulkan suara. Berdehem beberapa kali. Membiasakan tekak agar kembali bergetar melontarkan suara. Vokal serak ini kembali mengulang jawapan, “Ke Times Square, pakcik.” “Oh, semua square boleh pakcik bawa.” Selorohnya. Aku membalasnya dengan senyuman. Ikhlas tapi jauh.

Pakcik memberhentikan aku di belakang. Memerlukan aku melalui pintu hotel. Dipandang ramai orang. Seperti diberi tumpuan. Mahu senyum tapi tawar. Biarlah seperti biasa-biasa sahaja. Ini kali pertama dalam beberapa bulan. Cuba menjadi pengembara. Seorang diri.

Seorang diri. Dalam diri yang masih belum kebah demam yang dikirim Ilahi. Hanya memberi senyum keapada diri. Ikhlas. Agar yakin dan bersungguh-sungguh mencuba. Sendiri itu adakalanya indah. Kita bisa mengembara dengan mata dan hati. Sendiri. Mungkin kerana beberapa bulan ini aku masiih belum biasa bersendiri. Sebab itu aku masih mencari kekuatan atas kepercayaan kepada diri. Sendiri.

Dan aku pulang pada jam 2 petang. Mencari makanan, mencari tujuan dan melunaskan harapan. Alhamdulillah, semua yang kuinginkan dimakbulkan Tuhan. Cuma ingin kupersoalkan kepada diri. Adakah aku seorang pengembara yang tidak baik? Adakah aku digolongkan sebagai pengembara yang manja? Untuk jawapan bahawa jarak dari tempatku untuk ke Times Square mungkin dengan upayaku berjalan kaki dalam ½ jam baru tiba. Tetapi pergi dan pulang aku menahan teksi untuk melunaskan hajat kembara ini.

Jawapan itu ada dalam diri. Dengan teksi juga adalah kembara yang baik jika tidak mahu untuk berjalan kaki. Bukankah kembara itu terdiri daripada pelbagai cara? Senyumlah diri. Senyum dengan ikhlas dan yakin hati. Tuhan memberi pelbagai cara untuk kebaikkan hamba-Nya. Ucapkan Alhamdulillah dan yakin dengan ketentuan ini. “Alhamdulillah.”

Friday, February 15, 2013

Penguat Kalbu 2

15.feb.2013

ditemani si penguat kalbu, 'lekas siapkan karya tu, tulis sedap-sedap hingga capai tahap puas dan bermakna, insyaAllah. Malam nanti otak tidaklah bercabang untuk ke mana-mana, boleh fokus untuk kenduri pula.'

senyum dan terus menaip, moga Allah makbulkan doa si penguat kalbu agar karya ini dapat disiapkan dengan 'makna'.

penguat kalbu

15.FEB.2013

kata si penguat kalbu, 'kuatkan hati, teguhkan iman. Yang datang dan pergi berkali-kali itu semuanya penduga yang bakal mencorak kehidupan hari ini dan masa hadapan.

Mahu jadi orang baik memang banyak cabaran. Usahalah hingga jaya.

Kena marah, kena kutuk, kena maki dan kena belasah itu semua pemberi ingat agar apabila kita sudah kaya, berjawatan tinggi dan sudah memiliki cinta hati, kita akan hargai segala kepahitan yang pernah ditelan dahulu dan tidak mahu terjentik di akal walau sekali untuk mengulang kesilapan yang sama seperti mana kita pernah terkena dahulu.

Lagipun, hidup ini hanya pinjaman. Entah bila-bila masa kita akan dipanggil Tuhan. Bersedia juga untuk kebahagiaan di Sana dan berpada-padalah memikirkan hal dunia yang cuma sekejap sahaja ini.'

Thursday, January 24, 2013

Merarau Hibur Lara


     Assalamualaikum hati, moga bertabah atas tiap dugaan yang dikirim takdir hari ini ya. Usah sesekali berputus asa. Usahalah yang terbaik untuk menjadi insan dan hamba Allah yang baik.

      Sekalipun Allah berikan dugaan kepada hati, anggaplah ia nikmat penyuluh kepada kehidupan. Agar hati membawa diri agar diri sentiasa belajar untuk bersabar dan tidak mudah bosan dengan segala kehendak yang tertunai.

       Atas nikmat ujian hari ini, akhirnya saya berjaya meredah seorang diri ke TS. Berdikari dan belajar bergantung kepada diri sendiri. Ya, agak sunyi sebenarnya apabila bersendiri, tetapi saya akur. Ini kehendak Allah buat masa ini untuk saya. Semoga di lain hari, Allah mengirimkan teman sehati, sejiwa, sekepala dan faham saya seadanya bagi menemankan hayat ini hingga akhir.

         Di TS, saya bertemu tiga insan ini. Mereka yang sudi merai hari lapang bersama-sama. Anak buah bernama Aisyah yang sempoi, teman baik bergelar 'abi' dan teman gadisnya si anggun. Kami berempat merarau sekitar TS. Bergambar dan saling menikmati perbualan khabar masing-masing.    
Anak buah yang 'sporting'


Umi dan Abi, gelaran dua teman baik kekal hingga kini...

Kata Abi, 'Umi makin comel!'

Bersama gadis anggun... :)
Dan sempena 22 Januari yang lalu, saya menghadiahi diri saya sendiri seutas jam dan beberapa helai pakaian sebagai merai hari kelahiran yang ke 26. Biar pun saya sering gagal dalam hal cinta hati, saya tahu dan saya mengerti bahawa Allah mahu saya ditemukan dengan jodoh yang terbaik suatu masa nanti. Biar lambat asal jodohnya benar-benar cermat menyayangi hati ini sepenuhnya. 

Terima kasih Allah, atas segala kejadian yang telah Engkau limpahkan untuk hamba. Alhamdulillah, moga hamba dikurniakan berterusan rasa kasih, sayang dan cinta kepada-Mu. Amin.

About Us

Bila terbitnya bicara, hati mula pasrah, untuk luahan terindah, segalanya diserah…Moga jiwa turut merasa, tentang hati yang mula bercerita.

Teguh pada kata hati, cekal pada kata akal…akan setia pada janji, untuk diri, dia dan semua. Moga ada sinar, pada setiap karya yang terlahir dari jiwa dan rasa. Hanya kerana DIA.

Titip kasih daripada teman blogger

Titip kasih daripada teman blogger
Tanda hati daripada Cik Amy Sense, tQ!!!

Gapaian CIta

Gapaian CIta

Impian Kan Terlaksana

Impian Kan Terlaksana
Barisan melakar cita

Pages