berkarya itu indah

berkarya itu indah

Wednesday, April 13, 2011

Keluh kesah seorang kekasih

(sumber: google)

Aku setia,
menunggu dan menanti
jawab balas
dari insan yang kudamba belas.

Kekasih hati
aku setia
menanti
hingga hujung nyawa.

catatan hujung 2011/April13

Monday, April 11, 2011

Jemari Bergetah Mac 2011




Alhamdulillah,


masih bergetah jemari ini. :) antara karya yang tersiar di media cetak sepanjang Mac 2011.


Karya pertama ialah Sajak: Surat Cinta Musim Lalu tersiar di majalah Remaja 1-15 mac 2011. Sebenarnya, kisah cinta masih belum pasti. Lalu teringat kisah-kisah cinta lalu. Dalam hati selalu bertanya, "bilakah akan hadir cinta yang benar-benar sejati dari hati seorang manusia?" -kena sejatikan cinta kepada Yang Maha Pencipta dulu, baru boleh fikir cinta manusia ya. :)


Karya kedua ialah Kritikan Sastera: Mahabbah dari Perspektif Fenomenologi. Tersiar di Dewan Sastera Mac 2011. Wah, alhamdulillah. Bukan mudah untuk tembus ke Dewan Sastera. Hanya penulis mapan sahaja yang saya rasa mampu. Alhamdulillah, karya kali ini berbeza genre pula. Berbentuk esei kritikan. Saya minat juga menulis karya kritikan sastera ini, InshaAllah akan perbanyakkan lagi.


Karya ketiga ialah Sajak: Yang Manis. Karya yang kali pertama saya coretkan di komputer yang sejak dibeli ayah pada tahun awal 2000-an. Saya kurang pasti tahunnya. Tapi memang dah lama. Sebab itu pada awal sajak ada tertulis layar putih, itu adalah layar microsoft word sebenarnya :) Tersiar di Berita Harian sisipan Varsiti edisi 10-16 Mac 2011)


-----Alhamdulillah, demi mencari rezeki dan menggali minat, bidang penulisan akan diteruskan selalu. Amin--- :)

Saturday, March 26, 2011

Hajat

Alhamdulillah, hari baru semangat pun kena baru. Lekaslah aman di hati sudah saya temui. Alhamdulillah. Kekusutan yang melanda beberapa hari kebelakangan ini benar-benar menguji kekuatan hati dan jiwa. Terasa benar-benar kusut! Seperti putus asa untuk hidup. Tapi, saya faham...itu semua ujian daripada Allah. Mahu lihat kita sebagai hamba-Nya untuk lebih bertakwa.

Baguslah...saya kini sudah pulih daripada kebosanan dilanda masalah. Saya redha pekerjaan itu bukan milik saya. Buat apa kita nak bekerja dengan orang yang suka merendah-rendahkan kita? Buat apa kita nak menagih rasa simpati kepadanya sedangkan pilihan masih banyak yang Allah buka untuk kita. InshaAllah, bukan dia seorang majikan dalam dunia ini. Moga selepas ini, saya dipertemukan dengan suasana pekerjaan yang baik, bijak menjaga amanah dan tanggungjawab hati dan perasaan orang lain serta majikan yang tahu fungsinya sebagai manusia dan hamba Allah di dunia ini. Amin.

Alhamdulillah juga dipanjatkan kepada Allah. Tuhan yang Maha Mengetahui segala perkara. Kembali bertaut dua kasih yang terpisah. Saya bermohon kepada-Nya agar merestui hubungan kami, dilindungi daripada segala kejahatan, dan terus memesrai hubungan ini dengan tidak melanggar batas pergaulan. Amin.

Seronok membaca blog kawan-kawan penulis. Mereka sudah banyak meraih kejayaan. Mereka mampu menulis dengan baik dan dapat menghasilkan karya hingga terbit sebaiknya. Saya juga mahu begitu. InshaAllah, sekarang ini saya sedang menyiapkan karya secara solo dan karya secara bersama. Karya secara solo, saya perlu semangat dan disiplin yang kuat untuk mencapai cita-cita terbaik! saya memang sedang berusaha!

Karya secara bersama, walaupun segala urusan berjalan agak perlahan, tidak mengapalah. Bekerja dengan majikan yang sentiasa sibuk, beginilah...saya perlu mengikut rentak mereka untuk meraih kejayaan selayaknya. Moga Allah mempermudahkan segala urusan majikan saya ini dan akhirnya memberi impak baik kepada karya bersama kami. Amin.

Ya Allah,
segala hajat ini kupanjatkan kepada-Mu,
Kau permudahkanlah segala urusanku Ya Allah.

Amin,
moga termakbul segala hajat ini.

Wednesday, March 23, 2011

Lekaslah aman rasa hati!

Mia begitu memahami. Dia izinkan aku keluar begini. Mencari ketenangan diri, menyelusuri keyakinan hati. Sesungguhnya, setelah perkara-perkara begini berlaku terasa-rasa ingin sekali kubawa diri. Ingin sekali! Namun banyak faktor yang menghalang. Aku masih punya kekangan dari segi kewangan. Hmm...

Demi meyakinkan diri bahawa aku boleh, ya aku boleh! Aku sahut cabaran dia yang merendah-rendahkan kebolehanku. Hey, aku juga mampu...! Kelebihan dan kelemahan masing-masing sudah tercipta Ilahi. Aku paling tidak suka dibandingkan satu per satu dengan orang lain.

Sudah tahu dirimu hebat, sepatutnya bimbingan dengan cara baik adalah yang terbaik, bukannya membandingkan aku dengan yang lain. Tak suka!

Lekaslah aman hati ini, amin.

Kerana aku belum punya novel sendiri

Kerana aku belum punya novel sendiri, kerana aku adalah pelajar sastera dan bukan pelajar BM yang belajar bahasa Melayu sepenuhnya.

Tak mengapalah, kalau itu yang menjadi kemusykilan dirinya untuk menerima aku sebagai pekerja dalam bidang edit-mengedit ini.

Aku masih punya harga diri yang tinggi. Walau serendah itu nilai sastera dipandang diri...aku bersimpati. Aku marah pun tiada guna, bersabar itu lebih indah. Sudah-sudahlah!

Mari menyusun kata, menulis sendiri daripada ditemani hasad dan dengki. Nauzubillah, moga dijauhi...Amin.

Tuesday, March 22, 2011

Jumpa Muka Tinta Ungu

Malam itu, secara tiba-tiba abi ajak ke rumah Tinta Ungu. Wah! Hati rasa berdebar-debar. Iyalah, Tinta Ungu itu istimewa, saya pula hanya biasa-biasa. Tidak mengapalah, hasrat murni tidak baik jika tidak ditunaikan.

Setelah satu panggilan dibuat, dan satu sms penghantar peta dilaksanakan...saya, umi dan abi menyelusuri jalan yang diarah. Oh, Tinta Ungu juga berbaju merah. Sama dengan cardigan yang saya sarungkan ke tubuh. Kalau dah jodoh...hmm, kami sampai juga di rumah Tinta Ungu.

Pertama kali menjejak kaki ke rumah agam Tinta Ungu. Besar, dan agam (samalah maknanya tu). hehe...

berbual-bual...minum air, gelak ketawa....tonton filem Haathi Mere Saathi (febret)....berbual lagi, hirup air kopi...akhirnya jam sudah 9.30 malam.

Niat berangkat pulang, famili Tinta Ungu menghadiahi kami daging lembu dan tulang kaki lembu. Alhamdulillah, rezeki. Malu juga kami, sebab datang tak bawa apa-apa...tapi pulang dihadiahi sedemikian istimewa. Alhamdulillah.

Kami pulang, salam dilambai. Kemudian berangkap sms menyusur tanda terima kasih berpanjangan.

Dalam senyuman, saya dan Tinta Ungu sempat memberi janji. InshaAllah...Jumpa lagi.

Temudugaku

Assalamualaikum cik hasni hanna,

Alhamdulillah. Syukur ke hadrat Ilahi. Walaupun baru dapat panggilan temuduga, tapi syukur juga. Harap-harap dapatlah jawatan temuduga itu nanti.

Esok iaitu 22 Mac 2011, saya akan ke Bandar Putra menghadiri satu temuduga. Jawatannya sebagai Penolong Editor. Berharap dan berusaha untuk dapatkan jawatan ini. Kerana sudah lama menganggur. Wang poket juga tidak menentu.

Moga-moga temuduga pada hari esok berjalan lancar. Mari siapkan segala fail ke dalam beg, dan berdoa moga berjaya! Amin.

Monday, March 21, 2011

Aku Terlalu Baik dengan Hati

'Perlulah!'

Berbaik dengan hati bukan menjadi satu masalah yang perlu diperbincangkan. Buat baik dapat pahala. Ya!

Bisik Melati: Yakin

16:29

Waktu warkah ini tertulis. Entah mengapa, dua tiga hari ini saya cukup gelisah. Tidur kadang-kadang tak lena. Kadang-kadang tak lena pada awalnya, kemudian terus terlelap. Tetapi apabila bangkit semula, terus rasa resah. Agak tak lena semula. *Mengapa?
*Soalan yang sedang dicari jawapan.

Sedang tinta ini ditulis saya di atas kerusi panjang berwarna coklat, meja berwarna merah. Di atas meja pula ada banyak buku (saya punya) dan dulang makanan. Pendek kata, saya sekarang sedang berada di kedai makan tertutup. Suasana bising, agak sedap untuk idea mengalir.

Sebenarnya sekarang ini, saya sedang sibuk. Bukan sibuk apa, sibuk dan usaha meyakinkan diri. Tak biasa sebenarnya duduk seorang2 dan menulis di tempat begini. Tapi sampai bila kan? Tembok kemaluan ini perlu dipecahkan. Asal balik kampung je tiada geng. Boring betul!

Sudah tiga perenggan pun. Masuk yang ini empat perenggan.

Nampaknya semakin dan bertambah yakin! Baiklah, mari kita (saya) menulis tujuan sebenar:

1. Menambah KEYAKINAN
2. Mencari KESELESAAN (ada pendingin hawa dan suasana bising)
3. mencari ILHAM untuk siapkan proposal novel AMBMM.
4. Menyiapkan novel kanak-kanak (dalam percubaan).

Moga tujuan ini semuanya tercapai.

16:42

Thursday, March 17, 2011

Akhirnya dia pergi mengundur diri,
berjejehan darah...
mengalir pekat di pergelangan tangannya.

aduh!

Perit mata yang melihat,
seksa lagi jiwa yang menanggung
derita cinta tidak kesampaian,
dibawa pergi dengan azimat lara di hati.

"Tum bin na hum, ji sakengge..."

Nadanya merayu-rayu,
tanpa dia tahu
cintanya tidak berbalas jujur.

Ah,
berdosanya!

Cinta setia diragut akal dangkal

Rugi!
Cinta itu mumur ditujah iman yang singkat.

Nauzubillah,
moga aku dijauhkan
daripada segala-gala perhatian yang kau misalkan.

Amin.

Monday, March 7, 2011

yeh ranggila!


Yeh Ranggila bermaksud warna-warni.
Buku catatan baru. Cita-cita nak ada sebiji hp tcskrin (suka-suka je eja macam tu), untuk memudahkan mencatat idea dalam dunia digital. Kira-kira belum cukup duit da!

Buku catatan baru yang berwarna-warni itu sangat cantik! Menulis dengan cara manual memang seronok. Moga setiap hari ada saja idea dan ilham bakal tercatit di atas helaiannya. yes! Setakat ini baru dua muka surat yang digunakan.

Buku kulit hijau di tengah-tengah tu buku autograf. Adalah beberapa tandatangan sebagai pemangkin semangat. yes! suka sangat!

buku tulis ketiga hijau muda itu ialah buku catatan dengan tulisan cincai. Cakar ayam! Nak cepat, idea membuak-buak. Ewah!catatan pertama dalam buku Ranggila ini:


Coretan Bangkit dari Lena.

~
kita sentiasa dan masih mengharapkan sesuatu itu ada walau kita sendiri sedar sesuatu itu tidak mungkin ada.
~Hati yang berkata-kata tidak mahu lagi mengejar cinta namun sering gagal mengotakannya.
~sewaktu lena semua yang dijanji terus terlupakan, hingga bangkit kembali dan tersedar dari lamunan,

kita masih mengingatinya.

Hasni Hanna, 5 Mac 2011.

Masa ni Hanna memang buntu menulis. Hanna tidur. Di sebelah memang sudah ada buku dan pen. Tiba-tiba bangun tidur, terus tertulis semua di atas. BUnyi macam orang putus kasih. hehe...entahlah! penulis ni macam-macam ragam.

Mahu ucapkan kepada diri:

Selamat berjaya dan terus berjaya!

salam manis,
~hJ~

Saturday, March 5, 2011

Impian!

(gambar sebelum)

(gambar selepas)

"Azam adalah kerja pengukuhan di dalam hati, bukan lisan tetapi berkait rapat dengan niat." (Naimah Muhammad, Fokus SPM Januari 2011)

Petikan ini sudah hanna titipkan pada entri-entri lepas. Sengaja mahu ingatkan diri tentang azam dan cita-cita. Hmm, lihat sahajalah dua gambar yang hanna masukkan di atas. Bulan-bulan yang sibuk dengan dunia penulisan.
Bidang ini menjadi cita-cita, jadi tidak boleh mengeluh, ya hanna! (senyum)

Gambar sebelum:- agak bersepah dengan buku-buku dan bahan-bahan untuk dijadikan sumber penulisan. Sebenarnya buku-buku itu semua membantu hanna. Mencari petikan-petikan berguna seperti di atas. Membaca andai terasa bosan menulis. Dan lain-lain. Mula-mula konsep penyusunan di atas memenuhi ruang meja tulis hanna. Terlalu bersepah, buat kepala pun berserabut. Jadi hanna mengubah susunannya dan jadilah seperti gambar selepas.

Gambar selepas:- Alhamdulillah, agak tersusun daripada sebelumnya. Sebenarnya ini bukanlah meja tulis sebenar. Meja ini adalah meja makan yang ada 6 kerusi. Besarkan? Begitulah... Hadiah daripada mak. Dalam rumah hanna sekarang ni tak banyak perabot. Maklumlah, baru berpindah. Lagi pun adik baru saja kerja. Hal-hal perabot dan macam-macam lagi diketepikan dahulu. Buatlah macam rumah orang bujang. Tak kisahlah, yang penting rumah sentiasa bersih.

Impian hanna, suatu hari nanti mahu miliki ruang menulis sendiri. Sedang usaha kumpul duit mahu beli meja dan kerusi ala-ala di pejabat. :) ~seronoknya berimpian begini!

Akhir kata;

"Mentari yang menyinar akan sentiasa muncul setelah hujan berlalu. Begitu juga dengan pengisian hidup jika kita sudah berusaha pasti akan ada kebahagiaannya." (Naimah Muhammad).

Salam manis,

~HJ~

Monday, February 28, 2011

Koleksi Buku Feb 2011 cik HJ


Assalamualaikum,

Moga yang menulis dan yang membaca entri blog ini sihat walafiat. :)

28 Februari 2011,
di hujung-hujung Feb, hanna ingin tintakan sedikit buah tangan di sini. Jumaat lalu iaitu 25 Feb, kebetulan adik mahu ke bandar. Wah, seronok tidak terhingga. Sebabnya hanna teringin mahu masuk ke sebuah kedai buku yang boleh tahan besar juga di Care4.

selama ini kami ke C4 tapi tak pernah sampai hujung. Sebab pasarayanya berbentuk 4 segi, hujung ke hujung sangat jauh jaraknya. Dan dari hujung ke hujung itu ialah jalan mati. Jadi kalau mahu ke hujung kanan setelah ke hujung kiri terpaksalah berpatah balik. Penat!

Alhamdulillah, penemuan kedai buku ini ialah atas pemberitahuan kawan kepada adik. Oh, teruja saya! Masa penemuan itu, adik dan kawannya sahaja yang pergi ke sana. Hanna pula ditinggalkan. (sedih...)

Rupanya adik pulang dengan menghadiahi Hanna sebuah novel tebal gabungan 3 kisah iaitu Aku Mahu Popular, Aku Mahu Saiz S dan Aku Mahu Teman Tapi Mesra karya Ain Maisarah. *hadiah hari lahir daripada adik* (dah tak sedih dah)
Berbalik kepada cerita hanna ke kedai buku itu. Hari pertama ke C4, hanna hanya mampu melihat buku-buku ini. Masa tu duit tak cukup. huhu...Jadi pendam rasa sajalah.

Alhamdulillah,
kali ke dua hanna ke kedai ini, duit sudah masyuk. Hasil penulisan karya awal bulan, dapatlah Hanna beli 3 buah buku. Dalam gambar di atas, Diari Hamil dan Kaktus itu kepunyaan adik. Yang lain Hanna yang punya.

Dan sekarang, masih berkira-kira masa untuk membacanya. Tidak sabar! tetapi kena tahan dulu, sebab hanna mahu siapkan manuskrip novel pertama (InshaAllah). Ada lagi sikit nak siap. Sikit je... (sikit ni yang payah nak siap, sikap malas bertambah-tambah)

Alhamdulillah, terima kasih Allah.
Moga segala rezeki bertambah-tambah. Amin.

salam manis,
~HJ~

Thursday, February 24, 2011

Pendam Rindu...


Alhamdulillah, masuk bulan 2 sudah. Bulan 2 bulan merai cinta? Betulkah? Pandangan Hanna, setiap bulan ada bulan merai cinta. kan?

Cinta kepada Allah, cinta kepada Rasul, cinta kepada ibu dan ayah, cinta kepada adik-beradik, sanak-saudara dan teman-teman sahabat. CINTA.

Oh, sebenarnya Hanna nak tulis kisah puisi di atas. Alhamdulillah, tersiar di Harian Metro, 15 Februari 2011. Antara banyak-banyak karya, puisi inilah yang tersiar paling awal. Seminggu sahaja Hanna hantar dan seminggu selepas itu tersiar. Syukur sangat. Karya ini diterima dan disiarkan oleh tuan editornya. TERIMA KASIH.

Terima kasih ibu dan ayah, banyak memberi ilham kepada hanna untuk mencoretkan karya ini. Khususnya juga kepada adik, yang tak pernah jemu memboncengkan hanna ke kedai untuk membeli akhbar. Moga rezeki adik bertambah-tambah! Amin.

Mahu ucap terima kasih juga kepada encik abi, yang pagi-pagi dah call hanna. Dialah orang pertama beritahu karya hanna tersiar. hehe...suara seksi masa tu. (shh...)

oh ya, tahniah kepada Hanna atau Hasni Jamali (nak juga sertakan nama ini)... (senyum)

InshaAllah atas doa kawan2, ibu dan ayah, guru-guru dan pensyarah, semualah! Hanna akan terus menulis dan melahirkan hasrat hati. InshaAllah. Berusaha yang terbaik! Amin.

:)

Friday, February 11, 2011

Saya HJ.


cincin ini ada terukir nama indah. Namaku dan namanya. Hasni dan Hanna. Sedikit penambah seri iaitu Johan.

Hasni, kata seorang ustaz sewaktu di sekolah agama beberapa tahun lalu, makna Hasni ialah Yang Lembut.

Nama itu benar-benar menghiasi diri. Bukan banggakan diri, tetapi itulah komen dan makluman yang dibisikkan oleh rakan-rakan, sahabat, saudara-mara, guru-guru, pensyarah dan yang mengenal dekat diri ini. Sering sahaja saya dibuli, kata mereka buli-buli manja. Sebab saya memang tak pandai membalas apabila dibuli. Itulah... Tetapi, adakalanya saya juga seorang pembuli. Buli-buli manja. hehe...

kata seorang guru kimia saya pula, Hasni Jamali. Ketika melaungkan nama Hasni Jamali, dia akan memandang barisan pelajar lelaki. Saya pula puas mengangkat tangan, dan barulah dia nampak. Katanya, "Lah, cikgu ingat nama ni kepunyaan lelaki. Perempuan rupanya. Unik nama ni!" Saya hanya tersenyum dan memegang teguh kata-kata cikgu Kimia itu.

Hari ini, nama Hasni Jamali banyak sudah terpapar di akhbar dan majalah. Alhamdulillah, bermula dengan kemenangan di Akademi Sastera lalu berhasil dengan tersiarnya karya-karya. Syukur sekali.

Hari ini juga, nama Hanna Johan semakin memekar.

Kebiasaannya penulis (mungkin hanya untuk saya), suka berangan dan mencipta watak dan perwatakan untuk hiburan sendiri. Dahulu saya mencipta watak Shawati untuk watak kegemaran saya. Lalu, nama itu sudah berlalu dengan perkembangan masa. Entah bagaimana nama Hanna ini wujud dalam hidup saya. Datang pula nama Johan. Dahulu ada suatu drama yang saya gemari. Tak ingat judulnya. Tapi ada watak heronya iaitu Johan. Saya suka nama Johan. Hingga hari ini.

Sewaktu di UKM dahulu, saya berjalan-jalan di pesta buku yang diadakan di PUSANEKA. Saya terjumpa buku nama-nama Islam. Lalu saya semak huruf H untuk Hasni. Jodoh! Saya berjumpa dengan nama Hanna. Maksud Hanna ialah RINDU. Oh, saya gembira sekali! Kerana Hanna punya makna yang baik. Lalu saya susun nama Hanna Johan melengkapi nama pena saya. JODOH lagi! Hanna Johan dan Hasni Jamali mempunyai kependekan nama yang seiras iaitu HJ.

Hanna Johan bermakna Rindukan yang pertama. Hasni Jamali bermaksud Yang lembut dan cantik. Alhamdulillah, dua nama ini tetap mekar bersama diri saya. Sayalah Hasni Jamali dan sayalah Hanna Johan.

Andai ada apa-apa yang melukakan daripada saya, saya mohon maaf. Sentiasalah berdoa yang terbaik buat diri saya dan diri anda juga.

Dengan izin Allah, dalam bidang penulisan ini...Saya akan memberikan buah tangan yang terbaik untuk bekalan di akhirat kelak. Terima kasih kepada sahabat, saudara dan keluarga yang banyak menyokong kerjaya sekarang ini. Sama-samalah berkongsi kegembiraan ini bersama Hasni @ Hanna.

Sekian,

Hanna Johan.

About Us

Bila terbitnya bicara, hati mula pasrah, untuk luahan terindah, segalanya diserah…Moga jiwa turut merasa, tentang hati yang mula bercerita.

Teguh pada kata hati, cekal pada kata akal…akan setia pada janji, untuk diri, dia dan semua. Moga ada sinar, pada setiap karya yang terlahir dari jiwa dan rasa. Hanya kerana DIA.

Titip kasih daripada teman blogger

Titip kasih daripada teman blogger
Tanda hati daripada Cik Amy Sense, tQ!!!

Gapaian CIta

Gapaian CIta

Impian Kan Terlaksana

Impian Kan Terlaksana
Barisan melakar cita

Pages