berkarya itu indah

berkarya itu indah

Wednesday, September 16, 2015

Hari Ini Hari Malaysia

Hari ini Hari Malaysia
tanggal 16 September disambut semua
masyarakat bergembira
meraikan kemanan negara
bebaslah, bebaskanlah
hadirkanlah rasa sedar
mengangkat martabat negara ke puncak dunia
dengan aman, adil dan saksama.
Jadikanlah diri 
pemimpin terbaik bagi anak bangsa
generasi mendatang yang kian hari mendesak pandang
dengarlah, dengarkanlah
segala isi hati 
yang benar mencari erti.
Hari ini Hari Malaysia
semoga kelak hari ini 
masih dirai penuh aman
adil dan saksama.
Hanna Johan.
16 September 2015
Kuala Lumpur. 


Sunday, May 10, 2015

Ulasan Buku-Komik Cinta Untukmu karya Niku-Niku


 
JUDUL                  :   CINTA UNTUKMU
KARYA                 :    NIKU-NIKU
PENERBIT           :    GEMPAK STARZ

Saya selalu mengikuti karya Niku-Niku dalam ruangan komik, majalah Gempak.

Apabila membaca komik, saya gemar memilih komik yang dilukis dengan kemas. Dari segi susunan cerita dan lakaran/lukisan komik berkenaan. Saya bukanlah pakar dalam hal komik ini. Pendapat dan buah fikiran ini berdasarkan sudut pandangan saya sebagai seorang pembaca dan penggemar kartun.

Dan akhirnya, karya Cinta Untukmu ini dibeli. Tergoda dengan kulit komik yang amat menawan. Jika tidak silap, wajah penghias kulit Cinta Untukmu ini adalah wajah Shirley dalam cerita Raja dan Biri-biri. Comel sangat! :)

Kumpulan komik Cinta Untukmu ini mengandungi 10 komik pendek yang lain. Judul-judulnya ialah:

                Raja dan Biri-biri.
                Gara-gara Cermin Mata.
                Perisa Cinta.
                Krisis Maruko.
                Bila Kau Berahsia.
                Kamera dan Pengakuan.
                Espresso dan Bunny.
                Soda dan Bento.
                Surat.
                Hot dan Cold.

Memang tiada kisah berjudul Cinta Untukmu dalam kumpulan komik ini. Secara keseluruhan, kisah cinta yang diapaparkan ini sebenarnya membawa kesatuan cinta yang ingin Niku-Niku zahirkan untuk pembaca-pembacanya. Itulah cinta untukmu yang sebenar… Iya, kan? Pasti iya…!

Saya suka dengan pembawakan watak-watak dalam komik ini. Ada sesetengahnya memang lari daripada perwatakan biasa. Terutama kisah Kamera dan Pengakuan. Niku-Niku bijak mengatur kejutan dalam pengkaryaannya agar pembaca tidak bosan dengan kisah cinta klise. Jika mahu tahu, silalah beli dan baca buku ini ya! Hehe…

Kisah cinta yang paling menangkap dalam hati saya ialah ceritera Perisa Cinta. Memang cinta itu manis jika kena kepada pasangan sebenar yang telah ditakdirkan untuk kita, kan! Hehe…

Harapan saya yang gemar membaca komik ini, semoga Niku-Niku terus maju dan melahirkan karya-karya terbaik pada masa hadapan.

 








Thursday, April 16, 2015

Ulasan Karya: Te@mare

JUDUL           :     TE@MARE Volume 1 dan Volume 2
KARYA         :      BEN
PENERBIT    :     GEMPAK STARZ
 

Membaca buku cerita bergambar merupakan suatu keadaan paling indah buat saya. Lebih lagi apabila membaca karya Ben, seorang pekomik tersohor di Malaysia. Karya-karya Ben hingga kini sentiasa mendapat perhatian industri komik sama ada dalam negara mahu pun di luar negara. Kesimpulannya, Ben bukan sahaja pekomik hebat di tanah air malah pekomik agung di peringkat antarabangsa.

                Beberapa bulan yang lalu, saya habis membaca karya terbaharu Ben Te@mare volume 1 dan volume 2. Sebenarnya sudah lama membeli komik ini, tetapi sengaja melambat-lambatkan waktu pembacaan. Dalam keadaan sibuk menguruskan beberapa hal sama ada bidang tugas dan peribadi, saya cuba mencari ruang terbaik untuk menghayati kedua-dua novel grafik ini sekali gus. Akhirnya, saya berjaya menyelami tiap perasaan watak dalam Te@mare ini.

                Te@mare volume 1 memaparkan episod permulaan cerita. Kebiasaannya Ben sentiasa menampilkan karya berbentuk cinta banyak beberapa segi sebagai konflik penceritaan. Namun, konflik ini tidak kosong dengan cerita cinta sahaja. Ia turut diisi dengan nilai kekuatan dalam persahabatan dan keharmonian kekeluargaan. Membuka helai demi helai komik ini, memang melekakan. Mana tidaknya, setiap muka surat pembaca disajikan dengan pelbagai latar indah lukisan Ben. Memang tidak pernah menghampakan!

                Colin merupakan antara watak utama dalam Te@mare yang menyimpan rasa cinta kepada Hana sejak awal pertemuan mereka di perpustakaan. Muncul Ryder sebagai penghalang kisah cinta Colin terhadap Hana. Satu per satu watak dalam Te@mare muncul memeriahkan kekalutan yang melanda seperti watak Mia dan Keiko. Paling saya suka ialah watak Keiko. Seorang gadis yang lincah dan penuh aksi. Bukan calang-calang gadis, tau! Siapa buat onar pada Keiko atau kawan baiknya si Colin itu, tunggulah, waktu untuk dibelasah. Memang hebat!

                 Te@mare volume 2 pula membawa pembaca kepada kisah selanjutnya dalam misi meraih cinta Hana. Namun, pada awal babak pembaca didedahkan dengan kisah penculikan Mia. Colin tetap berusaha menyelamatkan Mia walau pun dia tahu dia tidak berupaya melawan geng penculik itu. Semoga berjaya Colin!

                Pembaca dibawa pula menyelusuri watak Keiko dengan lebih mendalam. Setegas Keiko masih ada sifat belas kasihan paling baik dalam dirinya. Watak baiknya dikembangkan melalui babak ketika dia pulang membawa ubat untuk neneknya. Kepelbagaian perwatakan dalam kisah Te@mare ini menjadikan komik ini benar-benar membuka selera pembaca agar lebih hanyut dengan keenakan hidangan penceritaannya.

Bagaimana kisah lanjut Mia? Adakah dia dapat diselamatkan oleh Colin daripada penculik durjana itu?

               Perjalanan kisah cinta Colin dalam Volume 2 ini masih belum berhenti. Sekali lagi dia diuji dengan kehadiran Hana di hadapan mata. Kali ini Hana benar-benar ingin mendekatinya. Begitu juga Colin. Masing-masing punya harapan tersendiri. Harapan yang kadang-kala kita sendiri tidak mengerti.

Tiba saat paling seksa apabila Te@mare volume 2 habis dibaca! Memang seksa! Sebab menanti sambungan kisah ini dalam Te@mare volume selanjutnya. Sabarlah hati…




Sunday, August 24, 2014

Bingkisan Dari Hati


Sajak ini saya muatkan juga di FB: Hanna Johan


Ketika Mereka Pulang
(Doa untuk MH17 dan MH370).
  
Di dalam dada
ribuan rindu bertakung
memandang langit yang mendung
mengiring pulang sejahtera
jiwa-jiwa sanjung
titipan doa mekar berlangsung
segera bersambut dari bibir ke jantung.

Ketika mereka pulang
kita berpesan kasih dan sayang
memegang erat tangan-tangan
membuang jauh persengketaan
mendakap rapat perpaduan
seluruh warga menadah harapan
agar terurai tiap persoalan.

Atas jutaan cinta
kita teguh bersama
mengusir air mata lara
kembali segar bercahaya
berpaut juang cita-cita
melestarikan amanah yang dibina.
 

Oleh Hasni Jamali
DBP, Kuala Lumpur.

Meng'kecoh'kan Karya Sendiri

Majalah Kembara Ustaz Jilid 18 menampilkan karya saya di dalamnya....
Karya DENGAN SOLAT AKU BERJAYA mengisi ruang cerpen dalam majalah Kembara Ustaz Jilid ke-18...


Antara watak utama dalam cerpen Diari Si Jantung Hati yang tersiar dalam majalah Mingguan Wanita.

Cerpen Diari Si Jantung Hati, mengisi nurani hati.

Sajak SEBATANG PEN DAN SEKUNTUM BUNGA menghiasi ruang akhbar Mingguan Warta Perdana.

Wednesday, August 20, 2014

Pencarian dalam Sebuah Kembara



Dalam hidup ini, apakah yang lebih indah selain daripada kita dapat mencapai keinginan yang tertanam jauh di lubuk hati?

Salah satu keinginan saya ialah mengembara. Saya gemar mengembara / merantau / bermusafir. Mungkin antara tiga perkataan itu mempunyai makna yang berlainan. Namun, di akhir keinginannya pasti ada satu persamaan. Mencari pengalaman, mencari maksud hidup atau mencari ketenangan. Lingkungan ‘pencarian’ yang tidak akan pernah habis.

Begitulah... hidup yang penuh dengan pencarian. Terkadang sesuatu maksud itu jelas kelihatan di hadapan mata, tetapi tuhan mahu kita mengenal-Nya dengan lebih dalam lagi. Tuhan hantar kita mengembara, menjadi perantau dan bermusafir untuk kita tahu indahnya menemukan maksud pencarian.

Buat masa ini saya gemar mengembara di tempat dekat2 sahaja. Iyalah, mahu mengembara jauh2 saya tidak punya keberanian lagi. Tahap keyakinan untuk mengembara bersendirian masih rendah. Memikirkan pelbagai faktor keselamatan, seeloknya pergilah ke mana-mana berteman. Sekurang-kurangnya jika ada kecemasan tidaklah panik dan masih ada tempat untuk bekerjasama menyelesaikan sesuatu masalah. Walau apa pun kebergantungan kita kepada tuhan adalah utama. Apa2 jua yang berlaku telah ada dalam rencana-Nya.

Merenung senja yang ditinggalkan di Perhentian KTM Segamat.

Saya ceritakan sedikit pengalaman kembara dekat2 saya ini antaranya perjalanan dari Kuala Lumpur ke Labis. Menaiki kereta api. Itulah rutin yang paling saya suka. Jika tiada tiket kereta api, saya akan pulang ke desa dengan bas. Mengembara dengan kedua-dua kenderaan awam ini berbeza keseronokkannya.

Antara permandangan indah yang saya tangkap gambarnya dari dalam jendela kereta api. Subhanallah, cantik.

Saya lebih selesa dengan kereta api. Pertama kerana sepanjang perjalanan tidak bosan. Jika mahu buang air ada tempat selesa disediakan. Boleh makan2 bekalan nasi dan lauk2 dengan selesa. Tidak risau bekalan makanan tumpah kerana kawasan duduknya sedikit luas dan ada tempat meletak makanan khas disediakan. Suasana di dalam kereta api ini sentiasa terang. Jadi bolehlah kita membaca sepanjang perjalanan dengan selesa. Saya suka membaca di dalam kereta api. Terkadang boleh habis satu buku nipis atau komik dalam satu perjalanan. Jika berasa letih, bolehlah meregangkan otot, berjalan-jalan ke gerabak lain. Atau sahaja duduk2 santai di sela2 antara dua gerabak. Namun, pastikan keselamatan diutamakan. Jangan sesekali membuka pintu utama ketika kereta api sedang bergerak.

gambar pohon pisang yang masih kecil, dikelilingi bunga-bunga ungu... pandangan cantik singgah jatuh dalam hati. :)

Yang paling indah, pandangan di luar jendela. Seringkali terhidang pandangan alam hijau, rumah2 kampung, sungai-sungai dan deretan kenderaan yang beratur di luar palang laluan jalan raya menghala ke laluan kereta api.

Sementara menanti ayah datang bawa saya pulang, kita 'selfie' sebentar dengan badan / gerabak kereta api... KTM Labis. :)

Terkadang, jika bertuah ada sahaja dapatan ilham tercetus dari dalam kereta api. Melalui orang-orangnya mahu pun suasananya sendiri. Indah!

About Us

Bila terbitnya bicara, hati mula pasrah, untuk luahan terindah, segalanya diserah…Moga jiwa turut merasa, tentang hati yang mula bercerita.

Teguh pada kata hati, cekal pada kata akal…akan setia pada janji, untuk diri, dia dan semua. Moga ada sinar, pada setiap karya yang terlahir dari jiwa dan rasa. Hanya kerana DIA.

Titip kasih daripada teman blogger

Titip kasih daripada teman blogger
Tanda hati daripada Cik Amy Sense, tQ!!!

Gapaian CIta

Gapaian CIta

Impian Kan Terlaksana

Impian Kan Terlaksana
Barisan melakar cita

Pages