berkarya itu indah

berkarya itu indah

Wednesday, June 13, 2012

MIMPI SUCI #4


Alhamdulillah selesai semua cerita! Siap! Lega….!

Malam ini bolehlah saya tidur awal (jam sekarang menunjukkan pukul 12.30 tengah malam)… Tak apalah, daripada selalu saya tidur jam 2.00 pagi. Apa pun, semua ini saya lakukan kerana bahagia menulis dan demi menambah pendapatan. InsyaAllah. Semoga semua usaha ini diberkati Allah.

Kertas kerja yang sudah diconteng-conteng... hehe
Puan penerbit sudah pun menerima 8 daripada 10 cerita dengan senang hati. Sebenarnya di awal perjanjian, Puan penerbit mahu beri 10, tetapi akhirnya ada 8 sahaja. Apa pun, saya sempat menulisnya dalam masa seminggu.

Banyak pengalaman menarik yang saya ingin kongsikan di sini. Menulis cerita kanak-kanak tidaklah semudah yang disangka. Lagi pula dalam jumlah perkataan 150-170, oh.. sangat mencabar! Usai sahaja menulis, banyak ayat yang terpaksa saya sunting dan potong. Lalu jika ayat itu tersalah potong, kena pulihkan semula dengan ayat penyambung yang betul dan tepat. Syukurlah saya punya ramai kawan yang bijak hukum tatabahasa. Kenal rapat dengan editor pun ada baiknya juga, ini lah masanya untuk menggunakan khidmat mereka dalam membantu saya menulis dengan lebih baik lagi. Alhamdulillah terima kasih kepada editor yang saya panggil Kak Siti dalam menunjuk ajar dan sudi meluangkan masa untuk membantu saya.

…Terkenang-kenang pula saat indah saya dan abang Hizazul (ZUL) ketika bersama-sama menyiapkan tugasan masing-masing di Restoran Uncle Sam. Abang Zul sibuk menanda kertas ujian anak muridnya dan saya pula asyik mencari contoh-contoh karangan bahasa Melayu murid darjah enam dengan melayari internet. Sekejap-sekejap abang Zul akan bertanya tentang tatabahasa yang digunakan anak muridnya dalam membina ayat. Kami tergelak-gelak juga membaca ayat tunggang-langgang mereka.

Contoh ayat yang saya ingat, ‘Ibu memasak kari di dalam kuali…’ –tafsiran saya seperti ibu sedang duduk dalam kuali sambil memasak kari. hehe

Tidak kurang juga kami menyimpan rasa kagum kepada seorang anak murid perempuan yang menulis dengan ayat yang lawa dan hampir tepat. Akhirnya, saya tidak menulis apa-apa untuk hari itu. Tetapi saya dapat belajar serba sedikit tentang dunia tatabahasa yang dikuasai benar oleh abang Zul. Maklumlah, di UKM dahulu dia mengambil jurusan Pengajian Melayu. Jadi bahasa Melayunya lagi mantap daripada saya. Hehe… Moga saat manis bersama bakal ada lagi nanti, ya. InsyaAllah.

Buku2 Rujukan yang banyak mencurah bakti... :)
Ini antara buku peribahasa yang sempat saya beli. Buku rujukan karangan BM UPSR pun saya beli juga. Cukuplah sekadar satu hingga dua buku ini. Ada rezeki boleh beli lagi. Dan paling bermakna ialah Kertas Peribahasa yang dihadiahkan oleh abang Zul. Walau pun tak tebal, tapi penuh isi dengan peribahasa yang bermutu. Hampir sahaja saya dimarahnya kerana penat-penat dia keluarkan laptop di kedai sup tulang, untuk menunjukkan pdf peribahasa yang disimpan, tetapi saya pula tak bawa Pendrive untuk sedut maklumat itu. Marah-marah manja tak apa, kalau marah benar-benar itu saya takut. Hihi… ampun!

Esoknya, pdf peribahasa ini sampai dalam kotak masuk emel. Bahagianya rasa! Dapatlah membantu saya menulis 1-2 cerita ketika itu. Syukur sekali! Terima kasih abang zul, ya! Nanti saya belanja Bakso dan pisang goreng ya…! Hehe…

Baiklah, setakat ini dahulu. Selepas ini perlu siapkan Penyuntingan Manuskrip Tebal pula. Semoga Allah sentiasa merahmati pekerjaan saya. Berharap juga di tempat kerja nanti punya kelapangan untuk tumpang menyunting manuskrip. Alhamdulillah, Pakcik pun sentiasa baik hati dan tak kisah. Semoga Pakcik teruslah memahami. AMIN.

…selepas khatam sunting manuskrip ada 3 artikel menanti untuk ditulis dan hantar kepada Penerbit VC Kreatif dan 7 cerita baharu untuk Penerbit Murnibooks. Alhamdulillah. Selamat berjaya dan lakukan yang terbaik ya, cik Hasni Hanna! Amin. …


Sunday, June 10, 2012

MIMPI SUCI #3


(…sambungan…)
Apakah jawatan yang ditawarkan ITBM untuk saya agaknya ya? Senyum… Syukur, rezeki bertambah-tambah. Semoga dengan rezeki ini nanti saya dapat membantu keluarga untuk hidup yang lebih baik. InsyaAllah.
Inilah pekerjaannya!
ALHAMDULILLAH. KERJA BEST TANGGUNGJAWAB PUN THE BEST JUGA! TAHNIAH CIK HASNI. SYUKUR.

Terima kasih tidak terhingga saya ucapkan kepada seorang teman. Dia tidak pernah lokek berkongsi rezeki dengan saya. Semoga suatu hari nanti dalam rezeki saya juga ada rezeki untuknya. Amin. Terima kasih sahabat.
Ucap rasa kasih ini turut saya hulurkan kepada kedua-dua kakak angkat saya, yang tidak pernah putus mendoakan kejayaan buat saya. Mereka juga antara insan penting yang setia bersama saya ketika duka dan suka. Alhamdulillah, semoga mereka mendapat rahmat melimpah daripada Allah. InsyaAllah. Amin.
Terbaru ini, saya sedang mengerjakan 7/10 cerita pendek untuk Murnibooks. Wah, sungguh mencabar! Sangat sukar menulis cerita pendek antara 150-170 patah perkataan ini. Sudah biasa berkias-kias, tetapi akhirnya terpaksa memotong perkataan-perkataan yang lemah dan memanjangkan ayat. Cabaran, ianya penting untuk melahirkan karya bermutu di masa hadapan. Yeh!
Ini sahaja untuk hari ini… mahu sambung menulis cerita ke empat dan berharap siap pada hari ini juga! Amin.
Tidak sabar mahu berkongsi cerita lagi. Tentang buku baharu yang baru selesai baca dan cerita tentang idea dan makan.
JUMPA LAGI!
(…BERSAMBUNG…)

Thursday, June 7, 2012

MIMPI SUCI #2


Puas sudah menonton drama kartun Upin dan Ipin. Sesungguhnya episod-episod yang dilalui mereka memang penuh bermakna dan penuh pengajaran buat saya yang dewasa ini. (Perhalus bahasa diri dengan menggantikan aku kepada saya). Senyum…
Sedikit demi sedikit, selepas hati pulih daripada sakit… akhirnya saya ketemu sebuah pengalaman yang indah kurniaan Allah. Alhamdulillah. Tawaran menulis datang satu per satu. Syukur. Di sebalik kesedihan, Allah bungakan hati dengan pengalaman-pengalaman ini. Alhamdulillah.
Pada waktu yang sama juga, bos (atau lebih mesra dipanggil Pakcik) berkata kepada saya, “Bulan ni saya naikkan gaji awak, ye.” Senyum meleret ketika pakcik sampaikan berita itu kepada saya. “Alhamdulillah.” Saya sambut berita ini dengan penuh kesyukuran kepada-NYA.
Terima kasih Allah.
Seterusnya, walau tidak banyak karya saya di media pada tahun ini, namun saya tetap bersyukur, penulisan saya untuk penerbitan majalah dan buku kanak-kanak diterima setiap satunya. Makluman terbaharu yang saya terima daripada Penerbit VC Kreatif. Penerbit menerima tiga cerita pendek saya untuk dimuatkan dalam majalah Kembara Ustaz. Tiga cerita pendek ini saya baurkan rasa harmoni sesama ahli keluarga dan saya iringkan pengisiannya dengan makna-makna cinta kepada ISLAM. InsyaAllah, semoga nanti majalah ini mendapat sambutan ramai pembaca dan laris di pasaran. Paling penting cerita-cerita ini nanti memberi makna kepada pembaca untuk menjadi lebih positif. AMIN.
Bulan JUN ini juga, bawah penerbit Murnibooks, saya dilamar lagi untuk menulis cerita pendek bagi murid darjah enam. 10 cerita pendek ini untuk keperluan penerbitan ini menjalankan bengkel-bengkel penulisan dan penerbitan buku aktiviti sekolah. Alhamdulillah. Rupanya bukan mudah ya, menulis cerita untuk kanak-kanak ini. Lebih mencabar daripada menulis cerita untuk bacaan dewasa. Untuk itu saya amat menghargai sekali bantuan Abang Hizazul Khan atas pemberian helai-helai koleksi Peribahasa Melayu untuk rujukan saya. Terima kasih! Semalam, dengan rezeki yang hadir, saya ke kedai buku untuk menambah buku rujukan karangan bahasa Melayu darjah enam. Wah, sangat lama tidak membeli buku rujukan seperti itu. Terasa-rasa seperti guru pula, mencari buku rujukan untuk mengajar (berangan saja!). Terasa-rasa juga seperti kanak-kanak 12 tahun yang akan menduduki peperiksaan UPSR. Hehe… (Lagi berangan!)
Dan rezeki lagi… Alhamdulillah. Saya mendapat tawaran daripada Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) sebagai….
(…bersambung…) ~ sudah tamat waktu kerja. Mahu pulang dahulu! Moga senyum ini terus berlagu di bibir yang selalu rindu kepada-MU.

Wednesday, June 6, 2012

Mimpi Suci #1

Mimpi suci #1

Alhamdulillah. Di sepanjang kurniaan dugaan kisah kasih yang kurang menjadi lagi, akhirnya aku mendapat sebuah kebebasan yang bernama JAYA (bukan nama orang).

Allah takdirkan aku untuk gagal dalam kisah kasih ini lagi, dan aku tidak mahu selamanya berada dalam duka. Kerana aku tahu, Allah mahu aku mencari dan memperhalusi nilai baik dan nilai murni yang berada di sebalik kekecewaan ini.

Memang payah untuk aku terima ‘Mengapa setelah dia aku terima, akhirnya dia permainkan lagi perasaan aku, dan mencorak hubungan yang kuberi dengan hati yang suci lalu menjadi hitam dengan aliran kasihnya yang tidak menghargai.’

~~~ begitulah sedikit kisah yang aku rasa orang pun dah malas nak baca dan ambil tahu. Tapi aku sengaja mengundang marah kalian (mungkin)… baca kisah kecewa ini lagi. ~~~

BAIK! MARI MULAKAN KISAH BAHARU! DENGAN PENUH SEMANGAT!!!
MULA-MULA, TONTON UPIN DAN IPIN DAHULU…





(bersambung....)

Sunday, June 3, 2012

Yakinkan Diri


 (Kecewa lagi. Entri ini sekadar meyakinkan diri bahawa Hiduplah dengan ceria dan lekaslah keluar dari perasaan sengsara ini)
 Entri ini pernah ditulis suatu masa dulu...
Sebenarnya, cinta...tak pernah lepas dari ingatan walau ke mana arah kita pergi. Ke kanan ke kiri, semuanya ada cinta. Sukar untuk melarikan diri daripada lima aksara itu. Walau nyatanya, cinta itu terlalu indah dan terlalu menyakitkan. Ada yang pernah berkata, cinta itu sakit yang indah. Iyakah? Pada hanna mungkin iya, andai cinta itu masih dimiliki. Tapi, bila cinta sudah jauh meninggalkan adakah ia masih indah? hmm, mungkin ia indah untuk dikenang dan disimpan dalam lipatan memori.

Cinta kepada Allah adalah cinta segala-galanya. Sekarang dan sentiasa, hanna mengharapkan cinta ini kekal dan mekar berkembang. Selama-lamanya. Walau ada badai walau ada rantai duka, moga cinta ini terus kejap dilaksanakan terhadap Yang Maha Kuasa. Amin.
Pesan ibu
usah dipendam rasa yang keliru
luahkan segala
agar hilang gusar di kalbu.

Kataku pula
payah meluahkan segala isi duka
biarlah
begini adanya
tidak kumahu
merencana cerita
tentang cinta manusia
yang tiada setia.

diam
sepi itu tak mahu lagi bersuara
berceritalah tentang isi alam
wahai ibuku
biarlah
begini adanya.

hanna @ anakmu, along.


kususun senyum
hanya buat yang mengerti
dan sudi menghargai.

~hJ~

Saturday, June 2, 2012

Separuh Purnama


2012/

Sudah separuh purnama berlalu. Jun, datang lagi menggamit usiaku yang ke 25 tahun. Dengan nafas yang bersulam sendu, aku bersyukur, Allah masih mahu memberi nyawa hidup dalam jasadku.

Alhamdulillah.

Jun yang hadir, kunilai kembali jalan-jalan yang telah aku lalui. Aku sendiri mengembara ke dalam memori, yang telah lama aku lupai. Satu per satu aku jelajahi. Aku buka semua tulisan-tulisan lamaku. Melihat, membaca dan menilai sendiri. Betapa aku jatuh hati kepada penulisan lamaku. Yang kini tidak sama lagi.

Aku tertanya-tanya, aku bersoal-soal kepada diri. Jawabnya... 'bukankah ini tandanya masa yang sudah banyak berubah?' 'Bukan masa yang berubah, tetapi diri dan persepsi hati yang menulis. Adakah masih sama niat dan jiwa menulisku kini dan suatu ketika dahulu?'

Ya, itulah persoalan dan jawaban sebenar yang perlu aku perjelaskan kepada diri. Aku masih mencari, sebab dan alasan yang wajar...

Hingga kini, aku masih tidak mampu menulis panjang. Aku sedih, dan aku berharap ini bukanlah pengakhirannya... Tidak! Semoga tidak! Amin. :(

About Us

Bila terbitnya bicara, hati mula pasrah, untuk luahan terindah, segalanya diserah…Moga jiwa turut merasa, tentang hati yang mula bercerita.

Teguh pada kata hati, cekal pada kata akal…akan setia pada janji, untuk diri, dia dan semua. Moga ada sinar, pada setiap karya yang terlahir dari jiwa dan rasa. Hanya kerana DIA.

Titip kasih daripada teman blogger

Titip kasih daripada teman blogger
Tanda hati daripada Cik Amy Sense, tQ!!!

Gapaian CIta

Gapaian CIta

Impian Kan Terlaksana

Impian Kan Terlaksana
Barisan melakar cita

Pages