berkarya itu indah

berkarya itu indah

Sunday, August 24, 2014

Bingkisan Dari Hati


Sajak ini saya muatkan juga di FB: Hanna Johan


Ketika Mereka Pulang
(Doa untuk MH17 dan MH370).
  
Di dalam dada
ribuan rindu bertakung
memandang langit yang mendung
mengiring pulang sejahtera
jiwa-jiwa sanjung
titipan doa mekar berlangsung
segera bersambut dari bibir ke jantung.

Ketika mereka pulang
kita berpesan kasih dan sayang
memegang erat tangan-tangan
membuang jauh persengketaan
mendakap rapat perpaduan
seluruh warga menadah harapan
agar terurai tiap persoalan.

Atas jutaan cinta
kita teguh bersama
mengusir air mata lara
kembali segar bercahaya
berpaut juang cita-cita
melestarikan amanah yang dibina.
 

Oleh Hasni Jamali
DBP, Kuala Lumpur.

Meng'kecoh'kan Karya Sendiri

Majalah Kembara Ustaz Jilid 18 menampilkan karya saya di dalamnya....
Karya DENGAN SOLAT AKU BERJAYA mengisi ruang cerpen dalam majalah Kembara Ustaz Jilid ke-18...


Antara watak utama dalam cerpen Diari Si Jantung Hati yang tersiar dalam majalah Mingguan Wanita.

Cerpen Diari Si Jantung Hati, mengisi nurani hati.

Sajak SEBATANG PEN DAN SEKUNTUM BUNGA menghiasi ruang akhbar Mingguan Warta Perdana.

Wednesday, August 20, 2014

Pencarian dalam Sebuah Kembara



Dalam hidup ini, apakah yang lebih indah selain daripada kita dapat mencapai keinginan yang tertanam jauh di lubuk hati?

Salah satu keinginan saya ialah mengembara. Saya gemar mengembara / merantau / bermusafir. Mungkin antara tiga perkataan itu mempunyai makna yang berlainan. Namun, di akhir keinginannya pasti ada satu persamaan. Mencari pengalaman, mencari maksud hidup atau mencari ketenangan. Lingkungan ‘pencarian’ yang tidak akan pernah habis.

Begitulah... hidup yang penuh dengan pencarian. Terkadang sesuatu maksud itu jelas kelihatan di hadapan mata, tetapi tuhan mahu kita mengenal-Nya dengan lebih dalam lagi. Tuhan hantar kita mengembara, menjadi perantau dan bermusafir untuk kita tahu indahnya menemukan maksud pencarian.

Buat masa ini saya gemar mengembara di tempat dekat2 sahaja. Iyalah, mahu mengembara jauh2 saya tidak punya keberanian lagi. Tahap keyakinan untuk mengembara bersendirian masih rendah. Memikirkan pelbagai faktor keselamatan, seeloknya pergilah ke mana-mana berteman. Sekurang-kurangnya jika ada kecemasan tidaklah panik dan masih ada tempat untuk bekerjasama menyelesaikan sesuatu masalah. Walau apa pun kebergantungan kita kepada tuhan adalah utama. Apa2 jua yang berlaku telah ada dalam rencana-Nya.

Merenung senja yang ditinggalkan di Perhentian KTM Segamat.

Saya ceritakan sedikit pengalaman kembara dekat2 saya ini antaranya perjalanan dari Kuala Lumpur ke Labis. Menaiki kereta api. Itulah rutin yang paling saya suka. Jika tiada tiket kereta api, saya akan pulang ke desa dengan bas. Mengembara dengan kedua-dua kenderaan awam ini berbeza keseronokkannya.

Antara permandangan indah yang saya tangkap gambarnya dari dalam jendela kereta api. Subhanallah, cantik.

Saya lebih selesa dengan kereta api. Pertama kerana sepanjang perjalanan tidak bosan. Jika mahu buang air ada tempat selesa disediakan. Boleh makan2 bekalan nasi dan lauk2 dengan selesa. Tidak risau bekalan makanan tumpah kerana kawasan duduknya sedikit luas dan ada tempat meletak makanan khas disediakan. Suasana di dalam kereta api ini sentiasa terang. Jadi bolehlah kita membaca sepanjang perjalanan dengan selesa. Saya suka membaca di dalam kereta api. Terkadang boleh habis satu buku nipis atau komik dalam satu perjalanan. Jika berasa letih, bolehlah meregangkan otot, berjalan-jalan ke gerabak lain. Atau sahaja duduk2 santai di sela2 antara dua gerabak. Namun, pastikan keselamatan diutamakan. Jangan sesekali membuka pintu utama ketika kereta api sedang bergerak.

gambar pohon pisang yang masih kecil, dikelilingi bunga-bunga ungu... pandangan cantik singgah jatuh dalam hati. :)

Yang paling indah, pandangan di luar jendela. Seringkali terhidang pandangan alam hijau, rumah2 kampung, sungai-sungai dan deretan kenderaan yang beratur di luar palang laluan jalan raya menghala ke laluan kereta api.

Sementara menanti ayah datang bawa saya pulang, kita 'selfie' sebentar dengan badan / gerabak kereta api... KTM Labis. :)

Terkadang, jika bertuah ada sahaja dapatan ilham tercetus dari dalam kereta api. Melalui orang-orangnya mahu pun suasananya sendiri. Indah!

Thursday, August 14, 2014

Dahulu Aku Tukang Cuci



Ini antara entri pertama ditulis selepas enam bulan saya menyepi. Bukanlah menyepi kerana tak mahu menulis. Tetapi menyepi kerana terlalu sibuk dengan tugasan pekerjaan. Dan sekarang, saya kembali menulis. Adakah disebabkan saya tidak sibuk? Tidak juga... sibuk masih tetap sibuk seperti biasa. Cuma kali ini saya berhajat untuk mula menulis kembali di blog. Biarpun saya sendiri yang membaca, atau ada penulis blog lain yang datang singgah dan membaca... biarlah tulisan saya nanti menjadi tulisan yang bermanfaat.

 
pinjam gambar dari google

Cerita pertama saya hari ini ialah... di pejabat saya, ada seorang tukang cuci baharu. Tukan cuci di pejabat saya memang silih berganti. Bergantung kepada susunan jadual pihak mereka atau pun kerana tukang cuci lama yang merupakan 80% warga asing, dihantar pulang setelah pas pekerjaan mereka tamat. Lalu bergantilah tukang cuci baharu.

Kali ini tukang cuci di pejabat saya ialah seorang mak cik. Usianya mencecah 63 tahun. Dia bilang dahulu dia berkhidmat sebagai tukang cuci di balai polis. Tapi kerana sudah tamat tempoh umur berkhidmat, mak cik tu pun pencen. Adat sudah terbiasa bekerja, mak cik tak reti duduk diam... berusaha mencari kerja. Akhirnya mak cik ini mendapat pekerjaan sebagai tukang cuci. Itulah pekerjaannya dari dahulu hingga kini. Dia amat suka dengan pekerjaannya.

Mulai saat itu, mak cik pun bekerjalah di tempat saya. Pada awal hari melihat dia masuk ke dalam pejabat kami....tiba2 sayu je rasa hati saya. Iyelah mak cik seusia 63 tahun itu masih gagah. Cekap membuat kerja. Melihatnya mengingatkan saya ketika pengalaman bekerja sebagai tukang cuci dahulu. Pada waktu itu saya baru habis SPM. Sempatlah menjadi tukang cuci sebagai pekerjaan sementara.

Bukan mudah pekerjaan ini. Lebih-lebih lagi apabila tugasan saya ini melibatkan kawasan Pusat Kesihatan. Jika ditugaskan di kawasan Kecemasan, hadaplah saya dengan darah2 daripada luka orang kemalangan, berjejeran darah2 mereka dan saya hadir sebagai tukang mop. Wow, baru saya tahu ketika itu bahawa saya ini seorang penggeli. Sesekali terdengar erangan pesakit ketika lukanya dicuci oleh Pembantu Perubatan. Wah, ngeri melihat lutut terkoyak dan berdarah....

Paling berat mata memandang kepada mak cik tadi apabila kudrat pikunnya memerlukan dia membuat tugasan vacum kawasan pejabat, cuci tandas dan mengambil serta membuang sampah-sampah. Bukan itu sahaja, mak cik ini perlu membersihkan tiga tingkat. Kiranya mak cik ini mak cik kawasan lah ni.

Tapi, hari ini setelah seminggu mak cik tak datang, saya pula jadi risau. Apabila terpandang tukang cuci baharu, saya cuba tanyakan khabar mak cik itu. Oh, rupanya mak cik itu sudah ditukarkan ke tingkat lain. Sekarang dia hanya jaga 2 tempat sahaja. Berbanding dahulu 3 tingkat. Menurut tukang cuci senior, mak cik tidak larat untuk naik turun 3 tingkat. Jadi pihak mereka memberikan mak cik 2 tingkat sahaja.

Biar di mana mak cik berada, doa saya agar mak cik sihat selalu. Dan moga mak cik bahagia dan dilindungi Allah. Amin.

About Us

Bila terbitnya bicara, hati mula pasrah, untuk luahan terindah, segalanya diserah…Moga jiwa turut merasa, tentang hati yang mula bercerita.

Teguh pada kata hati, cekal pada kata akal…akan setia pada janji, untuk diri, dia dan semua. Moga ada sinar, pada setiap karya yang terlahir dari jiwa dan rasa. Hanya kerana DIA.

Titip kasih daripada teman blogger

Titip kasih daripada teman blogger
Tanda hati daripada Cik Amy Sense, tQ!!!

Gapaian CIta

Gapaian CIta

Impian Kan Terlaksana

Impian Kan Terlaksana
Barisan melakar cita

Pages