berkarya itu indah

berkarya itu indah

Tuesday, December 27, 2011

BERBENGKEL: PENULISAN KRITIS di MELAKA


Pada 16-18 Disember 2011, saya telah menghadiri BENGKEL PENULISAN KRITIS di KPA AGROBAZAAR, UMBAI MELAKA.

KAIN RENTANG. BUKTI SAYA ADA DI BENGKEL INI. :)
Ayah, menghantar saya ke bengkel ini dengan selamatnya. Bertemankan seorang rakan sekerja dan seorang adik saya, ayah berjaya memandu dengan baik hingga sampai kami ke destinasi. Beberapa kali juga kami tersesat jalan. Rupa-rupanya peta yang diberi kami tersalah pandang. Dalam keadaan sesat itu, syukurlah kami tidak panik. Ayah memang seorang yang selamba, rakan sekerjanya juga jenis orang yang cool dan adik lelaki saya yang mudah terhidu bau sesat dan dia juga tidak panik. Melainkan saya, hanya panik dalam hati. Dan diam kerana saya memang BUTA PETA. hehe... 

CHALET INI DIDIAMI URUSETIA LELAKI.
Inilah lokasi bengkel! Chalet yang menarik, tenteram dan seram di malam hari... weeewuu... siapa sangka? hehe....

Yang ini nanti saya ceritakan ya! (teruja sungguh). Huhu…

Baik, dalam bengkel yang mengambil masa 3 hari 2 malam ini banyak isu dibincangkan. Fokus sebenar bengkel ini menjurus kepada MENULIS UNTUK KEBENARAN. Secara ringkasnya, saya tertarik dengan kesemua peserta yang terdiri daripada pelbagai lapangan atau bidang kerjaya. Dan mereka ini suka menulis! Dan mereka ini mahu menjadi seorang penulis! Pastinya penulis yang benar-benar menulis…!

Antara SANG PENCERAH yang hadir ialah Encik Hasni bin Abas, Dr. Ali Nor, Tuan Hj Razali bin Endun, Tuan Hj Mohd Azmi bin Hamid, Tuan Che Shamsuddin bin Othman (Dinsman), Tuan Kassim Mohamad dan Dr. Siti Zainon Ismail. Tidak dilupakan kehadiran Tuan Hj. Mokhtar Yassin (Sasterawan Melaka) telah merasmikan bengkel ini secara keseluruhannya.

Topik-topik yang dibincangkan meliputi judul:

  1. TANGGUNGJAWAB PENULIS MENEGAKKAN KEADILAN DAN KEBENARAN SEBAGAI WADAH PEMBENTUKAN MASYARAKAT.
  2. ESEI SEBAGAI WADAH MEMBINA MASYARAKAT PROGRESIF DAN POSITIF.
  3. Penggunaan bahasa yang betul dan tepat dalam penulisan.
  4. Kenapa masyarakat perlu berubah. Dalam konteks, kenapa kita menulis?
  5. Pengalaman dan proses penulisan kreatif, dr.siti zainon ismail.
  6. Sidang pleno: dilema penulis?

Antara dapatan saya sepanjang berlangsungnya bengkel ini ialah:

MENGAPA SAYA MENULIS? Itulah dapatan pertama saya. Bertanya kepada diri sendiri, sebab saya menulis.

  • Lalu jawab hati, setelah mendengar segala penerangan oleh SANG PENCERAH, menulis untuk kebenaran. Menulis untuk menyampaikan sesuatu yang bermanfaat dan benar. Segalanya tentang kebenarang. Ya, memang itulah niat saya dari awal lagi sebelum saya menggelarkan diri ini sebagai penulis. 
  •  
  • Fokus dan jujur pada diri. Ketika menulis pelbagai hasutan ilmu akan datang. Ilmu baik dan ilmu tidak baik. Ilmu tidak baik ini datangnya untuk memusnahkan yang lain. Contohnya, menulis kisah negatif tanpa sebarang kesan @ natijah kebaikkan di hujungnya.
  •  
  • Mengenal dan menggali persepsi sendiri tentang sesuatu hal. Usah menerimanya bulat-bulat sahaja. Selalulah peka dan sensitif tentang sesuatu perkara. BERFIKIR!
  •  
  • Beruntuglah jika seorang penulis itu punya daya ALIRAN SEDAR yang tinggi. SEDAR akan semua hal itu adalah untuk disalurkan kepada kebenaran.
  •  
  • Perkuatkan kosa kata dengan baca kamus (pesan En. Hasni), dan gayakan bahasa agar cerita menjadi indah belaka. Indah bahasa, indah plot cerita dan indah ilmu di dalam karya yang ditulis.
  •  
  • Mendepani segala cabaran penulisan dengan yakin dan berani. Untuk menegakkan kebenaran dengan menulis, bukanlah sesuatu yang mudah. Maka itu, seorang penulis perlu menetapkan dalam hatinya agar yakin, berani dan sentiasa menambah ilmu agar tidak mudah ditindas.
  •  
  • Melihat, mengenal, merasa, dan melahirkan sesuatu makna… dengan meneliti sesuatu itu di luar kotak. Bagaimana ya? Saya hingga kini masih berlatih untuk mencapai itu.

Sebenarnya banyak lagi dapatan yang saya dapat. Cuma ianya tak terkata, terlalu banyak! 

… saya akan sambung penulisan tentang hal-hal luar bengkel dalam entri kemudiannya ya! …

Terima kasih sudi membaca hingga tamat.




Thursday, December 22, 2011

SIRI BACAAN HANNA: Novel TERIMA KASIH CIKGU!

gambar ini diambil di google web jemariseni... maaf gambar tidak beberapa jelas.

SIRI BACAAN HANNA: NOVEL TERIMA KASIH CIKGU!

PENULIS: UMI AMIRA
PENERBITl: JS ADIWARNA TELADAN (JEMARI SENI)
HARGA: RM 14.00
MUKA SURAT: 161 HELAI

TERIMA KASIH CIKGU!

Ucapan ini biasa kita sebutkan kepada guru-guru yang kita sayang sewaktu di sekolah. Dahulunya ia sebuah ucapan keramat untuk dihulurkan. Ini kerana, ucapan terima kasih memerlukan rasa kasih yang tinggi yang lahirnya dari hati agar maknanya benar-benar sampai ke hati penerimanya.

Cikgu Habibah, sudah tidak larat menanggung beban. Kelas 2 Jauhari, terkenal benar dengan aksi ganas dan menyakitkan hati. Namun, tidaklah semua pelajarnya begitu. Hanya beberapa pelajar lelaki yang belum sedar diri untuk meraih masa hadapan yang bahagia.

Lalu ditampilkan watak seorang lagi guru perempuan untuk mendampingi Tingkatan 2 Jauhari. Kedatangan seorang guru perempuan, dari bandar telah merubah segalanya. CIKGU SALINA BINTI MOHAMAD FIKRI, menggalas tugas yang dahulunya terasa sebagai sebuah bebanan oleh Cikgu Habibah.

Menghadapi Luqman, Safuan, Hanafi dan Malek bukanlah hal yang mudah. Oleh sebab itu, Cikgu Salina telah menjadi seorang guru yang luar biasa:

‘Cikgu Salina sudah bersedia sedari di bilik guru lagi. Dia membaca doa penerang hati dan pendinding diri, memohon agar tugasan pertamanya pada hari ini akan berjalan dengan baik dan lancar.’ (2011: 23)

Petikan ini menampilkan bahawa sebuah perubahan yang terbaik bakal berlaku buat ‘Geng Samseng Sempoi’ ini. Cikgu Salina amat bersedia menghadapi segala helah dan bencana yang bakal menyerang dirinya suatu ketika nanti. Amalan doa dan keyakinan kepada Allah amat dititikberatkan setelah dia berusaha menangganinya secara psikologi.

Pandangan saya, novel ini jalan ceritanya klise sekali. Ini kerana, sudah banyak cerita begini sama ada di tulis atau ditayangkan di televisyen sebagai drama tanpa siri atau drama bersiri. Namun, di sebalik yang tersurat ingin saya kongsikan di sini beberapa keistimewaan/ hal-hal tersirat dalam kisah ini.

KEISTIMEWAAN NOVEL TERIMA KASIH, CIKGU!:

  1. Jalan cerita yang mudah hadam. Gaya bahasa yang mudah dan seronok diikuti tanpa terganggu dengan apa-apa jua ketidakfahaman ayat.

  1. Banyak pesanan dan amanat yang meninggalkan kesan mendalam dalam hati saya sebagai pembaca. Antaranya;
-Pesan yang amat menyentuh hati daripada ayah Luqman kepada Luqman. Ketika ini Luqman sedang imbas kembali pesanan ayahnya:

“Luqman, kita ini orang miskin. Tapi, kita tidak boleh miskin ilmu. Selagi ayah hidup, ayah akan pastikan anak-anak ayah mendapat pendidikan yang secukupnya. Ayah tak nak Luqman jadi macam ayah, buta huruf dan langsung tidak berpendidikan. Berjanji ya, nak…” terngiang lagi di telinga Luqman akan kata-kata arwah ayahnya itu.” (2011: 44)

-Ini pula sketsa antara Cikgu Salina dengan Mak kepada Luqman yang amat baik hati. Berhati murni mahu membantu Luqman dengan ikhlas hatinya:

“Makcik, arwah Encik Alias sangat menginginkan Luqman untuk meneruskan pembelajarannya sehingga ke peringkat tertinggi. Ini adalah satu wasiat yang sangat murni. Jadi izinkan saya untuk membantu Luqman dan merealisasikan wasiat arwah. Saya benar-benar ikhlas, makcik.” Cikgu Salina menyambung kata-katanya. (2011: 51)

-Pak Anuar ialah bapa saudara Cikgu Salina, turut berbesar hati dan murah hati membantu Makcik Salmah (emak Luqman) dengan menghulurkan wang sebagai pengurang beban perbelanjaan. Sikap ini harus dicontohi kita semua:

“Ambillah. Anak-anak kami semuanya sudah besar panjang dan berkeluarga. Tiap-tiap bulan juga mereka kirim wang kepada kami di sini. Anak-anak bongsu kami iaitu Dania Qistina pula bersekolah menggunakan duit biasiswa JPA. Jadi, untuk apa kami simpan duit banyak-banyak tanpa bersedekah? Lagipun kamu lebih memerlukannya, Salmah. Ambillah.” Pak Anuar tetap berkeras meminta Makcik Salmah menerima sumbangan ikhlas daripada dia dan isterinya. Akhirnya Makcik Salmah akur.” (2011: 60)

-Bacaan disua pula dengan hidangan kata-kata motivasi daripada watak seorang ustaz. Nasihat ini berkaitan ilmu yang harus dituntut untuk bekalan dan mengelakkan kita jauh tersesat:

“Tuntutlah ilmu hingga ke liang lahad. Ingatlah, tanpa ilmu kita akan mudah tersesat dan terjerumus ke dalam kencah maksiat dan kekufuran yang nyata.” Ustaz Syawaluddin menyatakan. (2011: 67)

-Ketika ini Luqman sudah mula sedar dengan sikapnya yang nakal. Luqman diajak oleh rakan-rakannya berbuat jahat, namun dengan kesedaran yang sudah mula terbit dalam dirinya, Luqman mengajak mereka kepada kebaikan:

“Kawan-kawan, saya tidak mahu kita semua ketinggalan dalam pelajaran. Sudahlah, yang buruk kita jadikan sempadan, yang baik kita jadikan teladan. Apa-apa pun, kamu bertiga tetap sahabat saya dunia akhirat.” Luqman memujuk rakan-rakannya. (2011: 81)

“Oleh itu, kita semua wajib bersikap rajin dan berusaha lebih daripada apa yang sedang kita lakukan sekarang. Masa itu emas, dan kita tidak boleh berlengah walau seminit pun.” Luqman menyatakan. (2011: 87)

“Mana boleh, saya masih ingat kata-kata Ustaz Syawaluddin, bangun malam dan beribadah adalah perkara yang paling afdal. Dan mengulang kaji itu juga satu ibadah, bukan?” Malek sudah pandai berdebat menggunakan hujah yang bernas. (2011: 87)

“Mak tak pernah putus-putus mendoakan kamu, nak. Supaya sentiasa Berjaya dalam pelajaran, supaya dapat tunaikan impian arwah ayah kamu.” Makcik Salmah berkata dalam nada yang sedikit sebak. (2011: 108)

Begitulah kisah ini berakhir. Berjaya dan selesai dengan aman. Anak-anak murid yang dahulunya nakal kini berubah menjadi manusia yang sedar diri dan tanggungjawab. Penghargaan buat Cikgu Salina, sentiasa terkenang dalam hati dan nubari.





Tuesday, December 20, 2011

SIRI BACAAN HANNA: Cerpen Nikmat Sepotong Kasih

KERATAN AKHBAR MINGGUAN PERDANA, CERPEN SEORANG SAHABAT PENULIS DAN KERATAN INI MILIK SAYA. :)

PERKATAAN YANG DIGARIS IALAH: LELAKI ITU MEMBELAH MASUK KE DALAM RUMAHNYA. SAYA KURANG FAHAM DENGAN AYAT 'MEMBELAH MASUK'...
SEKALUNG TAHNIAH BUAT TEMAN PENULIS, MOHD HELMI AHMAD atas tersiarnya cerpen beliau. Amat aktif menulis, hingga sebelum tamat 2011, masih ada lagi karya yang tersiar di media-media cetak! Tahniah!

SOROTAN DARIPADA kisah NIKMAT SEPOTONG KASIH:


KISAH ini memaparkan bagaimana seseorang itu meletakkan dirinya untuk menghadapi nikmat kasih dan sayang. Watak Natrah, seorang murid yang sering terasa dirinya dipinggirkan daripada keluarga. Natrah dilihat sebagai seorang anak daripada golongan keluarga berada atau kaya.

Plot dimulakan ketika Natrah sedang menunggu kedatangan Waja putih iaitu bapanya. Ketika itu, telinganya rancak mengisi ruang dengar dengan lagu Biarlah Rahsia daripada nyanyian Siti Nurhaliza:

‘Pernahkau kau bermimpi,
Seketika berada di tempatku,
Membayangkan….’

Rangkap ini mati daripada pendengaran kerana datangnya seorang pemuda. Natrah dibelenggu perasaan takut dan ragu-ragu. Pesan bapanya berlegar-legar dalam minda bahawa dia dilarang mengikut seorang yang tidak dikenali. 

Namun, apakah rahsia yang menyebabkan Natrah melangkah… Mengikut segala arahan lelaki itu. 

Gambar ilustrasi cerpen ini ialah sebuah pondok buruk. Apakah kaitannya dengan kisah ini? 

Natrah dibawa hingga ke pondok buruk itu. Hatinya melarang, tetapi akalnya membenarkan dia terus mengikut lelaki itu.

Di akhir cerita, Natrah berasa amat gembira. NIKMAT SEPOTONG KASIH tercurah dalam hatinya. Namun, rahsia tetap rahsia. Mahu tahu? Silalah dapatkan akhbar MINGGUAN WARTA PERDANA edisi 11 Disember 2011. 

Jika mahu daripada saya, boleh sertakan nama dan alamat di ruangan komen… saya akan poskan fotokopi cerpen ini secara percuma. Selamat membaca!

Tuesday, December 13, 2011

Siri Bacaan Hanna: Si Blogger Kampung






Dalam mendepani dunia canggih sekarang ini, tiada hal yang mustahil boleh kita lakukan selagi ada usaha yang bergalas penuh. Usaha yang diiringi semangat juang yang tinggi.

Selepas Fauziah Ashaari menulis novel Ombak Rindu lebih kurang 10 tahun yang lalu, tidak terbayangkan olehnya bahawa karyanya akan difilemkan. Lalu ramailah peminat yang membaca novel ini berpusu-pusu ke pawagam bagi menonton hasil olahan Ombak Rindu ke layar perak. Dan kini, apakah hasil yang terisi dalam hati anda yang pernah membaca dan menonton dan yang tidak pernah baca dan hanya pernah menonton?

Ketika sedang menanti masa untuk menonton Ombak Rindu di pawagam BP Mall, Batu Pahat... saya singgah ke kedai buku POPULAR, BP Mall... saya tidak mencari novel Ombak Rindu walaupun saya tidak pernah membaca novelnya. Tetapi mencari buku nipis yang mudah hadam. Akhirnya mata tidak berkerdip memandang novel SI BLOGGER KAMPUNG. Karya tulisan Zamri Mohamad dan Hafizul Hilmi ini memancing bacaan yang bagus sejak awal bab lagi. Saya amat suka!

SI BLOGGER KAMPUNG amat dekat di hati, kerana kisahnya melibatkan watak Haeqal yang tidak kedekut ilmu, watak bapa dan ibu Haeqal yang amat berdedikasi dalam mebentuk sikap anak-anak, watak adik Haeqal seorang adik yang suka mengusik abangnya, watak harmoni anak-anak desa dan seluruh watak protagonis yang memaniskan jiwa.

Jalan ceritanya memang untuk usahawan cilik yang ingin berjaya. Kerana watak-wataknya terdiri daripada kanak-kanak yang cilik, berusaha untuk berniaga demi menyara hidup dan memudahkan pengurusan kewangan, perbelanjaan masing-masing. Haeqal menjadi pengantara, seorang cilik yang bijak dalam hal pengendalian teknologi. Mengajar si kembar Juwaini dan Asyraf dalam membuka akaun blog dan promosi barangan kraf daripada mengkuang. Ilmu blog tersebar luar dalam usaha murni Haeqal dan membantu sehingga ramai orang kampung berniaga di dalamnya. Kampung Haeqal yang dahulunya suram kini berubah riang. Kunjungan pelancong dan pembeli-pembeli barangan yang dijual mereka seperti kraf mengkuang, kopiah putih,  karipap panas dan lain-lain menghidupkan suasana kampung yang dahulunya sunyi itu. Dan pastinya moral yang hendak disampaikan teresap di dalam hati. Antaranya: 


  1. Usaha selagi daya dan tidak pernah berputus asa. (Ini terbukti apabila Puan Jamilah iaitu ibu kepada Asyraf dan Juwaini yang tidak pernah berputus asa dalam bidang perniagaan tikar mengkuang. Walaupun penjualan tidak beberapa laku pada awalnya, namun dengan usaha yang gigih dia berjaya juga, sambil dibantu dua anak yang baik itu)
  2. Sifat suka menabur kebaikan. (Watak Haeqal yang tidak kedekut dalam memajukan orang lain dengan ilmu yang dipunyainya)
  3. Menjadi anak yang sentiasa menyenangkan hati ibu dan ayah. (Watak Haeqal yang pandai jaga diri di kampung, watak Asyraf dan Juwaini yang rajin membantu ibunya menjual tikar mengkuang di seluruh sudut kampung)
  4. Bimbingan yang baik daripada seorang bapa (Ini berlaku kepada bapa Haeqal yang bijak memberi pilihan kepada anak-anaknya dalam membuat keputusan. Tidaklah mendesak atau merotan sesuka hati) 
  5. Sabar itu indah yang membawa bahagia di akhir kisah. (Asyraf sedaya upaya menjadi si cilik yang sabar dalam menanggani peraih tikar mengkuang yang sombong dan bongkak. Akhirnya Asyraf berdoa bersungguh-sungguh hati dalam solat Duha. Memohon agar Allah memberi jalan kebaikan atas segala usaha yang telah dilakukan. Dan akhirnya mereka berjaya mencapai rezeki yang melimpah-ruah)  
 Perkongsian kali ini, InshaAllah saya akan usahakan selalu selepas tamat membaca sesebuah karya. Selamat membaca! 

Dengan gembira!
 




Tuesday, December 6, 2011

ULASAN CERPEN BAPAK YANG MEMBUNGAKAN HATI

Alhamdulillah, 

Entri kali ini saya mahu berkongsi tentang sesuatu yang menaikkan semangat saya untuk terus menulis. Syukur... Walaupun banyak dugaan dalam bidang penulisan ini, segala kritikan dan pujian amat saya ambil perhatian untuk terus bersemangat dalam bidang penulisan. Baik, tanpa membuang masa... saya persembahkan ulasan cerpen Bapak yang tersiar di Tunas Cipta bulan Oktober 2011. 

(saya sedang rajin mahu menaipnya kembali. Tiada tokok tambah, sama dengan teks asal, ya).

Ulasan ini ditulis oleh SITI HAJAR CHE MAN, muka surat 40-41, majalah Tunas Cipta bulan Oktober 2011)

Hasni Jamali menerusi cerpen "Bapak" ingin berkongsi pengalaman mengenai kasih sayang seorang bapa terhadap anaknya, juga sebaliknya. Pembaca ditemukan dengan watak Cikgu Ilhami Jelani dan kakaknya yang hanya dikenali sebagai Kak Long, seorang janda. Cerpen ini ialah cerminan kisah-ksah kehidupan yang boleh berlaku kepada sesiapa saja. Terdapa beberapa hal yang menjadikan cerita menarik untuk diikuti antaranya: 

  1. pengarang seorang penulis muda wanita menampilkan watak seorang pemuda lelaki bertugas sebagai guru yang begitu kejap dan cukup pekat dengan loghat daerah. Oleh itu setiap pandangan, tingkah laku, percakapan dan tindakan disalurkan oleh pengalaman dan pemikiran seorang wanita ke dalam karakter seorang watak lelaki ciptaannya,
  2. dilihat daripada perspektif wanita sebagai pengarang pengolahan cerpen ini memperlihatkan keunikan yang tersendiri. Paling ketara ialah jalinan cerita mempunyai unsur-unsur multifoka. Unsur ini dikaitkan dengan tanggapan bahawa wanita mempunyai banyak pusat berahi, sedangkan lelaki dikatakan bersifat unifokal. Oleh itu, unsur ini disabitkan dengan gaya pengarang dan sifat-sifat bahasa wanita dikatakan tidak kronologis dan tidak berfokus. Hal ini dapat dikesan menerusi jalan cerita yang mempunyai kepelbagaian isu yang hendak diolah. Pembaca dapat mengesan beberapa mesej yang cukup murni sifatnya.

Mesej pertama, kasih bapak sepanjang hayat. Hal ini terbukti apabila Cikgu Jelani sentiasa menasihati anaknya. Cikgu Ilhami dengan tiga hal penting, iaitu pegangan agama, ringan tulang, rela dan ikhlas dan budi pekerti. 


Mesej kedua, sikap bapa membuka ruang kepada pembaca untuk memutuskan bahawa bapa seorang yang mantap dan kejap jati dirinya.


Mesej ketiga, kecekalan, kesabaran dan kesungguhan Kak Long mengambil keputusan untuk tidak berkahwin, selepas kematian suaminya dan nekad memelihara bapa. Hal ini tidak sanggup dilakukan oleh Ilhami.


Mesej keempat, secara tidak langsung sikap dan pendirian bapa seorang pejuang jiwa raga bahasa dan memiliki keperibadian yang utuh, tidak mudah dihasut dan diganggu gugat. Perwatakan ini adalah untuk dicontohi oleh Cikgu Ilhami.


Mesej kelima, nasihat dan peringatan yang sangat seni sifatnya, "Tuhan menciptakan engkau itu melalui ibumu."


Begitu banyak mesej yang dapat dikesan inilah dapat disimpulkan bahawa cerpen ini memiliki unsur multifokal.


Namun begitu kisah ini ditinggalkan kepada pembaca untuk memikirkan di manakah bapak? Gaya dan teknik akan membuka ruang kepada pembaca untuk memberikan pelbagai hipotesis mengenai kehilangan bapa yang telah disahkan mengalami Alzheimer. Keadaan ini lebih malang bukan sahaja kepada Kak Long, malah kepada pembaca juga, apatah lagi bila mengenangkan jasa baik bapak dalam pembentukan kehidupan seorang anak yang tidak ada noktah. Paling terasa ialah Cikgu Ilhami. Dalam hal ini, pengarang tidak terikat dengan hukum-hukum patriarki yang memerlukan mereka akur dengan ketentuan budaya. Hasni Jamali mempunyai ruang dan telah sebaik mungkin memaparkan ideanya. Oleh sebab itulah untuk menerajui kisah ini, beliau merekayasa watak seorang guru lelaki bernama Cikgu Ilhami Jelani yang tidak serasi dengan bapanya yang juga seorang guru. Ini satu adegan yang menarik. Demikian juga ciri-ciri kewanitaan dibekalkan kepada Kak Long sebaik mungkin. Apa yang dapat dinyatakan ialah Hasni Jamali tidak dibuai dengan isu-isu streotaip, tetapi telah mempertajamkan motif yang biasa dibicarakan menjadi isu yang serius untuk diberikan perhatian dalam gaya bersahaja sebagaimana yang disenaraikan dalam mesej di atas. 


Sekian, terima kasih. Berbunga hati... Moga selepas ini karya-karya saya semakin baik dan berkualiti maknanya. InshaAllah, amin.

Wednesday, November 23, 2011

Segelas Kenangan Lagi dan Kepalang Ria Cinta

Segelas Kenangan Lagi...
Kepalang Ria Cinta
KALAU MAHU LIHAT LEBIH JELAS, SILA KLIK GAMBAR YA! :) 

TERIMA KASIH, IKHLAS... HANNA.

Tuesday, November 22, 2011

Jurnal Hari-Hari Hanna

Lukisan pertama. Tentang sebuah pohon di tepi jalan. Ya, mata saya menyaksikan daunnya berwarna hijau dan kuning. Cantik sangat!

Lukisan kedua. Serumpun pohon buluh di tebing sebuah parit. Ketika itu waktu redup, amat cantik dan saya pandang lama-lama. MashaAllah.

Alhamdulillah,
Tiba-tiba saya dapat idea. Untuk memulakan lukisan sebagai jurnal hari-hari. Sebenarnya tidaklah selalu (hari-hari) tetapi saya cuba lakukannya kerap. Ini dapat melatih saya agar:

  1. Tidak malas menulis
  2. Melatih diri memandang sesuatu itu di luar kotak fikiran (dari yang biasa kepada luar biasa)
  3. Membangkit aura warna-warni dalam hidup (saya suka warna-warni)
  4. Meningkatkan daya kreativiti dalam menulis dan melukis
  5. Menghargai bakat yang Allah kurniakan untuk dikongsi bersama-sama pembaca (InshaAllah) 
  6. Menjadikan pengembaraan biasa saya kepada sesuatu yang berisi dan bermanfaat untuk diri sendiri (dan mana tahu, dapat dikongsikan untuk pembaca dalam karya-karya selanjutnya)
Moga berterusanlah saya melaksanakan Jurnal Hari-Hari Hanna ini! :)

HannaJohan, 22 November 2011, Selasa, Setelah kembara dalam hujan di atas motor. Vrooom!

Segelas Kenangan


Pagi ini, dengan bekas-bekas hujan yang melatari basahan tanah...
kuhirup secawan milo panas, auranya walau tidak sama dengan hangat yang dirasakan olehnya
namun biarlah laku kami sama
menghirup udara pagi, menghirup bayu milo panas ini.

Aku tahu kita tidak akan dapat bersama-sama, berpimpin tangan apatah lagi bermesra kasih, tetapi 
doaku selalu ada dirimu, doaku selalu menyebut namamu
agar bahagia meniti hari-harimu
walau dalam basah hujan, walau dalam terik mentari pagi
segelas secawan milo yang kita hirup ini
sentiasa memberi suatu inspirasi baharu
baharu dalam kenang-kenangan, kita.

Monday, November 21, 2011

walau tidak sepenuhnya


ehsan encik google


Semalam malam, sebenarnya sudah tengah malam ketika itu,

Dalam kotak YM, masuk seseorang menegur. Hati ini amat berbunga, lalu menyapa kembali.

Kami berbual hingga tiba, dia mengundur diri. Tidak banyak isu yang kami bualkan. Hanya bertanya khabar dan bercerita tentang hidup. Itu sahaja. Itu yang membuatkan saya terasa-rasa manis ketika berbicara.

Kemudian, saya menjalani kehidupan angan seorang penulis. Seperti biasa, menaip untuk menyiapkan kerja. Cari rezeki, dalam mood gembira disapanya.

Hmm, 
       *perasaan senang dan tenang ketika bersama bicaranya sentiasa terasa hingga kini. Entah, biarlah. Paling penting ada sisip bahagia walau tidak sepenuhnya, cukuplah sedikit yang dihulur Allah. Ini nikmat terbesar, InshaAllah.

Friday, November 18, 2011

Andai Kembali


kehidupan menjadikan kita sempurna, dari mata jauh berlalu hingga dekat dalam hati.

kehidupan juga yang mensasarkan kita, hingga jatuh berulang-kali. Berulangkali rasa hampa, berulangkali rasa kecewa, segalanya menyempurnakan hidup yang tercipta suratan Ilahi.

Andai kembali, sekali lagi... 

-Hanna-

Sunday, November 6, 2011

Seputar tempoh masa yang ditinggalkan...

NOVEL SULUNG HANNA (menjadi penulis bersama Ain Maisarah), berjudul AKU MAHU LAWAN HANTU. MARI DAPATKAN!!!
SESI AUTOGRAF KALI PERTAMA CIK HANNA... :)
Bersama adik tersayang di Pesta Buku Ain Maisarah, Sek. Keb.  Gombak Utara. Mahu juga mengabadikan kenangan dengan poster Kak Ain. :)
Cerpen bulan November 2011 tersiar di majalah Fokus SPM. Gembira amat, :)

Wednesday, September 28, 2011

Cerpen Berganda!

tersiar di Berita Minggu 25 September 2011. :)

tersiar di Tunas Cipta bulan September 2011. :) 
SYUKUR, ALHAMDULILLAH. 

InshaAllah, Hanna akan cari ruang masa untuk ceritakan sedikit bagaimana idea untuk tulis cerpen ini muncul ya. :)

SELAMAT MEMBACA. MOGA BERMANFAAT KEPADA SEMUA.

Friday, September 23, 2011

Karya Berganda!

 Syukur! Novel pertama Hanna dan Kak Ain Maisarah sudah terbit pada bulan September 2011. Penantian yang sudah lama untuk Hanna kecap rasa bahagia ini. Alhamdulillah menjadi kenyataan. Syukur sangat. 

Kepada pembaca dan penggemar novel marilah sudi-sudikan diri untuk membeli novel ini, Aku Mahu Lawan Hantu terbitan Blink Book Sdn Bhd. Alhamdulillah... 

Boleh klik link ini untuk beli secara online PTS Bookcafe, kemudian untuk lihat ulasan penulis dan peminat (ewah-ewah) boleh klik di sini FB Hanna Johan dan FB Ain Maisarah. Silakan ya! semangat yang anda beri amat dihargai. :)
Syukur lagi, apabila cerpen berjudul Bapak tersiar di majalah Tunas Cipta bulan September ini. Karya ini sudah Hanna tulis dan hantar ketika di UKM lagi, dan syukur karya ini menjadi pilihan hati editor untuk diterbitkan. Majalah Tunas Cipta ini sebuah majalah yang mengetengahkan idea-idea penulis baharu dan memberi peluang juga ruang untuk penulis baharu membuahkan pendapat mereka melalu pelbagai kolum.

Dalam majalah ini juga tersiarnya Resensi Novel yang tiap-tiap Hanna tulis. Khas untuk ruangan Resensi Novel di Tunas Cipta September menampilkan novel Di Penghujung Rindu. Tiap-tiap bulan tu taklah kerap sangat, hanya ada 5 buah ulasan kalau tak silap.

Kepada sesiapa yang mahu lihat boleh klik di sini Isi Kandungan Tunas Cipta Sept 2011 .Untuk karya cerpen dan sajak memang Hanna guna nama asal iaitu Hasni Jamali.:)


sila klik gambar untuk lihat dengan lebih jelas ya! :)
Tidak ketinggalan juga dua sajak pada bulan September tersia di Berita Minggu. Judulnya Merdeka Anak-Anakku. Sajak ini penuh bermakna, kerana ketika menulisnya Hanna sedang menemani emak yang tidak dapat memejamkan matanya. Pada jam 3 pagi sajak ini terlahir dengan judul asal ialah Sendu Ibu. Lalu akhirnya ditukar menjadi Merdeka Anak-Anakku.

Kasih Pahlawan Hati :)     
Yang ini pula sajak Hanna yang terbit di akbar Mingguan Warta Perdana. Syukur... Kasih Pahlawan Hati mengenai parajurit negara yang banyak berkorban harta dan nyawa untuk memerdekakan negara kita. Apa pun di sebalik sajak ini ada suatu hal yang tersembunyi...apakah itu? telitilah sendiri :)

Atas segala rezeki yang Allah berikan, Hanna amat bersyukur. Moga selepas ini, rezeki tidak akan putus dan berlipat kali ganda lagi diberi Allah. Amin. Moga juga Hanna akan menjadi penulis yang gigih menulis sesuatu yang berkualiti untuk masyarakat pembaca. Amin.

Monday, September 19, 2011

Bebas!

Alhamdulillah, 

Syukur kepada Ilahi. Akhirnya Hanna berjaya keluarkan diri daripada belenggu perasaan yang berat ini. Syukur sangat-sangat.

Menghadapi karenah manusia bukan mudah. Kerana Hanna juga adalah manusia. Punya pelbagai ragam. Apa-apa yang ingin Hanna tulis di sini adalah mengenai suatu perasaan yang paling hebat pernah Hanna alami. 

BEBAS! Itulah perasaan yang Hanna rasakan sekarang. 

sebenarnya perasaan ini hadir setelah Hanna berhempas pulas mengelakkan diri daripada serangan masalah perasaan. Sebenarnya apabila kita dilanda masalah, jangan lari... kalau boleh, kita hadir dan selesaikan masalah tu. Hanna bukanlah lari macam mana, cuma Hanna memilih untuk menyibukkan diri. Kebetulan Hanna sudah ada pekerjaan. Syukur sangat, kerja di pejabat membuatkan Hanna tak fikir sangat masalah yang dihadapi ini. 

apa sebenarnya masalah yang sedang diceritakan ni? Oh, masalah cinta. hmm...tak sangka akan hancur lebur lagi kisah kasih kali ini. tak mengapalah, bukan dia orangnya. Itu ketentuan daripada Allah. hanna terima dengan hati yang lapan.

Perasaan lega tadi, apabila pagi-pagi lagi sang bekas kekasih memberi mesej. Dia berpesan agar Hanna jaga diri mencari kebahagiaan tanpa dia. Begitulah lebih kurangnya. Mula-mula memang sukar nak lepaskan perasaan sayang ni, tapi apabila dia sudah meminta... Hanna tak mahu terhegeh-hegeh menagih kasih pada yang tak sudi. 

Seminggu lalu Hanna bermain dengan perasaan digantung ketidakpedulian dia. Dan akhirnya, dia memberi kata putus itu. Alhamdulillah, Hanna amat lega dan bebas. Tidak lagi rasa digantung. Dan kini bolehlah Hanna cari kasih yang lain, atau menanti cinta yang lain. InshaAllah segalanya Hanna panjatkan doa kepada Ilahi.

Moga selepas ini, Allah pertemukan Hanna dengan lelaki yang benar-benar menghargai diri ini. Moga selepas ini Allah pertemukan hanna dengan lelaki yang berani, yakin dan faham makna sayang. Amin.

Baiklah, hidup mesti diteruskan. Jangan mudah mengalah ya, Hanna! :)

About Us

Bila terbitnya bicara, hati mula pasrah, untuk luahan terindah, segalanya diserah…Moga jiwa turut merasa, tentang hati yang mula bercerita.

Teguh pada kata hati, cekal pada kata akal…akan setia pada janji, untuk diri, dia dan semua. Moga ada sinar, pada setiap karya yang terlahir dari jiwa dan rasa. Hanya kerana DIA.

Titip kasih daripada teman blogger

Titip kasih daripada teman blogger
Tanda hati daripada Cik Amy Sense, tQ!!!

Gapaian CIta

Gapaian CIta

Impian Kan Terlaksana

Impian Kan Terlaksana
Barisan melakar cita

Pages