berkarya itu indah

berkarya itu indah

Friday, February 17, 2012

SIRI BACAAN HANNA: ANGGERIK UNGU


ULASAN NOVEL: RUSUH JIWA SOFIA HUMAIRA DALAM ANGGERIK UNGU
OLEH HASNI JAMALI 

Anggerik Ungu merupakan sebuah novel terbitan Buku Prima yang dijual dengan harga RM 14.00. Penulisnya sudah melahirkan beberapa buah buku seperti Dunia Anis dan Merah Cinta Kita. Wardah Munirah juga dikenali sebagai penulis bergenre cerpen, sajak dan karya-karya berbentuk ilmiah.

Serba ringkas tentang Anggerik Ungu

NOVEL ANGGERIK UNGU, DAN KERTAS KAJIAN KECIL. :)
Di sebalik kebahagiaan yang dimiliki, terdapat seribu kegelisahan yang merajai hati Sofia Humaira.

Sofia Humaira merupakan watak utama yang memegang perwatakan seorang anak yang baik dan sentiasa menyenangkan hati ibu dan ayahnya. Puan Aisyah dan Encik Fairul berbangga memiliki anak sebaik Sofia Humaira. Sudahlah bijak dalam akademik malah aktif pula dalam kegiatan sukan. Sofia Humaira juga merupakan seorang sahabat yang tahu tanggungjawabnya kepada sahabat-sahabat yang lain. Ai Ling, Kavitha dan Faridh Zuhry adalah sahabat yang selalu menjadi tempat luahan rasa, berkongsi-kongsi ilmu dan ahli kumpulan belajar bersama-sama.

Sofia Humaira pada awalnya cukup senang dengan aliran takdir yang melatari hidupnya. Baik, sentiasa berjalan lancar dan dipermudahkan segala urusan pembelajaran. Kehidupan luar sekolah juga begitu selesa dan tiada sebarang kekangan yang dihadapi Sofia. Apa-apa yang diinginkan sentiasa sahaja mudah diperoleh. Sofia berasa aman dan tenang sahaja. Namun, ada beberapa cubaan kecil terpaksa diharunginya. Ketidakyakinan Puan Aisyah dan Encik Fairul terhadap kebolehan Sofia untuk menyertai sebarang aktiviti lasak di sekolah amat mendukakan Sofia. Sesekali Sofia cemburu melihat teman-temannya dapat menimba banyak pengalaman dalam kem atau perkhemahan yang dijalankan di luar lokasi sekolah.

Rengsanya tidak berakhir di situ. Sofia berasakan ada sesuatu yang tidak kena dalam alunan kisah keluarganya. Melihat ibu yang sentiasa tidak bermaya, memandang ayah yang sentiasa tenang berkata-kata dan seperti hati berbisik… sebuah drama hebat sedang riang berlangsung dalam rumahnya sendiri, tanpa dia tahu hal duduk sebenar.

Akhirnya, Sofia memilih untuk berlaku kejam kepada dirinya. Dalam perjalanan melunas amarah, Sofia dipertemukan dengan pelbagai hal yang dapat menyelamatkan hatinya daripada terus berbuat salah. Namun, Sofia tewas juga dengan dugaan yang memuncak dalam hidupnya. Yang baik selalu menang. Begitulah Anggerik Ungu memberi kesan mendalam kepada diri pembaca. Sifatnya bukan untuk mengajar tetapi cukuplah yang boleh dikatakan ianya dapat membentuk hati agar sentiasa terpaut dalam lingkaran aman dan murni.

Rusuh dalam Jiwa

Pandangan sendiri, saya menyatakan rusuh itu suatu hal yang merengsakan hati dan perasaan. Hati yang juga disebut sebagai jiwa mungkin tidak enak apabila dihinggapi perasaan rusuh ini. Kaitannya, rusuh termasuk dalam golongan duka, derita dan tidak gembira. Keadaan rusuh yang paling ditakuti ialah hingga boleh mengundang pemberontakan jiwa lalu merosakkan nilai-nilai murni dalam diri seseorang.

RUSUH JIWA SOFIA HUMAIRA DALAM ANGGERIK UNGU

a)     Impian untuk ke kem/ perkhemahan
- Sofia sering kali mendambakan untuk menyertai tiap-tiap kem yang dianjurkan pihak sekolah. Namun, sering kali itu juga ibu dan bapanya melarang. Hatinya rusuh. Memberontak secara kecil. Mengeluh dan selalu bersoal jawab sendiri akan tindakan ibu dan bapanya ini:

            “Wajah Sofia mencuka. Dia sedar, dirinya agak ketinggalan jika dibandingkan dengan rakan-rakan dalam penglibatan luar sekolah. Bukan dia tidak mahu. Cuma, Puan Aisyah yang terlalu takut untuk melepaskan dia keluar bersama kawan-kawan.
            Ada sahaja alasan yang Sofia perlu berikan kepada guru persatuan unit beruniform untuk mengelak daripada menyertai perkhemahan tahunan. Sehinggakan, Puan Aisyah pernah meminta rakannya, Doktor Juliza menulis surat yang menyatakan tahap kesihatan Sofia tidak membolehkan dia menjalani aktiviti lasak.” (Wardah Munirah, 2011: 11)

            Begitulah yang dilakukan oleh Puan Aisyah (ibu Sofia). Tindakan rusuh Sofia tidaklah begitu besar kali ini. Hanya mengeluh dan merungut kecil. Sering sahaja merendah diri apabila membandingkan pengalamannya tentang aktiviti kembara dengan kawan-kawannya. Namun, rusuh hatinya menjadi-jadi apabila suatu hal di luar jangka menduga pilihan jiwanya sebagai seorang anak atau seorang pengawas.

            Ini terjadi apabila Sofia mengetahui ibu yang disayangnya tidak akan hidup lama. Kesedihan membungkus perasaan remaja Sofia. Seharusnya, mengapa seawal usia begini dia diuji Tuhan akan kehilangan insan yang amat disayangnya? Sofia… bukan lagi Sofia yang asal.



b)     Rasa Tertipu
-          Apabila mendapat tahu Puan Aisyah menghidap barah otak, Sofia Humairah menjadi tidak percaya dengan apa-apa yang ditatapnya. Seakan-akan dunia berputar laju. Bumi yang dipijak tidak terasa jasadnya. Dia benar-benar rasa tertipu. Rasa dibohong dengan lakonan dan drama daripada Encik Fairul dan Puan Aisyah. Hebat sungguh mereka mendiamkan hal sebesar ini daripada Sofia.
-          Rusuh hati Sofia sekali lagi menusuk segenap perasaan:

“Ibu…” Hancur luluh hati Sofia saat mendapat tahu isi kandungan laporan itu.
“6 Jun 2009. Barah otak. Tahap pertama.” Laporan perubatan itu benar-benar mengejutkan. Bagai mahu terkeluar jantung Sofia ketika membacanya.
Tambah memedihkan, laporan itu dikeluarkan pada tarikh lahirnya yang ke-13. Bermakna, sudah hampir tiga tahun.
Anak apakah dia sehingga gagal mengesan penderitaan Puan Aisyah? Salah apakah dia sehingga perkara itu dirahsiakan Puan Aisyah?”   (Wardah Munirah, 2011: 97)

RUMUSAN

Hikmah dari DIA, amat indah sekali. Sofia berjaya memecah tembok benci kepada penipuan yang memenuhi ruang hati. Menjadi matang. Beransur-ansur jiwanya pulih dengan segala isian kata bermakna daripada pengarang, Wardah Munirah. 
Antaranya, dalam episod Sofia melarikan diri dan tidak hadir ke sekolah secara sengaja, pengarang menyisipkan beberapa babak yang menginsafkan watak Sofia. Sekali gus, ianya meresap dalam jiwa seorang pembaca agar faham erti bahagia di sebalik derita:

“Nak…”
“Ya, mak cik. Kenapa?”
“Jaga diri baik-baik ya. Sampaikan salam mak cik pada ibu. Katakan, ibu bertuah punya anak sebaik budimu.” Wanita tua itu tersenyum sebelum membelakangi dan meninggalkan Sofia.” (Wardah Munirah, 2011: 121)

Rumusan saya seluruhnya, anggerik ungu merupakan pemberian Puan Aisyah kepada Sofia Humairah dan merupakan simbol pelerai segala rusuh di hatinya. Dan naskah Anggerik Ungu pula merupakan pelepas rindu dan lambang kecintaan antara ibu dan anak, juga antara anak dan bapa.  Begitulah yang disisipkan pengarangnya, kekuatan alam mengeratkan rasa cinta dan kasih sesama insan hingga hilang rusuh jiwa lalu bercambah ria dan suka.

Tuesday, February 14, 2012

Laris!



Sesuatu yang bermakna itu terdapat dalam pelbagai bentuk JALAN CERITA. Semoga tulisan daripada novel AKU MAHU LAWAN HANTU ini memberi makna yang menyedarkan kepada semua pembaca bahawa MULUT CABUL PASTI DIGANGGU. :)

Sunday, February 12, 2012

CERPEN PERTAMA 2012.

TERSIAR DI MINGGUAN WARTA PERDANA, 12 FEBRUARI 2012.  

Alhamdulillah... syukur!

Friday, February 10, 2012

PAPAN KEKUNCI BAHARU

Assalamualaikum,

Di tempat kerja. Baru sahaja selesai mendengar 'kuliah' daripada Encik Bos. Sebenarnya bukanlah kuliah agama atau kelas tusyen, tetapi 'kuliah' berbual-bual. Encik Bos saya memang orangnya suka bercerita. Hari ini hari Jumaat. Seperti hari-hari lain, Encik Bos akan bercerita pelbagai kisah.

Kadang-kadang saya terfikir, bagus juga dapat mendengar orang bercerita. Tiap-tiap hari. Tidak payah jumpa orang ramai dan tidak perlu dengar banyak cerita daripada pelbagai mulut. Cukuplah cerita daripada Encik Bos, pelbagai pengalaman dan pelbagai aksi kisah terurai setiap hari. Terima kasih Encik Bos.

Daripada soal jodoh hinggalah kisah seram.

Beginilah putaran dunia. Sana-sini kisahnya sama. Cuma lain-lain cara penyampaiannya dan sedikit berbeza pengalaman yang diberi Tuhan untuk hamba-Nya rasa. (Mukadimah yang sangat panjang) hehe...

JODOH.

Cerita Encik Bos, sejauh mana pun diusung sana-sini buah hati/kekasih/pakwe-makwe tu, akhirnya kalau tak tertulis itu jodohnya, tetap tidak akan bersatu juga sebagai pasangan yang sah. Tup-tup yang diam-diam tu, tiba2 dah nak kawin. Oh, rupanya Jodoh itu rahsia Allah yang kita tidak tahu siapa dia. Cuma sebagai hamba, kita hanya mampu berusaha dan sentiasa dekat pada Dia, agar Jodoh kita nanti juga begitu. Sambil berusaha mendapatkan Jodoh yang baik, sentiasalah bersama-sama Allah. InsyaAllah, akan peroleh jua jodoh yang sama-sama bertaqwa kepada Allah. InsyaAllah aman dan bahagia.

SERAM.

.... biarlah diam. cerita ini tidak sesuai diulang tulis. hehe...

Itu sahaja mahu kongsi. InsyaAllah lain kali tulis lagi. (sebenarnya mahu rasa menaip guna keyboard baharu) :)

Thursday, February 2, 2012

RIWAYAT JANUARIKU


JANUARI 2012 sudah pun berlalu. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar. Walau pun kadang kala banyak ujian yang melanda jiwa terpaksa ditanggung hati. Lumrah, kehidupan yang tidak lekang disunting oleh Allah dengan pelbagai ujian dan harapan.

Sengaja aku ingin tulis di sini tentang beberapa hal yang masih indah terletak dalam ingatan. PERTAMANYA, pada bulan Januari 2012, hanya 2 karya aku tersiar. Dua-dua karya ini berbentuk Puisi Moden iaitu Sajak. Sajak pertama tersiar di majalah Mingguan Wanita, judulnya KASIH BUAT KANDA. Kedua, sajak berjudul TIGA HARI DUA PAGI tersiar di akhbar Harakah. Alhamdulillah, kedua-dua sajak ini amat memberi makna buat aku. Dan aku harap, pembaca yang sempat singgah di halaman sajak-sajak aku ini juga mendapat makna yang sama. InsyaAllah.

SETERUSNYA, bulan Januari permulaan aku sebagai Pembantu Pengurus (ewah!) di Zainal Minhat Computer System. Lokasinya di Labis, Johor. Memandangkan cawangan di Labis ini hanya ada aku dan Bos, jadi Bos ialah Pengurus dan aku ialah Pembantu Pengurus. Tidaklah segah mana nama jawatan ini, tetapi ia cukup penting bagi meningkatkan keyakinan diri ketika bertugas. Aku tidak pernah memandang remeh terhadap setiap kerja yang pernah dan sekarang aku lakukan. Kerana walau apa jua pekerjaan yang berjaya ada dalam diari hidup aku, semua pekerjaan ini adalah ilmu yang memberi berjuta makna dalam hidup. Menjadi Pembantu di ZMCS ini tugas aku ialah menjaga kafe siber dan menguruskan pelbagai ragam. Bermula daripada ragam pelanggan hinggalah ragam mesin dan teknologi. Dahulu aku dicop sebagai budak sastera, sekarang ni aku digelar budak siber. haha... layak ke aku digelar budak siber?

SIBER CAFE CANTIK DARI GOOGLE.
Di ZMCS ini, sekurangnya aku dapat membantu orang-orang luar bandar yang tidak pandai menggunakan teknologi dengan cekap. Kemahiran yang ada ini, Alhamdulillah membantu mereka. Kadang-kala bukan adik-adik atau mak cik- pak cik sahaja yang tak tahu tentang dunia siber, malah guru-guru yang sifatnya pendidik pun kurang mahir dalam bab siber dan komputer ini. Dan takdir membawa aku ke sini, insyaAllah membantu mereka yang memerlukan sebaiknya. Dan aku juga dapat belajar banyak kemahiran berkaitan komputer, memformat komputer, notebook/ laptop dan netbook, install pelbagai progam dan berhadapan dengan mesin pencetak (printer) yang pelbagai jenis. Dah tahu lah sikit-sikit, kalau ada mesin-mesin yang hang atau 'buat hal', aku lah mekaniknya. hehe.... buka sana, pasang sini... wah, mekanik siber kot aku sekarang ni? :)

Alhamdulillah, tentang hal yang paling aku suka dapat bantu masyarakat di sini ketika tugasan menaip surat, penghantaran email dan tempahan kad undangan perkahwinan. Macam-macam surat aku jumpa untuk diminta aku menaipnya. Selain surat, segala hal kerja di sekolah beberapa orang guru pun aku yang kena buat. Surat-surat perjanjian syarikat-syarikat pun aku juga kena taip dan semalam aku kena taip sepucuk laporan polis terhadap pembelotan seorang rakan kongsi niaga. Hmm, sambil menyelam minum air. Kebanyakkan pelanggan ini ramah-ramah orangnya. Jadi tanpa aku minta, mereka akan mula bercerita hal sebab musabab kejadian yang berlaku kepada mereka hingga tercetusnya sebab perlu tulis surat. Seronok dengar cerita mereka, yang baik jadikan tauladan dan yang tidak baik jadikan ingatan.

Mahu cerita tentang pekerjaan banyak. Lain kali sambung lagi.

SETERUSNYA, kisah aku sebagai GURU MENGAJI. Memang suatu perkara yang tidak terduga. Sekarang ini hampir sebulan aku jadi Guru Mengaji kepada anak buahku. Putera Sulung dan Putera Bongsu yang suatu ketika pernah aku ceritakan mereka kehilangan ibunda tercinta pada tahun 2010. Bagaimana boleh terjadinya kes 'bidan terjun' ini kepada aku? Hmm... pada awalnya aku tak sanggup untuk pikul tanggungjawab ini. Sebab aku bukanlah ustazah atau guru mengaji yang layak untuk mereka. Atas kekangan daripada pihak keluarga Putera Sulung dan adiknya, susah benar untuk dapatkan guru mengaji bagi mereka. Aku hanya berdiam sahaja ketika mendengar keluargaku dan keluarga Putera Sulung berbincang hal ini. Entah mengapa, seorang guru mengaji yang pernah ajar aku dan adik2 aku dahulu undur diri tak mahu ajar mereka. Dan, ibuku buka cadangan untuk aku ajar mereka.

INDAHNYA, :) foto daripada Pak Google.
Terasa berat sekali. Bukan mudah untuk ajar mereka, walaupun hanya Muqadam. Aku sayu lihat wajah Putera Sulung yang kini berusia 5 tahun dan Putera Bongsu akan berusia 2 tahun bulan Mac ini. Putera Sulung yang dah pandai bercakap asyik tanya aku, bila nak mula mengaji. Atas rasa empati, aku turutkan permintaan ibu.

Dan sejak malam pertama aku ajarkan Putera Sulung mengaji, sejak itu 2 malam berturut-turut aku mimpikan arwah kakak sepupuku (ibunda dua anak kecil ini) itu. Wajahnya tersenyum, berseri-seri dan langsung tidak bersuara. Hanya memandang aku dengan senyum yang manis. Dalam mimpi itu, aku menangis dan sayu. Mungkin, ini hikmah yang Allah tunjukkan kepadaku. Walaupun aku tidak dapat jadi seorang guru seperti yang diharapkan arwah nenda, aku menjadi 'guru tidak bertauliah' kepada dua orang anak yatim ini. (Sedih pula). Semoga ajaran aku diberkati selalu oleh Allah, dan mereka akan jadi anak yang soleh dan selalu mendoakan arwah ibunda mereka di Sana. Amin.

SETERUSNYA, InsyaAllah dalam beberapa bulan atau minggu lagi sebuah karya sulungku secara solo akan lahir di bawah terbitan Buku Prima. Gembira sangat dengan berita ini. Semoga semua karyaku akan diterima penerbit dan dapat diterbitkan dengan lancar dan selesa. Amin.





Yang SEDIH sepanjang Januari ini pun ada. Tapi aku tak suka cerita hal2 sedih. Cukuplah aku nyatakan, 1 Hal yang BESAR, pada bulan ini... dan dekat-dekat dengan hari kelahiranku. Aku telah hilang sebuah perhubungan kasih atau kiranya lagi senang nak sebut... Patah Hati. Sedih!


RUMUSAN: Semoga selepas ini Allah hadiahkan aku sebuah perhubungan yang benar-benar. Semoga selepas ini aku akan dipertemukan dengan jodoh yang mampu menghargai kehadiran aku dalam hidup kami, dan saling sayang menyayangi hingga ke akhir hayat. Amin.

Dalam kehidupan, memang banyak ranjau. Semoga aku dapat jadi yang terbaik dan membantu masyarakat dalam apa jua bidang yang baik-baik, dan BULAN-BULAN yang mendatang menghamparkan sejuta kemurahan rezeki buatku. Amin.

Sekian, selamat datang FEBRUARI. :) cik HJ.

About Us

Bila terbitnya bicara, hati mula pasrah, untuk luahan terindah, segalanya diserah…Moga jiwa turut merasa, tentang hati yang mula bercerita.

Teguh pada kata hati, cekal pada kata akal…akan setia pada janji, untuk diri, dia dan semua. Moga ada sinar, pada setiap karya yang terlahir dari jiwa dan rasa. Hanya kerana DIA.

Titip kasih daripada teman blogger

Titip kasih daripada teman blogger
Tanda hati daripada Cik Amy Sense, tQ!!!

Gapaian CIta

Gapaian CIta

Impian Kan Terlaksana

Impian Kan Terlaksana
Barisan melakar cita

Pages