berkarya itu indah

berkarya itu indah

Tuesday, August 31, 2010

Jelajah 1Malaysi bersama hanna 3

salam dari rantauan,

Alhamdulillah, selesai 15 hari hanna mengikuti jelajah 1Malaysia. Pelbagai duga dan cabaran hanna hadapi sepanjang 15 hari di rantauan. Pengalaman yang bukan senang untuk didapati. Teringin hanna nak coretkan semua, tapi banyak sangat. Apa-apa pun semua itu memberi semangat pada hanna untuk terus menjalani hidup di dunia ini dan mengejar kebahagiaan di akhirat bersama.

Sebelum ini hanna pernah ceritakan sebab hanna ikut program ini. Pertamanya, hanna mahu cabar diri agar boleh bergaul dengan masyarakat. Sebab hanna seorang yang suka duduk rumah. Malas nak berjalan-jalan. Tapi sampai bila kan? Jadi hanna ambil peluang dan ruang yang ada setelah dipelawa oleh Kak Lila daripada pihak YADIM sendiri untuk sertai jelajah ini. Tempoh 15 hari bukan masa yang singkat. Lama....jadi hanna memang perlu siap jiwa dan raga untuk ikutnya.

hanna berjaya akhirnya. Dalam beberapa hari, hanna memecahkan rekod sendiri untuk beramah mesra dengan peserta2 lain. Syukur sangat, hanna mengoyakkan rasa malu untuk kebaikan. Berkenal-kenalan dengan kawan2 rapat kak Lila, kemudian peserta2 luar. Kalau dulu, hanna suka biarkan orang lain yang tegur dan berkenalan...tapi kali ini hanna cuba untuk bersosial sendiri. Yang penting untuk tujuan yang baik. Alhamdulillah, berjaya.

Antara kenalan awal hanna di situ ialah Kak Indah, Kak Syuhada, Kak Su, dan Kak Ton. Kenapa semua kakak? Sebab mereka semua dah bekerja. Dan hanna pula baru tamat belajar. Jadi usia mereka dan pekerjaan menjarakkan usia kami. Kenalan lelaki pula antaranya Syafiq dan Alif yang terlambat seperti Bakri. Sebenarnya, mereka pun perlu dipanggil Abang kecuali Syafiq yang baru 20 tahun. Lain2 usianya lebih 25 ke atas. Tapi tak panggil abang pun. Sebabnya....

Sebanyak 50 lokasi hanna dan rombongan jelajah lawat. Antaranya ke rumah kebajikan orang2 tua, rumah anak2 yatim, sekolah2, masjid2, dan hospital. Jelajah yang bermula di Putrajaya dan berakhir di Kampung Baru, Kuala Lumpur. Kiranya hanna telah ke seluruh negeri di Malaysia. Alhamdulillah, peluang ini sekali gus dapat dinikmati. Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang...merantau pula ke Kelantan, Terengganu, Perak, Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak semula dan Kuala Lumpur. Di sepanjang persinggahan pihak YADIM akan menyumbangkan hamper dan sampul2 berisi wang. Segalanya sebagai tanda bantuan kebajikan pihak YADIM kepada mereka.

...bersambung...





Wednesday, August 25, 2010

'hati tidak berkata'

"kenapa kau diam? Kau tak mahu lagi bercakap-cakap dengan aku?"

'entahlah hati. Kau pun tak memahami aku yang diam. Kenapa kau biarkan dia bertanya?'

"Hei, aku sedang bercakap dengan kau ni! Kau tak dengar?"

'maafkan aku teman. Adakalanya, diam itu lebih baik. Entahlah. Sedangkan hati aku sendiri tidak tertafsir, ini kan pula aku yang dapat menjawab pertanyaanmu.'

dan kau pun berlalu. Tiada terdetik lagi dihati untuk terus bertanya dan memujuk.

'berlalulah buat masa ini, kerana aku sendiri resah tentang apa yang tersirat di sebalik hati. Tidak...tidak aku salahkan hati. Hanya aku...entahlah.'



Saturday, August 21, 2010

hanna sayang dia

hanna,

rasa tak sanggup bila orang yang kita sayang akan cakap macam ni, 'awak mahu tengok saya mati ke?'

Ya Allah, aku menangis atas ucapan itu...perpisahan pasti akan berlaku, tapi...kenapa sukar untuk hanna terima semua ini.? hati ini tak habis-habis merintih.

Moga Kau beri jalan terbaik bagi hubungan ini, ya Allah.

Amin.

Friday, August 20, 2010

Jelajah 1Malaysia bersama hanna


Di Putrajaya dari Sungai Semungkis, Selangor... Hari kedua, bertolak ke Rembau.

Monday, August 16, 2010

*tetang Jelajah 1Malaysia*

*Makluman tentang update Jelajah 1Malaysia akan hanna kongsikan setelah selesai semuanya, insyaAllah. Atas beberapa sebab yang tidak dapat dielakkan.*

*beberapa gambar boleh dilihat di facebook hanna, iaitu di hanna Johan. Kalau tak dapat tengok, boleh tinggal nama panggilan di facebook anda atau email. Rasanya hanna dah setting semula di fb bahawa tiada yang dapat jejak hanna. Tinggal email di kotak komen ya. InsyaAllah, hanna mencarinya.*

Sunday, August 15, 2010

Jelajah 1Malaysia bersama hanna: sebelum jelajah

Sebelum jelajah bermula, hanna mendiami rumah Kak Zalila Isa, salah seorang wartawan YADIM. Alhamdulillah selesa tinggal bersamanya walaupun sedikit segan. :)

Ha, ini antara juadah buka puasa yang dijanjikan untuk kak Lila belanja Hanna:
Untuk destinasi pertama, hanna akan ke Semungkis. Nanti hanna cerita lagi tentangnya di sana. Okey, sekarang masa untuk bersiap ke Semungkis. :)

Moga perjalanan ini selamat sampai dan perjalanannya menggembirakan. Amin.

Friday, August 13, 2010

Jelajah 1Malaysia bersama hanna

(tiket-tiket untuk ke UKM -bas angkut, keretapi dan komuter.)

Alhamdulillah, kini hanna selamat tiba di UKM. Oups, kenapa? Kenapa dah habis belajar pun masih ulang-alik ke UKM ni? hmm...

1. mahu pulangkan jubah konvokesyen warna hijau tu
2. ambil sijil/ skrol
3. ambil gambar yang sudah ditangkap oleh warga terlatih UKM

dalam bulan Ramadhan ini, terasa gelisah juga untuk mengembara begini. Antara pengalamannya, memanjat jejantas di KTM Seremban, oh terasa menggigil tubuh lepas selamat sampai dalam komuter. Bawa beg berat pula tu.

Beg berat itu sebenarnya untuk hanna ke Jelajah 1Malaysia. Wah, dengar macam hebat saja kan. Sememangnya ia suatu program besar yang memerlukan komitmen tegar.

Jelajah atau kembara ini, hanna sengaja mahu ikut selepas dipelawa oleh seorang wartawan YADIM (Yayasan Dakwah Islam Malaysia). 15-30 Ogos kembara ini berlangsung dan ada juga disiarkan iklan jelajah ini di media.

Tujuan hanna sebenarnya ialah mahu mencabar diri, jelajah dalam bulan Ramadhan yang semestinya banyak dugaan kerana setiap satu yang diperlihatkan kepada kita ialah nikmat dan ujian. Cabar diri? Ya, hanna sebenarnya seorang yang suka duduk rumah...tak suka sangat berjalan-jalan. Ada peluang ini, hanna fikir dan rasa macam mahu turut serta.

Jadi, pelawaan Kak Lila, hanna terima selepas berjaya pujuk mak dan ayah untuk beri izin hanna sertai jelajah ini. hanna hanya akan ikut selama 7 hari saja, kerana Kak Lila terpaksa pulang atas urusan kerjanya. Selama 7 hari nanti, hanna akan ke pelbagai lokasi. Bermula dengan Putrajaya dan berakhir dengan Pekan, Pahang.

Maka, insyaAllah jika diberi kesempatan...hanna akan isikan perjalanan kisah dalam blog ini.

Barakah.

Thursday, August 12, 2010

DI situ Anugerah


Buat tatapan ayahanda dan bonda
segulung ijazah telah kudakap

dalam restu dan jasamu

anakanda
lenterakan gemilang cita
moga sinar bahagia
tercipta sungguh
yang membawa kita
ke Jannah hendaknya.

Terima kasih ayahanda, terima kasih bonda.

Konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia,
saya dan 8 Ogos 2010,


Ramadhan Mubarak


Bersama kerlipan bintang
purnama berganti masihi
hijrah seribu bulan

tiba Ramadhan
membawa barakah sesungguhnya
kita nikmati seindahnya.

"Adinda, mari kita sama-sama mensyukuri nikmat yang dikurnia Ilahi."

"Kurnia apa ya Kanda?"

"Kurniaan bahawa roh kita masih bersama jasad, kita masih diberi peluang berpuasa lagi tahun ini."

"Iya, Kanda. Adinda tidak sabar untuk mengecapi nikmat Ramadhan kali ini. Hmm, cepat masa berlalu ya, Kanda."

"Benar, oleh sebab itu...mari kita sama -sama hargai nilai masa yang diberi, ya."

"Iya Kanda. Mari mulakan membaca, adinda mahu dengar lagi fadilat di bulan barakah ini."

....

*Salam Ramadhan*


Saturday, August 7, 2010

Kembara Pelangi (1)

telah hanna janjikan pada diri untuk melakar puisi bergambar, ini kertas pertama...InsyaALLAh akan ada yang lain menyusul tika kembara ini dan kembara yang lain. :)

Hijau,
Itulah pandangan pertama

menerjah segenap fikiran
terbentang nun jauh

pepohon harum melambai.

Kilauan mentari,

memercik sinar
menjamah nubari
bersaksi Yang Maha Pencipta
kumula kembara ini.

Bersama pelangi,
dakapan indah memori.

karya
hJ
30 Julai 2010
Kolej Ungku Omar, UKM

Friday, August 6, 2010

Cerita Pendek Bersiri: Kembali Mekar dan Bersinar

"Usah dilerai kasih yang ada, setialah...kembali mekar dan bersinar, dalam serakan warna pelangi, moga indah, dan terus bersemi cinta suci."

Semalam, dalam angin yang sedang mekar berserakan harum bunga-bunga di taman dua insan itu setia berpimpinan tangan. Kerana mereka perlu begitu agar erat selalu. Tanpa hirau akan alam yang cemburu memandang, tanpa kisah akan burung-burung yang asyik berkicau, tanpa peduli bisikan angin lalu menghangat asmara. Oh, kasihnya masih mekar dan bersinar.

Kala itu, di sisinya...terletak rapi sebuah hati dan belai-membelai antara mereka.

Suara hangat bisikan itu datang, lalu..."hanna!!! berangan lagi ke??? Sudah-sudahlah mandi tu, orang lain nak guna bilik air juga!"

Suara Kak Long kembali memecah buih-buih asmara yang sering tercipta di kala senja begini. "Kacau betul lah."

Sekonyong-konyong itu, hanna keluar dari bilik mandi dengan wajah masam mencuka. Kak Long menjeling tanpa simpati langsung. "Suka kan mengacau orang," bentak hanna dalam hati. Sebenarnya risau kalau Kak Long dengar, nanti mesti dia akan buat hanna bertambah sakit. Cubit, gigit dan jerit...memang Kak Long pakar.

x x x x x x x x x x x

Malam itu, sekali lagi hangat mendakap. Ah, indahnya jika si dia bersama. Senyum manja terukir untuknya. Nun jauh dalam kelana.

"hanna, mari makan. Amboi, berangan lagi," suara lembut Kak Shira menerpa angan-angan. Langsung pergi membawa khabar kepadanya.

"Kenapa senyum-senyum ni? Ha, teringat yang tersayang ya?" Usikan Kak Shira menambah debaran di hati.

"Marilah kita turun makan. Janganlah usik-usik hanna lagi," debaran dilerai perlahan. Biarlah usikan Kak Shira ini membawa pesan rindu kepadanya. Jangan pula diterjah jerit pekik Kak Long, hampeh!

x x x x xx x x x x

Petang tadi, keluarga Bonda hadir. hanna punya jiran baru. Keluarga besar tinggal serumah. Rasa-rasanya berjaya tidak mereka kekal bersama? Pastilah, hanna juga dari keluarga yang besar, setakat ini masih berupaya bertahan dalam iman.

"Panggil saja Nek Jah. hanna ni mesti umur lebih kurang si Farid. Farid tu cucu Nek Jah. Yang lain-lain di sana itu, anak Nek Jah dan cucu-cucu Nek Jah. Anak-anak Nek Jah dan kenalan lain panggil Nek Jah, Bonda." Bonda memperkenalkan diri. Di sisinya, Farid hanya melakar senyum ria. Entah apa yang digembirakan sangat.

hanna memerhatikan gerak riang keluarga besar Bonda sambil Farid menunjuk dan memperkenalkan diri mereka dari jauh. Ada Kak Shima, Mak Cik Fina, Mak Cik Abby, Mak Cik Salina, Pak Cik Ramli, Pak Cik Abdul dan adik Dina. Mereka melambai-lambai dan tersenyum kepada hanna.

Nek Jah berkeras menyuruh hanna tunggu untuk menjamu hidangan bbq mereka. Tapi hanna kena pulang awal, kalau tidak pasti Kak Long marah. Lagi pun hanna dah janji dengan si dia, tak boleh keluar joging sampai lewat petang. hanna berjaya melepaskan diri dengan alasan penantian Kak Long yang garang.

"Pulang dulu Nek Jah. Nanti kita jumpa lagi, ya. Wasalam" Bonda yang digelar Nek Jah melambai mesra. Di sebaliknya hanna terlihat raut hampa kerana tidak bersama-sama menikmati hidangan bbq mereka.

Entah mengapa, dari jauh itu hanna melihat ada sudut pandang yang lain tentang Farid kepada hanna. Lirikan matanya yang senyum seolah-olah membawa petanda. Petanda apakah itu?

hanna terus berlari pulang.

x x x x x x x x x x x x x x x

(episod seterusnya)

Wednesday, August 4, 2010

hanna, Johan Pertandingan Mengulas Buku PTS


Alhamdulillah, baru2 ini hanna menang PERTANDINGAN MENGULAS BUKU PTS, hanna dapat tempat pertama atau Johan. :) hadiahnya berupa RM50 yang perlu ditukarkan dengan nilai harga buku-buku PTS hingga setara dengan RM50. hanna sudah buat pilihan tentang buku-bukunya. Tak sabar nak dapat buku percuma. syukur! :) di bawah ini ulasan yang hanna berikan untuk Mencari Makna Hidup karya Parlindungan Marpaung

‘Hidup ini banyak maknanya, terokailah dengan penuh kesanggupan dan hanya kerana Allah Taala’. Petikan ini saya coretkan pada awal halaman, tatkala membeli buku Mencari Makna Hidup tulisan Parlindungan Marpaung. Buku keluaran PTS Millennia yang meletakkan rona merah jingga sebagai latar kulit hadapan mempengaruhi saya untuk mendekatinya ketika melihat paparannya di kedai buku. Tarikan warna mentari yang kekuningan serba sedia memberi makna bahawa masa hadapan kehidupan perlu digali dengan pelbagai cara agar ia bermakna. Kelihatan pula seekor merpati di atas tulisan judul buku ini yang timbul seolah-olah melambangkan kebebasan kita sebagai manusia yang diberikan pilihan pelbagai cara untuk mencari makna hidup yang sebenar. ‘Raikan makna hidup yang sebenar’ pula tertera pada kulit buku ini amat mempengaruhi saya kerana bukan mudah untuk kita mengecapi dan meraikan makna hidup sebenar melainkan kita diberitahu akan kaedah dan caranya.

Sebanyak 246 halaman cukup berkesan memberi pelbagai faedah kepada saya apabila membaca buku ini. Lima bahagian atau bab pula menjadikan satu kaedah pemahaman akan konsep yang mahu disampaikan untuk mencari makna hidup yang sebenar. Buku ini banyak memberi inspirasi kepada saya melalui penyampaian yang bersahaja. Berdasarkan kisah-kisah tauladan yang ditampilkan dan contoh sesuatu itu perlu atau tidak dilakukan memberi panduan kepada saya untuk menilai sejauh mana keupayaan diri dalam mencari makna dalam hidup saya. Konsep kisah dan cerita ini pula ditambah jayanya dengan ruangan penilaian diri yang menyediakan soalan-soalan sama ada kita benar-benar berjaya atau tidak mengenali hidup.

Saya bertambah yakin lagi, apabila setiap kali kisah-kisah tauladan diujarkan terdapat sokongan fakta daripada tokoh-tokoh falsafah dan kehidupan seperti David T. Kyle, Mahatma Gandhi dan ramai lagi. Rujukan dan sokongan fakta ini memberi kepercayaan kepada saya bahawa kejayaan untuk mengecapi makna hidup yang sebenar akan tercapai. Oleh sebab itu, buku ini akan sentiasa menemani kerana ia banyak memberi faedah supaya saya berfikir dan mengenali hikmah di sebalik hasil perjuangan hidup yang akhirnya bakal memberi makna yang sebenar. ‘Mencari Makna Hidup’ membawa aspirasi yang kuat untuk saya menggapai makna hidup yang sebenar.

Jangan Sepi Lagi ya, Hanna

Alhamdulillah,

segala tiap perjalanan pergi dan pulang hanna selamat dalam lindungan Ilahi. Beberapa minggu blog ini sepi tanpa tinta. Hari ini, syukur dipanjatkan kepada-NYA. Hanna masih lagi bernafas untuk menulis di sini.

Setelah pulang dari Shah Alam, sepanjang minggu hanna sepi tanpa kata. Tak tahu mahu dicoretkan apa-apa. Hanya sedikit rasa jaya diletakkan untuk perkongsian bersama. 2 buah puisi hanna berjaya disiarkan di majalah Tunas Cipta bulan Julai 2010 dan satu lagi di Berita Minggu 25 Julai 2010. Alhamdulillah. Sumbangan honorarium daripada kejayaan karya, moga hanna dapat bantu keluarga terutama ibu dan ayah yang banyak memberi kasih kepada hanna. Walaupun harta bukan gantian, moga rezeki ini sentiasa menggembirakan mereka.

Sebenarnya, kebelakangan ini agak sibuk. 30 Julai-1 Ogos hari tu hanna ke UKM bagi menguruskan pengambilan jubah untuk majlis Konvokesyen hanna di UKM. Kemudian 2 Ogos, hanna bergegas pula menemani adik perempuan hanna untuk lapor diri di tempat kerjanya di JB. Segala urusan di JB sangat melemaskan dengan lelah dan panas. Urusan yang tidak beberapa cekap membuatkan ramai ibu bapa dan famili lainnya meradang rasa tidak puas hati. hanna yang melihat mereka punya rasa yang sama. Cuma hanna meluahkannya dengan cara yang agak berbeza, iaitu merungut dalam hati dan diam.

Punya hobi membaca ini amat seronok. Walau ke mana sahaja, kita tidak akan dilanda rasa bosan. Beberapa buah novel dan komik yang hanna bawa semasa perjalanan kembara telah menyelamatkan hanna daripada menjadi radang dan marah seperti mereka. Hasil membaca, kita bertambah sabar dan dapat ilmu tambahan pula.

Urusan menghantar adik ke tempat kerjanya tidak sempurna pada 2 Ogos itu, malah ditambah pula pada 3 Ogos oleh pihak pentadbiran. Kerut wajah ayah punya makna seribu yang bertandang. Menung wajah ibu juga punya rasa yang sama. Apatah lagi hanna, yang kian terasa dengan kejanggalan perasaan ini. Segalanya kerana helaian kertas yang diperlukan atas urusan dan hal seperti ini. Kami bukanlah famili yang tahap punya helaian kertas yang banyak, cukup sekadar begitu sahaja.

Akhirnya, semalam 3 Ogos...dalam kewalangan memikirkan helaian kertas itu, ayah sekali lagi menyewa teksi. Dan membayarnya. Adik kini selamat untuk berkhidmat kepada masyarakat di Klinik Desa Parit Gantong, Parit Sulong Batu Pahat, Johor. Moga adik menjalankan tugas sebaiknya dan penuh ikhlas.

Tiap-tiap yang terjadi belakangan ini, mengurniakan beberapa cetusan ilham kepada hanna. Sebagai penulis yang masih hijau, hanna akan terus berusaha selamanya. Beberapa puisi telah dikirimkan kepada media. Jika setiap satunya memberi makna kepada semua yang membacanya nanti.

warkah sepi berlagu semula, hannaJOhan.

About Us

Bila terbitnya bicara, hati mula pasrah, untuk luahan terindah, segalanya diserah…Moga jiwa turut merasa, tentang hati yang mula bercerita.

Teguh pada kata hati, cekal pada kata akal…akan setia pada janji, untuk diri, dia dan semua. Moga ada sinar, pada setiap karya yang terlahir dari jiwa dan rasa. Hanya kerana DIA.

Titip kasih daripada teman blogger

Titip kasih daripada teman blogger
Tanda hati daripada Cik Amy Sense, tQ!!!

Gapaian CIta

Gapaian CIta

Impian Kan Terlaksana

Impian Kan Terlaksana
Barisan melakar cita

Pages