berkarya itu indah

berkarya itu indah

Sunday, July 25, 2010

Karya: Cinta Segenggam Zarah


Alhamdulillah, karya kedua bulan Julai 2010 selepas Lentera Bunga Purnama yang tersiar di Tunas Cipta.

Puisi Cinta Segenggam Zarah terhasil di perhentian keretapi Gemas tatkala keretapi berhenti menurunkan penumpang dan menerima penumpang baru. Dalam gerabak 5, duduknya hanna melayan sepi di tengah malam (tercatat di buku nota hanna jam 12.04 pagi)...

Tiba-tiba judul ini muncul di benak, hanna tuliskan ia di atas garisan buku nota tanpa ada sebarang calit tinta puisi. Kemudian, rengsa mahu mengeluarkan idea menggesa...lalu lahirlah bait-bait kata dalam setiap rangkap.

Perjalanan menuju ke Pasir Mas (26 Jun 2010) mencipta puisi ini pada awal perjalanan. Alhamdulillah, pulang dari Pasir Mas, hanna mencuba nasib di akhbar Berita Minggu. Syukur, pada 25 Julai 2010 ini, puisi ini tersiar indah. :)

Moga karya hanna semakin mendapat tempat di media2. Syukur kepada Tuhan yang mengurniakan ilham yang indah ini. Nama Hasni Jamali masih hanna gunakan untuk permulaan dan sepuasnya. Moga Hasni Jamali atau hannaJohan kekal melakarkan impiannya pada jalan yang benar dan mendapat restu Ilahi. Amin.
Entah mengapa, tiba-tiba amarah Fandy meletus hebat. Kak Tiz tidak banyak cakap petang itu. hanna yang melihat tayangan emosi mereka, turut mendiamkan diri.

---------

Thursday, July 22, 2010

Puisi: Jangan Lagi Terpadam

Sesekali kau berbisik,
bicaralah pada nada yang paling halus.

Sesekali kau memandang,
Lihatlah pada mata yang telus.

Sesekali kau menyentuh,
belailah pada dakap yang penuh.

Sesekali itu,
sering aku mengharapkan,
agar tiada lagi kelam,
moga bersinar cinta dan sayang,
kuhulurkan salam kasih,
pada lantunan madah indah.

Puisi kasih buat kanda,
moga Takkan Sirna,
Tiap Lentera Bunga Purnama,
tiada lagi yang Terbuang,
dan
Jangan Lagi ia Terpadam.

karya hJ, kamar 37, 9.33pm


Tuesday, July 20, 2010

Puisi: Temanku Punya Kekasih


Di balik cerah wajah,
tersimpul suatu rahsia,
senyuman mengharum sukma cinta,
untuk kekasih untuk teman sejiwa.

Hitungan hari-hari,
sering membuah rindu,
di kala sepi mendakap kalbu,
erat cinta bertaut sayang,
untuk kekasih untuk teman sejiwa.

Kerdipan bintang malam,
menghangat sinar asmara,
santun melafaz doa,
akrab menitip khabar,
agar kekasih dalam bahagia,
moga kekasih setia bersama.

Tiap-tiap rintik hujan,
mencurah basahan cinta,
untuk kekasih untuk teman sejiwa,
hargailah bahagia bersama,
ukirlah rasa cinta setia,
dalam dakapan indah kasih Ilahi,
yang mengakari cinta suci.

Karya hJ
20hb 2010, 12.31am

Khas buat temanku yang punya kekasih. Moga hubungan kalian sentiasa dalam lindungan kasih Ilahi. Amin. :)

Monday, July 19, 2010

Kerana Aku Sebutir Bintang


kerana aku sebutir bintang.

Terkapai aku mencari sinar,
di balik gemerlapan yang gemilang,
satu nan satu
aku bilang
namun masih tak kutemui.

Dahulunya
kumenanti sinar
kerana aku sering mengharapkannya
namun kini
tiada berbalas
sirnanya
gemerlapan...

Kerana aku sebutir bintang
yang kesepian
merintih sunyi
menagih kasih
sinar cahaya
suram dan kelam
di mana
haluannya?

Kerana aku sebutir bintang
terus hidup
di sini
kerana aku berusaha
mencari nur indah
aku
langsungkan mahu
sebutir
permata harum
bintang
berterbangan mengejar pelangi senja.

kerana aku sebutir bintang
menghulur gemilang cahaya
untukmu
pemilik jiwa.

karya hJ
Kamar 37, Johor

Saturday, July 17, 2010

Karyaku


Alhamdulillah, moga usaha berkarya berterusan...Amin. :)

Friday, July 16, 2010

Memoir Julai Kita

Empat Julai Dua Ribu Sepuluh
Helaan nafas penuh debar
panggilan demi panggilan
menunjuk arah
agar sayang kembali mengerat
Sebuah cinta
bersemi mencari kasihnya
helaan nafas terus bergetar
'sudah sampai'
Laju mengatur langkah
menuju letaknya destinasi
Pada pautan duduk
Senyum dan salam
memberi arah sendu bahagia
kita bertemu lagi
kita bersatu lagi
laju mengatur langkah
mencipta detik kenangan
bersama
ada mesra
menyusup hubungan
adik dan kakak
Selagi masa belum terhenti
bicara rindu
tak lekang menusuk dada.

Lima Julai Dua Ribu Sepuluh
Langkah terus mengatur kenangan
berpimpinan tangan
bersilih gantian
Di hati ada senyum berputik
biar zahirnya tidak kelihatan
namun ikhlas tetap bersama
Di sepanjang jalan
Saat berlalu pantas
berputaran meninggalkan siang
berganti senja
dan malam
gelap sirna dipandang
Kerna sinar sentiasa benderang
Mencipta mesra kita
adik dan kakak.

Enam Julai Dua Ribu Sepuluh
Subuh yang datang
disyukuri penuh nikmat
kita bersama lagi
dalam hayat Ilahi
moga terus abadi
Telusuri lorong-lorong
membelah langit mentari
tidak sekali lelah
kerana adanya kasih
menguat bisikan sukma
walau terpendam
biarlah senyum menghulur segala makna
kerana ada mesra
yang tidak terhingga
walau dengan kata-kata.

Enam Julai Dua Ribu Sepuluh
kehangatannya mula terasa
saat perpisahan pertama
melerai tangis segala
Yang terpendam masih terpendam
tangisnya tidak berairmata
kerana perpisahan itu tetap kan terjadi
untuknya
bersama masa yang mesra
adik dan kakak.

Tujuh Julai Dua Ribu Sepuluh
detik kembara menghampiri
segala kenangan ditinggalkan di dalam hati
tak pernah diusir pergi
tangis,
seolah menembak hati
pedihnya
menghiris-hiris
kepergian
disantun lamunan sepi
erat jalinan kasih
akrab hubungan kasih
Moga dan moga
kemesraan ini tidak dicalari
sekelumit lara
secebis duka
walau ada biarlah reda
kerana mesra mengatasi segala.

Tujuh Julai itu,
tinggallah sendiri di lorongan destinasi
pulang ke desa
membawa seribu detik
kenangan dan impian
moga bertemu lagi
mencipta memori
yang pasti abadi di hati
bersama restu Ilahi
mesra di hati
adik dan kakak sayang.

Julai dan bulan-bulan yang berlalu
Doa sentiasa mengiring syahdu
kepergian dan kepulangan ini
akan ada menyusul lagi
pertemuan dan perpisahan
di sini
di sana
moga kita kekal bersama iman
yang pasti
menghiasi syurgawi.
Amin.


Thursday, July 15, 2010

Cinta Fandy dan Kak Tiz! (hikmah)

Kertas ini masih kosong. Putih bersih. Pen sebatang berwarna biru, masih lagi terletak kemas di sisi kertas kosong itu. Matanya berair. Masih belum kering.

"hanna, kenapa ni? Sudah-sudah lah tu." Lembut suara Kak Tiz cuba menyeru semangat. hanna masih layu menahan lara.

"Kak..." Tak terlahir rasanya sepatah kata.

Malam itu, Kak Tiz kejap meriba pembaringan. Mak Cik Rani turut melepas tangis bersama. Belaian penuh kasih itu sedikit menyelesakan perasaan.

Lagu "Jangan Bersedih" nyanyian Anuar Zain berkumandang. Emosi disambut terus dengan tangisan. Paling sayu...paling haru.

Ketenangan menyelubungi diri. Kasih Kak Tiz, Mak Cik Rani dan Fandy buat hanna sungguh-sungguh mahu tabah. Pesan Fandy sebelum ke tempat kerja kepada Kak Tiz, "Tiz sayang, biarkan hanna lena dan rehat. Ingat pesan abang. Jaga dia ya. Perasaannya, Tiz isikan dengan penuh kasih sayang. Kasih pada Tuhan kasih pada agama. Jangan biarkan dia larut dalam perasaan kecewanya itu, ya. Abang tahu, Tiz memang berkebolehan macam tu." Dalam bisikan Fandy dan Kak Tiz di birai katil, titipan bermakna itu buat hanna rasa mahu titiskan air mata. Namun, ditahan kepiluan kerana hanna tahu itu sebenarnya kasih sayang antara mereka yang perlu ditatang sebagai penguat rasa cinta.

hanna bangga punya sahabat seperti mereka. Walaupun ragam hidup penuh gurauan dan senda, namun sifat romantis yang tersisip rapi antara Fandy dan Kak Tiz amat menyentuh hati. Kasih sayang mereka bertambah seri semenjak bergelar suami isteri. Syukur, jodoh mereka berpanjangan hingga ke jenjang pelamin. Leraian bisikan disapa ucapan salam daripada pasangan bahagia itu.

Pagi yang sama, hanna ke kamar mandi melepas tangis yang panjang. Moga segala resah terus pudar dan sirna. Membayangkan pengorbanan keluarga yang mendamaikan hati, membayangkan teman-teman yang membangkit semangat di sisi dan membayangkan kekasih yang setia menadah kasih. Paling penting, hanna capaikan ingatan pada ingatan dan pesanan Fandy, "hidup ini hanya untuk Allah. Kerana Allah, jalani hidup ini sebaiknya. Dugaan dan cabaran itu penguat jalan hidup kita di dunia, supaya akhirat nanti kita berbekalkan segala keimanan dan kesabaran yang kita amalkan bersama dugaan yang diberi-Nya. Tabah ya. Usaha dan doa. Bahagia menyusul walau kita dilanda duka. InsyaAllah." Tazkirah ini Fandy titipkan selepas kami berjemaah Isyak minggu lalu. Sungguh, ia amat mendamaikan dan menjadi ingatan buat hanna.

Satu jam melepas tangis, Kak Tiz datang menghulur bahunya. Di situ juga hanna melepas baringan. Kak Tiz menyampaikan amanat Fandy supaya hanna sentiasa tabah hadapi dugaan. Kasih sayang dan cinta mereka buat hanna terpengaruh untuk senyum semula.

"Alhamdulillah." Kak Tiz menyapu air mata bahagia yang tertitis sempurna. Mak Cik Rani datang mendekat. Duduknya rapi bersebelahan. Tangan kanannya mengusap lembut pipi hanna.

"Baguslah. Jangan menangis lagi. Lepaskan dia pergi dengan baik. Lepaskan dia pergi dengan doa tulus dari hanna. InsyaAllah, suatu masa nanti akan hanna temui sebaik dia. Ya." Tutur ini buat hanna terharu lagi. Air mata gembira mengalir lagi.

"Biarlah air mata itu mengalir semahunya. Yang pasti, hanna boleh leraikan resah. Tapi ingat, berpada-pada ya. Kalau tidak, jadi Kasim Selamat pula nanti."

"Abang dah pulang?"

"Hmm, tertinggal kunci kereta. Itulah, melayan tangis hanna sampai abang terlupa kunci ni."

Kami melerai tangis dengan ketawa. Fandy sememangnya bijak menyusun senda. Kak Tiz menyusul dari belakang Fandy. Menghantarnya ke pintu, dan bersalam sekali lagi. Pandangan yang damai itu disapa kucupan lembut Fandy pada dahi Kak Tiz. Kucupan seorang suami yang romantis.

"hanna, jangan bersedih lagi..." Suara itu jauh pergi membawa ilusi sepi. Tinggal bersama bait kata lagu yang santun menyusun makna di kalbu.



Kekasihku
Jangan bersedih lagi
Keringkanlah titisan air mata di pipi(mu)
Kekasihku
Tabahkan hatimu
Sekalipun tak pernah terduga
Halangan yang melanda
Melenyapkan
Impian bersama
Jangan dikesali
Atas apa yang terjadi
Mungkin rahmat sebaliknya
Membuahkan bahagia
Kekasihku
Aku tahu
Kita sama saling percaya
Tidak pernah
Ada dusta
Kasih antara kita
Jangan berduka (kekasihku)
Jangan berdendam pada sesiapa
Bersabarlah
Menerima
Segala-galanya dengan redha

( bridge )
Mungkin suatu hari
Kita akan bersama lagi
Aku masih mengharap
Segalanya kan
Berulang semula

( korus )
Kekasihku
Aku tahu
Kita sama saling percaya
Tidak pernah

Ada dusta
Kasih antara kita
Jangan berduka (kekasihku)
Jangan berdendam pada sesiapa
Bersabarlah
Menerima
Segala-galanya dengan redha





Wednesday, July 14, 2010

Cinta Fandy dan Kak Tiz! (dol!)


Apabila hanna terpandang sekeping foto ini, yang hanna selitkan pada novel "Setia Bersama Selamanya"...hanna terkenangkan pasangan romantis itu. Kala ini, hanna masih terkenangkan si dia. Dia yang penuh bersemangat apabila bercerita. Dia yang selalu nampak riang apabila berlawan tentang ejaan dan struktur ayat. Buat hanna tertawa di kejauhan.

Namanya Fandy, dan kekasihnya Tiz. Tak sangka kan, kekasihnya mempunyai nama seperti pelakon Tiz Zaqiyah. Namun, yang pastinya...Kak Tiz milik Fandy cantik juga seperti Tiz Zaqiyah. Pada hanna, Kak Tiz lagi lawa daripada Tiz yang berlakon dalam drama Nur Kasih tu. Bertuah Fandy, dan Kak Tiznya juga. Sebenarnya kenapa hanna gelar Tiz itu kakak tapi Fandy tak hanna gelarkan abang, sebab Fandy tu perasan muda...jadi dia tak benarkan hanna gelar dia abang Fandy. 'Oh, begitu rupanya..." sambut kawan hanna yang mendengar ceritera ini.

Setiap hari, bunga kertas di rumah hanna sering jadi mangsa Fandy. Kak Tiz tanpa segan silu terima saja bunga-bunga kertas pelbagai warna yang abah hanna tanam secara bersungguh-sungguh tu. Tak patutkan. hanna pula suka skodeng (bahasa standart hanna dengan Fandy) kalau2 ada bunga kertas abah yang tak cukup. Biasanya, selalu ada. Kemudian, hanna akan ke rumah kak Tiz yang memerlukan beribu kayuhan basikal merah kesayangan hanna. Ketuk-ketuk pintu, kak Tiz pun muncul depan pintu dengan gaya yang menawan. Setiap kali hanna datang rumah Kak Tiz, biasanya dalam jam 5.15 petang, pasti kak Tiz sedang tersenyum lebar. Apa lagi tu, pasti lepas dapat bunga kertas yang dipetik secara haram oleh Fandy, kekasih hatinya. hmph! Oups...

"hanna, ini kak Tiz dah letak dalam balang kaca. Cantik tak?" kak Tiz dengan rasa teruja menyuakan keping-keping bunga kertas yang dipisahkan dari tubuh kayu ke dalam balang kaca jernih. Wah, cantik juga. Macam potpuri (belasah je eja) pelbagai warna. Terkesima sekejap.

"hmm...Kak Tiz tau tak?"

"Tau" Tanpa hanna habis berkata-kata dengan perasaan geram untuk mempertahankan hak bunga-bunga kertas abah, Kak Tiz terus menjawab. Katanya lagi, "Kak Tiz tau, bunga kertas ni abang Fandy petik kat rumah hanna kan?"

"Eh, Kak Tiz tau?" Terangkat kening sebelah hanna dengan wajah berkerut.

"Iya, sebab tu Kak Tiz simpan cantik-cantik macam ni. Supaya hanna puas hati."

"Puas hati?" Biar betul kak Tiz ni.

"Untuk hanna tambah puas hati lagi, on bluetooth telefon tu sekejap. Kak Tiz nak kirim gambar untuk hanna." Biar betul kak Tiz ni.

Setelah beberapa kali hanna ulang perkataan biar betul tu, 'ting ting' telefon hanna berbunyi. Gambar yang dihantar sampai kepada hanna. Tanpa suara, wajah pelik dan geram hanna memandang kepada kak Tiz.

"Ha, gambar ni hanna simpan buat kenangan."

Sampai hati kak Tiz. Kenapalah kak Tiz biar diri kak Tiz menjadi sengal macam Fandy? Oh, kak Tiz. Gambar yang Kak Tiz kirim tadi ialah gambar bunga kertas abah yang dihiaskan sebagai potpuri di atas mejanya. Tak patut!

hanna seperti orang bingung...menurut saja kata kak Tiz. Simpan dan tatap gambar tu lama-lama. Hinggalah suatu suara serak basah yang menawan macam suara Rani Mukherjee keluar di balik dapur menyapa hanna.

"hanna dah lama sampai? Tak perasan Mak cik. Eh, Tiz. Apa sajalah kamu ni. Suka sangat kenakan hanna." Mak Cik Rani yang namanya juga sama dengan Rani Mukherjee sempat melayang cubitan paling halus pada bahu kak Tiz. Ha, padan muka. Sampai hati buli hanna. Tapi paling tak sedapnya, hanna terdengar kekekan tawa Mak Cik Rani yang tidak dapat diselindung.

"Ah, mak cik pun sama je dengan kak Tiz!" Meluru hanna lari ke halaman. Mengambil basikal yang tersandar rapi di pohon rambutan yang sedang ranum buahnya.

Masa itu juga hanna dikejutkan dengan satu gigitan keras. Oh, kerengga pun mahu buli hanna. Berdarah-darah jari ni dikunyah. Oh, ngerinya. (sengaja tambah aksi)

Kak Tiz dan Mak Cik Rani yang asyik ketawa di muka pintu meluru kepada hanna. Lantas, Mak Cik Rani bawa hanna masuk semula ke dalam rumahnya. Duduklah hanna di sofa yang sama dan pemandangan yang sama. Bunga kertas abah...Perlahan-lahan air mata yang berjuraian hanna macam budak tadika dipaksa makan vitamin (pengalaman sendiri tak suka makan ubat) dikesat penuh manja oleh kak Tiz. Masa ni rasa macam dalam filem hindustan pula. Tiba-tiba rancangan hindi kesukaan kami ke udara di corong radio India Beatz...Masing-masing layan perasaan macam buat video klip pula. Kebetulan lagu Kabhi Kushi Kabhi Gham dilagukan...

Tiba-tiba...

"Assalamualaikum...!!! Siapa tadi yang kena gigit kerengga?! hahaha...."

Sungguh hanna amat terkejut. Suara lantang Fandy masuk dalam ruang rongga yang ada. Bukan hanna saja, Kak Tiz dan Mak Cik Rani pun. Terus tak nampak menawan wajah mereka akibat dikejutkan yang teruk. Bak dialog ultraman masa dia dikenakan raksasa... "Tak guna!" tapi sebut dalam hati je. tak sampai hati nak tengok wajah Fandy yang dikecewakan dengan carutan bahasa halus tu. huhu

Fandy mengambil tempat di sebelah hanna. Tangan kanannya menghulur sebotol minyak penghapus gigitan kerengga ke tangan kak Tiz. Oh, baiknya Fandy. Tiba-tiba rasa nak panggil dia abang. tanda hormat. Rasa terharu hilang sekelip mata apabila melihat Fandy tiba-tiba main mata dengan Kak Tiz, aduh...meluat! Mak Cik Rani pula sibuk mengeringkan minyak yang disapu kak Tiz ke tangan hanna.

Perasaan tak enak tiba-tiba datang. Sekali lagi dialog ultraman terkeluar halus dari bibir, "Tak guna..."

"Tiz! Sudah-sudahlah tu main mata. Kau tengok muka hanna dah putih dah ni."

Dalam hati hanna 'dol'kan Fandy dan kak Tiz. Peh!! Tak pasal-pasal muka hanna yang sedia gebu ni ditambah gebu.

Tanpa belas mereka ketawakan hanna dengan kejamnya. isk isk, menangis tersedu-sedu hanna bawa diri.

----tamat----

apa kaitan kisah ini dengan gambar di atas ya? Sebenarnya, gambar ni lah gambar Fandy dan Kak Tiz yang hanna dah tuakan. haha...ketawa kejam sorang-sorang masa edit gambar ni. hanya mereka saja nampak tua, bunga tu walaupun bukan bunga kertas abah, tetap cantik sampai sekarang. hihi....

Fandy dan Kak Tiz, moga bahagia selamanya ya. :) Peace! dol!! haha...

*****sekian, benar-benar tamat****

Monday, July 12, 2010

Lepas Gian

Umpama tajuknya:

Bukanlah hanna gian yang jahat, cuma...berada di rantauan, yang kadang kala (macam selalu je) duduk dalam rumah ni, buat hanna kematu tak menentu. Hanna tak pandai jalan2 sendiri, tunggu je la orang bawa, baru bergerak...sepupu dan suaminya pula kerja, lalu...tinggallah hanna di rumah, melayan anak saudara dan mak saudara. erm...

Dalam masa hanna tinggal di rumah ini, terasa seperti suri rumah pula. Iyalah, kalau di rumah sendiri mak yang selalu atau rajin menyeluruhi rumah segalanya. Di sini, hanna belajar banyak perkara, pertama yang mencabar...meredah lebuh raya yang sibuk dan berpusu-pusuan kenderaan dengan, hanna hanya menunggang motosikal menghantar sepupu ke tempat kerja..wah, terasa melayang-layang ditiup angin kenderaan besar. Keduanya, hanna berjaya mengurus rumah (insyaAllah) dengan baiknya. Masak air, mengemas berulang-ulang (sebab anak saudara yang suka menyepahkan lantai), dan belajar bersabar dengan karenahnya. Ketiga dan seterusnya hanna juga menguruskan emosi sendiri tanpa mengadu dengan siapa2...hmm, mengadu atau meluahkan? dan cuba melindungi sebaiknya tanpa ada saudara di sini yang tahu. Biasalah, dugaan hidup banyak. Mereka lihat hanna seorang yang tenang. Biarlah, status tenang itu terus dalam tanggapan mereka. Lagi pun apa salahnya menjadi insan yang bersabar dan tenang dengan senyuman. :)

Jauhnya melalut, ok...sambung pasal gian tadi. Sebenarnya gian pada komik semakin menjadi-jadi. Kalau dulu, hanna baca komik juga, tapi berhenti seketika untuk tamatkan tahun 3 di UKM. Dan masa itu hanna berjimat juga dari segi wang. Alhamdulillah, dengan rezeki yang ada sekarang, hanna dapat beli buku dan bahan bacaan seadanya. Di Shah Alam ini, hanna bawa bekal satu beg kecil buku2 dari rumah. Alhamdulillah, taklah bosan sangat masa terluang tu kan. Komik semestinya memberi keseronokan pada hanna, sebab hanna suka ilustrasi pada komik. Dari syarikat Gempakstarz, hanna memilih komik2 terbaru yang hanna beli untuk dibaca. Gian lagi, dengan buku-buku motivasi...Wah, mewahnya dengan ilmu. Moga apa-apa yang hanna baca mendapat berkat Ilahi. Amin.

Apa-apa pun, dimulakan dengan Bismillah... :)

Friday, July 9, 2010

Entri Awal Julai

Sekembalinya hanna dari bercuti sakan di KL bersama keluarga angkat pada 4-7Julai, kini hanna menulis entri ini di Shah Alam pula. 8 Julai hingga 25 Julai (mungkin)...hanna ikut keluarga sepupu hanna tinggal di rumahnya.

hanna iringkan pemergian ini dengan membawa sekotak kecil muatan buku cerita dan motivasi, serta laptop hijau kesayangan ini. Alhamdulillah, di sini ada line internet yang memungkinkan hanna melayari kebosanan...

Sebenarnya bukanlah bosan mana pun, cuma iyalah...hanna lebih suka kepada sekitar yang diam dan senyap. Kiranya di sini ada ciri2 sebegitu. Bertemankan suara radio yang dipasangkan sepupu hanna, jauh di sudut rumah kecil ini...hanna duduk di sisi satu lagi. Dalam bilik yang hampir kepada pintu. Mudah untuk hanna dapatkan bekalan angin dari kipas ruang tamu. Biar kecil rumah, yang penting ada kedinginan iman yang besar di dalamnya. Amin.

Entri sedikit ini hanna mahu coretkan bahawa hanna telah mula menulis sinopsis kasar untuk novel baru hanna (insyaAllah)...Moga sinopsis ini terus berkembang membawa sinar kepada karya yang baik dan unggul. Amin.

cukup setakat ini dulu, hanna mahu mula menulis secara halus pula... :)

P/S: ada yang menggelar diri ini penulis terkenal untuk dirinya...huhu... thanks peminat itu.

Saturday, July 3, 2010

Segarkan!


Alhamdulillah,

kita lupakan yang lalu. Mulakan yang baru.

Okey, sekarang ni hanna nak segarkan minda dengan perancangan penulisan yang baru. Sebelum bercuti ke Kelantan minggu lalu, hanna sempat siapkan sebuah skrip drama panggung untuk salah sebuah stesyen radio. Setelah ditapis pada satu pihak (terima kasih! :) ) hanna gembira kerana katanya, skrip itu menarik dan akan dipanjangkan kepada penerbit radio itu. Hmm, keterujaan ini dipanjatkan million kesyukuran. Alhamdulillah. Moga penerbit radio itu terbuka hatinya untuk menerbitkan drama panggung yang hanna tuliskan itu. Amin. Sama-sama doakan untuk kejayaan hanna ya. tQ!

Untuk bulan Julai ini juga hanna dapat tahu yang puisi tulisan hanna (masih gunakan nama hasni Jamali) tersiar di majalah Tunas Cipta. Syukur. Tajuk puisi itu ialah Lentera Bunga Purnama. Kalau tiada aral, hanna akan ke KL bersama famili angkat 4hb Julai...di sana nanti, moga hanna dapat membeli majalah Tunas Cipta. Al-maklumlah, di pekan kecil tempat tinggal hanna sekarang sukar mendapatkan majalah TC ini. Apa pun, moga usaha penulisan ini berhasil yang baik dan halal semestinya. Amin.

Segarkan minda yang baru lagi. Minggu lepas hanna ditakdirkan terlihat sebuah iklan yang mencari pengarang buku kanak-kanak. Selepas membuat panggilan dan berurusan melalui emel, hanna dah hantarkan resume dan segala bukti karya yang berkaitan. Moga urusan yang panjang ini berbalas positif dan dapat menempatkan hanna membina kerjaya di sana. InsyaAllah.

Baik, segarkan minda lagi dengan cerita baru. Semalam dah rancang, mahu mulakan dari sekarang. Apakah? Novel... satu untuk pertandingan dan satu lagi untuk sebuah penerbit buku yang menyokong Bahasa Melayu Tinggi. Maknanya, ikut rancangan ini ada dua buah novel yang akan ditulis. Wah! Bolehkah hanna? Apa pun usaha dan segerakan...Waktu mengejar.

Sampai di sini dulu. Mahu mengejar bahan2 yang lari-lari dalam minda. Segar ya!

Pergi!!!


Sekarang ni hanna nak lupakan kisah dikecewakan, cukuplah 2 entri je pasal lelaki durjana tu. Argh! buat geram hati je nak cerita. Cukup sampai di sini.

wahai hati,
cepat2lah kau usir
amarah dan derita in
biar lupa segala perbuatan kejinya
yang melanggari kesetiaan
yang ditutur manis itu.

Pergilah!

Sesuatu yang perlu dilihat selepas turunnya segala kekerasan mendalami jiwa. Sesuatu yang perlu dikatakan...apa itu hidup yang indah selepas terlukanya perasaan...ini bukan persoalan. Hanya sandaran mengenal diri yang masih jauh dari kehidupannya. Di mana?

Kerana tertipu dan terhina dimainkan perasaan, hingga kini tidak lagi mahu menyemai kasih dan senyuman. Hari-hari berwajah durja. Setiap kalinya menghenyak amarah. Dibaling dilambung perasaan kritikal yang kini remuk redam. Biar mati jangan dihidupkan lagi.

Pada perasaan yang berkecamuk, bilakah engkau akan hilang dan pergi? Berkali-kali cuba menghalang rindu manis, namun lemahnya hati. Masih terima perasaan cinta itu. Cinta palsu cinta keji seorang lelaki. Ah, dia bukan lelaki...dia binatang!

..tolong, tolong hati. tolong jangan kau sakiti sendiri. Lupakan si jalang itu. Lupakan segala-galanya tentang dia. Lupakan!...

Friday, July 2, 2010

Dia Jahat!


hampa! putus! tak guna tak guna...! tak disangka, lelaki yang diberi nama baik sekali maknanya, tapi langsung tidak mencerminkan perwatakan atas nama itu...Kenapa dia jahat? kenapa dia tidak setia? kenapa dia tak kisah mempermainkan perasaan orang lain? Orang lain yang dipanggilnya sayang. Orang lain yang digelarnya kasih. Kenapa dia bermulut manis? kenapa...?

Hati ini sesungguhnya telah diberikan selayaknya buat dia, tapi...................dia menyakitkan, dia menghancurkan, dia memusnahkan......Perit rasa hati, luluh jiwa, argh!!!!!!!!!!!!!!!!

Ah, perlu ke air mata ini jatuh kerana dia...perlu ke rintihan ini luluh kerana dia....tidak! tidak! tidak! Dia tak layak menerima semua ini. Dia tak layak dipersembahkan kedukaan ini. Pergi!!!

................................................

About Us

Bila terbitnya bicara, hati mula pasrah, untuk luahan terindah, segalanya diserah…Moga jiwa turut merasa, tentang hati yang mula bercerita.

Teguh pada kata hati, cekal pada kata akal…akan setia pada janji, untuk diri, dia dan semua. Moga ada sinar, pada setiap karya yang terlahir dari jiwa dan rasa. Hanya kerana DIA.

Titip kasih daripada teman blogger

Titip kasih daripada teman blogger
Tanda hati daripada Cik Amy Sense, tQ!!!

Gapaian CIta

Gapaian CIta

Impian Kan Terlaksana

Impian Kan Terlaksana
Barisan melakar cita

Pages