berkarya itu indah

berkarya itu indah

Thursday, January 24, 2013

Merarau Hibur Lara


     Assalamualaikum hati, moga bertabah atas tiap dugaan yang dikirim takdir hari ini ya. Usah sesekali berputus asa. Usahalah yang terbaik untuk menjadi insan dan hamba Allah yang baik.

      Sekalipun Allah berikan dugaan kepada hati, anggaplah ia nikmat penyuluh kepada kehidupan. Agar hati membawa diri agar diri sentiasa belajar untuk bersabar dan tidak mudah bosan dengan segala kehendak yang tertunai.

       Atas nikmat ujian hari ini, akhirnya saya berjaya meredah seorang diri ke TS. Berdikari dan belajar bergantung kepada diri sendiri. Ya, agak sunyi sebenarnya apabila bersendiri, tetapi saya akur. Ini kehendak Allah buat masa ini untuk saya. Semoga di lain hari, Allah mengirimkan teman sehati, sejiwa, sekepala dan faham saya seadanya bagi menemankan hayat ini hingga akhir.

         Di TS, saya bertemu tiga insan ini. Mereka yang sudi merai hari lapang bersama-sama. Anak buah bernama Aisyah yang sempoi, teman baik bergelar 'abi' dan teman gadisnya si anggun. Kami berempat merarau sekitar TS. Bergambar dan saling menikmati perbualan khabar masing-masing.    
Anak buah yang 'sporting'


Umi dan Abi, gelaran dua teman baik kekal hingga kini...

Kata Abi, 'Umi makin comel!'

Bersama gadis anggun... :)
Dan sempena 22 Januari yang lalu, saya menghadiahi diri saya sendiri seutas jam dan beberapa helai pakaian sebagai merai hari kelahiran yang ke 26. Biar pun saya sering gagal dalam hal cinta hati, saya tahu dan saya mengerti bahawa Allah mahu saya ditemukan dengan jodoh yang terbaik suatu masa nanti. Biar lambat asal jodohnya benar-benar cermat menyayangi hati ini sepenuhnya. 

Terima kasih Allah, atas segala kejadian yang telah Engkau limpahkan untuk hamba. Alhamdulillah, moga hamba dikurniakan berterusan rasa kasih, sayang dan cinta kepada-Mu. Amin.

Monday, January 21, 2013

Royalti dan Rayap.

Hasil rembatan... :)

berbalas-balas. Hasil royalti dan 4 buah 'teman hati' :)

novel AKU MAHU LAWAN HANTU, dengan cetakan ke-4. Masih berbaki sebuah dua. Kedudukannya juga strategik. :)

Alhamdulillah, berkat royalti Aku Mahu Lawan Hantu yang diberikan Penerbit Blink Book Sdn. Bhd. Berkat gaji dan bonus bekerja. Berkat doa ibu dan ayah. Berkat dan rahmat daripada Allah. 

20.01.2013. Kaki melangkah, menerjah jalan raya, merayap menyelusup segenap stesyen demi stesyen. Teksi dan lrt. Akhirnya, berjalan kaki. Menjejak diri ke ruang yang paling ingin dinikmati. Gedung buku sentiasa di hati. Kedai buku 1Malaysia di Pudu Sentral gerangan lokasi.

Ketika masuk terasa hilang daya tahan mental. Melihat buku-buku bersusun dalam suasana rak putih. Pencahayaan yang terang lagi memaknakan pemandangan indah. Cuma, ruang gedung jadi seperti hangat. Entahkan tidak cukup angin atau 'ekon'? 

Peluh yang menitik mengalir laju. Dan hasil royalti pun dibelanjakan untuk 4 buah buku. Masing-masing diterbitkan daripada FIXI

Terima kasih Allah. :)   


Teman Hati BISIK

BISIK. Sebuah Novel Syaihan SyafiQ.

Hidup yang semakin jauh dengan keluarga. Bersendirian. Kadang-kala sunyi tiada berteman. 

Dengan rahmat Allah, hadir buku-buku sebagai teman ilmu. Mengisi ruang hati yang terkadang pilu. Mengenang rindu kepada ayah dan ibu.

BISIK, novel pertama (sejak merantau) yang habis dibaca dalam tempoh 2 hari. Untuk saya, bukan mudah untuk mengkhatam sesuatu cerita. Mungkin kerana minat genre dan corak pembacaan. Dengan rahmat Allah, dipertemukan saya dengan bahan bacaan ini. Kalau sekejap sahaja sudah habis maknanya novel ini dapat mempengaruhi jiwa dan selera bacaan saya. 

BISIK, hasil pengkarya UKM yang faham minat saya. Suka dengan genre psikologi dan falsafahnya. Ya, novel ini memberi banyak cabaran emosi dan duga-menduga. Hampir 90% tekaan setiap babak dapat ditebak dengan tepat. Kuasa minda yang bermain-main, adakalanya gagal meneka membuatkan minda sentiasa terkejar-kejar dan lelah menanggapi makna. Seronok! :) 

'Pelbagai watak yang akhirnya menyimpulkan satu makna kelangsungan kehidupan.' begitulah tanggapan saya.
 


Bintang bersinar.

Inilah bentuk majalah Malay Literature. Bakal sebuah karya penyelidikan saya akan disiarkan. Pada awal Feb 2012, editor Dewan Sastera menelefon. Katanya, beliau akan cuba menghantarkan karya ini kepada sidang editorial Malay Literature. Kata beliau lagi, karya yang ditulis bagus dan sayang jika terpaksa dicantas untuk mencukupkan muka surat Dewan Sastera iaitu maksimum 12-15 muka sahaja. Sedangkan karya penyelidikan saya ini mencapai 20 muka surat. Bimbang jika dicantas, isi dan maknanya tidak akan sampai. 
Alhamdulillah, berkat 2013 yang Allah kurniakan. Editor Malay Literature pula menghantar email. Katanya mahu saya siapkan abstrak untuk karya kajian itu. Syukur, ini bermakna karya kajian saya itu sudah pun diterima dan bakal disiarkan. Kemungkinan awal Jun 2013. Sidang editorial Malay Literature tidak dapat memberi maklum lebih, jadi saya sendiri menganggarkannya tentang tarikh terbit majalah itu.

Malay Literature sebuah majalah yang mengangkat tinggi nilai sastera. Ini mungkin menjadi kejayaan pertama saya apabila karya 'penulis hingusan' ini sudah mencapai tahap Malay Literature. Alhamdulillah, semoga ini menjadi semangat untuk saya terus berada dalam landasan penulisan yang saya gemari. InsyaAllah. Amin.

Maklumat lanjut tentang Malay Literature boleh dibaca di sini... http://malayliterature.wordpress.com/

Terima kasih Allah atas kurniaan nikmat besar ini. Terima kasih ibu ayah yang mendorong sepanjang saya berada dalam bidang yang memaknakan hati. Alhamdulillah.

Sunday, January 20, 2013

Doa Tahun Baru Masihi 2013.



SELAMAT TAHUN BARU MASIHI… 2013.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah. Sudah pun 20 hari di tahun baru ini. Alhamdulillah, syukur yang tidak terhingga buat-Mu, Allah. Hingga hari ini memberi hamba ruang untuk bernafas di ruang bumi-Mu.

Terasa kecil sungguh hamba di sisi-Mu, yang selalu ingkar melakukan kebaikan. Moga di tahun baru ini hamba berubah menjadi hamba yang lebih taat kepada-Mu, menjadi masyarakat yang sentiasa menyenangkan insan lain. Moga Allah sentiasa memberkati hamba hingga akhir hayat. Amin. Moga hamba dan kalian yang membaca dikurniakan nikmat kehidupan yang baik dan berada dalam golongan syurgawi. Amin.

Sunday, January 6, 2013

AJL tonton.com



Alhamdulillah… Nikmat Allah kepada hamba yang sabar. :-)

Ketika cerita ini dikarang, AJL sedang berehat seketika pada minit 11.27 malam. Ya, saya cuba-cuba menontonnya melalui buah hati biru ini di laman sesawang Tonton.com dan kini talian mencecah lebih 1 GB memori. Hmm, demi yang kita suka… sekali sekala tidak mengapalah bayar lebih di hujung bulan nanti kerana menambah GB yang baharu.

Terima kasih Allah. Tatkala hamba berusaha sabar, Kau hadirkan nikmat ini kepada hamba. Moga hamba terus kekal dalam iman dan ibadah kepada-Mu. Amin.

Sungguh-sungguh indah persembahan semua peserta AJL 27 malam ini. WOW! Meriah! Seni muzik benar-benar dihargai. Alangkan indah gembira ria, andai seni tulisan, sastera turut dihargai semeriah ini. Pasti penuh bermakna dan penuh penghayatan seninya.

Tahniah kepada semua peserta AJL. Anda yang terbaik dan anda pemenang! Walau bukan dengan trofi tetapi maruah seni muzik berbalas bahagia. Tahniah!

Alhamdulillah, ‘Ku Akui’ yang saya suka menang di tempat ke-3. Yey!!!

Dengar AJL



“Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang,”

Sebentar lagi jam 9 malam. Hari ini Enam Januari 2013. Di corong radio sudah saya pasangkan siaran Hot.fm. Malam ini ada AJL. Seperti biasa dahulunya, saya memang selalu mengikuti AJL dan anugerah-anugerah yang lain. Termasuk rancangan penganugerahan di Bollywood. Contohnya, Zee Rishtey Award, Star Parivaar, Saregamapa, Dance India Dance dan lain-lain. Seronok melihat kesungguhan para peserta mengerjakan tiap-tiap tugasan yang dicintai akhirnya dihargai seluruh masyarakat. Begitu juga dengan AJL. Bakat nyanyian dan bakat penulisan lagu dan lirik dipertandingkan. Yang baik akan menang, dan yang kalah tetap dihargai dan dikenang. Pengiktirafan sebegini menjadikan tenaga dan minda manusia sering mendambakan kualiti dan mutu sesuatu hasil itu agar sentiasa menyenangkan hati semua yang mendengar.

Hari ini saya berada di rantau. Rumah yang diduduki masih tidak punya tv. Jadi dengan berkat Ilahi, syukur… saya masih berkesempatan mendengarnya dengan radio online Hot.fm sahaja. Hidup merantau tidak boleh bermewah pada awalnya. InsyaAllah, moga bertambah rezeki di lain hari, dapatlah beli tv dan menonton rancangan kesukaan. Kalau ada astro boleh tonton Zee Tv (108) dan rancangan dokumentari. Wah, moga hari itu akan tiba dengan baik dan diredhai oleh-Nya. Amin.

About Us

Bila terbitnya bicara, hati mula pasrah, untuk luahan terindah, segalanya diserah…Moga jiwa turut merasa, tentang hati yang mula bercerita.

Teguh pada kata hati, cekal pada kata akal…akan setia pada janji, untuk diri, dia dan semua. Moga ada sinar, pada setiap karya yang terlahir dari jiwa dan rasa. Hanya kerana DIA.

Titip kasih daripada teman blogger

Titip kasih daripada teman blogger
Tanda hati daripada Cik Amy Sense, tQ!!!

Gapaian CIta

Gapaian CIta

Impian Kan Terlaksana

Impian Kan Terlaksana
Barisan melakar cita

Pages