berkarya itu indah

berkarya itu indah

Friday, October 22, 2010

Ilham.

Sejak awal dia buka, dia hanya melihat dan mengerling sahaja. Adakalanya, dia menjegel mata... Ada pesan yang sedang menyelinap masuk ke dalam ruang minda.


"Jangan pendam lama-lama. Nanti berkarat susah."

"Jangan putus asa, cuba dan cuba lagi."

"Jangan sedih terlalu lama, bangkit buktikan sesuatu yang lebih mantap."

Dan dia.. dia cuba memejam mata. Tiba-tiba terlintas suatu azimat yang paling bernilai yang perlu disambar dengan penuh penghargaan. Zuuuup! "Ilham"

Monday, October 18, 2010

SELEPAS DITOLAK LAGI- manuskrip...oh!


Menulis dan menulis...kerana minat dan cita-cita untuk menjadi penulis hebat dan dikenali serta penulis yang disayangi...Tidak mudah! Perlu usaha lagi setelah manuskrip diarah olah semula. erk... Usaha hJ!



Mengharapkan dan usahakan agar suatu hari nanti ada yang membaca karya hanna seperti kanak-kanak ini. Hanna juga sedang lakukan yang sama terhadap buku-buku kajian dan buku-buku daripada penulis lain. Mahu menghasilkan sesuatu yang terbaik. Usaha hJ!



Ya, sudah masanya dan sentiasa dalam masa itu...menulis jangan jemu. Kerana minat itu ada dalam diri kamu, dan cita-citanya. Ditolak tidak bermakna perlu berhenti. Usaha dan usaha lagi. Moga berjaya hJ!



Kalaulah hanna berada, wah..pasti saja mahu menyewa hotel, duduk di tepian pantai sambil melunas rindu pada pawana...ilham pun datang beramai-ramai, mengasak minda untuk diluahkan. Apakan daya, masih lagi pada takah kurang berada. InsyaAllah, bersyukur selalu dengan apa yang ada. Moga sentiasa dalam keadaan yang tidak riak dan bangga. Amin. Usahalah hJ! Usaha gapai segala cita atas jasa diri sendiri. Baru puas!



Sayang, terima kasih kerana memahami kerja-kerja penulisan saya. Sayang, terima kasih kerana sentiasa sabar kerana tidak dapat bermanja kata. Moga sayang dan saya bertahan atas dugaan ini. Saya perlukan sedikit masa untuk menenangkan jiwa yang sedikit kacau selepas ditolak lagi. Saya sayang awak. Mengertilah, hanya untuk awak.

Salam manis, salam sayang

hannaJohan

Friday, October 15, 2010

Kerja Sambilan


Nak cari wang bukan senang. Usaha yang panjang, gigih dan jangan lepas tangan. EH? :) Hidup tidak selamanya, masa yang ada kena guna sebaiknya. (Merepek apa ni???) sebenarnya hanna saja nak masukkan entri kali ini. Sekarang hanna amat menyibukkan diri dengan kerja-kerja sambilan. Selain daripada menghadap komputer di kedai, mereka kad undangan perkahwinan orang, menyiapkan tempahan seperti mencetak dan melipat kad jemputan...hanna juga ambil kesempatan menghantar resensi novel kepada pihak media cetak. Alhamdulillah, editor media itu sendiri sudah berikan tarikh dan ini bermakna hanna perlu siapkan. Moga berhasil yang terbaik.

Dalam kesempatan ini, hanna juga belajar membaca novel (ha, belajar???) Bukan apa, sebenarnya hanna dahulunya bukanlah kaki novel. Tetapi sejak hanna mendapat kawan-kawan yang kaki novel, hanna jadi kagum dan mahu jadi seperti mereka. Jadi apa? Jadi pembacalah...Kagum la hanna lihat mereka yang suka baca novel ni boleh membaca novel yang tebal dalam masa yang singkat. wah! bak kata Master Ji dalam DID Little Master "Kya Bat Kya Bat Kya Bat" :) (Tabik spirng untuk mereka)...dan kini hanna juga mahu ikut jejak langkah yang baik ini.

Oh, rupanya satu kelegaan yang hebat apabila dapat membaca sebuah novel yang terpilih dek hati. Mula-mula dulu hanna cuba-cuba baca novel alaf 21 yang banyak dibeli adik. Tak ingatlah novel pertama apa yang hanna dah baca sampai habis (sebab hanna dulu-dulu baca novel tak habis, sebab tebal dan bosan)...tapi yang memikat hati hanna ialah novel Pesona Sandora. Novel ini Chempaka Aizim yang cadangkan pada hanna. Memang berkuasa! hanna baca dalam masa 3 hari je. (anugerah untuk diri sendiri kerana berjaya habiskan pembacaan dalam masa 3 hari)- untuk budak baru belajar membaca novel sahaja macam hanna ni. hehe...

Kemudian, novel Kak Ruhaini Matdarin (dah kenal rapat ke sampai panggil akak?) yang kedua hanna miliki berjudul Jendela Menghadap Jalan. Dan yang terbaru, karya kak Ruhaini yang hanna miliki ialah Nurbalkis pemberian seorang teman baik yang pemurah. Kemudian lagi, Kak Ruhaini sendiri mengepos kepada hanna sebuah noveletnya yang datang khas dari Sabah iaitu Racunda. Wah! Tahniah kepada hanna, suatu penghargaan yang hanna rasa hebat.

Kenapa kak Ruhaini jadi bualan di sini? Sebab, karya yang sedang hanna ulas untuk dihantar kepada media ialah karya Nurbalkis. hmm, nantikan ulasan hanna (insyaAllah jika diterima editor) dan pastikan anda membelinya ya. :)

Ini antara kerja sambilan hanna, sebenarnya ada beberapa keperluan yang ingin hanna dapatkan. Dan sekarang sedang mengumpul wang untuk membelinya. Bukanlah bidang penulisan ini hanna harapkan wang, cuma sebagai suatu insentif kepada diri untuk mendapatkan keperluan. InsyaAllah, usaha gigih pasti berjaya!


Thursday, October 14, 2010

Belai Kasih Kakak


Begitu aku benar-benar merasakan kehilangan. Sebesar huma kekangan yang tidak dapat aku elakkan mula meresap dalam kerengsaan hati. Aku bingung, aku mahu merenung. Mengapa begitu persoalan-persoalan ini berlegar-legar dalam kota minda.

Tuhanku, mengapa perlu ada perpisahan dalam hubungan ikhlas ini? Adakah ini ujian dan dugamu buatku agar kekal bersama-Mu, Tuhan? Jika ya...aku kekal bersama-Mu. Tiada yang lain hanya untuk-Mu. Amin.

Aku tahu, rindu ini ikhlas dan abadi. Tetapi, ia hanya sekadar lafaz kini. Tiada jalan tuju tiada arah yang pasti.

Kakak yang kukasihi, kita bertemu di alam mimpi. Dalam angan yang mendinginkan hati. Dalam khayalan yang menyegarkan isi jiwa. Aku rindu belai kasihmu. Kakak yang kurindui, aturan Tuhan tidak pernah kosong dengan segala janji. Hikmahnya, kan sering kunanti.

Kakak yang kusayangi. Mekarlah kasih kita, walau hanya dalam mimpi.


Sunday, October 10, 2010

Dahlia

Sekuntum wajah
yang bakal mencerah
hidup
atas belahan bait-baitnya

Sekuntum Dahlia
janji seorang pujangga
saksi sebuah sukma

Dahlia
si dia
usapan cinta.

hannaJohan
101010

Friday, October 8, 2010

Melukis Hilangkan Tekanan!





Tanda seru, maknanya perlu...Perlu dilakukan. Cara hanna hilangkan stress....antaranya ialah dengan melukis menggunakan program Paint yang ada dalam Windows...Hasil lukisan ketika KUSUT, nikmatilah.

Buah Hati hanna

Alhamdulillah dipanjatkan kepada Allah,

Cerpen Lara Atma, karya cerita pendek sulung hanna tersiar dalam majalah Tunas Cipta. Moga karya-karya lainnya akan terus bersinar mencerahkan masa depan. :)

Selamat membaca, ya.

Thursday, October 7, 2010

Desir Wangian Ombak karya hJ



kerana resah dan berduka, saya hampir terlupa hobi dan kegemaran.

Sudah dikhabarkan olehnya, saya hanyalah kenangan mereka. Tidak mengapalah...apa lagi boleh dikata. Sudah dibuang jauh, usah lah melukut lagi pada yang tidak sudi.

Hobi dan kegemaran menjadi galas meluah rasa. Terima kasih kepada Chempaka Aizim. Kamu yang sudi menasihati, mendengarkan dan sudi melerai kekusutan. Hasilnya, lakaran ini yang terluah dari galau jiwa.

Moga rengsa terus terusir, bahagia dipinta dari sisi kecil hamba ini kepada Tuhan yang Maha Esa. Amin.

Wednesday, October 6, 2010

Merenung Lubuk Hati

Katanya aku adalah insan yang telah dibuang. Bukan terbuang, tetapi dibuang. Aku bukan haknya lagi untuk mereka peduli. Aku bukan lagi insan yang dapat mengisi ruang hati mereka. Aku insan yang telah dibuang.

Malam itu, aku berlari sepuasnya. Berlari hingga peluh kuat membasahi tubuh. Aku berlari tanpa rasa takut. Gelap yang padu tidak lagi menghalang rasa gelisah dan resah. Aku berlari dan terus berlari.

Berjuta kali aku nafikan bahawa aku tidak bersalah. Diri dan jiwa selari menjadi duka. Lukanya dalam, terasa ditusuk kaca. Pedih. Pedih dan sedih kerana aku dikata penyebab kecewa.

Usaha dan langkah untuk bertanya, hampa sekali. Usaha dan usaha. Tiada lagi erti kerana aku dianggap penyusah. Aku dikata tidak berusaha. Sedangkan aku usaha menahan malu dan bebal semata-mata kerana usaha.

Aku lari...bawa diri. Merenung lubuk hati. Lubuk jiwa yang disimbah kekaca pedih. Aku sendiri. Walau katanya aku bersama teman2 lain yang bisa membuat aku riang, tetapi segalanya itu adalah tuduhan semata. Siapa aku lagi. Aku hanya insan yang telah dibuang.

Biarlah, kesenyapan ini kubawa ke mana-mana. Tiada lagi erti untuk aku dikenanginya.

Di sini, aku sendiri. Merenung lubuk hati yang kian jauh...jauh berdamping lagi.

Namun, pada Tuhan aku mendekatkan diri dan hati. Kekallah bersama Dia yang tidak sekali menduga hamba untuk mempermainkan. Sesungguhnya hikmah ini kunanti penuh setia.

Mengubati Kepedihan dan Kekecewaan Hati

hati yang dilukai hati yang dideritai...Moga kan selalu mengingati bahawa dugaan yang diturunkan ini suatu petanda bahawa berhati-hatilah dalam memilih dan membuat pilihan. Semasa tiada, doa dipanjatkan sepenuh hati agar ia ada. tetapi setelah doa dimakbulkan, Dugaan tidak pernah putus dan sentiasa diberi Ilahi. Jika mengeluh dan menyesali, ia tidak patut dilakukan begitu. Seharusnya bersyukurlah.


Hanna. Sedang mengubati duga dan cubaan yang diberi. Insan-insan yang telah meninggalkan kerana fahaman dan pilihan untuk tidak mengasihi lagi, hanna terima dengan redha. Walau kecewa, namun hidup ini perlu diteruskan dengan sebaik-baiknya. Moga hanna lebih bahagia bersama-NYA. Amin.


hanna sisipkan lirik ini untuk tatapan dan muhasabah diri. Moga sama-sama mengerti bahawa hidup perlu diteruskan.


Tombo Ati

Artist: Opick
Song Category: Nasyid
Tombo Ati iku limo perkorone
Kaping pisan moco Qur’an lan maknane
Kaping pindo sholat wengi lakonono
Kaping telu wong kang sholeh kumpulono
Kaping papat kudu weteng ingkang luwe
Kaping limo dzikir wengi ingkang suwe

Salah sawijine sopo iso ngelakoni
Mugi-mugi Gusti Allah nyembadani

Obat Hati ada lima perkaranya
Yang pertama baca Qur’an dan maknanya
Yang kedua sholat malam dirikanlah
Yang ketiga berkumpullah dengan orang sholeh
Yang keempat perbanyaklah berpuasa
Yang kelima dzikir malam perbanyaklah

Salah satunya siapa bisa menjalani
Moga-moga Gusti Allah mencukupi

Sunday, October 3, 2010

Karya hJ dan kejayaannya di hati


Kejayaan yang meniti kala ini, syukur dipanjatkan kepada Ilahi. Alhamdulillah, pembukaan Oktober 2010, karya hanna berjudul LARA ATMA tersiar di majalah Tunas Cipta. Pagi Jumaat yang indah, jam 8.45 pagi...sebelum hanna menuju destinasi ke tempat kerja, seorang posman yang rajin datang membawa sampul surat dari Dewan Bahasa dan Pustaka. Mengirimkan sebuah majalah seperti gambar di atas kepada hanna. Jumaat yang dipenuhi keberkatan, hanna langsungkan dengan rasa syukur yang amat dalam. Terima kasih Allah. :)

Syukur sekali lagi, hari ini (Ahad bersamaan 3 Oktober 2010) seorang kenalan lama sms dengan menyatakan 'masuk paper nampak'...hanna merisik kepadanya, dan dia beritahu ada cerpen hanna dalam ruangan akhbar Berita Minggu. Cepat-cepat hanna mandi (masih pagi lagi), bersiap untuk keluar membeli akhbar. Tiba di Petronas (kedai akhbar paling dekat dengan rumah), setelah bayar RM 2, hanna bergegas membuka halaman yang dikhabarkan. Alangkah teruja dan terkejutnya hanna apabila melihat sajak hanna juga tersiar serentak dengan cerpen.

Syukur yang tidak terhingga. Kejayaan di hati berbunga ria. Cerpen "Kerana Takdir Itu" dan puisi " Sebuah Pemergian" mendapat tempat di ruangan Sanggar Kreatif hari ini. Alhamdulillah.

Masing-masing mengisahkan tentang sebuah pemergian...hmm.

Tahniah hasni Jamali a.k.a hanna Johan. :) moga pembaca dapat mendalami makna yang ingin disampaikan.

(gambar akan hanna muat naik beberapa hari nanti, ya)

About Us

Bila terbitnya bicara, hati mula pasrah, untuk luahan terindah, segalanya diserah…Moga jiwa turut merasa, tentang hati yang mula bercerita.

Teguh pada kata hati, cekal pada kata akal…akan setia pada janji, untuk diri, dia dan semua. Moga ada sinar, pada setiap karya yang terlahir dari jiwa dan rasa. Hanya kerana DIA.

Titip kasih daripada teman blogger

Titip kasih daripada teman blogger
Tanda hati daripada Cik Amy Sense, tQ!!!

Gapaian CIta

Gapaian CIta

Impian Kan Terlaksana

Impian Kan Terlaksana
Barisan melakar cita

Pages