berkarya itu indah

berkarya itu indah

Thursday, December 17, 2015

TELEGRAF CINTA USD MEMBANGUN SEDAR DIRI.



BERULANG kali saya keluar dan masuk ke kedai Borders di Berjaya Times Square setelah ternampak buku ini. Pada awalnya berfikir-fikir hendak beli atau tidak. Pada masa itu kewangan saya begitu terhad. RM 25 harga buku ini rasanya terlalu mahal. Kebetulan pula buku ini berbalut plastik, tak boleh nak belek-belek isi dalam.

Kadang-kadang saya ni pemilih juga. Saya mudah tertarik kepada rekaan kulit buku, kemudian judulnya, saya akan baca pula sinopsis atau teks pendek yang menggambarkan buku ini di kulit belakang buku dan jika boleh dibelek (buku bebas daripada balutan plastik) saya akan belek untuk melihat aturan hurufnya. Jika sudah puas, baru saya beli. Cerewetnya... hehe.

Dan seperti ada auranya tersendiri, akhirnya saya masuk kembali ke kedai dan membeli buku ini. Nekad untuk pakai duit yang ditujukan untuk membeli barangan lain. Dan buku ini akhirnya dibawa pulang ke rumah dengan selamatnya. Kejadian ini berlaku pada 24 Mei 2015. Setelah membelinya, buku ini disusun cantik di rak buku. Menanti giliran untuk dibaca. Biasalah, adat saya membeli buku... beli dulu, kumpul dan barulah membacanya perlahan-lahan ikut giliran. Hehe.

Okey, nak cerita tentang Telegraf Cinta USD (saya memang mudah jatuh hati jika ada karya yang diletakkan perkataan Cinta dalam judulnya) ... karya ini hasil tulisan seorang Pengarang bernama Hami Asraff. Ya, saya akui bahasa yang digunakan dalam karya ini amat mudah untuk dihadam. Banyak pertanyaan saya tentang hidup terjawab dalam tiap bab yang disusun seperti mengikut kronologi perjalanan hidup. Bermula dengan kelahiran dan berakhir dengan pemergian.

Hidup kita ini tidak pernah sunyi daripada dihurung masalah. Dan setiap hari banyak pertanyaan mendesak jiwa agar berpuas hati dengan hidup atau memberontak demi mendapatkan yang terbaik. Terbaik untuk kepuasan sendiri? Alangkah tidak adilnya begitu. Kerana kita bukan hidup sendirian atas muka bumi ini, sedangkan oksigen yang kita sedut ini juga berlangsung bersama-sama fungsi tumbuh-tumbuhan.

Topik-topik yang beliau kupas diberikan judul-judul menarik sebagai permulaan rasa ingin tahu saya untuk membaca kisahnya dengan lebih lanjut. Contohnya dalam ‘Bab 13: Kita Melihat yang Banyak, Kita Terlupa yang Sedikit’. Bab ini menegaskan tentang sikap manusia yang selalu menangguhkan sesuatu pekerjaan. Nak tunggu banyak dahulu baru nak buat. Mana boleh macam tu kan!

‘Bab 15: Jangan Lumpuh pada Kegagalan, Bab 18: Berubah itu Mungkin Mudah, Istiqamah itu yang Payah, Bab 20: Hidup adalah Sebuah Pilihan dan Bab 22: Semuanya Akan Berakhir’ merupakan antara bab yang paling hangat (daripada 37 bab secara keseluruhan) dan telah menaikkan semangat saya dalam menyedut tiap-tiap pengajaran bermakna melalui penceritaan yang santai dalam buku ini.

Lalu pengajaran-pengajaran yang diambil, InshaAllah akan saya praktikkan dalam kehidupan. Inilah yang baiknya dalam penulisan. Pengarang akan memperoleh manfaat apabila pembaca karya-karyanya mengamalkan kebaikan yang disebar.

Saya sering menulis catatan sendiri di tiap akhir sesebuah bab yang saya baca dan antaranya berbunyi, “Yakin atas segala-galanya, kerana Allah telah beri yang terbaik untuk hamba-Nya.”

Tahniah kepada sdr. Hami Asraff. Semoga beliau diberikan kebaikan yang melimpah kerana membahagiakan para pembaca dengan karya beliau yang terbaik ini. Semoga kita semua diberkati Ilahi. Aamiin.


Saya yang membaca dan ikhlas mengulasnya: HasniJamali @ HannaJohan (17.12.2015)

About Us

Bila terbitnya bicara, hati mula pasrah, untuk luahan terindah, segalanya diserah…Moga jiwa turut merasa, tentang hati yang mula bercerita.

Teguh pada kata hati, cekal pada kata akal…akan setia pada janji, untuk diri, dia dan semua. Moga ada sinar, pada setiap karya yang terlahir dari jiwa dan rasa. Hanya kerana DIA.

Titip kasih daripada teman blogger

Titip kasih daripada teman blogger
Tanda hati daripada Cik Amy Sense, tQ!!!

Gapaian CIta

Gapaian CIta

Impian Kan Terlaksana

Impian Kan Terlaksana
Barisan melakar cita

Pages