berkarya itu indah

berkarya itu indah

Wednesday, November 18, 2015

Ulasan Buku - Zombi Rumi

SATIRA MANIS DALAM ZOMBI RUMI.

Sememangnya saya amat bertuah dan tuah ini perlu saya syukuri sepenuh hati. Tahniah dan terima kasih kepada Haniff Yusoff kerana menghasilkan kumpulan cerpen Zombi Rumi ini. Saya akui kesungguhan penulisan Haniff Yusoff dalam apa-apa jua genre yang ditulis pasti akhirnya menimbulkan sebuah sedar yang menjentik nubari.

11 buah cerpen yang dihidangkan dalam naskhah berkulit kuning ini benar-benar bermanfaat untuk jiwa pembaca. Persembahan bahasa yang digunakan amat dekat dengan pembaca. Karyanya tidak berat tapi penuh azimat untuk diambil iktibar dalam menjalani kehidupan kini yang penuh mencabar.
Buku ini mula dibaca ketika saya dalam perjalanan pulang dari kampung - dalam tren KTM

Bayangkan sahaja sekarang ini kita masih lagi tidak putus-putus memperjuangkan isu bahasa Melayu sedangkan bahasa kebangsaan ini tidak perlu sepatutnya kita perjuangkan tetapi harus kita bangga menggunakannya kerana bahasa jiwa bangsa. Bahasa Melayu itu merupakan bahasa jati diri kita. Bahasa darah daging kita yang sejak awal lahir lagi itulah identiti kita.

Dan himpunan cerpen dalam Zombi Rumi banyak menyedarkan saya tentang kadang-kadang sebagai rakyat tanah air, saya juga terleka dalam memartabatkan bahasa dan budaya kita. Cerpen Zombi Rumi itu sendiri benar-benar mengajak kita kembali sedar dengan kepayahan Orang Tua yang saya anggapkan konotasi bagi pejuang-pejuang bahasa terdahulu yang bersungguh-sungguh meletakkan hak bahasa Melayu di tempat tertinggi di tanah lahir kita.

“Orang Tua. Ya, dialah selayaknya. Selama ini dia yang memperjuangkan juadah tradisi sehinggalah pada suatu ketika, dia diusir dari Lorong 152. Dialah yang mengajar saya menyediakan juadah tradisi. Kasihan, dia tiada dosa pada bangsa, tetapi kita semua yang berdosa. Mungkin inilah balasan Tuhan, semua yang menikmati makanan Barat di Lorong 152 menjadi Zombi Rumi.” (Zombi Rumi, hlm. 52)

Satira yang diperkenalkan Haniff Yusoff dalam buku ini amat manis sekali. Setiap jalan ceritanya menyentuh hati dan perlahan-lahan mengajak kita kembali berpaut kepada akar budaya dan bahasa. Ajakannya tidak secara paksa, tidak juga terburu-buru malah berlembut-lembut dalam tutur bahasanya.

Akar budaya dan bahasa Melayu ditampilkan penuh mantap dan berdaya dalam cerpen Naskhah Tok Lah, Seredup Belantara Cinta, Semoga Alam Tidak Mentertawakan Kita Lagi, Asar di Penghujung Tahun, Manusia Sekerat Ular Sekerat Belut, Anak Si Penjual Santan, Zombi Rumi, Dunia Baruku, Kongsi, Leluhur dan Jembalang Muncul di Perpustakaan Kampung Kami.

“Saya rasa jembalang tidak suka membaca buku. Jadi saya fikir kemunculan jembalang itu hanyalah konspirasi pihak-pihak tertentu yang mahu melihat ketamadunan bangsa kita mundur. Pertama mereka menjarakkan kita untuk mendekati gedung ilmu dan kedua mereka mengaut khazanah ilmu yang ada dalam perpustakaan ini. Usaha mereka berjaya dan kita yang ternganga!” (Jembalang Muncul di Perpustakaan Kampung Kami, hlm. 87)

Semoga petikan di atas tidak menjadi kenyataan dalam hidup kita! Jadi, dapatkan segera kumpulan cerpen ini dan bacalah bersungguh hati agar dapat mengamalkan manfaat yang dikarangkan penulis.

 Ulasan Oleh: Hanna Johan, 18.11.2015

No comments:

Post a Comment

Bicara madahmu mengerat ukhwah,...Terima kasih :)

About Us

Bila terbitnya bicara, hati mula pasrah, untuk luahan terindah, segalanya diserah…Moga jiwa turut merasa, tentang hati yang mula bercerita.

Teguh pada kata hati, cekal pada kata akal…akan setia pada janji, untuk diri, dia dan semua. Moga ada sinar, pada setiap karya yang terlahir dari jiwa dan rasa. Hanya kerana DIA.

Titip kasih daripada teman blogger

Titip kasih daripada teman blogger
Tanda hati daripada Cik Amy Sense, tQ!!!

Gapaian CIta

Gapaian CIta

Impian Kan Terlaksana

Impian Kan Terlaksana
Barisan melakar cita

Pages