berkarya itu indah

berkarya itu indah

Wednesday, November 18, 2015

Ulasan Buku - Orang Ketiga

SISI BAIK DAN BURUK ORANG KETIGA DALAM KARYA ORANG KETIGA.

Apabila lidah tersebut sahaja perkataan orang ketiga, pasti ada mulut-mulut lain yang beranggapan pelik. Sangkaan hairan dan gelisah menular dalam tiap-tiap jiwa masing-masing sama ada yang tahu dengan sendirinya atau mendengar dari perbualan orang lain.

 
Kehadiran ‘orang ketiga’ dalam sesuatu hubungan cukup cepat tertangkap dalam jiwa masyarakat bahawa suatu tragedi bakal berlaku hingga mampu melukakan hati banyak pihak. Begitu besarnya pengaruh perkataan ‘orang ketiga’ itu sehingga menjadi ketakutan kepada banyak hati. Terutamanya hati perempuan yang sememangnya diketahui lemah dan sensitif ini.

Jadi persoalannya, adakah orang ketiga yang terdapat dalam karya Orang Ketiga ini sama seperti tanggapan saya itu?

Tidak sama sekali! Maksud saya, Orang Ketiga ini telah banyak meninggalkan kesan buruk kepada banyak hati. Bukan sahaja melibatkan hati perempuan malah telah mengorbankan banyak hati termasuk hati watak-watak lelaki dalam novel ini.

 

“Hmm…dah! Dah dua orang cucu manja awak berkawan dengan benda haram jadah tu. Baguslah,” bisik Hajah Kalsom di cuping telinga Haji Ali. Haji Ali tergamam lagi. (hlm. 182)

“Awak masih pertahankan dia. Awak dah lupa? Motosikalnya lagikan dia jual. Ada dia hormatkan awak semasa dia nak jual motornya dulu? Sedangkan motor itu awak yang belikan untuknya. Terdesak saja, jual.” (hlm. 196)

Dua petikan di atas jelas menunjukkan siapakah watak orang ketiga dalam novel ini. Jelas sekali, tidak sedikit pun disebutkan oleh penulis tentang watak orang ketiga dalam karyanya. Namun, perwatakan dan gambaran sikap yang diberikan kepada watak Haji Ali ini begitu memperlihatkan bahawa beliaulah orang ketiga yang telah banyak merosakkan atur jalan hidup orang di sekelilingnya.

Haji Ali berkuasa atas keluarganya. Sikap beliau yang terlalu memanjakan anak lelaki dan cucu-cucunya sedikit sebanyak telah meninggalkan kesan negatif kepada persekitaran keluarga mereka.

Sifat manja ini memang paling bahaya kepada orang yang tidak tahu mensyukuri nikmat dunia yang telah Tuhan berikan kepada bahagian masing-masing. Hal ini kerana, manusia memang tidak mudah puas dengan apa2 yang mereka ada.

Tuduhan saya ini tepat mengena kepada watak Borhan (anak kepada Haji Ali) dan Jalal (cucu kepada Haji Ali). Borhan dan Jalal memang mendapat perhatian penuh daripada Haji Ali. Perhatian yang diberikan amat melampau sehingga kesalahan yang dilakukan oleh Borhan dan Jalal tetap dibela oleh Haji Ali sebagai sesuatu yang tidak apa-apa. Maka, takdir untuk Borhan dan Jalal akhirnya mengheret derita ramai orang di sekelilingnya.

Orang Ketiga tidak berlarutan dengan kisah sesal dan deritanya. Di sebalik konflik yang menggegar seluruh jiwa pembaca, terdapat babak menarik yang memberi tenang kepada hati pembaca. Sekurang-kurangnya masih ada sifat orang ketiga yang mententeramkan jiwa kita. Keseimbangan konflik antara orang ketiga dalam sesebuah keluarga ini saya sifatkan sebagai satu cubaan nilai murni yang ingin penulis tonjolkan kepada pembaca.

Watak Pak Su yang membantu Amran merupakan sifat orang ketiga yang begitu positif dan amat membahagiakan jiwa watak-watak protagonis yang lain. Amran merupakan salah seorang cucu Haji Ali yang dahulunya sempat dimanja Haji Ali hingga akhirnya membawa padah kepada Amran kerana tersalah pilih haluan. Amran telah merosakkan dirinya dengan dadah. Gara-gara terlalu dimanja dan selalu dimenangkan oleh Haji Ali, Amran sering berasa besar kepala.
 
Bapa Amran memilih Pak Su sebagai orang ketiga dalam keluarganya untuk menyembuhkan Amran daripada najis dadah. Berkat kesungguhan Amran sendiri yang selalu terasuh dengan sifat baik Pak Su menjadikan Amran berjaya memecahkan kesakitan dalam dirinya daripada kancah dadah. Pak Su amat sinonim dengan sifat tawaduk kepada Allah. Menjadikan beliau seorang yang penyayang dan sering mengingatkan Amran kepada amanah Allah. Begitulah sisi baik seorang ‘orang ketiga’ dalam novel ini yang membangkitkan hati agar tenang kembali selepas bergaduh dengan sisi ‘orang ketiga’ daripada watak Haji Ali.

Apakah yang akan terjadi selanjutnya kepada Haji Ali apabila anak dan cucu yang dibela mula meninggikan nafsu daripada akal mereka? Bagaimanakah nasib mereka sekeluarga yang setiap hari berhadapan dengan peristiwa yang menyakitkan hati ini?

Ulasan Oleh:
Hanna Johan, 15.11.2015

No comments:

Post a Comment

Bicara madahmu mengerat ukhwah,...Terima kasih :)

About Us

Bila terbitnya bicara, hati mula pasrah, untuk luahan terindah, segalanya diserah…Moga jiwa turut merasa, tentang hati yang mula bercerita.

Teguh pada kata hati, cekal pada kata akal…akan setia pada janji, untuk diri, dia dan semua. Moga ada sinar, pada setiap karya yang terlahir dari jiwa dan rasa. Hanya kerana DIA.

Titip kasih daripada teman blogger

Titip kasih daripada teman blogger
Tanda hati daripada Cik Amy Sense, tQ!!!

Gapaian CIta

Gapaian CIta

Impian Kan Terlaksana

Impian Kan Terlaksana
Barisan melakar cita

Pages