berkarya itu indah

berkarya itu indah

Thursday, December 22, 2011

SIRI BACAAN HANNA: Novel TERIMA KASIH CIKGU!

gambar ini diambil di google web jemariseni... maaf gambar tidak beberapa jelas.

SIRI BACAAN HANNA: NOVEL TERIMA KASIH CIKGU!

PENULIS: UMI AMIRA
PENERBITl: JS ADIWARNA TELADAN (JEMARI SENI)
HARGA: RM 14.00
MUKA SURAT: 161 HELAI

TERIMA KASIH CIKGU!

Ucapan ini biasa kita sebutkan kepada guru-guru yang kita sayang sewaktu di sekolah. Dahulunya ia sebuah ucapan keramat untuk dihulurkan. Ini kerana, ucapan terima kasih memerlukan rasa kasih yang tinggi yang lahirnya dari hati agar maknanya benar-benar sampai ke hati penerimanya.

Cikgu Habibah, sudah tidak larat menanggung beban. Kelas 2 Jauhari, terkenal benar dengan aksi ganas dan menyakitkan hati. Namun, tidaklah semua pelajarnya begitu. Hanya beberapa pelajar lelaki yang belum sedar diri untuk meraih masa hadapan yang bahagia.

Lalu ditampilkan watak seorang lagi guru perempuan untuk mendampingi Tingkatan 2 Jauhari. Kedatangan seorang guru perempuan, dari bandar telah merubah segalanya. CIKGU SALINA BINTI MOHAMAD FIKRI, menggalas tugas yang dahulunya terasa sebagai sebuah bebanan oleh Cikgu Habibah.

Menghadapi Luqman, Safuan, Hanafi dan Malek bukanlah hal yang mudah. Oleh sebab itu, Cikgu Salina telah menjadi seorang guru yang luar biasa:

‘Cikgu Salina sudah bersedia sedari di bilik guru lagi. Dia membaca doa penerang hati dan pendinding diri, memohon agar tugasan pertamanya pada hari ini akan berjalan dengan baik dan lancar.’ (2011: 23)

Petikan ini menampilkan bahawa sebuah perubahan yang terbaik bakal berlaku buat ‘Geng Samseng Sempoi’ ini. Cikgu Salina amat bersedia menghadapi segala helah dan bencana yang bakal menyerang dirinya suatu ketika nanti. Amalan doa dan keyakinan kepada Allah amat dititikberatkan setelah dia berusaha menangganinya secara psikologi.

Pandangan saya, novel ini jalan ceritanya klise sekali. Ini kerana, sudah banyak cerita begini sama ada di tulis atau ditayangkan di televisyen sebagai drama tanpa siri atau drama bersiri. Namun, di sebalik yang tersurat ingin saya kongsikan di sini beberapa keistimewaan/ hal-hal tersirat dalam kisah ini.

KEISTIMEWAAN NOVEL TERIMA KASIH, CIKGU!:

  1. Jalan cerita yang mudah hadam. Gaya bahasa yang mudah dan seronok diikuti tanpa terganggu dengan apa-apa jua ketidakfahaman ayat.

  1. Banyak pesanan dan amanat yang meninggalkan kesan mendalam dalam hati saya sebagai pembaca. Antaranya;
-Pesan yang amat menyentuh hati daripada ayah Luqman kepada Luqman. Ketika ini Luqman sedang imbas kembali pesanan ayahnya:

“Luqman, kita ini orang miskin. Tapi, kita tidak boleh miskin ilmu. Selagi ayah hidup, ayah akan pastikan anak-anak ayah mendapat pendidikan yang secukupnya. Ayah tak nak Luqman jadi macam ayah, buta huruf dan langsung tidak berpendidikan. Berjanji ya, nak…” terngiang lagi di telinga Luqman akan kata-kata arwah ayahnya itu.” (2011: 44)

-Ini pula sketsa antara Cikgu Salina dengan Mak kepada Luqman yang amat baik hati. Berhati murni mahu membantu Luqman dengan ikhlas hatinya:

“Makcik, arwah Encik Alias sangat menginginkan Luqman untuk meneruskan pembelajarannya sehingga ke peringkat tertinggi. Ini adalah satu wasiat yang sangat murni. Jadi izinkan saya untuk membantu Luqman dan merealisasikan wasiat arwah. Saya benar-benar ikhlas, makcik.” Cikgu Salina menyambung kata-katanya. (2011: 51)

-Pak Anuar ialah bapa saudara Cikgu Salina, turut berbesar hati dan murah hati membantu Makcik Salmah (emak Luqman) dengan menghulurkan wang sebagai pengurang beban perbelanjaan. Sikap ini harus dicontohi kita semua:

“Ambillah. Anak-anak kami semuanya sudah besar panjang dan berkeluarga. Tiap-tiap bulan juga mereka kirim wang kepada kami di sini. Anak-anak bongsu kami iaitu Dania Qistina pula bersekolah menggunakan duit biasiswa JPA. Jadi, untuk apa kami simpan duit banyak-banyak tanpa bersedekah? Lagipun kamu lebih memerlukannya, Salmah. Ambillah.” Pak Anuar tetap berkeras meminta Makcik Salmah menerima sumbangan ikhlas daripada dia dan isterinya. Akhirnya Makcik Salmah akur.” (2011: 60)

-Bacaan disua pula dengan hidangan kata-kata motivasi daripada watak seorang ustaz. Nasihat ini berkaitan ilmu yang harus dituntut untuk bekalan dan mengelakkan kita jauh tersesat:

“Tuntutlah ilmu hingga ke liang lahad. Ingatlah, tanpa ilmu kita akan mudah tersesat dan terjerumus ke dalam kencah maksiat dan kekufuran yang nyata.” Ustaz Syawaluddin menyatakan. (2011: 67)

-Ketika ini Luqman sudah mula sedar dengan sikapnya yang nakal. Luqman diajak oleh rakan-rakannya berbuat jahat, namun dengan kesedaran yang sudah mula terbit dalam dirinya, Luqman mengajak mereka kepada kebaikan:

“Kawan-kawan, saya tidak mahu kita semua ketinggalan dalam pelajaran. Sudahlah, yang buruk kita jadikan sempadan, yang baik kita jadikan teladan. Apa-apa pun, kamu bertiga tetap sahabat saya dunia akhirat.” Luqman memujuk rakan-rakannya. (2011: 81)

“Oleh itu, kita semua wajib bersikap rajin dan berusaha lebih daripada apa yang sedang kita lakukan sekarang. Masa itu emas, dan kita tidak boleh berlengah walau seminit pun.” Luqman menyatakan. (2011: 87)

“Mana boleh, saya masih ingat kata-kata Ustaz Syawaluddin, bangun malam dan beribadah adalah perkara yang paling afdal. Dan mengulang kaji itu juga satu ibadah, bukan?” Malek sudah pandai berdebat menggunakan hujah yang bernas. (2011: 87)

“Mak tak pernah putus-putus mendoakan kamu, nak. Supaya sentiasa Berjaya dalam pelajaran, supaya dapat tunaikan impian arwah ayah kamu.” Makcik Salmah berkata dalam nada yang sedikit sebak. (2011: 108)

Begitulah kisah ini berakhir. Berjaya dan selesai dengan aman. Anak-anak murid yang dahulunya nakal kini berubah menjadi manusia yang sedar diri dan tanggungjawab. Penghargaan buat Cikgu Salina, sentiasa terkenang dalam hati dan nubari.





2 comments:

  1. Saudari bukan sahaja rajin membaca, rajin juga mencatat. Tahniah!

    ReplyDelete
  2. Alhamdulillah, sambil membaca dan mencatat apa2 yang dibaca, akan dapat manfaat pembacaan dikongsi bersama-sama rakan yang lain. InsyaAllah :)

    Terima kasih.

    ReplyDelete

Bicara madahmu mengerat ukhwah,...Terima kasih :)

About Us

Bila terbitnya bicara, hati mula pasrah, untuk luahan terindah, segalanya diserah…Moga jiwa turut merasa, tentang hati yang mula bercerita.

Teguh pada kata hati, cekal pada kata akal…akan setia pada janji, untuk diri, dia dan semua. Moga ada sinar, pada setiap karya yang terlahir dari jiwa dan rasa. Hanya kerana DIA.

Titip kasih daripada teman blogger

Titip kasih daripada teman blogger
Tanda hati daripada Cik Amy Sense, tQ!!!

Gapaian CIta

Gapaian CIta

Impian Kan Terlaksana

Impian Kan Terlaksana
Barisan melakar cita

Pages