BERULANG kali saya
keluar dan masuk ke kedai Borders di Berjaya Times Square setelah ternampak
buku ini. Pada awalnya berfikir-fikir hendak beli atau tidak. Pada masa itu
kewangan saya begitu terhad. RM 25 harga buku ini rasanya terlalu mahal. Kebetulan
pula buku ini berbalut plastik, tak boleh nak belek-belek isi dalam.
Kadang-kadang saya ni
pemilih juga. Saya mudah tertarik kepada rekaan kulit buku, kemudian judulnya,
saya akan baca pula sinopsis atau teks pendek yang menggambarkan buku ini di
kulit belakang buku dan jika boleh dibelek (buku bebas daripada balutan
plastik) saya akan belek untuk melihat aturan hurufnya. Jika sudah puas, baru
saya beli. Cerewetnya... hehe.
Dan seperti ada auranya
tersendiri, akhirnya saya masuk kembali ke kedai dan membeli buku ini. Nekad
untuk pakai duit yang ditujukan untuk membeli barangan lain. Dan buku ini
akhirnya dibawa pulang ke rumah dengan selamatnya. Kejadian ini berlaku pada 24
Mei 2015. Setelah membelinya, buku ini disusun cantik di rak buku. Menanti giliran
untuk dibaca. Biasalah, adat saya membeli buku... beli dulu, kumpul dan barulah
membacanya perlahan-lahan ikut giliran. Hehe.
Okey, nak cerita tentang
Telegraf Cinta USD (saya memang mudah
jatuh hati jika ada karya yang diletakkan perkataan Cinta dalam judulnya) ... karya
ini hasil tulisan seorang Pengarang bernama Hami Asraff. Ya, saya akui bahasa
yang digunakan dalam karya ini amat mudah untuk dihadam. Banyak pertanyaan saya
tentang hidup terjawab dalam tiap bab yang disusun seperti mengikut kronologi
perjalanan hidup. Bermula dengan kelahiran dan berakhir dengan pemergian.

Topik-topik yang beliau
kupas diberikan judul-judul menarik sebagai permulaan rasa ingin tahu saya
untuk membaca kisahnya dengan lebih lanjut. Contohnya dalam ‘Bab 13: Kita Melihat
yang Banyak, Kita Terlupa yang Sedikit’. Bab ini menegaskan tentang sikap
manusia yang selalu menangguhkan sesuatu pekerjaan. Nak tunggu banyak dahulu
baru nak buat. Mana boleh macam tu kan!
‘Bab 15: Jangan Lumpuh
pada Kegagalan, Bab 18: Berubah itu Mungkin Mudah, Istiqamah itu yang Payah,
Bab 20: Hidup adalah Sebuah Pilihan dan Bab 22: Semuanya Akan Berakhir’
merupakan antara bab yang paling hangat (daripada 37 bab secara keseluruhan) dan
telah menaikkan semangat saya dalam menyedut tiap-tiap pengajaran bermakna
melalui penceritaan yang santai dalam buku ini.
Lalu
pengajaran-pengajaran yang diambil, InshaAllah akan saya praktikkan dalam
kehidupan. Inilah yang baiknya dalam penulisan. Pengarang akan memperoleh
manfaat apabila pembaca karya-karyanya mengamalkan kebaikan yang disebar.
Saya sering menulis
catatan sendiri di tiap akhir sesebuah bab yang saya baca dan antaranya
berbunyi, “Yakin atas segala-galanya,
kerana Allah telah beri yang terbaik untuk hamba-Nya.”
Tahniah kepada sdr. Hami
Asraff. Semoga beliau diberikan kebaikan yang melimpah kerana membahagiakan para
pembaca dengan karya beliau yang terbaik ini. Semoga kita semua diberkati
Ilahi. Aamiin.
Saya yang membaca dan ikhlas mengulasnya: HasniJamali @ HannaJohan (17.12.2015)