berkarya itu indah

berkarya itu indah

Thursday, February 2, 2012

RIWAYAT JANUARIKU


JANUARI 2012 sudah pun berlalu. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar. Walau pun kadang kala banyak ujian yang melanda jiwa terpaksa ditanggung hati. Lumrah, kehidupan yang tidak lekang disunting oleh Allah dengan pelbagai ujian dan harapan.

Sengaja aku ingin tulis di sini tentang beberapa hal yang masih indah terletak dalam ingatan. PERTAMANYA, pada bulan Januari 2012, hanya 2 karya aku tersiar. Dua-dua karya ini berbentuk Puisi Moden iaitu Sajak. Sajak pertama tersiar di majalah Mingguan Wanita, judulnya KASIH BUAT KANDA. Kedua, sajak berjudul TIGA HARI DUA PAGI tersiar di akhbar Harakah. Alhamdulillah, kedua-dua sajak ini amat memberi makna buat aku. Dan aku harap, pembaca yang sempat singgah di halaman sajak-sajak aku ini juga mendapat makna yang sama. InsyaAllah.

SETERUSNYA, bulan Januari permulaan aku sebagai Pembantu Pengurus (ewah!) di Zainal Minhat Computer System. Lokasinya di Labis, Johor. Memandangkan cawangan di Labis ini hanya ada aku dan Bos, jadi Bos ialah Pengurus dan aku ialah Pembantu Pengurus. Tidaklah segah mana nama jawatan ini, tetapi ia cukup penting bagi meningkatkan keyakinan diri ketika bertugas. Aku tidak pernah memandang remeh terhadap setiap kerja yang pernah dan sekarang aku lakukan. Kerana walau apa jua pekerjaan yang berjaya ada dalam diari hidup aku, semua pekerjaan ini adalah ilmu yang memberi berjuta makna dalam hidup. Menjadi Pembantu di ZMCS ini tugas aku ialah menjaga kafe siber dan menguruskan pelbagai ragam. Bermula daripada ragam pelanggan hinggalah ragam mesin dan teknologi. Dahulu aku dicop sebagai budak sastera, sekarang ni aku digelar budak siber. haha... layak ke aku digelar budak siber?

SIBER CAFE CANTIK DARI GOOGLE.
Di ZMCS ini, sekurangnya aku dapat membantu orang-orang luar bandar yang tidak pandai menggunakan teknologi dengan cekap. Kemahiran yang ada ini, Alhamdulillah membantu mereka. Kadang-kala bukan adik-adik atau mak cik- pak cik sahaja yang tak tahu tentang dunia siber, malah guru-guru yang sifatnya pendidik pun kurang mahir dalam bab siber dan komputer ini. Dan takdir membawa aku ke sini, insyaAllah membantu mereka yang memerlukan sebaiknya. Dan aku juga dapat belajar banyak kemahiran berkaitan komputer, memformat komputer, notebook/ laptop dan netbook, install pelbagai progam dan berhadapan dengan mesin pencetak (printer) yang pelbagai jenis. Dah tahu lah sikit-sikit, kalau ada mesin-mesin yang hang atau 'buat hal', aku lah mekaniknya. hehe.... buka sana, pasang sini... wah, mekanik siber kot aku sekarang ni? :)

Alhamdulillah, tentang hal yang paling aku suka dapat bantu masyarakat di sini ketika tugasan menaip surat, penghantaran email dan tempahan kad undangan perkahwinan. Macam-macam surat aku jumpa untuk diminta aku menaipnya. Selain surat, segala hal kerja di sekolah beberapa orang guru pun aku yang kena buat. Surat-surat perjanjian syarikat-syarikat pun aku juga kena taip dan semalam aku kena taip sepucuk laporan polis terhadap pembelotan seorang rakan kongsi niaga. Hmm, sambil menyelam minum air. Kebanyakkan pelanggan ini ramah-ramah orangnya. Jadi tanpa aku minta, mereka akan mula bercerita hal sebab musabab kejadian yang berlaku kepada mereka hingga tercetusnya sebab perlu tulis surat. Seronok dengar cerita mereka, yang baik jadikan tauladan dan yang tidak baik jadikan ingatan.

Mahu cerita tentang pekerjaan banyak. Lain kali sambung lagi.

SETERUSNYA, kisah aku sebagai GURU MENGAJI. Memang suatu perkara yang tidak terduga. Sekarang ini hampir sebulan aku jadi Guru Mengaji kepada anak buahku. Putera Sulung dan Putera Bongsu yang suatu ketika pernah aku ceritakan mereka kehilangan ibunda tercinta pada tahun 2010. Bagaimana boleh terjadinya kes 'bidan terjun' ini kepada aku? Hmm... pada awalnya aku tak sanggup untuk pikul tanggungjawab ini. Sebab aku bukanlah ustazah atau guru mengaji yang layak untuk mereka. Atas kekangan daripada pihak keluarga Putera Sulung dan adiknya, susah benar untuk dapatkan guru mengaji bagi mereka. Aku hanya berdiam sahaja ketika mendengar keluargaku dan keluarga Putera Sulung berbincang hal ini. Entah mengapa, seorang guru mengaji yang pernah ajar aku dan adik2 aku dahulu undur diri tak mahu ajar mereka. Dan, ibuku buka cadangan untuk aku ajar mereka.

INDAHNYA, :) foto daripada Pak Google.
Terasa berat sekali. Bukan mudah untuk ajar mereka, walaupun hanya Muqadam. Aku sayu lihat wajah Putera Sulung yang kini berusia 5 tahun dan Putera Bongsu akan berusia 2 tahun bulan Mac ini. Putera Sulung yang dah pandai bercakap asyik tanya aku, bila nak mula mengaji. Atas rasa empati, aku turutkan permintaan ibu.

Dan sejak malam pertama aku ajarkan Putera Sulung mengaji, sejak itu 2 malam berturut-turut aku mimpikan arwah kakak sepupuku (ibunda dua anak kecil ini) itu. Wajahnya tersenyum, berseri-seri dan langsung tidak bersuara. Hanya memandang aku dengan senyum yang manis. Dalam mimpi itu, aku menangis dan sayu. Mungkin, ini hikmah yang Allah tunjukkan kepadaku. Walaupun aku tidak dapat jadi seorang guru seperti yang diharapkan arwah nenda, aku menjadi 'guru tidak bertauliah' kepada dua orang anak yatim ini. (Sedih pula). Semoga ajaran aku diberkati selalu oleh Allah, dan mereka akan jadi anak yang soleh dan selalu mendoakan arwah ibunda mereka di Sana. Amin.

SETERUSNYA, InsyaAllah dalam beberapa bulan atau minggu lagi sebuah karya sulungku secara solo akan lahir di bawah terbitan Buku Prima. Gembira sangat dengan berita ini. Semoga semua karyaku akan diterima penerbit dan dapat diterbitkan dengan lancar dan selesa. Amin.





Yang SEDIH sepanjang Januari ini pun ada. Tapi aku tak suka cerita hal2 sedih. Cukuplah aku nyatakan, 1 Hal yang BESAR, pada bulan ini... dan dekat-dekat dengan hari kelahiranku. Aku telah hilang sebuah perhubungan kasih atau kiranya lagi senang nak sebut... Patah Hati. Sedih!


RUMUSAN: Semoga selepas ini Allah hadiahkan aku sebuah perhubungan yang benar-benar. Semoga selepas ini aku akan dipertemukan dengan jodoh yang mampu menghargai kehadiran aku dalam hidup kami, dan saling sayang menyayangi hingga ke akhir hayat. Amin.

Dalam kehidupan, memang banyak ranjau. Semoga aku dapat jadi yang terbaik dan membantu masyarakat dalam apa jua bidang yang baik-baik, dan BULAN-BULAN yang mendatang menghamparkan sejuta kemurahan rezeki buatku. Amin.

Sekian, selamat datang FEBRUARI. :) cik HJ.

2 comments:

  1. Tahniah. Dugaan itu adalah ujian. Moga terus bersabar dan tenang mengharunginya.

    Teruskan memartabatkan seni penulisan.

    ReplyDelete
  2. Terima kasih Sdr,

    tidak putus-putus mendoakan sabar buat saya, InsyaAllah semoga saya doakan sdr sebagai seorang lelaki yang tidak akan menghampakan pasangan suatu hari nanti. Amin.

    Terima kasih. Sama-sama kita martabatkan indusrti seni ini.

    ReplyDelete

Bicara madahmu mengerat ukhwah,...Terima kasih :)

About Us

Bila terbitnya bicara, hati mula pasrah, untuk luahan terindah, segalanya diserah…Moga jiwa turut merasa, tentang hati yang mula bercerita.

Teguh pada kata hati, cekal pada kata akal…akan setia pada janji, untuk diri, dia dan semua. Moga ada sinar, pada setiap karya yang terlahir dari jiwa dan rasa. Hanya kerana DIA.

Titip kasih daripada teman blogger

Titip kasih daripada teman blogger
Tanda hati daripada Cik Amy Sense, tQ!!!

Gapaian CIta

Gapaian CIta

Impian Kan Terlaksana

Impian Kan Terlaksana
Barisan melakar cita

Pages