berkarya itu indah

berkarya itu indah

Sunday, August 24, 2014

Bingkisan Dari Hati


Sajak ini saya muatkan juga di FB: Hanna Johan


Ketika Mereka Pulang
(Doa untuk MH17 dan MH370).
  
Di dalam dada
ribuan rindu bertakung
memandang langit yang mendung
mengiring pulang sejahtera
jiwa-jiwa sanjung
titipan doa mekar berlangsung
segera bersambut dari bibir ke jantung.

Ketika mereka pulang
kita berpesan kasih dan sayang
memegang erat tangan-tangan
membuang jauh persengketaan
mendakap rapat perpaduan
seluruh warga menadah harapan
agar terurai tiap persoalan.

Atas jutaan cinta
kita teguh bersama
mengusir air mata lara
kembali segar bercahaya
berpaut juang cita-cita
melestarikan amanah yang dibina.
 

Oleh Hasni Jamali
DBP, Kuala Lumpur.

Meng'kecoh'kan Karya Sendiri

Majalah Kembara Ustaz Jilid 18 menampilkan karya saya di dalamnya....
Karya DENGAN SOLAT AKU BERJAYA mengisi ruang cerpen dalam majalah Kembara Ustaz Jilid ke-18...


Antara watak utama dalam cerpen Diari Si Jantung Hati yang tersiar dalam majalah Mingguan Wanita.

Cerpen Diari Si Jantung Hati, mengisi nurani hati.

Sajak SEBATANG PEN DAN SEKUNTUM BUNGA menghiasi ruang akhbar Mingguan Warta Perdana.

Wednesday, August 20, 2014

Pencarian dalam Sebuah Kembara



Dalam hidup ini, apakah yang lebih indah selain daripada kita dapat mencapai keinginan yang tertanam jauh di lubuk hati?

Salah satu keinginan saya ialah mengembara. Saya gemar mengembara / merantau / bermusafir. Mungkin antara tiga perkataan itu mempunyai makna yang berlainan. Namun, di akhir keinginannya pasti ada satu persamaan. Mencari pengalaman, mencari maksud hidup atau mencari ketenangan. Lingkungan ‘pencarian’ yang tidak akan pernah habis.

Begitulah... hidup yang penuh dengan pencarian. Terkadang sesuatu maksud itu jelas kelihatan di hadapan mata, tetapi tuhan mahu kita mengenal-Nya dengan lebih dalam lagi. Tuhan hantar kita mengembara, menjadi perantau dan bermusafir untuk kita tahu indahnya menemukan maksud pencarian.

Buat masa ini saya gemar mengembara di tempat dekat2 sahaja. Iyalah, mahu mengembara jauh2 saya tidak punya keberanian lagi. Tahap keyakinan untuk mengembara bersendirian masih rendah. Memikirkan pelbagai faktor keselamatan, seeloknya pergilah ke mana-mana berteman. Sekurang-kurangnya jika ada kecemasan tidaklah panik dan masih ada tempat untuk bekerjasama menyelesaikan sesuatu masalah. Walau apa pun kebergantungan kita kepada tuhan adalah utama. Apa2 jua yang berlaku telah ada dalam rencana-Nya.

Merenung senja yang ditinggalkan di Perhentian KTM Segamat.

Saya ceritakan sedikit pengalaman kembara dekat2 saya ini antaranya perjalanan dari Kuala Lumpur ke Labis. Menaiki kereta api. Itulah rutin yang paling saya suka. Jika tiada tiket kereta api, saya akan pulang ke desa dengan bas. Mengembara dengan kedua-dua kenderaan awam ini berbeza keseronokkannya.

Antara permandangan indah yang saya tangkap gambarnya dari dalam jendela kereta api. Subhanallah, cantik.

Saya lebih selesa dengan kereta api. Pertama kerana sepanjang perjalanan tidak bosan. Jika mahu buang air ada tempat selesa disediakan. Boleh makan2 bekalan nasi dan lauk2 dengan selesa. Tidak risau bekalan makanan tumpah kerana kawasan duduknya sedikit luas dan ada tempat meletak makanan khas disediakan. Suasana di dalam kereta api ini sentiasa terang. Jadi bolehlah kita membaca sepanjang perjalanan dengan selesa. Saya suka membaca di dalam kereta api. Terkadang boleh habis satu buku nipis atau komik dalam satu perjalanan. Jika berasa letih, bolehlah meregangkan otot, berjalan-jalan ke gerabak lain. Atau sahaja duduk2 santai di sela2 antara dua gerabak. Namun, pastikan keselamatan diutamakan. Jangan sesekali membuka pintu utama ketika kereta api sedang bergerak.

gambar pohon pisang yang masih kecil, dikelilingi bunga-bunga ungu... pandangan cantik singgah jatuh dalam hati. :)

Yang paling indah, pandangan di luar jendela. Seringkali terhidang pandangan alam hijau, rumah2 kampung, sungai-sungai dan deretan kenderaan yang beratur di luar palang laluan jalan raya menghala ke laluan kereta api.

Sementara menanti ayah datang bawa saya pulang, kita 'selfie' sebentar dengan badan / gerabak kereta api... KTM Labis. :)

Terkadang, jika bertuah ada sahaja dapatan ilham tercetus dari dalam kereta api. Melalui orang-orangnya mahu pun suasananya sendiri. Indah!

Thursday, August 14, 2014

Dahulu Aku Tukang Cuci



Ini antara entri pertama ditulis selepas enam bulan saya menyepi. Bukanlah menyepi kerana tak mahu menulis. Tetapi menyepi kerana terlalu sibuk dengan tugasan pekerjaan. Dan sekarang, saya kembali menulis. Adakah disebabkan saya tidak sibuk? Tidak juga... sibuk masih tetap sibuk seperti biasa. Cuma kali ini saya berhajat untuk mula menulis kembali di blog. Biarpun saya sendiri yang membaca, atau ada penulis blog lain yang datang singgah dan membaca... biarlah tulisan saya nanti menjadi tulisan yang bermanfaat.

 
pinjam gambar dari google

Cerita pertama saya hari ini ialah... di pejabat saya, ada seorang tukang cuci baharu. Tukan cuci di pejabat saya memang silih berganti. Bergantung kepada susunan jadual pihak mereka atau pun kerana tukang cuci lama yang merupakan 80% warga asing, dihantar pulang setelah pas pekerjaan mereka tamat. Lalu bergantilah tukang cuci baharu.

Kali ini tukang cuci di pejabat saya ialah seorang mak cik. Usianya mencecah 63 tahun. Dia bilang dahulu dia berkhidmat sebagai tukang cuci di balai polis. Tapi kerana sudah tamat tempoh umur berkhidmat, mak cik tu pun pencen. Adat sudah terbiasa bekerja, mak cik tak reti duduk diam... berusaha mencari kerja. Akhirnya mak cik ini mendapat pekerjaan sebagai tukang cuci. Itulah pekerjaannya dari dahulu hingga kini. Dia amat suka dengan pekerjaannya.

Mulai saat itu, mak cik pun bekerjalah di tempat saya. Pada awal hari melihat dia masuk ke dalam pejabat kami....tiba2 sayu je rasa hati saya. Iyelah mak cik seusia 63 tahun itu masih gagah. Cekap membuat kerja. Melihatnya mengingatkan saya ketika pengalaman bekerja sebagai tukang cuci dahulu. Pada waktu itu saya baru habis SPM. Sempatlah menjadi tukang cuci sebagai pekerjaan sementara.

Bukan mudah pekerjaan ini. Lebih-lebih lagi apabila tugasan saya ini melibatkan kawasan Pusat Kesihatan. Jika ditugaskan di kawasan Kecemasan, hadaplah saya dengan darah2 daripada luka orang kemalangan, berjejeran darah2 mereka dan saya hadir sebagai tukang mop. Wow, baru saya tahu ketika itu bahawa saya ini seorang penggeli. Sesekali terdengar erangan pesakit ketika lukanya dicuci oleh Pembantu Perubatan. Wah, ngeri melihat lutut terkoyak dan berdarah....

Paling berat mata memandang kepada mak cik tadi apabila kudrat pikunnya memerlukan dia membuat tugasan vacum kawasan pejabat, cuci tandas dan mengambil serta membuang sampah-sampah. Bukan itu sahaja, mak cik ini perlu membersihkan tiga tingkat. Kiranya mak cik ini mak cik kawasan lah ni.

Tapi, hari ini setelah seminggu mak cik tak datang, saya pula jadi risau. Apabila terpandang tukang cuci baharu, saya cuba tanyakan khabar mak cik itu. Oh, rupanya mak cik itu sudah ditukarkan ke tingkat lain. Sekarang dia hanya jaga 2 tempat sahaja. Berbanding dahulu 3 tingkat. Menurut tukang cuci senior, mak cik tidak larat untuk naik turun 3 tingkat. Jadi pihak mereka memberikan mak cik 2 tingkat sahaja.

Biar di mana mak cik berada, doa saya agar mak cik sihat selalu. Dan moga mak cik bahagia dan dilindungi Allah. Amin.

Friday, February 21, 2014

KETIKA EMAK MEMBACA KARYA SAYA






Judulnya APABILA KEMBALI NANTI. Saya tuliskan kisah ini ketika benar-benar terasa insaf dengan kelemahan hati, apabila ditimpa duka sering sahaja saya layan perasaan sedih. Banyak buang masa duk fikir hal2 yang tak sepatutnya saya fikir ini. Layan perasaan sedih, emosi pilu... argh! satu kesakitan luar biasa yang boleh merubah manusia jadi seperti patung tanpa perasaan yang asyik termenung.

Saya gubah karya ini dalam bentuk karya kreatif. Iyelah, nak tulis betul2 nanti mesti tak ada orang nak baca. Menyampah lagi ada lah, kot!? hehe...

Perenggan pertama sahaja, sudah dimulakan dengan doa. Sewaktu emak mula membaca karya ini, kata emak yang masih saya dengarkan, "Eh, macam tahu saja kisah ni!" Teruja emak menyebutnya.

Kata saya, "habiskan baca dulu. Nanti baru tau betul atau tak." 

Emak kata cerita ini tak sama dengan kejadian yang berlaku pada saya. Alhamdulillah emak faham karya ini, dan moga2 pembaca yang lain turut faham alur cerita ini sebenarnya, ya. Amin. 

Bukan senang mahu pancing emak membaca karya2 saya. Terkadang saya pula yang malu nak bagi emak baca. Hehe...

Terima kasih emak, sentiasa menyokong penulisan saya! 

CABARAN SEBAGAI PENULIS.


MERAIH KESYUKURAN.

Salah satu cabaran ketika menulis ialah kekeringan idea. Sedang syok menaip tiba-tiba ada batu penghalang yang sedang datang menerjah otak. Akhirnya kecundang di tengah jalan. Ada penulisan yang terbengkalai atau ada juga penulisan yang langsung tidak dipandang sampai bila-bila oleh penulis sendiri.

Namun, cabaran paling besar seagai Penulis adalah keyakinan untuk dirinya mengamalkan yang baik-baik sama seperti yang dituliskan untuk dibaca oleh penggemar buku-buku yang berunsur motivasi atau pembina semangat. Hmm...! Betul tak? Betullah tu...

Sebab, apabila kita menulis, kita sendiri akan bertanya kepada diri? kita mahu yang terbaik untuk pembaca, tetapi adakah kita akan berlaku adil kepada diri sendiri dan pembaca sekiranya kita tidak mengamalkan yang baik-baik seperti yang kita tulis untuk kebaikan bersama? 

Jadi, harus dan wajiblah untuk kita amalkan hal yang baik-baik sebagai contoh kepada diri sendiri dan juga karya yang ditulis. InsyaAllah, jika bersungguh hati, pasti akan berjaya! Berjaya di dunia dan di akhirat. InsyaAllah.


INSPIRASI KETIKA BERKARYA




 DUA KATA DERITA CINTA. 

Seingat saya sajak ini telah dihantar pada 2013 lagi. Alhamdulillah, penerbitnya masih ingin memilih dan menyiarkannya di akhbar Media Terkini pada keluaran 15 Februari 2014. Syukur.

Ketika menulis sajak ini, mungkin sahaja saya sedang dilanda kecewa dengan cinta sesama manusia. Sungguh pilu apabila terluka. Apabila dihitung-hitung seperti terlalu banyak karya saya yang ditulis akibat kesan daripada kecewa.

Ya, terkadang kelukaan itu dapat menyuntik suatu perasaan yang benar-benar menginspirasikan saya untuk menulis. Mungkin ada juga penulis yang lain berasakan yang sama?

Pada akhirnya nanti, kita sering mengharapkan dan berdoa agar bahagia meniti perjalanan waktu hidup yang singkat ini. InsyaAllah.






Friday, December 27, 2013

Bercinta Dalam Radio...

Sedikit perkongsian... skrip drama radio saya.

Alhamdulillah. Eh, bukan bercinta dengan orang... tapi bercinta dengan karya-karya penulisan. :)
 
Mahu dijadikan cerita, dalam bulan November lepas saya mendapat panggilan telefon daripada Penerbit Drama Radio Nasional.fm,
 
Bayangkan betapa gembiranya! Selepas sahaja saya menyatakan niat untuk menulis kembali (selepas keluar dari kepompong duka cinta orang tak setia), Allah terus makbulkan doa-doa saya. Alhamdulillah.
 
Penerbit menyampaikan berita gembira, "Skrip drama radio cik Hasni berjudul Kerana Sayang akan diterbitkan dan saya memerlukan penyata bank cik serta salinan I/c untuk urusan pembayaran"
 
Rasa nak pengsan! Teruja dan sujud syukur pada Allah.
 
Pada 8 Disember 2013, jam 12.30 tengah hari Skrip Drama Radio pertama saya disiarkan. Saya, emak, dan ayah mendengarnya di tepi radio. Yang terlebih bahagia, pastilah saya apabila ayah datang memberi ulasannya, emak pula teruja mendengar setiap babak yang penuh aksi, kemudian mak cik yang tinggal di kampung menelefon dan memuji serta menyatakan jalan ceritanya itu dan ini. Syukur sangat.
 
Ramai juga kawan-kawan yang memberi ulasan yang baik tentang drama ini. Namun, ada juga yang memberi kritikan yang membina untuk saya menambah baik lagi karya seterusnya. InsyaAllah.
 
*Skrip Drama Radio KERANA SAYANG, pemula kasih sayang yang penuh makna. InsyaAllah. :)

Menulis lagi, ke?

Salam bahagia,
 
Dahulu sewaktu saya diuji dengan kelukaan hati oleh insan yang saya sayang, sangat lama saya menyepi daripada menulis. Hasutan jahat memakan diri. Lama juga tempoh untuk saya bangkit kembali. huh! kalau nak ikutkan dahulu-dahulu sewaktu sedang berduka, laju saja idea mengalir. Namun, sejak usia meningkat ni... kesan kelukaan yang sama rasanya tidak sama seperti dahulu. Yang kali ini terlalu pahit dan perit hingga menjejaskan mood, kesihatan dan perlu bantuan kuat untuk pulihkan emosi kembali. Alhamdulillah, semuanya lancar dengan adanya bahu insan-insan yang faham erti kasih sayang sebenar. Syukur, ibu bapa adik-adik... sahabat yang baik, membantu memberi semangat. Dan paling besar ialah... apabila kita sendiri sedar untuk dekat dengan Allah seperti membaca al-Quran dan maksudnya serta melakukan perkara2 yang Allah suka. Nikmatnya beribadah.
 
Selepas itu...
 
Allah hadirkan kembali semangat untuk saya menulis. Mana boleh tidak! Yang dah lama ditinggalkan ini, amat payah untuk dimulakan ya. Mujur saya sedar awal. Sekiranya lewat sedar, mahu dua tiga bulan termenung baru dapat tulis satu perkataan sebagai pemula. Alhamdulillah... rezeki dari Allah. :)
 
 
Cerita pendek berjudul NIKMAT BERBUDI, November 2013

Buku/Novel BERKELANA karya Pak Hashim Zabidi. Tahun lalu saya menjadi Editor Sambilan dan inilah hasil suntingan saya. Alhamdulillah.

Karya Kritikan Sastera berjudul MENCARI MAKNA: HARGA SEBUAH MARUAH di Dewan Sastera, Disember 2013
 
Cerita Pendek MENEMUKAN CINTA, wiwit... di majalah Kembara Ustaz jilid 11.
 

Dua buah sajak yang tersiar, satunya berjudul GERABAK M2, KTM LABIS-SENTRAL KUALA LUMPUR, yang tersiar pada November 2013


Alhamdulillah... sambil-sambil menulis, selalu juga berdoa agar Allah berikan saya seseorang tersayang (suami) yang faham minat saya ini. Menulis kerana Allah. InsyaAllah, amin.


Di mana saya?

Assalamualaikum
 
salam sejahtera kepada semua pembaca yang masih sudi mengikuti perkembangan saya yang semakin mengembang ini. Aduh!
 
Di manakah saya?
 
ada yang sudi bertanya... dan memohon agar saya meletakkan kehadiran baik/buruk saya di sini. InsyaAllah moga semuanya baik-baik sahaja. Amin. :)
 
Alhamdulillah,
Berada dalam unit pameran (di DBP) ini sesungguhnya memerlukan banyak masa berada di pejabat apabila tiba masa-masa yang sibuk. Dan akhirnya, membuatkan 'mood' untuk menulis di blog terkekang (alasan semata-mata).
 
Di PWTC, menyelia dan memantau tugas-tugas persiapan pameran sempena Expo Buku 1 Malaysia 2013 (Disember) 


Pameran 400 Tahun Sulalatus Salatin... Oktober 2013
 
 
Sekitar persiapan pameran di PWTC, Disember 2013


Pameran sempena Wacana Kesultanan Sultan Muhammad V di DBP (November 2013)
 
Sekitar pameran Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2012 pada 27 November 2013 di Hotel Istana, Kuala Lumpur.
 

Pada jam 12 tengah malam, menyiapkan kerja-kerja persiapan pameran HSPM 2012 pada 26 beranjak ke 27 November 2013
 
*Dan masih banyak lagi pameran yang diuruskan, tidak sempat masukkan gambar untuk dijadikan bukti saya tidak menulis di blog. Nanti-nantilah setelah terkenang-kenang saya akan masukkan ya. :)
 
bisik-bisik: Mujur masih bujang (tiada suami mahupun kekasih)... boleh balik lewat malam ke pagi untuk selesaikan kerja. :)
 

Friday, September 27, 2013

Sekitar Pesta BUKU!

Sekitar PESTA BUKU di PUDU SENTRAL, UTC KL.


Masih berlangsung, 25 September hingga 6 Oktober 2013. InsyaAllah selepas tamat urusan di UKM pagi nanti (28hb Sept) saya akan singgah di sini.

Tampak, sudah lama tidak ke kedai buku akibat kekangan waktu dan berhalangan mendapatkan teman untuk keluar. Alhamdulillah, moga selamat semuanya. Buku, tunggu saya! :)

Wednesday, September 25, 2013

Sekali Lagi

 
 
Semalam saya dikunjungi seorang Penulis kecil molek. Beliau datang dengan janjinya. Habis janji dilunaskan. Sebuah novel tulisan beliau dan satu pek kopi o sebagai cenderamata. Wah, asyik sekali. Ketika bersama-sama beliau, dititipkan pesan-pesan indah yang membugar idea.
 
"Hasni Jamali yang manis,
banyak hal-hal besar bermula daripada hal-hal yang kecil dan sederhana.
Oleh itu, jangan berhenti meneruskan sesuatu meski kecil dan sederhana." (Cik Puan yang menyintai hujan)
 
 

Hati jadi bersih. Sungguh saya amat rindu untuk menulis sajak, cerpen dan pelbagai genre lagi seperti selalu. Alasan demi alasan saya dibasuh hingga direndamkan kembali dalam pewangi kata, kata-kata semangat untuk saya tidak berkira dengan rasa malas, rasa penat dan rasa tidak yakin.

Sungguh, setelah lama menyepi dalam bidang penulisan ini, sememangnya agak sukar untuk mencoret pena kembali. InsyaAllah, selepas ini moga catatan yang ditinta berkat Ilahi membawa saya bersama-sama semangat baru yang lebih kental dan cerdas sekali lagi!

Seperti artikel di atas, "Perluas Penulisan Sastera Kanak-kanak"... saya suka dan saya teruskan membaca tanpa saya tahu ada nama pengarangnya. Dan apabila tamat membaca, oh ya! Rupanya Cikgu Helmi yang menulis. Sungguhlah, Allah Maha Pengasih dan Penyayang. DIA kasih dan sayang kepada saya dengan menemukan sebuah artikel yang indah dihadam ini sebagai pemangkin semangat untuk menulis sekali lagi!

 
Terima kasih Allah.

About Us

Bila terbitnya bicara, hati mula pasrah, untuk luahan terindah, segalanya diserah…Moga jiwa turut merasa, tentang hati yang mula bercerita.

Teguh pada kata hati, cekal pada kata akal…akan setia pada janji, untuk diri, dia dan semua. Moga ada sinar, pada setiap karya yang terlahir dari jiwa dan rasa. Hanya kerana DIA.

Titip kasih daripada teman blogger

Titip kasih daripada teman blogger
Tanda hati daripada Cik Amy Sense, tQ!!!

Gapaian CIta

Gapaian CIta

Impian Kan Terlaksana

Impian Kan Terlaksana
Barisan melakar cita

Pages