berkarya itu indah

berkarya itu indah

Monday, April 30, 2012

NOVEL COMEL: MISTERI GADIS BERBAJU PUTIH



Di malam hari…. Jeng jeng jeng!

Ini merupakan NOVEL COMEL karya Hanna Johan terbitan Blink Book Sdn Bhd. Novel Comel berjudul MISTERI GADIS BERBAJU PUTIH ini berkisar kisah seorang gadis berbaju putih yang sering menjadi tanda tanya para pembaca Novel AKU MAHU LAWAN HANTU.
Bersama Penerbit Blink Book Sdn Bhd ini, akan ada Novel Comel bagi setiap Novel yang terhasil. Jadi pasangan bagi Misteri Gadis Berbaju Putih ini ialah Aku Mahu Lawan Hantu.
Mari dapatkan di Kedai Pink Ain Maisarah, pada harga RM 4.00 sahaja. Tidak terdapat di kedai-kedai buku lain ya. 

Selamat Membaca dengan sepuasnya!

Sunday, April 29, 2012

HANNA JOHAN DI PESTA BUKU 5 MEI 2012, PWTC



Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur kembali lagi pada tahun 2012. Tahun ini tahun pertama saya hadir ke sana sebagai PENULIS. Syukur kepada Ilahi, Syukur yang tidak terhingga-hingga, atas rahmat dari-NYA tercapai sudah cita-cita untuk bergelar seorang Penulis.
Bermula dengan kisah angan-angan sewaktu di sekolah rendah, akhirnya kini atas usaha dan semangat yang tersisip erat dalam diri, saya berjaya bergelar sebagai seorang Penulis. Ya, saya tahu bergelar seorang Penulis ini bukan mudah, dan saya tidak akan sia-siakan semua kepayahan yang sudah saya lalui sepanjang hayat meniti usia cita-cita ini.

Dalam hati dan diri, sentiasa saya memanjatkan kesyukuran kepada Ilahi tentang perihal ini. Saya juga mengharapkan agar segala ‘keasyikan’ dalam bidang Penulisan ini tidak melalaikan saya tetapi sentiasa membimbing saya ke jalan kebaikan.

Okey, sebenarnya mahu cerita… Jika anda ke PWTC pada 5 Mei 2012, marilah beramah mesra dengan cik Hanna Johan di booth Buku Prima, Karangkraf pada sebelah pagi dan InsyaAllah sebelah petang juga ada (belah petang belum pasti).


Kemudian di sebelah petang pula pada jam 4.00-5.30 petang bolehlah bertemu cik Hanna Johan di booth Pink Ain Maisarah pula. Kedua-dua jadual di meja penulis pada 5 Mei 2012. 

JADUAL HANNA JOHAN DI MEJA PENULIS (SEBELAH PAGI)
JADUAL PENULIS DENGAN BUKU PRIMA, KARANGKRAF. 5 MEI 2012 BERSAMA HANNA JOHAN
 
       JADUAL HANNA JOHAN DI MEJA PENULIS (SEBELAH PETANG)    
JADUAL PENULIS DENGAN BLINK BOOK SDN BHD. 5 MEI 2012, HANNA JOHAN DAN AMAN WAN.


Semoga di sana nanti semuanya berjalan lancar. Sesungguhnya, kepada-Mu hamba berserah. Amin.

PUISI PADA APRIL

TERBIT DI HARIAN METRO, SELASA 10 APRIL 2012
Alhamdulillah, ini satu-satunya karya yang tersiar pada bulan April 2012. Hanya 1 karya? Ya, itu yang termampu. Sebenarnya sudah banyak yang ditulis dan dihantar, cuma rezeki tidak berpihak. InshaAllah di lain hari. Moga-moga penulisan masih bermakna dan terpilih untuk disiarkan. Amin.

Puisi ini berkenaan isu Anak-anak pada zaman ini yang sudah banyak melarikan diri bersama-sama teman atau diculik oleh masyarakat yang tidak bertanggungjawab. Risau! Ini dunia zaman 2 ribu. Semoga panahan yang tidak baik sentiasa jauh daripada diri kita dan keluarga. Amin.

Selamat membaca dan selamat menghayati Puisi Kepulangan Suci. Akhirnya segala kisah kembali terjalin baik dan penuh hikmah. Sungguh, itu yang diharapkan. 

Saturday, April 21, 2012

ULASAN CERPEN: CIKGU


JUDUL CERPEN: CIKGU
PENULIS: MOHD HELMI AHMAD
PENGULAS: HASNI JAMALI


Bukan kisah guru biasa. Berlaku kepada Aziz yang sentiasa tidak senang dengan kedudukan bapanya. Aziz seorang guru dan bapanya juga seorang guru. Apa pula yang menyebabkan ketidakselesaan Aziz kepada bapanya?

Membaca kisah yang ditulis oleh Mohd Helmi Ahmad ini menyedarkan saya tentang beberapa perkara. Ini kerana secara tidak langsung, saya mengaku saya juga seorang guru. Guru tidak formal kepada anak buah dengan mengajar mereka bacaan ayat suci dalam kita IQRA’.

Ya, satu tanggungjawab yang amat besar!

Ulasan saya kepada cerpen ini dahulu:

Berbalik kepada persoalan ketidakselesaan Aziz kepada bapanya ialah:
-      
        Aziz terlalu taksub dengan kerjayanya sebagai guru terlatih lepasan Universiti. Begitu gah dia mencanang gaya dan cara pengajarannya yang mendapat pengiktirafan kerajaan dan negara:


-      Namun, dalam ketaksubannya itu Aziz dapat melihat beberapa tuah yang mengelilingi bapanya. Dia sendiri tidak pernah menikmati tuah itu meskipun jawatannya sebagai guru diiktiraf Negara. Aziz cemburu kepada bapanya. Sering sahaja bapanya mendapat anak buah/ anak murid yang sentiasa tahu disiplin diri dan bijak belajar:


-         Aziz akhirnya insaf. Walau bapanya hanyalah seorang guru Mukadam yang tiada diiktiraf sijil dan kelayakan sepertinya, namun bapanya sering disebut sebagai contoh guru yang baik. Bapa Aziz benar-benar melahirkan anak-anak murid yang Berjaya dan menghormati guru. Ajarannya mudah, berbekalkan rasa ikhlas dan semangat yang tidak meminta-minta budi dibalas.

*CIKGU: Kaitannya dengan saya.
         Kini saya memikul tugas menjadi guru mengajar Iqra’ kepada anak buah yang sudah kehilangan ibu. Kasih sayang yang dicurahkan kepadanya tidak sama seperti kasih dan sayang seorang ibu kandung kepada anak kandung. Namun saya berusaha dan cuba. Melunaskan tanggungjawab yang diberikan sebaik mungkin.
Terkadang jika dia tidak dapat membaca dan mengingat seperti yang diajar, hampir sahaja darah saya naik hingga ke kepala. Rupanya baru saya sedar bahawa saya juga seorang pemarah dan kurang daya tahan sabar. Lekas benar mahu marah.




         Pengajaran yang saya peroleh daripada cerpen CIKGU tulisan Mohd Helmi Ahmad ini:-

1.                     Mendidik saya bahawa ini amanah besar buat saya kepada anak buah tersayang. Di awal usia 5 tahunnya kini, dia sudah kehilangan ibu tempat bermanja, dan ayah kandung pula jauh di perantauan. Pada siapa lagi kalau bukan saya yang menjadi sebahagian tempat dia menumpang kasih dan ilmu. Indah benar amanah ini andai saya laksanakan sepenuh jiwa dan raga. 
                     Menghalakan saya agar berbuat baik kepada anak yatim ini, mengajar ayat-ayat al-Quran menuju ke jalan yang benar dan ikhlas kerana Allah.
D           Dewasa kelak semoga anak buah saya ini menjadi anak yang soleh, sentiasa berbuat baik kepada manusia dan alam serta seorang hamba yang taat kepada perintah Allah. Amin.


*RASA INSAF AZIZ MENUSUK SAMA KE DALAM JIWA SAYA. Saya seorang guru tidak bertauliah yang berusaha meraih keikhlasan dalam mendidik anak buah saya mengaji kitab iqra’. sesungguhnya berkatilah keikhlasan hamba, Wahai Allah. amin.

Friday, April 13, 2012

Jom Main! Laris...


SALINAN DIARI (09.04.2012)


Pengalaman paling indah antara yang terindah. Semalam (09.04.2012) ketika pulang dari tempat kerja, Ucu Siti melambai-lambai suruh berhenti. Kami terserempak di tengah jalan. Dia dalam kereta dan aku atas motor. Akhirnya kami bertemu di rumahku.

 Oh, rupanya ada kawan Alya tempah buku kanak-kanak Jom Main! kepada Ucu Siti. Sebab itu dia suruh aku berhenti tadi. Syukur, Alhamdulillah!

Pulang ke rumah ketika itu juga, aku terkejut melihat ramai jiran sedang tunggu. Kepulanganku disambut riang suara mereka. Tidak lupa juga kelibat guru tadika yang aku kenal, turut berada di perkarangan rumah. Masing-masing rupanya mahu membeli buku kanak-kanak Jom Main!.

Wah! Tidak pernah rasa diburu begini rupa. Syukur kepada Ilahi. Atas kurniaan rezeki yang diberi.


PADA PETANG AHAD (08.04.2012)



Aku ditemani emak dan Afiq siar-siar di desa. Sambil itu kubawa sekali 10 buah buku kanak-kanak tulisanku berjudul Jom Main! ini. 

Alhamdulillah, sambutan baik daripada orang kampung. Anak-anak kecil seusia 9-12 tahun sama-sama berkumpul di perkarangan rumah kejiranan di situ. 

Emak memainkan peranan. Memperkenalkan buku ini kepada mereka. Aku pula diam dan tersenyum melihat gelagat emak. Alhamdulillah emak amat membantuku. :)


Di sini aku muatkan beberapa keping gambar. Sokongan yang amat bermakna! Buku Jom Main! telah terbit secara rasmi pada 15 Mac 2012. Alhamdulillah di tanganku ia mendapat sambutan baik. Semoga dipasaran juga begitu. Semoga buku ini laris dan pembaca suka dengan isinya. Amin Ya Rabb. 

DOA DAN HARAPAN. 

Alhamdulillah. Rezeki daripada buku Jom Main! banyak yang laris. Tak pernah rasa bahagia seperti ini (peroleh buku tulisan sendiri). Semoga Allah terus memberkati bidang penulisanku ini. 
Semoga buku-buku yang tertulis dan terbit ini dapat memberi kecintaan paling tinggi dalam hidupku. Semoga Allah terus memberkati. Amin. :)


Terima kasih kepada semua yang membeli dan menyokong penulisan Hasni Jamali a.k.a Hanna Johan. Terima kasih dengan senyuman paling manis. :)


Thursday, April 12, 2012

NGERI CAMPUR SAYU


ULASAN CERPEN: PEREMPUAN DI PERSIMPANGAN
PENULIS CERPEN: MOHD. HELMI AHMAD
PENGULAS: HASNI JAMALI 

Membaca PEREMPUAN DI PERSIMPANGAN mengingatkan saya kepada filem "I KNOW WHAT YOU DID LAST RAYA."

Hampir setengah cerita berlangsung, saya masih fikirkan objek Kambing yang dilanggar dalam filem ini. Sama seperti objek Manusia / Tubuh Perempuan yang dilanggar dalam cerpen ini. Kedua-dua cerita (filem & cerpen) seiring rentak seram dan ngeri. Pada awalnya, penulis cerpen meletakkan watak kawan-kawan yang ingin ke kenduri kawan mereka. Menaiki sebuah kereta beramai-ramai dan bernyanyi-nyanyi di waktu malam. Jalan sekeliling dipenuhi suasana dan latar hutan. Sepi dan gelap. Seram!

Tiba-tiba... kisah cerpen mula bergerak dalam alunan ceritanya yang berbeza daripada filem. Objek tubuh tidak terus dilanggar seperti dalam filem tetapi objek Tubuh Perempuan ini melambai-lambai di persimpangan. Yang nampak Tubuh Perempuan itu hanya seorang watak bernama Syawal. Perjalanan diteruskan tanpa sebarang masalah diganggu. Hanya itu satu sahajalah jika dibayangkan berlaku benar-benar kepada pembaca, alangkah tidak mahu dan tidak dipinta. Seram!

Setibanya mereka di rumah kenduri, pada jam tengah malam saya berteka-teki apakah yang akan berlaku nanti? Benarkah tuan rumah (kawan mereka) itu benar-benar manusia atau bukan manusia? Mengapa penulis meletakkan plot cerita bahawa mereka perlu sampai ke rumah kenduri itu pada tengah malam? Dan kawan perempuan yang menunggu tidak berbaju kurung iaitu baju rasmi ketika berada dalam majlis kenduri. Hmm, jawapannya pasti ada dalam kisah yang tertulis.

Seterusnya, ngeri yang saya maksudkan berbaur sayu itu dapat ditangkap maknanya pada akhir kisah. Saya tidak menyangka, akhir kisah ini ditutup sedemikian rupa. Kisah misteri yang biasa kita lihat, tonton di tv, baca cerpen atau novel akhirnya membawa maksud yang sama. Namun tiap maksud disulam dengan pelbagai raut aksi dan emosi. Cerpen ini membawa suatu makna yang menggubah persepsi saya pada awalnya. Tidaklah ia menceritakan semata-mata tentang ‘I Know What You Did Last Raya’. Langsung tidak sama.

Tahniah kepada penulis kerana sebuah makna yang cukup sayu dan memberi emosi kepada saya. Akhir pembacaan sedikit bergenang air mata. Pada awalnya saya disogok dengan emosi seram dan takut. Perasaan yang saya tidak mahu imaginasikan langsung tentang tangan melambai-lambai di tengah malam. Persoalan demi persoalan terjawab. Dalam mimpi Syawal melihat sesuatu yang ngeri mengganggu tidurnya. Kembali semula dia ke tempat kejadian.

Apa yang dia lihat, apa yang dia rasa ketika itu dan apa yang dia fikir atas situasi yang benar-benar berlaku dalam dunia realitinya? Itulah yang membangkitkan emosi sayu kepada saya. Begitu kematian yang digambarkan penulis kepada watak pengejar mimpi Syawal amat sadis. Kisah ini memberi sedar kepada pembaca, bahawa zaman ini realitinya begitu. Bunuh, bunuh dan bunuh seperti makanan rutin akhbar dan laporan berita di tv, internet dan radio.

*Sayu mengenang akhir pemergiannya. Semoga saya dan kalian sentiasa mendapat rahmat Allah dan mohon dijauhkan segala bencana dunia dan akhirat. Amin.


Saturday, March 31, 2012

PENCARIAN BERTERUSAN

Bismillah.

Beberapa minggu ini, saya diduga dengan pelbagai nikmat dan cubaan. Sesungguhnya itulah yang terlayak untuk saya hadapi, sehingga kini saya bertemu jalan penyelesaian yang diberi petunjuk Ilahi.

Nikmat rezeki yang mencurah. Begitu juga cubaan yang tidak henti melanda. Kedua-duanya seimbang dan sama rata. Alhamdulillah, dugaan yang dikirim dan nikmat yang dihulur saya gapai sepenuh hati dengan rasa bersyukur.

Kekosongan, terasa kesepian mula melanda jiwa. Itulah landasan yang paling ditakutkan apabila ianya menjelma. Dalam keseronokan beribadah, adakala hati dan jiwa diduga dengan rasa bolak-balik dan terumbang-ambing. Mohon dijauhkan segala perasaan rengsa tidak baik ini agar tidak kembali lagi. 

Dalam meniti kepayahan, melihat kejayaan rakan-rakan seperjuangan adalah satu terapi yang paling baik. Di samping itu, cuba juga saya merenung akan  kemiskinan dan kesusahan yang ditanggung orang lain. Mereka lebih susah daripada saya. Mereka lebih alpa daripada saya. Akhirnya saya kembali menghadap Ilahi dengan bersungguh hati. Syukur tidak terhingga, saya tidak bersama-sama mereka yang lalai. 

Akhir kalam ketika ini,

Semoga saya terus mengorak langkah dalam bidang penulisan, semoga saya terus bersama-sama dalam bidang seni penulisan yang bakal membawa banyak perubahan kebaikan buat saya, PEMBACA karya saya, keluarga dan adik-adik saya.

InsyaAllah.

Saturday, March 24, 2012

NIKMAT REZEKI

KLIK GAMBAR UNTUK BACA DENGAN LEBIH JELAS!

Alhamdulillah,

Perkara yang ditaip Ketua Penulis Blink Book Sdn Bhd amat menyenangkan hati. Syukur kepada Ilahi. 

cinta!

Hujan Pasti

gambar dari google.
kerana terlalu asyik menanti hujan, menanti hujan jatuh dari dalam tangan, yang dititiskan dari langit, atas kuasa Maha Besar. Syukur, hujan itu terasa di telapak jari, hujan itu memesrai janji yang sudah terpatri. Alhamdulillah.

-Aku tahu bahawa sesuatu dugaan yang dikirimkan oleh Allah bukanlah sia-sia semata. Pasti ada jalan yang ingin ditunjukkan kepada aku. 

-Waktunya tidak lama, cukup atas perintah dan takdir yang telah tertulis. Syukur, kembali aku menadah jari menanti hujan yang sentiasa pasti dan wujud. Atas kuasa-Mu jua.

-Ini bukanlah suara coretan dari hati semata-mata, ini lagu zikir hati dan jiwa. Semoga nanti, Allah sentiasa memberkati hidup yang masih bersisa dan akhirat yang menanti tiba.

Friday, March 9, 2012

Himpunan Karya Februari

Sepanjang FEBRUARI, tiga karya ini tersiar di media cetak. Alhamdulillah.
Cerpen TITIP KASIH BUNGA-BUNGAKU tersiar di MINGGUAN WARTA PERDANA pada 12.02.2012
Puisi BELUM BERBALAM tersiar di HARIAN METRO pada 21.02.2012
Karya Kritikan SERU JIWA DALAM HANYA MAKNA tersiar di DEWAN SASTERA edisi bulan FEBRUARI 2012.

Selepas ini, masih ada karya lagikah daripada saya? Hmm... ke mana menghilangnya mood menulis sekarang ini ya? :(

MENANTI DEBARAN 15 MAC 2012. :)

Friday, February 17, 2012

SIRI BACAAN HANNA: ANGGERIK UNGU


ULASAN NOVEL: RUSUH JIWA SOFIA HUMAIRA DALAM ANGGERIK UNGU
OLEH HASNI JAMALI 

Anggerik Ungu merupakan sebuah novel terbitan Buku Prima yang dijual dengan harga RM 14.00. Penulisnya sudah melahirkan beberapa buah buku seperti Dunia Anis dan Merah Cinta Kita. Wardah Munirah juga dikenali sebagai penulis bergenre cerpen, sajak dan karya-karya berbentuk ilmiah.

Serba ringkas tentang Anggerik Ungu

NOVEL ANGGERIK UNGU, DAN KERTAS KAJIAN KECIL. :)
Di sebalik kebahagiaan yang dimiliki, terdapat seribu kegelisahan yang merajai hati Sofia Humaira.

Sofia Humaira merupakan watak utama yang memegang perwatakan seorang anak yang baik dan sentiasa menyenangkan hati ibu dan ayahnya. Puan Aisyah dan Encik Fairul berbangga memiliki anak sebaik Sofia Humaira. Sudahlah bijak dalam akademik malah aktif pula dalam kegiatan sukan. Sofia Humaira juga merupakan seorang sahabat yang tahu tanggungjawabnya kepada sahabat-sahabat yang lain. Ai Ling, Kavitha dan Faridh Zuhry adalah sahabat yang selalu menjadi tempat luahan rasa, berkongsi-kongsi ilmu dan ahli kumpulan belajar bersama-sama.

Sofia Humaira pada awalnya cukup senang dengan aliran takdir yang melatari hidupnya. Baik, sentiasa berjalan lancar dan dipermudahkan segala urusan pembelajaran. Kehidupan luar sekolah juga begitu selesa dan tiada sebarang kekangan yang dihadapi Sofia. Apa-apa yang diinginkan sentiasa sahaja mudah diperoleh. Sofia berasa aman dan tenang sahaja. Namun, ada beberapa cubaan kecil terpaksa diharunginya. Ketidakyakinan Puan Aisyah dan Encik Fairul terhadap kebolehan Sofia untuk menyertai sebarang aktiviti lasak di sekolah amat mendukakan Sofia. Sesekali Sofia cemburu melihat teman-temannya dapat menimba banyak pengalaman dalam kem atau perkhemahan yang dijalankan di luar lokasi sekolah.

Rengsanya tidak berakhir di situ. Sofia berasakan ada sesuatu yang tidak kena dalam alunan kisah keluarganya. Melihat ibu yang sentiasa tidak bermaya, memandang ayah yang sentiasa tenang berkata-kata dan seperti hati berbisik… sebuah drama hebat sedang riang berlangsung dalam rumahnya sendiri, tanpa dia tahu hal duduk sebenar.

Akhirnya, Sofia memilih untuk berlaku kejam kepada dirinya. Dalam perjalanan melunas amarah, Sofia dipertemukan dengan pelbagai hal yang dapat menyelamatkan hatinya daripada terus berbuat salah. Namun, Sofia tewas juga dengan dugaan yang memuncak dalam hidupnya. Yang baik selalu menang. Begitulah Anggerik Ungu memberi kesan mendalam kepada diri pembaca. Sifatnya bukan untuk mengajar tetapi cukuplah yang boleh dikatakan ianya dapat membentuk hati agar sentiasa terpaut dalam lingkaran aman dan murni.

Rusuh dalam Jiwa

Pandangan sendiri, saya menyatakan rusuh itu suatu hal yang merengsakan hati dan perasaan. Hati yang juga disebut sebagai jiwa mungkin tidak enak apabila dihinggapi perasaan rusuh ini. Kaitannya, rusuh termasuk dalam golongan duka, derita dan tidak gembira. Keadaan rusuh yang paling ditakuti ialah hingga boleh mengundang pemberontakan jiwa lalu merosakkan nilai-nilai murni dalam diri seseorang.

RUSUH JIWA SOFIA HUMAIRA DALAM ANGGERIK UNGU

a)     Impian untuk ke kem/ perkhemahan
- Sofia sering kali mendambakan untuk menyertai tiap-tiap kem yang dianjurkan pihak sekolah. Namun, sering kali itu juga ibu dan bapanya melarang. Hatinya rusuh. Memberontak secara kecil. Mengeluh dan selalu bersoal jawab sendiri akan tindakan ibu dan bapanya ini:

            “Wajah Sofia mencuka. Dia sedar, dirinya agak ketinggalan jika dibandingkan dengan rakan-rakan dalam penglibatan luar sekolah. Bukan dia tidak mahu. Cuma, Puan Aisyah yang terlalu takut untuk melepaskan dia keluar bersama kawan-kawan.
            Ada sahaja alasan yang Sofia perlu berikan kepada guru persatuan unit beruniform untuk mengelak daripada menyertai perkhemahan tahunan. Sehinggakan, Puan Aisyah pernah meminta rakannya, Doktor Juliza menulis surat yang menyatakan tahap kesihatan Sofia tidak membolehkan dia menjalani aktiviti lasak.” (Wardah Munirah, 2011: 11)

            Begitulah yang dilakukan oleh Puan Aisyah (ibu Sofia). Tindakan rusuh Sofia tidaklah begitu besar kali ini. Hanya mengeluh dan merungut kecil. Sering sahaja merendah diri apabila membandingkan pengalamannya tentang aktiviti kembara dengan kawan-kawannya. Namun, rusuh hatinya menjadi-jadi apabila suatu hal di luar jangka menduga pilihan jiwanya sebagai seorang anak atau seorang pengawas.

            Ini terjadi apabila Sofia mengetahui ibu yang disayangnya tidak akan hidup lama. Kesedihan membungkus perasaan remaja Sofia. Seharusnya, mengapa seawal usia begini dia diuji Tuhan akan kehilangan insan yang amat disayangnya? Sofia… bukan lagi Sofia yang asal.



b)     Rasa Tertipu
-          Apabila mendapat tahu Puan Aisyah menghidap barah otak, Sofia Humairah menjadi tidak percaya dengan apa-apa yang ditatapnya. Seakan-akan dunia berputar laju. Bumi yang dipijak tidak terasa jasadnya. Dia benar-benar rasa tertipu. Rasa dibohong dengan lakonan dan drama daripada Encik Fairul dan Puan Aisyah. Hebat sungguh mereka mendiamkan hal sebesar ini daripada Sofia.
-          Rusuh hati Sofia sekali lagi menusuk segenap perasaan:

“Ibu…” Hancur luluh hati Sofia saat mendapat tahu isi kandungan laporan itu.
“6 Jun 2009. Barah otak. Tahap pertama.” Laporan perubatan itu benar-benar mengejutkan. Bagai mahu terkeluar jantung Sofia ketika membacanya.
Tambah memedihkan, laporan itu dikeluarkan pada tarikh lahirnya yang ke-13. Bermakna, sudah hampir tiga tahun.
Anak apakah dia sehingga gagal mengesan penderitaan Puan Aisyah? Salah apakah dia sehingga perkara itu dirahsiakan Puan Aisyah?”   (Wardah Munirah, 2011: 97)

RUMUSAN

Hikmah dari DIA, amat indah sekali. Sofia berjaya memecah tembok benci kepada penipuan yang memenuhi ruang hati. Menjadi matang. Beransur-ansur jiwanya pulih dengan segala isian kata bermakna daripada pengarang, Wardah Munirah. 
Antaranya, dalam episod Sofia melarikan diri dan tidak hadir ke sekolah secara sengaja, pengarang menyisipkan beberapa babak yang menginsafkan watak Sofia. Sekali gus, ianya meresap dalam jiwa seorang pembaca agar faham erti bahagia di sebalik derita:

“Nak…”
“Ya, mak cik. Kenapa?”
“Jaga diri baik-baik ya. Sampaikan salam mak cik pada ibu. Katakan, ibu bertuah punya anak sebaik budimu.” Wanita tua itu tersenyum sebelum membelakangi dan meninggalkan Sofia.” (Wardah Munirah, 2011: 121)

Rumusan saya seluruhnya, anggerik ungu merupakan pemberian Puan Aisyah kepada Sofia Humairah dan merupakan simbol pelerai segala rusuh di hatinya. Dan naskah Anggerik Ungu pula merupakan pelepas rindu dan lambang kecintaan antara ibu dan anak, juga antara anak dan bapa.  Begitulah yang disisipkan pengarangnya, kekuatan alam mengeratkan rasa cinta dan kasih sesama insan hingga hilang rusuh jiwa lalu bercambah ria dan suka.

Tuesday, February 14, 2012

Laris!



Sesuatu yang bermakna itu terdapat dalam pelbagai bentuk JALAN CERITA. Semoga tulisan daripada novel AKU MAHU LAWAN HANTU ini memberi makna yang menyedarkan kepada semua pembaca bahawa MULUT CABUL PASTI DIGANGGU. :)

Sunday, February 12, 2012

CERPEN PERTAMA 2012.

TERSIAR DI MINGGUAN WARTA PERDANA, 12 FEBRUARI 2012.  

Alhamdulillah... syukur!

Friday, February 10, 2012

PAPAN KEKUNCI BAHARU

Assalamualaikum,

Di tempat kerja. Baru sahaja selesai mendengar 'kuliah' daripada Encik Bos. Sebenarnya bukanlah kuliah agama atau kelas tusyen, tetapi 'kuliah' berbual-bual. Encik Bos saya memang orangnya suka bercerita. Hari ini hari Jumaat. Seperti hari-hari lain, Encik Bos akan bercerita pelbagai kisah.

Kadang-kadang saya terfikir, bagus juga dapat mendengar orang bercerita. Tiap-tiap hari. Tidak payah jumpa orang ramai dan tidak perlu dengar banyak cerita daripada pelbagai mulut. Cukuplah cerita daripada Encik Bos, pelbagai pengalaman dan pelbagai aksi kisah terurai setiap hari. Terima kasih Encik Bos.

Daripada soal jodoh hinggalah kisah seram.

Beginilah putaran dunia. Sana-sini kisahnya sama. Cuma lain-lain cara penyampaiannya dan sedikit berbeza pengalaman yang diberi Tuhan untuk hamba-Nya rasa. (Mukadimah yang sangat panjang) hehe...

JODOH.

Cerita Encik Bos, sejauh mana pun diusung sana-sini buah hati/kekasih/pakwe-makwe tu, akhirnya kalau tak tertulis itu jodohnya, tetap tidak akan bersatu juga sebagai pasangan yang sah. Tup-tup yang diam-diam tu, tiba2 dah nak kawin. Oh, rupanya Jodoh itu rahsia Allah yang kita tidak tahu siapa dia. Cuma sebagai hamba, kita hanya mampu berusaha dan sentiasa dekat pada Dia, agar Jodoh kita nanti juga begitu. Sambil berusaha mendapatkan Jodoh yang baik, sentiasalah bersama-sama Allah. InsyaAllah, akan peroleh jua jodoh yang sama-sama bertaqwa kepada Allah. InsyaAllah aman dan bahagia.

SERAM.

.... biarlah diam. cerita ini tidak sesuai diulang tulis. hehe...

Itu sahaja mahu kongsi. InsyaAllah lain kali tulis lagi. (sebenarnya mahu rasa menaip guna keyboard baharu) :)

About Us

Bila terbitnya bicara, hati mula pasrah, untuk luahan terindah, segalanya diserah…Moga jiwa turut merasa, tentang hati yang mula bercerita.

Teguh pada kata hati, cekal pada kata akal…akan setia pada janji, untuk diri, dia dan semua. Moga ada sinar, pada setiap karya yang terlahir dari jiwa dan rasa. Hanya kerana DIA.

Titip kasih daripada teman blogger

Titip kasih daripada teman blogger
Tanda hati daripada Cik Amy Sense, tQ!!!

Gapaian CIta

Gapaian CIta

Impian Kan Terlaksana

Impian Kan Terlaksana
Barisan melakar cita

Pages